Hukum Mengaminkan Doʻa Khatib Ketika Khutbah Jumaat
الجواب
Bacaan doʻa untuk orang-orang yang beriman adalah salah satu rukun di dalam khutbah Jumaat. Khatib hendaklah membaca doʻa tersebut pada khutbah yang kedua kerana doʻa itu sesuai dibaca pada penutup.
Dalam perkara khatib membaca doʻa di dalam khutbah Jumaat ini, timbul persoalan orang ramai adakah ma’mum dituntut untuk mengaminkan doʻa khatib ketika doʻa dibacakan di dalam khutbah Jumaat? Tanggapan sebilangan orang bahawa mengaminkan doʻa khatib ketika khutbah Jumaat itu sebagai berkata-kata yang sia-sia. Adakah tanggapan ini benar ataupun salah? Oleh itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai, dijelaskan kedudukan hukum mengenainya.
Hukum Mendengar Khutbah ketika Khatib Menyampaikan Khutbah Jumaat
Para jemaah disunatkan untuk diam dan mendengar khutbah, namun makruh pula hukumnya bagi mereka itu berkata-kata. Ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari Jumaat: “Diam!” dan imam (pada ketika itu sedang) berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.
Bahkan menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat pendapat yang mengatakan diam mendengarkan khutbah itu adalah wajib.
Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata jika terdapat keadaan yang memaksa untuk dia berkata-kata, misalnya kerana ingin menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal seperti ini tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Walau bagaimanapun adalah sunat baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.
Hukum Mengaminkan Doʻa Khatib ketika Khutbah Jumaat
Sunat hukumnya bagi jemaah untuk mengaminkan doʻa khatib dengan tidak mengangkat suara. Perkara ini ada dijelaskan oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn ketika beliau menghuraikan kata-kata Imam al-Malibari Rahimahullâh:
Ertinya: [Katanya (Imam al-Malibari Rahimahullâh): “Dan begitu juga (sunat hukumnya) mengaminkan (doʻa)...] iaitu dan begitu juga tidak (dianggap suatu perkara) jauh mengenai sunat mengaminkan tanpa mengangkat suara bagi doʻa khatib”.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, adapun sebab tidak digalakkan mengangkat suara ketika mengaminkan doʻa ini adalah kerana ia boleh mengganggu pendengaran dan mengganggu jemaah-jemaah yang lain, sebagaimana beliau berkata:
Ertinya: Dan adapun (perkara) mengaminkan (doʻa) secara mengangkat suara, maka adalah lebih utama meninggalkannya kerana ia (mengaminkan doʻa dengan mengangkat suara) menghalang pendengaran dan mengganggu jemaah lain yang hadir tanpa ada sebarang keperluan dan hajat padanya.
Hukum Berselawat dan Mengucapkan At-Taradhdhi ketika Khutbah Jumaat
Selain perkara mengaminkan doʻa khatib, elok juga disentuh berkenaan hukum berselawat dan mengucapkan at-taradhdhi ketika imam membaca khutbah.
Sunat bagi jemaah mengucapkan selawat apabila khatib menyebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Dalam hal ini, menurut ulama adalah sunat berselawat dengan mengangkat suara secara tidak berlebihan, sebagai contoh apabila mendengar khatib membaca ayat berikut:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam). Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan (selawat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bererti rahmat dan keredhaanNya untuk Baginda, selawat daripada malaikat bererti doʻa dan memohonkan ampun untuk Baginda, dan selawat daripada umat Islam bererti doʻa memohon supaya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Baginda). (Surah al-Ahzâb: 56)
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh apabila ditanya mengenai hukum berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika mendengar nama Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam khutbah Jumaat, beliau mengatakan:
Ertinya: Adapun hukum berselawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu ketika mendengar sebutan (nama Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam khutbah Jumaat) dengan mengangkat suara secara tidak berlebihan, maka (hukumnya) adalah harus dan tidak (dihukumkan) makruh, bahkan ia adalah sunat.
At-Taradhdhi pula ialah ucapan “ ”. Jika nama-nama para sahabat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam disebutkan di dalam khutbah, maka menurut ulama adalah sunat bagi jemaah mengucapkan: “ ”. Akan tetapi tidak disunatkan untuk mengangkat suara sepertimana tidak disunatkan mengangkat suara ketika mengaminkan doʻa khatib.
Imam al-Malibari Rahimahullâh menjelaskan:
Ertinya: Telah berkata guru kita (Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh): “Dan tidak (dianggap satu perkara) jauh mengenai hukum sunat mengucapkan: “ ” terhadap para sahabat (apabila nama-nama para sahabat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam disebutkan dalam khutbah Jumaat) dengan tidak mengangkat suara”.
Oleh itu, berdasarkan kepada kata-kata ulama yang telah dijelaskan bahawa mengaminkan doʻa khatib dengan tidak mengangkat suara ketika khutbah Jumaat itu adalah sunat. Akan tetapi apabila jemaah mengaminkan doʻa tersebut dengan mengangkat suara sehingga menyebabkan gangguan kepada jemaah lain, maka ia tidak lagi disunatkan dan lebih utama perkara itu ditinggalkan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9980
دليل الألوان
