Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب٠ مشاهدة

Membaca Al-Qur’an: Pelihara Adab-Adabnya

الجواب

Membaca al-Qur’an merupakan salah satu ibadat yang sangat dituntut oleh syara‘, sama ada membacanya di luar ataupun dalam sembahyang. Ia merupakan seafdhal-afdhal zikir mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Ganjaran yang bakal diraih daripada membaca al-Qur’an amatlah besar dan telah disebutkan dalam banyak hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Umamah al- Bahiliy Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesungguhnya al-Qur’an akan mendatangimu pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada tuannya. (Hadits riwayat Muslim)

Perlu diingat, dalam mempergiat membaca al-Qur’an bagi mendapat ganjaran yang dijanjikan, adab-adab ketika membaca al-Qur’an adalah dituntut untuk dipelihara bagi mendapat pahala sunat di samping pahala ibadat kerana membaca al-Qur’an.

Adab-adab yang Dituntut Sebelum dan ketika Membaca Al-Qur’an

Beberapa kitab, antaranya kitab al-Adzkâr dan kitab at-Tibyân fî Adab Hamalah al-Qur’an ada menyebut mengenai adab-adab yang dituntut untuk dipelihara bagi orang-orang yang membaca al-Qur’an. Antaranya:

1. Hendaklah ikhlas dalam pembacaannya serta mengharap keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Inilah perkara yang mula-mula dituntut sebelum seseorang itu memulakan bacaan al-Qur’an.

Hendaklah menghadirkan dalam fikirannya bahawasanya dia bermunajat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dia sedang membaca kitabNya serta menjaga adab-adabnya terhadap al-Qur’an.

2. Dianjurkan membersihkan mulutnya dengan berus gigi atau yang selainnya.

Jika memilih berberus gigi, hendaklah dipilih daripada berus gigi yang diperbuat daripada siwâk dan boleh juga memakai kayu-kayu selainnya, atau dengan apa-apa yang digunakan untuk membersih seperti kain yang kasar, asynân (sejenis tumbuhan) atau yang selainnya.

3. Disunatkan membaca al-Qur’an dalam keadaan berwudhu’. Walau bagaimanapun sekiranya membaca tanpa memegang Mushhâf dalam keadaan berhadats kecil, maka adalah diharuskan menurut ijmâʻ.

Menurut Imam al-Haramain Rahimahullâh bahawa tidaklah dikatakan (perbuatan orang yang membaca tanpa memegang Mushhâf dalam keadaan berhadats kecil itu) dihukumkan makruh, akan tetapi dia dianggap meninggalkan perkara-perkara yang afdhal. Maka sekiranya tidak ada air untuk berwudhu’, hendaklah bertayammum. Bagi perempuan yang mengalami istihâdhah pula iaitu pada waktu kitaran darah yang keluar adalah dihukumkan waktu suci (bukan haidh), maka hukum dia membaca al-Qur’an sama seperti orang yang berhadats kecil iaitu diharuskan.

Adapun bagi orang yang dalam keadaan junub dan perempuan yang dalam haidh, maka haram ke atasnya membaca al-Qur’an, sama ada ayat yang dibacanya sedikit atau banyak. Walau bagaimanapun harus bagi keduanya melalukan bacaan al-Qur’an di dalam hati tanpa melafazkannya.

4. Disunatkan membaca al-Qur’an pada tempat yang bersih dan istimewa. Disebabkan itulah, sekelompok para ulama gemar membaca al-Qur’an dalam masjid kerana masjid merupakan tempat yang sentiasa terjaga kebersihannya, tempat paling mulia dan tempat memperoleh keistimewaan yang lain iaitu i‘tikâf.

Adapun membaca al-Qur’an di jalan atau laluan, maka menurut pendapat yang dipilih bahawa harus membaca al-Qur’an di jalan atau laluan jika (dengan berada di jalan atau laluan itu) tidak mengganggu bacaan orang yang membaca itu. Jika sekiranya (dengan berada di jalan atau laluan itu) mengganggunya, maka membaca al-Qur’an di tempat-tempat tersebut dihukumkan makruh. Perkara ini adalah sebagaimana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak menyukai orang yang mengantuk membaca al-Qur’an kerana khawatir timbul kesalahan dalam pembacaannya.

5. Disunatkan menghadap qiblat bagi orang yang membaca al-Qur’an di luar sembahyang.

Selain itu juga, hendaklah orang yang membaca al-Qur’an itu duduk khusyû‘ dengan tenteram dan tenang serta menundukkan kepalanya. Hendaklah duduknya ketika membaca al-Qur’an dalam keadaannya seorang diri dengan menjaga dan memperelok adab-adabnya seolah-olah seperti dia sedang duduk berhadapanan gurunya. Maka inilah (cara duduk yang) sesempurnanya. Jika seseorang membaca al-Qur’an secara berdiri, berbaring mengiring, berbaring di atas katilnya atau yang selainnya, maka yang demikian itu adalah diperbolehkan dan tetap mendapat pahala. Tetapi tidak seperti pahala cara yang sempurna di atas.

6. Membaca al-Qur’an dengan cara melihat Mushhâf lebih utama daripada membaca al-Qur’an dengan cara hafalan kerana melihat Mushhâf itu sendiri merupakan salah satu ibadat yang dituntut. Maka apabila seseorang membaca al-Qur’an dengan cara melihat, maka dia telah melakukan dua ibadat sekaligus iaitu ibadat membaca al-Qur’an dan ibadat melihat al-Qur’an. Inilah pandangan Imam al-Ghazali Rahimahullâh dan kumpulan golongan salaf.

Dalam kitab Ihyâ ‘Ulûm ad-Dîn, Imam al-Ghazali Rahimahullâh menyebut bahawa ramai di kalangan para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, membaca dengan melihat Mushhâf dan mereka tidak suka meninggalkan hari mereka tanpa melihat Mushhâf.

Walau bagaimanapun afdhal membaca dengan melihat Mushhâf bukanlah suatu yang muthlaq semata-mata. Ini kerana keadaan bacaan seorang adalah berbeza dengan seorang yang lain. Dibawakan penjelasannya sebagaimana berikut:

- Apabila seseorang membaca al-Qur’an dengan cara melihat Mushhâf akan menambah khusyû‘ dan tadabburnya, maka afdhal memilih untuk membaca dengan melihat Mushhâf.

- Apabila seseorang membaca al-Qur’an secara hafalan akan menambah khusyû‘ dan tadabburnya serta menggabung hati dan penglihatan lebih banyak dirasai berbanding dengan melihat Mushhâf, maka afdhal memilih untuk membaca dengan cara hafalan.

Akan tetapi sekiranya khusyû‘ dan tadabburnya adalah sama, sama ada ketika membaca dengan melihat Mushhâf atau membaca secara hafalan, maka membaca dengan melihat Mushhâf adalah afdhal sebagaimana maksud para ulama salaf.

7. Disunatkan membaca at-ta‘awwudz pada permulaan membaca al-Qur’an sama ada membaca al-Qur’an dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang bagi meminta perlindungan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Maka apabila engkau hendak membaca al-Qur’an maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada (gangguan) syaitan yang direjam. (Surah an-Nahl: 98)

Lafaz at-ta‘awwudz itu ialah:

Maksudnya: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

8. Dianjurkan membaca basmalah pada setiap awal surah kecuali pada  (ayat awal surah at-Taubah). Ini kerana sebahagian besar para ulama berpendapat basmalah itu merupakan salah satu ayat al-Qur’an kerana ia tertulis di dalam al-Qur’an.

9. Disunatkan khusyû‘ dan tadabbur serta khudhû‘ ketika membaca al-Qur’an. Khusyû’ di sini bermaksud merendah diri, menundukkan pandangan mata ke bumi dan merendahkan suara serta menenangkan anggota tubuh. Tadabbur pula bermaksud memahami dan merenung. Manakala khudhû‘ bermaksud tenang dan tetap hati serta merendah diri kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Khusyû‘, tadabbur dan khudhû‘ ketika membaca ayat-ayat al-Qur’an inilah antara adab-adab utama yang dituntut ketika membaca al-Qur’an. Dengannya dapat melapangkan jiwa serta menerangi hati orang yang membaca al-Qur’an.

Dalil mengenai tadabbur ketika membaca al-Qur’an sangat banyak. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: (Al-Qur’an ini ialah) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad), yang mengandungi berkat supaya mereka memikirkan dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mempunyai akal dapat mengambil pengajaran. (Surah Shâd: 29)

Selain itu disunatkan membaca ayat-ayat al-Qur’an di dalam sembahyang dengan tadabbur (memahami dan merenung) kerana ia merupakan antara cara atau jalan ke arah mencapai khusyû‘ dalam sembahyang. Anjuran tadabbur akan makna ayat al-Qur’an yang dibaca itu pula adalah bersesuaian menurut kemampuan seseorang dalam memahami dan merenungi ayat-ayat al-Qur’an.

10.Disunatkan menangis ketika membaca al-Qur’an ataupun jika tidak mampu menangis, maka buat-buatlah menangis. Orang-orang yang menangis ketika membaca al-Qur’an disifatkan sebagai ‘âriffin (orang-orang yang berpengetahuan) dan syi‘ar (tanda) hamba-hamba Allah yang salih.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan mereka tunduk sujud sambil menangis dan mereka bertambah khusyû‘ (kerana kuatnya pengaruh al-Qur’an). (Surah al-Isrâ’: 109)

Ini merupakan gambaran tentang kehebatan sifat orang-orang ʻârif dan salih serta ia merupakan pujian daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk mereka. Adalah pasti, sesiapa yang dikurniakan ilmu dan memperoleh sesuatu daripada ilmu akan sampai ke tahap khusyû’. Maka mereka ini akan khusyû‘ ketika mendengar bacaan al-Qur’an dan merendah diri.

Imam al-Ghazali Rahimahullâh menyebutkan bahawa untuk menghasilkan tangisan itu ialah menghadirkan dalam hati rasa sedih dan pilu, dengan meneliti dan menghayati ayat-ayat tentang peringatan-peringatan, ancaman-ancaman serta janji-janji di dalam al-Qur’an, lantas mengamati kelalaian dan kekurangan (diri) yang berkaitan dengan ayat-ayat tersebut. Sekiranya tidak dapat menghadirkan kesedihan dan tangisan (dengan cara tersebut), maka menangislah kerananya (tidak dapat menghadirkan kepiluan dan tangisan) kerana yang sedemikian itu merupakan sebesar-besar musibah.

11.Hendaklah membaca al-Qur’an secara tartîl iaitu membaca secara perlahan, tersusun dan cantik aturan bacaan.

Para ulama sepakat bahawa membaca al-Qur’an secara tartîl adalah sunat. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan bacalah al-Qur’an secara tartîl (teratur dan jelas). (Surah al-Muzzammil: 4) Membaca al-Qur’an hendaklah secara perlahan dan jelas bacaannya iaitu dengan menyebut semua huruf-hurufnya dengan jelas. Bacaan yang jelas ini tidak akan berlaku sekiranya terburu-buru dalam pembacaan. Membaca al- Qur’an dengan menyempurnakan sebutan setiap huruf-hurufnya dinamakan oleh ahli qurrâ’ sebagai bertajwîd dalam bacaan al-Qur’an.

Beginilah juga cara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri ketika membaca al-Qur’an. Telah tsabit daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, ketika beliau ditanyakan mengenai cara bacaan al-Qur’an Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Beliau lalu menyifatkan bahawa bacaan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah bacaan yang jelas pada satu persatu hurufnya.

Menurut Imam ar-Razi Rahimahullâh, penggunaan perkataan tartîl dan pengulangannya dalam surah al-Muzzammil ayat 4, menguatkan lagi suruhan untuk membaca al-Qur’an secara tartîl. Oleh itu, membaca secara tartîl hendaklah dilaksanakan oleh para qâri‘ (pembaca) al-Qur’an.

Membaca al-Qur’an dengan tartîl dapat membantu dalam memahamkan ayat-ayat al-Qur’an dan tadabbur (merenung) akan isi kandungan serta makna ayat-ayat al-Qur’an tersebut. Begitu juga menurut ulama, bacaan secara tartîl juga disunatkan bagi orang ‘ajamiy (selain daripada orang Arab) yang tidak faham akan makna ayat-ayat yang dibacanya kerana dengan cara ini akan lebih dekat membawanya kepada berlaku sopan dan menghormati al-Qur’an serta mampu memberi kesan yang mendalam kepada hati dengan bacaannya secara tartîl itu. Maka inilah antara maksud atau tujuan daripada bacaan secara tartîl iaitu menghadirkan hati dan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

12.Disunatkan bagi orang yang membaca al-Qur’an apabila membaca ayat-ayat yang berkaitan dengan rahmat agar berdoʻa untuk memohon rahmat dan belas kasihNya. Manakala apabila membaca ayat-ayat yang berkaitan azab, maka sunat berdoʻa untuk memohon perlindungan Allah Subhânahu Ta‘âlâ daripada segala keburukan dan azab, ataupun membaca doʻa sebagaimana berikut:

Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon kepadaMu keselamatan daripada segala perkara-perkara yang tidak diingini.

Begitu juga jika membaca ayat-ayat yang berkaitan dengan menyucikan dan mengagungkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka hendaklah menyucikanNya dan mengagungkannya, antaranya dengan menyebut atau yang bermaksud Maha Suci Allah Yang Maha Agung.

Diriwayatkan daripada Hudzaifah bin al-Yaman Radhiallâhu ‘anhu, beliau menceritakan bahawa pada suatu malam, beliau mendirikan sembahyang bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Beliau menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca bacaan surah-surah dalam sembahyang secara perlahan-lahan. Katanya:

Maksudnya: Baginda membaca (ayat) al-Qur’an secara perlahan-lahan. Apabila Baginda membaca ayat-ayat tasbîh, maka Baginda bertasbîh. Apabila Baginda membaca ayat-ayat memohon sesuatu permintaan (doʻa), maka Baginda berdoʻa. Apabila Baginda membaca ayat-ayat perlindungan, maka Baginda meminta perlindungan Allah. (Hadits riwayat Muslim)

13.Disunatkan membaca surah-surah al-Qur’an secara tartîb. Menurut ulama adalah lebih utama membaca al-Qur’an secara tartîb iaitu dengan mengikut urutan (surah-surah) dalam Mushhâf. Maka hendaklah seseorang itu membaca surah al-Fâtihah kemudian surah al-Baqarah kemudian surah Âli ‘Imran kemudian surah selepasnya secara tartîb.

Disunatkan membaca secara tartîb ini sama ada dilakukan di dalam sembahyang atau luar sembahyang. Sebahagian ulama Syafi‘i berpendapat bahawa jika pada rakaat pertama yang dibaca adalah surah an-Nâs (selepas membaca surah al-Fâtihah), maka pada rakaat kedua dibaca ayat-ayat daripada surah al-Baqarah selepas surah al-Fâtihah.

Walau bagaimanapun apabila surah yang dibaca tidak secara tartîb, sebagai contoh membaca satu surah dan kemudiannya membaca surah sebelumnya, maka perkara ini diperbolehkan. Namun terdapat juga para ulama yang tidak menyukai pembacaan secara demikian.

Manakala pembacaan al-Qur’an dengan membaca satu surah bermula dari akhir ayat sehingga awal ayat surah tersebut, maka yang sedemikian amatlah dilarang. Ini kerana dengan pembacaan sedemikian menghilangkan sebahagian unsur kemuʻjizatan al-Qur’an serta menghilangkan hikmah tartîb ayat-ayat al- Qur’an sebagaimana disebut dalam kitab at-Tibyân fî Adab Hamalah al-Qur’an karangan Imam an-Nawawi Rahimahullâh.

Adapun berkaitan dengan pendidikan kanak-kanak iaitu membaca al-Qur’an yang bermula dari surah akhir kemudian ke awal surah dalam Mushhâf, maka pembacaan yang demikian adalah baik dan tidaklah termasuk dalam perkara larangan sebagaimana di atas. Ini kerana surah-surah pada akhir Mushhâf adalah bacaan yang berpisah-pisah dan mudah bagi kanak-kanak untuk menghafalnya.

14.Pada beberapa keadaan, afdhal meninggikan suara ketika membaca al-Qur’an. Dalam beberapa keadaan pula, afdhal membaca al-Qur’an dengan suara yang rendah.

Banyak hadits-hadits yang menunjukkan tentang hukum sunat meninggikan suara ketika membaca al-Qur’an. Begitu juga terdapat atsar yang menunjukkan tentang hukum sunat merendahkan suara ketika membaca al-Qur’an.

Semua ini bergantung kepada individu dan keadaan pada ketika itu. Jika seseorang itu takut menimbulkan riya’ di dalam hatinya, maka afdhal baginya membaca al-Qur’an dengan suara yang rendah.

Jika sekiranya tidak timbul riya’, maka afdhal membaca al-Qur’an dengan suara nyaring dan tinggi dengan syarat tidak mengganggu orang lain yang sedang bersembahyang, tidur atau yang selainnya. Ini kerana membaca dengan nyaring atau meninggikan suara lebih banyak usaha, melangkaui faedahnya kepada para pendengar. Antaranya membangunkan hati orang yang mengingati (Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) berkumpul kesungguhannya untuk memikirkan apa yang ada di dalam al-Qur’an, membawa orang lain untuk mendengar bacaannya, menghilangkan mengantuk, meningkatkan kecergasan dan membangunkan orang yang mengantuk atau orang yang lalai lantas mencergaskannya.

15.Disunatkan mencantikkan dan mengelokkan suara ketika membaca al-Qur’an. Yang sedemikian ini disepakati para ulama salaf dan selepas mereka daripada kalangan sahabat, tâbi‘în dan ulama-ulama selepas mereka.

Diriwayatkan daripada al-Barra’ Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca di dalam sembahyang ʻIsya’, dan aku tidak pernah mendengar suara atau bacaan seseorang yang lebih indah (baik) daripada (suara dan bacaan) Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Para ulama Rahimahullâh berkata bahawa disunatkan mencantikkan atau memperelokkan suara ketika membaca al-Qur’an selama tidak melampaui batas. Maka apabila cuai sehingga menambah huruf atau menghilangkan huruf, maka yang demikian itu adalah haram.

16.Sunat hukumnya membaca al-Qur’an secara berkumpulan berdasarkan dalil-dalil yang jelas serta perbuatan para ulama salaf dan khalaf.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak berkumpul suatu kaum dalam satu rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid-masjid), mereka itu membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan saling bertadârus (membaca dan memperdengarkan bacaan) di antara mereka, kecuali akan turun ke atas mereka ketenangan dan diliputi dengan rahmat dan dikelilingi para malaikat dan Allah Ta‘ala akan menyebut-nyebut mereka kepada siapa yang dekat di sisiNya (malaikat). (Hadits riwayat Muslim)

Membaca cara berkumpulan yang dimaksudkan adalah sekelompok orang yang berkumpul, contohnya sebahagian daripada mereka membaca sepersepuluh muka surat atau membaca satu juz kemudian diam, lalu sebahagian yang lain lagi (yang sebelumnya mendengar bacaan) menyambung bacaan tersebut bermula dari berhentinya bacaan orang yang sebelumnya. Cara bacaan sedemikian adalah dibolehkan dan elok. Imam Malik Rahimahullâh ditanyakan mengenai cara pembacaan sedemikian, maka beliau menjawab: “Yang demikian tidak mengapa.”

17.Dituntut kepada pembaca-pembaca al-Qur’an untuk memuliakan al-Qur’an dan ini merupakan adab utama yang perlu dijaga. Iaitu memuliakannya daripada berlakunya perkara-perkara bermudah-mudah ketika membaca al-Qur’an oleh sebahagian pembaca-pembaca al-Qur’an yang lalai membaca secara berkumpulan. Antaranya menjauhi ketawa terbahak-bahak, bermain-main, bercakap-cakap di tengah-tengah pembacaan al-Qur’an kecuali jika dia terpaksa bercakap atas perkara-perkara yang tidak dapat dielak.

Selain itu, termasuk perbuatan yang dihindari ketika membaca al-Qur’an adalah bermain-main dengan tangan atau bermain-main dengan selainnya. Ini kerana sesungguhnya orang yang membaca al-Qur’an adalah sedang bermunâjât kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka dia tidak bermain-main ketika di hadapanNya.

Begitu juga termasuk perbuatan yang dihindari adalah melihat apa-apa yang melalaikan dan menganggu fikiran (konsentrasi). Perbuatan paling buruk adalah memandang kepada sesuatu yang tidak boleh dipandang atau yang dilarang oleh syara‘ untuk dipandang.

Penutup

Begitulah antara beberapa adab sebelum dan ketika membaca al-Qur’an serta sedikit penjelasan berkaitan dengan pembacaan al-Qur’an. Maka sayugialah adab-adab ini diberi perhatian dan tidak diabaikan ketika hendak membaca al- Qur’an bagi mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Paling utama, bacalah al-Qur’an dengan niat yang bersih, keadaan diri yang bersih, di tempat yang bersih serta tenang dengan pembacaan secara tartîl dan tidak mempercepat atau bergegas-gegas membaca al-Qur’an sehingga menyebabkan bacaan tidak jelas atau merubah makna. Jika perkara ini berlaku pasti pahala tidak akan diperolehi.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10022

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص