Ketahui Had Muka Dalam Berwudhu’
الجواب
Sungguhpun muka tidak termasuk dalam aurat yang diwajibkan ke atas seorang lelaki dan perempuan untuk ditutup apabila berada di hadapan bukan mahram, ini tidak bermakna bahawa had atau batas bahagian tersebut tidak perlu diketahui. Hakikatnya, had atau batas muka adalah sangat penting untuk diketahui kerana perkara ini juga melibatkan kesempurnaan wudhu’. Dalam perkara wudhu’, membasuh bahagian zahir muka merupakan perkara fardhu dalam wudhu’ sebagaimana perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: …Basuhlah muka kamu… (Surah al-Mâ’idah: 6)
Ibadat utama iaitu sembahyang boleh terjejas disebabkan wudhu’ yang tidak sempurna dan aurat yang masih terbuka.
Apa yang Dimaksudkan dengan Muka?
Muka ialah apa yang dengannya terletak berhadapan atau di hadapan. Dari segi ukuran panjang yang dimaksudkan dengan muka itu ialah permukaan di antara tempat tumbuh rambut di kepala menurut kebiasaannya (gigi rambut di bahagian dahi) hingga bahagian akhir dua tulang rahang dan dagu. Sementara dari segi ukuran lebar pula yang dimaksudkan dengan muka itu ialah permukaan di antara satu telinga hingga satu telinga. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut di dalam kitab al-Majmû‘:
Ertinya: Dan muka: Apa yang di antara tempat mula tumbuh rambut kepala hingga dagu dan bahagian akhir dua tulang rahang dari segi panjang, dan daripada satu telinga hingga satu telinga dari segi lebar.
Adapun yang dimaksudkan dengan “daripada satu telinga hingga satu telinga” dalam petikan di atas ialah daripada satu anak telinga hingga satu anak telinga sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh asy-Syarwani Rahimahullâh:
Ertinya: (Dan apa yang di antara dua telinganya) iaitu di antara dua anak telinga.
Adakah Keseluruhan Batas Dari Segi Panjang dan Lebar Termasuk Dalam Muka?
Sebagaimana yang telah dijelaskan, had muka dari segi panjang bermula daripada permukaan tempat tumbuh rambut di kepala menurut kebiasaannya hingga bahagian akhir dua tulang rahang dan dagu. Sementara dari segi ukuran lebar pula yang dimaksudkan dengan muka itu ialah permukaan bermula dari satu telinga hingga satu telinga. Namun adakah keseluruhan batas tersebut termasuk dalam bahagian muka?
Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn menjelaskan:
Ertinya: Dan dua batas (garis pinggir tempat tumbuh rambut kepala dan penghujung dagu) termasuk dalam had panjang (muka). Sementara dua batas (telinga kanan dan telinga kiri) tidak termasuk had lebar (muka).
Berdasarkan penjelasan di atas menunjukkan bahawa kedua-dua telinga adalah tidak termasuk bahagian muka. Bahkan menurut ulama, kedua-dua anak telinga juga tidak termasuk dalam bahagian muka. Walau bagaimanapun menurut Imam al-Baghawi Rahimahullâh, tidak akan sempurna perbuatan membasuh keseluruhan muka itu melainkan dengan membasuh kedua-dua anak telinga. Berdasarkan penjelasan ini pula, dapat difahami bahawa membasuh kedua-dua anak telinga ketika membasuh muka adalah dilakukan demi menjaga kesempurnaan membasuh muka dalam berwudhu’.
Had muka dari segi ukuran panjang pula adalah meliputi keseluruhan batas iaitu bermula dari garis pinggir tempat tumbuh rambut kepala hingga dagu atau bahagian akhir dua rahang. Kedua-dua batas ini adalah termasuk bahagian muka.
Dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebut had muka dari segi ukuran panjang:
Ertinya: (Dan ia (muka)) dari segi ukuran panjang, (apa yang di antara tempat tumbuh) rambut (di kepalanya menurut kebiasaan dan) di bawah (bahagian akhir) iaitu sisi depan permukaan hujung daripada (dua rahangnya). Maka ia adalah (sebahagian) daripada muka, bukan permukaan di bawahnya (demikian juga) bulu yang tumbuh di permukaan bawahnya itu.
Sementara itu, menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullâh sebagaimana huraiannya di dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn mengenai yang dimaksudkan dengan permukaan di bawah penghujung dua tulang rahang:
Ertinya: (Ia adalah (bahagian) daripada muka) iaitu bahagian akhir yang merupakan sisi depan permukaan hujung daripada dua rahangnya adalah daripada muka. (Tidak termasuk apa yang di bawahnya) iaitu di bawah bahagian akhir tersebut, maka ia bukan daripada muka.
Bulu dan Permukaan yang Termasuk Dalam Bahagian Muka
Ulama ada menjelaskan mengenai bulu dan permukaan muka yang wajib dibasuh ketika berwudhu’. Bulu yang diwajibkan untuk dibasuh ketika berwudhu’ ialah:
1. Al-‘idzâr ( ): Bulu yang tumbuh di permukaan yang sejajar dengan bahagian atas telinga dan hingga bahagian bawah telinga atau bulu yang tumbuh di antara pelipis dan al-‘âridh. Rambut atau bulu ini disebut jambang pendek (sideburn).
2. Al-‘âridh ( ): Jambang atau bulu yang tumbuh di permukaan di antara janggut dan al-‘izdâr (jambang pendek). 3. Al-khadd ( ): Bulu yang tumbuh di permukaan kedua pipi.
4. Al-lihyah ( ): Janggut atau bulu yang tumbuh di permukaan dagu. 5. Al-hâjib ( ): Kening atau bulu yang tumbuh di permukaan atas kedua mata.
6. Al-hudb ( ): Bulu mata atau bulu yang tumbuh di permukaan kelopak mata.
7. Asy-syârib ( ): Misai, kumis atau bulu yang tumbuh di atas bibir.
8. As-sibâl ( ): Bulu yang tumbuh di tepi hujung misai.
9. Al-‘anfaqah ( ): Bulu yang tumbuh di bawah bibir.
Diwajibkan membasuh bulu yang disebutkan di atas termasuk permukaan kulit tempat tumbuh bulu tersebut ketika melakukan salah satu perkara fardhu iaitu membasuh muka. Ini bererti permukaan yang ditumbuhi bulu tersebut adalah permukaan yang termasuk dalam bahagian muka. Ulama juga menyebut bulu-bulu yang disebutkan di atas sebagai bulu muka.
Selain daripada permukaan yang ditumbuhi bulu yang disebutkan, terdapat juga permukaan lain menurut penjelasan ulama adalah termasuk dalam bahagian muka iaitu:
1. Maudhi‘ al-ghamam ( ): Permukaan dahi yang ditumbuhi bulu.
2. Al-bayâdh ( ): Permukaan yang tidak ditumbuhi rambut atau bulu yang letaknya di antara tempat al‘idzâr (jambang pendek) dan telinga.
3. Bahagian merah atau zahir bibir.
Permukaan yang Tidak Termasuk Dalam Bahagian Muka
Terdapat beberapa permukaan berdekatan batas muka dan bahagian lain yang tidak termasuk bahagian muka sebagaimana yang dijelaskan oleh ulama iaitu:
1. An-nâshiyah ( ): Ubun-ubun atau depan kepala daripada bahagian paling atas dahi.
2. An-naz‘ah ( ): Permukaan kosong daripada rambut yang melingkungi kawasan ubun-ubun. Permukaan ini tidak termasuk muka kerana ia termasuk lingkungan kepala.
3. Permukaan at-tahdzîf ( ): Permukaan yang lazimnya ditumbuhi rambut nipis atau anak rambut di antara an-naz‘ah dan permulaan tempat al‘idzâr. Permukaan ini termasuk bahagian kepala.
Untuk lebih terperinci, ulama mengongsikan cara untuk mengetahui permukaan at-tahdzîf dengan membentangkan benang secara lurus bermula daripada hujung paling atas telinga hingga ke bahagian dahi paling atas. Permukaan yang berada di bawah benang yang berdekatan dengan muka setelah dibentangkan secara lurus itu adalah permukaan at-tahdzîf.
4. Ash-shudgh ( ): Pelipis atau permukaan di atas telinga yang bersambung dengan al-‘idzar (jambang pendek).
5. Maudhi‘ ash-shal‘ ( ): Permukaan botak. Lazimnya bagi kepala yang botak, rambut tumbuh jauh daripada ubun-ubun dan permukaan tempat tumbuh rambut menurut kebiasaannya. Permukaan tempat tumbuh rambut tersebut akan kosong daripada rambut. Dalam keadaan ini, ulama menjelaskan permukaan botak atau kosong daripada rambut itu tidak diwajibkan untuk dibasuh ketika membasuh muka dalam berwudhu’. Permukaan tersebut tidak termasuk bahagian muka. 6. Bahagian batin muka seperti bahagian dalam mulut, mata dan hidung.
7. Anak telinga.
Walau bagaimanapun, disunatkan membasuh an-naz‘ah, at-tahdzîf, ash-shudgh dan permukaan botak ketika membasuh muka dalam berwudhu’; kerana terdapat perselisihan (khilâf) pendapat ulama yang menghukumkan wajib membasuh permukaan-permukaan tersebut.
Sementara itu, diwajibkan pula membasuh sebahagian daripada bahagian kepala, dua telinga, rahang bawah dan leher yang berdekatan dengan bahagian muka ketika berwudhu’. Sebagaimana juga wajib melebihkan ketika membasuh dua tangan dan dua kaki. Ini berdasarkan kaedah fiqh sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Sesuatu kewajiban yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu perkara, maka perkara tersebut juga menjadi wajib.
Maka perbuatan fardhu membasuh muka ketika berwudhu’ tidak akan sempurna melainkan dengan membasuh permukaan-permukaan yang disebutkan ini.
Beberapa Permasalahan Hukum Membasuh Bulu yang Tumbuh di Muka ketika Berwudhu’
Rambut dan bulu yang tumbuh di muka adalah diwajibkan untuk dibasuh ketika membasuh muka dalam berwudhu’. Walau bagaimanapun, ketetapan ini tertakluk mengikut keadaan tertentu sebagaimana berikut:
1. Bulu selain janggut dan al-‘âridh (jambang):
(i) Bulu selain daripada janggut dan al-‘âridh (jambang), sama ada bagi lelaki, perempuan atau khuntsâ, sama ada tebal atau nipis, jika tidak terkeluar daripada had muka adalah wajib dibasuh bahagian zahirnya (luar) dan batinnya (dalam) ketika membasuh muka dalam berwudhu’.
(ii) Bulu selain daripada janggut dan al-‘âridh (jambang), sama ada bagi lelaki, perempuan atau khuntsâ, jika ia panjang sehingga terkeluar daripada had muka wajib dibasuh yang terkeluar itu bahagian zahirnya dan batinnya jika bulu itu nipis. Akan tetapi jika bulu itu tebal, maka wajib dibasuh bahagian zahirnya sahaja.
2. Janggut dan al-‘âridh (jambang):
(i) Janggut dan al-‘âridh (jambang) yang tumbuh di muka lelaki sama ada ia panjang sehingga terkeluar daripada had muka atau tidak terkeluar adalah diwajibkan untuk dibasuh bahagian zahir dan batinnya jika nipis dan dibasuh bahagian zahirnya sahaja jika tebal.
Memadai dibasuh bahagian zahir janggut dan al-‘âridh (jambang) yang tebal. Ini berdasarkan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang berwudhu’ dengan mengambil satu cedok air untuk membasuh muka Baginda termasuk janggut Baginda yang tebal. Tidak diwajibkan membasuh bahagian batin janggut yang tebal kerana meratakan air pada janggut yang tebal adalah rumit dan janggut yang tumbuh lebat dan tebal bukan suatu perkara yang jarang berlaku.
(ii) Janggut dan al-‘âridh (jambang) yang tumbuh di muka seorang perempuan atau khuntsâ, hukumnya adalah sebagaimana bulu yang tumbuh di muka selain janggut dan al-‘âridh (jambang). Jika tidak terkeluar daripada had muka, wajib dibasuh bahagian zahirnya dan batinnya sama ada tebal atau nipis. Diwajibkan membasuh bahagian zahir dan batin janggut yang tumbuh di muka perempuan sekalipun tebal adalah kerana ia merupakan suatu perkara yang jarang berlaku. Akan tetapi jika ia panjang sehingga terkeluar daripada had muka, maka wajib dibasuh yang terkeluar itu pada bahagian zahirnya dan batinnya jika nipis. Adapun jika tebal, maka diwajibkan membasuh zahirnya sahaja.
Bagaimana Mengetahui Bulu itu Tebal atau Nipis?
Menurut pendapat shahîh daripada ulama, bulu yang nipis itu ialah yang nampak atau kelihatan kulit di celah-celahnya ketika seseorang itu berhadapan dengan orang lain dari jarak dekat. Manakala rambut atau bulu yang tebal itu pula ialah yang menghalang kulit daripada kelihatan.
Kesimpulan
Demikian penjelasan berkenaan had muka dan hubungkaitnya dengan perkara fardhu dalam berwudhu’ iaitu membasuh muka. Apa yang dapat diambil kesimpulan ialah dengan mengetahui perihal had muka itu adalah bertujuan menjaga kesempurnaan wudhu’. Had muka dari segi ukuran panjang ialah di antara tempat tumbuh rambut dan penghujung dagu, manakala dari segi lebar pula ialah dari satu anak telinga ke satu anak telinga. Diwajibkan membasuh bulu yang tumbuh di permukaan yang termasuk dalam had muka. Demikian juga diwajibkan membasuh bulu yang terkeluar daripada had muka sama ada membasuh bahagian zahir dan batin bulu tersebut atau bahagian zahir sahaja sebagaimana yang telah dijelaskan
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10001
دليل الألوان
