Nazar Untuk Bernikah: Wajibkah Ditunaikan?
الجواب
Dalam syariat Islam, amalan bernazar merupakan salah satu cara untuk mendapatkan syafaat dan keredhaan serta mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dengan bernazar seseorang itu telah mewajibkan atas dirinya suatu amalan ketaatan yang pada asalnya tidak wajib, sama ada dikaitkan kerana memperolehi sesuatu niʻmat atau terhindar daripada apa jua bencana atau tidak dikaitkan dengan sesuatu perkara.
Bernazar untuk melakukan suatu ketaatan yang pada asalnya tidak wajib seperti bersedekah, sembahyang sunat, puasa sunat, berwaqaf dan sebagainya adalah wajib ditunaikan.
Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri (bertahallul) dan menyempurnakan nazar-nazar mereka. (Surah al-Hajj: 29)
Ini juga tsabit dalam hadits sepertimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu) dan barang siapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia menunaikan nazarnya itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum Bernazar untuk Bernikah
Salah satu perkara yang menjadi kemusykilan tentang nazar ini ialah mengenai hukum bernazar untuk bernikah atau mendirikan rumah tangga.
Sepertimana yang telah dijelaskan tadi bahawa nazar menurut syara‘ bererti mewajibkan satu amalan ketaatan yang pada asalnya tidak wajib dilakukan, sedangkan hukum bernikah itu pula berbeza mengikut keadaan individu. Ada golongan yang digalakkan untuk bernikah dan ada pula yang diwajibkan untuk melakukannya. Bahkan ada pula golongan yang dilarang sama sekali untuk bernikah atas sebab-sebab tertentu.
Antara isu yang timbul ialah adakah sah nazar seseorang untuk bernikah itu? Jika sah, adakah nikah itu menjadi wajib atas orang yang bernazar? Bagaimana pula hukum melaksanakan nazar berkenaan bagi mereka yang menurut hukum adalah ditegah untuk bernikah?
Sebelum membahaskan secara lebih terperinci mengenai hukum bernazar untuk bernikah ini, adalah perlu diketahui terlebih dahulu secara ringkas hukum bernikah menurut syara‘.
Hukum bernikah berbeza mengikut keadaan individu sepertimana berikut: 1. Sunat bernikah.
Orang yang dihukumkan sunat untuk bernikah menurut syara‘ adalah orang yang sihat tubuh badannya dan memiliki hajat untuk bernikah, mampu mengadakan mahar dan nafkah serta lain-lain keperluan dalam sebuah rumah tangga.
2. Wajib bernikah.
Orang yang sihat tubuh badannya dan memiliki hajat untuk bernikah dan mampu mengadakan mahar dan nafkah serta lain-lain keperluan dalam sebuah rumah tangga, lalu dia takut terjatuh ke dalam zina jika dia tidak bernikah, maka hukumnya bertukar daripada sunat kepada wajib.
3. Sunat tidak bernikah.
Orang yang sihat tubuh badannya, tetapi dia tidak mampu mengadakan mahar dan nafkah untuk bakal keluarganya adalah sunat baginya tidak bernikah. Orang dalam kategori ini disarankan supaya berusaha menahan dirinya dengan cara berpuasa kerana puasa dapat membendung syahwat dirinya.
4. Makruh bernikah.
Orang yang berkemampuan melakukan persetubuhan tetapi tidak memiliki hajat untuk bernikah kerana tidak mempunyai keinginan untuk bersetubuh, maka makruh atasnya bernikah jika dia tidak mampu mengadakan mahar dan nafkah. Ini kerana ketiadaan hajat serta ketidakmampuan untuk menjalankan tanggungjawab yang wajib dalam pernikahan.
Walau bagaimanapun, sekiranya dia mampu mengadakan mahar dan nafkah, maka tidak makruh dia bernikah kerana tujuan perkahwinan itu tidak hanya terbatas kepada melakukan persetubuhan semata-mata. Bahkan dengan bernikah dia boleh mendapat kasih sayang dan khidmat layanan seorang isteri. Berbeza pula halnya bagi orang yang tidak berkemampuan melakukan persetubuhan seperti orang yang mati pucuk dan seumpamanya, atau orang yang menghidap sakit yang berterusan atau sudah sangat tua. Orang seperti ini makruh bernikah secara muthlaq walaupun dia mampu mengadakan mahar dan nafkah.
5. Haram bernikah.
Jika lebih berat sangkaannya bahawa dengan bernikah itu dia akan berlaku zalim dan mengakibatkan mudharat kepada isterinya, maka haram ke atasnya bernikah kerana Islam melarang berbuat zalim dan mudharat kepada sesiapa pun.
Jelaslah bahawa hukum bernikah itu berbeza mengikut keadaan individu berdasarkan beberapa aspek tertentu seperti keperluan untuk bernikah, faktor kesihatan dan sebagainya. Jadi apakah kedudukan nazar untuk bernikah bagi setiap bahagian di atas?
Menurut pendapat Imam Ibnu ar-Rif‘ah Rahimahullâh dan lainnya, nazar untuk bernikah boleh menjadi wajib dalam satu keadaan, iaitu apabila ia dinazarkan oleh seseorang yang menurut hukum asalnya disunatkan untuk bernikah. Adapun orang yang dihukumkan sunat untuk bernikah menurut syara‘ adalah orang yang sihat tubuh badannya, memiliki hajat untuk bernikah, mampu mengadakan mahar dan nafkah serta lain-lain keperluan dalam sebuah rumah tangga.
Berdasarkan pendapat ini, dapat difahami bahawa nazar untuk bernikah hanya menjadi nazar yang sah dan wajib ditunaikan sekiranya orang yang bernazar itu dalam golongan orang yang disunatkan untuk bernikah, iaitu golongan pertama dalam pembahagian hukum bernikah yang dijelaskan di atas. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Imam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh dalam Asnâ al-Mathâlib dan Imam al-Malibari Rahimahullâh dalam Fath al-Mu‘în dan dinilai sebagai pendapat muʻtamad oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam Tuhfah al-Muhtâj.
Adapun selain orang yang disunatkan untuk bernikah, iaitu golongan kedua hingga kelima dalam pembahagian berkenaan, nazarnya adalah tidak sah dan tidak wajib ditunaikan.
Dari segi pelaksanaan nazar tersebut pula, ia tertakluk kepada jenis nazar. Adapun nazar itu terbahagi kepada tiga jenis:
(i) Nazar al-Lajaj.
Nazar al-Lajaj berlaku apabila seseorang itu bernazar untuk menegah dirinya atau orang lain daripada melakukan sesuatu, atau untuk menggesa dirinya atau orang lain supaya melakukan sesuatu, atau hendak membenarkan suatu perkhabaran dalam keadaan dia sedang marah atau tidak berpuas hati.
Contohnya: Seseorang menegah dirinya daripada memasuki suatu bangunan lalu bernazar: “Kalau aku masuk ke dalam bangunan ini, maka wajib atasku berpuasa satu bulan.”
Satu lagi contoh ialah: Seseorang hendak menyakinkan orang lain supaya mempercayai perkhabarannya dengan bernazar: “Kalau tidak benar perkhabaran yang aku bawakan ini, demi Allah aku akan bersedekah sebanyak seratus ringgit.”
Sekiranya dalam contoh pertama dia melanggar perkara yang ditegahkannya, yakni dia masuk juga ke dalam bangunan itu, atau ternyata dalam contoh kedua itu khabar yang dibawa olehnya tidak benar, maka dia diberi pilihan sama ada untuk melaksanakan nazarnya ataupun membayar kaffârah nazar.
Kaffârah nazar adalah sama dengan kaffârah sumpah iaitu pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya atau memberi makan sepuluh orang miskin atau fakir atau memberi pakaian kepada mereka dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffârahnya.
(ii) Nazar al-Mujâzah.
Nazar al-Mujâzah berlaku apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan suatu ketaatan jika berlaku suatu niʻmat atau terhindar suatu perkara yang buruk.
Contohnya: “Kalau aku lulus dalam temuduga ini, maka wajib atasku untuk berkahwin” atau, “Kalau aku sembuh daripada penyakit ini, demi Allah aku akan menunaikan haji ke Makkah.”
(iii) Nazar al-Muthlaq.
Nazar al-Muthlaq berlaku apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan suatu ketaatan tanpa mengaitkan dengan sesuatu.
Contohnya: “Demi Allah aku akan berkahwin.”
Adapun nazar al-Mujâzah dan nazar al-Muthlaq ini termasuk dalam kategori nazar at-Tabarrur, iaitu nazar yang diniatkan semata-mata untuk bertaqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Nazar dalam kategori at-Tabarrur ini wajib dilaksanakan sepertimana yang dinazarkan dan tidak boleh digantikan dengan kaffârah dan akan tetap tertanggung atas orang yang bernazar selagimana dia belum menunaikannya.
Demikian penjelasan mengenai hukum bernazar untuk bernikah. Adalah penting difahami betul-betul mengenai persoalan nazar ini serta permasalahan-permasalahan yang berkaitan dengannya supaya tidak timbul sebarang keraguan dan kekeliruan mengenainya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10005
دليل الألوان
