Persoalan Membaca Doʻa Iftitâh
الجواب
Membaca doʻa iftitâh merupakan salah satu tuntutan sunat dalam sembahyang. Tuntutan membaca doʻa iftitâh termasuk dalam kategori sunat hai’ah.
Doʻa iftitâh disunatkan ke atas sesiapa sahaja yang mengerjakan sembahyang selain sembahyang jenazah, tidak kira sama ada sembahyang fardhu atau sunat, munfarid (orang yang mengerjakan sembahyang secara bersendirian), imam ataupun ma’mum, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa, musafir atau bermuqim, orang yang sembahyang berdiri, duduk atau berbaring dan sebagainya.
Dasar bagi tuntutan ini adalah sebagai ittibâ‘ iaitu mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdasarkan hadits-hadits shahîh yang telah diriwayatkan daripada beberapa sahabat Baginda, antaranya Abu Hurairah, Anas bin Malik, Sayyidina ‘Ali, Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhum dan lainnya.
Lafaz Dan Kaifiyyah Membaca Doʻa Iftitâh Serta Permasalahannya
Doʻa iftitâh mempunyai beberapa lafaz yang wârid daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antara lafaz bacaan doʻa iftitâh yang masyhur ialah:
Ertinya: Allah Maha Besar dengan segala kebesaranNya. Segala puji bagi Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha Suci Allah (pada waktu) pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi (dengan) mengakui kebenaran dan menyerahkan diri (kepadaNya) dan aku tidaklah tergolong daripada kalangan orang-orang yang musyrik. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya dan dengan demikian, aku diperintah dan aku tergolong daripada orang-orang Islam.
Bagi seorang munfarid, sunat dia menambah selepas bacaan di atas dengan bacaan yang wârid daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di bawah ini:
Ertinya: Ya Allah, Engkaulah Penguasa, tiada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan memujiMu. Engkau Tuhanku dan aku hambaMu. Aku telah menganiaya diriku dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah semua dosa-dosaku itu. Kerana tidak ada yang mengampuni dosa-dosa itu kecuali Engkau. Berilah hidayah kepadaku untuk memiliki akhlak yang mulia, (kerana) tidak ada yang memberi hidayah kepadaku untuk (memiliki) akhlak yang mulia kecuali Engkau. Hindarkan daripadaku akhlak yang buruk, (kerana) tidak ada yang dapat menghindarkan akhlak yang buruk itu daripadaku kecuali Engkau. Aku menyahut panggilanMu dan aku terima perintahMu. Semua kebaikan berada di tanganMu dan kejahatan (tidak kembali) kepadaMu, aku bersamaMu dan (kembali) kepadaMu. Engkau Maha Suci dan Engkau Maha Tinggi. Aku memohon keampunanMu dan aku bertaubat kepadaMu.
Selain munfarid, bacaan tambahan ini juga boleh dibaca oleh imam sekiranya perbuatannya itu diketahui dan dipersetujui oleh ma’mumnya dan mereka tidak mempunyai apa-apa halangan atau kesukaran sekiranya imam memanjangkan sedikit sembahyang dengan membaca bacaan tambahan itu. Sekiranya perbuatannya itu tidak diketahui atau tidak dipersetujui para ma’mum, maka sunat imam tersebut membataskan bacaan doʻa iftitâhnya sehingga lafaz ( ) sahaja dan meninggalkan bacaan tambahan di atas.
Doʻa iftitâh sunat dibaca secara sirr iaitu dengan suara perlahan dalam kadar yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri. Ia sunat dibaca secara sirr sekalipun dalam sembahyang jahriyyah (sembahyang yang dinyaringkan bacaan padanya)
seperti sembahyang Shubuh dan Maghrib. Begitu juga dalam sembahyang sirriyyah (sembahyang yang diperlahankan bacaan padanya) seperti sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar.
Doʻa iftitâh ini dibaca sejurus selepas mengangkat takbîratul-ihrâm, iaitu sebelum memulakan bacaan at-ta‘awwudz ( ) dan surah al-Fâtihah. Dalam hal ini, sunat dia segera membaca doʻa iftitâh selepas mengangkat takbîratul-ihrâm dengan memisahkan di antara kedua-duanya dengan saktah (diam sebentar) sebagai ittibâ‘. Bagaimanapun, sekiranya dia diam untuk beberapa ketika selepas takbîratul-ihrâm dan tidak bersegera membaca doʻa iftitâh, maka doʻa iftitâh itu belum dikira luput walaupun sudah jauh jarak antara takbîratul-ihrâm dan doʻa iftitâh itu selagimana dia belum membaca at-ta‘awwudz atau surah al-Fâtihah. Oleh yang demikian, sekiranya orang yang sembahyang itu sudah mula membaca surah al-Fâtihah walaupun baru pada basmalah, ataupun sudah membaca at-ta‘awwudz bagi yang melaksanakan tuntutan sunat membaca at-ta‘awwudz, maka luputlah tuntutan sunat membaca doʻa iftitâh itu. Dalam keadaan ini, dia tidak boleh lagi kembali membaca doʻa iftitâh sekalipun kerana terlupa.
Doʻa iftitâh juga menjadi luput sekiranya orang itu membaca zikir-zikir lain yang tidak disyariatkan sebelum membaca doʻa iftitâh walaupun zikir itu hanya sedikit sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Bujairimi ‘ala al-Khathib dan Hawâsyi asy-Syarwani.
Walau bagaimanapun, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, jika dibaca juga doʻa iftitâh itu setelah tuntutannya luput maka tidaklah membatalkan sembahyang dan tidak dituntut untuk mengerjakan sujud sahwi kerana kesilapan tersebut. Ini kerana doʻa iftitâh itu hanya zikir semata-mata.
Telah dijelaskan sebelum ini bahawa doʻa iftitâh itu tempatnya ialah selepas mengangkat takbîratul-ihrâm. Ini bererti, doʻa iftitâh hanya dibaca pada rakaat pertama sembahyang yang dikerjakan. Oleh yang demikian, sekiranya doʻa iftitâh ditinggalkan pada rakaat pertama, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, maka doʻa iftitâh tersebut dengan sendirinya telah luput dan tidak lagi dibaca pada rakaat-rakaat yang seterusnya.
Hukum Membaca Doʻa Iftitâh ketika Waktu Sembahyang Hampir Berakhir
Doʻa iftitâh tidak lagi dituntut untuk dibaca sekiranya orang yang mengerjakan sembahyang itu sudah berada di akhir waktu di mana waktu sembahyang hanya berbaki kadar yang mencukupi untuk mengerjakan satu rakaat sahaja. Jika dibaca juga doʻa iftitâh itu dia tidak akan sempat mengerjakan rakaat berkenaan dalam waktunya. Dalam hal ini, dia hendaklah terus membaca surah al-Fâtihah sejurus selepas mengangkat takbîratul-ihrâm dan tidak mengerjakan apa-apa tuntutan sunat termasuk membaca doʻa iftitâh dan at-ta‘awwudz. Begitu juga dia tidak disunatkan membaca doʻa iftitâh sekiranya dengan membaca doʻa iftitâh itu boleh menyebabkan sebahagian perbuatan sembahyang dikerjakan di luar waktu. Perkara ini boleh berlaku dalam keadaan di mana ketika memulakan sembahyang, waktu sembahyang sudah sempit, dan dengan membaca doʻa iftitâh menjadikan sebahagian sembahyangnya dikerjakan di luar waktu. Oleh yang demikian, sekiranya bacaan doʻa iftitâh boleh menyebabkan sebahagian sembahyang dikerjakan di luar waktu, maka tidak disunatkan lagi untuk membaca doʻa iftitâh.
Doʻa iftitâh juga tidak lagi dituntut sekiranya seseorang boleh terlepas mengerjakan sembahyang jika dia membacanya. Sebagai contoh, perempuan yang kuat sangkaannya bahawa waktu datang haidh sudah hampir tiba atau seseorang yang biasa didatangi penyakit gila dan seumpamanya pada waktu-waktu tertentu. Ini kerana jika dia membaca doʻa iftitâh, dikuatiri perempuan itu datang haidh atau penyakit gila tersebut akan mendatanginya sebelum sempat menyempurnakan sembahyang.
Sekiranya orang yang bersembahyang itu hanya dapat mengerjakan salah satu di antara doʻa iftitâh atau at-ta‘awwudz kerana kesempitan waktu sembahyang misalnya, maka menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh, hendaklah dia mengutamakan bacaan at-ta‘awwudz kerana ia merupakan permohonan terhadap pemeliharaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada syaitan. Ia juga perlu diutamakan daripada doʻa iftitâh kerana at-ta‘awwudz itu dituntut pada setiap rakaat sembahyang sebelum membaca surah al-Fâtihah.
Doʻa Iftitâh bagi Ma’mum
Terdapat beberapa perkara dan permasalahan yang perlu diberikan perhatian oleh seorang ma’mum mengenai tuntutan membaca doʻa iftitâh ini, antaranya:
i. Ma’mum yang hendak mengerjakan tuntutan membaca doʻa iftitâh hendaklah memenuhi syarat-syarat di bawah ini:
(a) Ma’mum itu hendaklah mempunyai sangkaan yang kuat bahawa dengan melaksanakan tuntutan membaca doʻa iftitâh dia akan sempat membaca surah al-Fâtihah sebelum imam rukuʻ.
Oleh yang demikian, sekiranya dengan membaca doʻa iftitâh dia khuatir tidak akan sempat membaca surah al-Fâtihah sebelum imam rukuʻ, maka dalam keadaan ini tidak lagi disunatkan ke atasnya untuk membaca doʻa iftitâh.
(b) Doʻa iftitâh hanya dituntut ke atas ma’mum yang mendapati imam ketika imam dalam keadaan qiyâm sahaja. Oleh yang demikian, jika seorang ma’mum yang masbûq mendapati imam selain waktu qiyâm imam, maka dia tidak lagi dituntut untuk mengerjakan doʻa iftitâh.
Sebagai contoh, seorang ma’mum yang mendapati imamnya ketika tasyahhud awwal. Maka selepas takbîratul-ihrâm ma’mum itu hendaklah terus sahaja duduk mengerjakan tasyahhud bersama imam dan meninggalkan doʻa iftitâh. Dengan sendirinya juga, doʻa iftitâh itu menjadi luput kerana dia sudah duduk untuk mengerjakan tasyahhud bersama imam walaupun hanya sebentar. Oleh itu, dia tidak lagi dituntut untuk membacanya selepas dia bangkit daripada mengerjakan tasyahhud.
Adapun sekiranya imam itu bangun semula dari tasyahhud awwal untuk mengerjakan rakaat seterusnya sebelum ma’mum sempat duduk bersama-sama imam, maka dalam hal ini, ma’mum tersebut disunatkan untuk membaca doʻa iftitâh selepas dia mengerjakan takbîratul-ihrâm.
Begitu juga halnya sekiranya ma’mum mendapati imam ketika mengerjakan tasyahhud akhîr, lalu imam itu memberi salam sebelum ma’mum sempat duduk bersama-sama imam. Maka dalam hal ini, disunatkan ma’mum itu tadi membaca doʻa iftitâh dan meneruskan sembahyang secara bersendirian.
Ma’mum itu juga boleh membaca doʻa iftitâh selepas takbîratul-ihrâm sekiranya imam batal sembahyangnya kerana hadats dan sebagainya sebelum ma’mum itu sempat mengikuti imam tersebut walaupun imam pada ketika itu bukan dalam qiyâm.
ii. Bagi seorang ma’mum yang hendak melaksanakan tuntutan membaca doʻa iftitâh dalam sembahyang jahriyyah, dia disunatkan membaca doʻa iftitâh dengan segera dan membataskan bacaannya itu sehingga lafaz ( ) sahaja tanpa menambahnya supaya dia dapat mendengar bacaan imam. Ini disunatkan khusus dalam keadaan dia dapat mendengar bacaan imamnya.
Sekiranya ma’mum tidak dapat mendengar bacaan imam, maka tidak disunatkan atasnya untuk bersegera membaca doʻa iftitâh. Dalam hal ini, dia boleh melambatkan bacaan doʻa iftitâhnya sekiranya dia yakin dia tidak akan tertinggal rukuʻ bersama imam. Akan tetapi, jika dia takut akan tertinggal daripada imam, maka hendaklah dia bersegera membaca doʻa iftitâh itu.
iii. Ma’mum masih dibolehkan membaca doʻa iftitâh walaupun imam sudah memulakan bacaan surah al-Fâtihah.
iv. Doʻa iftitâh tidak luput walaupun ma’mum menta’mîn (mengaminkan) bacaan surah al-Fâtihah imam sebelum dia membaca doʻa iftitâh. Sebagai contoh, seorang ma’mum mengangkat takbîratul-ihrâm, lalu sejurus selepas itu imam selesai membaca surah al-Fâtihah dan ma’mum menta’mînkannya sebelum dia membaca doʻa iftitâh. Dalam hal ini, ma’mum tersebut masih boleh membaca doʻa iftitâh selepas ta’mînnya itu. v. Bagi ma’mum yang yakin hanya dapat membaca sebahagian sahaja daripada lafaz bacaan doʻa iftitâh ini, kerana takut jika dia membaca keseluruhan lafaz bacaan doʻa iftitâh itu imam akan rukuʻ sebelum ma’mum itu sempat membaca surah al-Fâtihah, dalam keadaan ini dia masih tetap disunatkan membaca doʻa iftitâh itu sekalipun hanya sebahagiannya sahaja.
Bagaimana Jika Terluput Membaca Doʻa Iftitâh?
Tuntutan membaca doʻa iftitâh termasuk dalam kategori sunat hai’ah. Oleh itu, sekiranya seseorang itu terluput membaca doʻa iftitâh maka tidak disunatkan ke atasnya untuk menambalnya dengan sujud sahwi. Ini kerana tertinggal atau terluput mana-mana tuntutan sunat hai’ah tidak disunatkan untuk menambalnya dengan sujud sahwi sama ada ia ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja. Bahkan jika dikerjakan juga sujud sahwi itu secara sengaja, ia boleh membatalkan sembahyang jika dia mengetahui akan hukumnya. Ini kerana dia seolah-olah menambah sujud dalam sembahyang tanpa sebab-sebab yang dituntut oleh syara.
Kesimpulan
Demikian beberapa penjelasan mengenai salah satu tuntutan sunat hai’ah dalam sembahyang iaitu membaca doʻa iftitâh.
Sebagai kesimpulan, doʻa iftitâh hanya disunatkan dalam sembahyang jika memenuhi lima syarat iaitu:
(i) Bukan dalam sembahyang jenazah. (ii) Yakin tidak akan terluput waktu sembahyang fardhu jika membaca doʻa iftitâh. (iii) Membacanya selepas mengangkat takbîratul-ihrâm dan belum membaca at-ta‘awwudz atau surah al-Fâtihah atau mana-mana bacaan lain. (iv) Ma’mum yakin sempat membaca surah al-Fâtihah jika membaca doʻa iftitâh. (v) Ma’mum hendaklah mendapati imam sewaktu qiyâm.
Sekiranya syarat-syarat untuk mengerjakan doʻa iftitâh ini tidak dipenuhi, maka dengan sendirinya doʻa iftitâh tidak disunatkan ke atas orang tersebut.
Apa yang perlu diambil perhatian juga ialah tuntutan membaca doʻa iftitâh ini adalah dalam kategori sunat hai’ah yang tidak perlu ditambal luputnya dengan sujud sahwi. Namun ia tetap tidak wajar ditinggalkan kerana jika ditinggalkan, seseorang itu tidak akan mendapat pahala sunat dan hikmah yang terkandung di dalamnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9984
دليل الألوان
