Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Memanjangkan Bacaan Doʻa Dan Zikir Dalam Sembahyang

الجواب

Sembahyang mengandungi bacaan-bacaan wajib (rukun qauli) dan bacaan-bacaan sunat iaitu sunat ab‘adh dan sunat hai’ah. Selain bacaan-bacaan sembahyang yang biasa dibaca itu terdapat banyak lagi bacaan-bacaan yang disunatkan membacanya dalam sembahyang sebagai tambahan. Bahkan ada antara bacaan tambahan itu jika dipanjangkan membacanya melebihi dari bacaan yang biasa akan menjadikan bacaan tersebut lebih sempurna.

Ini bermakna memanjangkan bacaan-bacaan dalam sembahyang itu juga adalah dituntut. Namun walaupun ada anjuran melakukannya, tetapi tidak semua orang yang melakukan sembahyang disunatkan memanjangkan bacaan-bacaan dalam sembahyangnya kerana ada antara orang yang melakukan sembahyang itu makruh memanjangkan bacaan-bacaan sembahyangnya.

Maka untuk lebih jelas, dihuraikan hukum mengenai memanjangkan bacaan-bacaan khususnya doʻa dan zikir dalam sembahyang dan beberapa bacaan-bacaan tambahan yang dianjurkan mengenainya.

Hukum Memanjangkan Bacaan Doʻa dan Zikir dalam Sembahyang

Imam disunatkan untuk meringankan bacaan dalam sembahyang jemaahnya. Apa yang dimaksudkan dengan meringankan itu ialah tidak membatasi bacaan kepada yang paling kurang ( ) dan tidak juga melebihi bacaan kepada yang lebih sempurna ( ). Akan tetapi, membacanya dengan sekurang-kurang sempurna

Ini tidak bermaksud, imam tersebut meninggalkan segala bacaan sunat ab‘adh dan sunat hai’ah. Namun imam dituntut juga membacanya akan tetapi dengan bacaan sekurang-kurang sempurna.

Sebagai contoh dalam perkara meringankan bacaan zikir rukuʻ dan sujud, sekurang-kurang ( ) bacaan zikir rukuʻ dan sujud adalah sekali. Bacaan sekurang-kurang sempurna ( ) zikir rukuʻ dan sujud pula adalah sebanyak tiga kali dan bacaan paling sempurna ( ) zikir rukuʻ dan sujud adalah sebanyak 11 kali.

Dalam hal ini, imam yang meringankan bacaan zikir rukuʻ dan sujudnya adalah disunatkan pada kadar bilangan sekurang-kurang sempurna ( ) iaitu sebanyak 3 kali tanpa mengurangkan bacaan zikir rukuʻ dan sujud tersebut kurang dari 3 kali dan tanpa memanjangkan zikir rukuʻ dan sujud tersebut melebihi 3 kali.

Demikian juga maksud imam meringankan bacaan itu ialah imam tidak disunatkan memanjangkan bacaan dengan membaca zikir tambahan yang lain selepas membaca zikir rukuʻ dan sujud seperti membaca selepas zikir ( ) dengan tambahan zikir

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang di antara kamu mengimamkan sembahyang bersama orang ramai, maka ringankanlah (bacaan) kerana dalam jemaah itu terdapat kanak-kanak, orang tua, orang lemah dan orang sakit. Sementara jika seseorang sembahyang seorang dirinya maka (panjangkanlah bacaan) sembahyang mengikut keinginan. (Hadits riwayat Muslim)

Hukum memanjangkan bacaan bagi imam adalah makruh melainkan imam yang mendapat redha daripada ma’mum untuk menambah bacaan. Maka sunat baginya memanjangkan bacaan dengan membaca zikir tambahan tersebut di atas atau menambah zikir rukuʻ dan sujud tersebut walaupun sebanyak 11 kali.

Begitu juga bagi orang yang sembahyang secara bersendirian disunatkan untuk memanjangkan bacaan dalam sembahyangnya. Manakala bagi ma’mum yang ingin menambah bacaan dalam sembahyangnya, dia boleh memanjangkan dan menambah bacaannya selama mana tidak tertinggal oleh imamnya.

Bacaan Doʻa dan Zikir Tambahan dalam Sembahyang

Terdapat banyak bacaan doʻa dan zikir tambahan dalam sembahyang sebagaimana disebutkan oleh para ulama. Antaranya ialah kitab al-Adzkâr karangan an-Nawawi, kitab Asnâ al-Mathâlib karangan Zakaria al-Anshari, kitab Tuhfah al-Muhtâj karangan Ibnu Hajar al-Haitami, kitab Nihâyah al-Muhtâj karangan Syamsuddin ar-Ramli kitab Mughnî al-Muhtâj karangan al-Khathib asy-Syarbini Rahimahumullâhu Ta‘âlâ.

Untuk lebih jelas disebutkan antara beberapa bacaan-bacaan doʻa dan zikir tambahan yang disunatkan dalam sembahyang:

1. Doʻa iftitâh.

Doʻa iftitâh adalah salah satu daripada sunat hai’ah dan ia sunat dibaca selepas takbîratul-ihrâm dan sebelum membaca surah al-Fâtihah. Doʻa iftitâh itu ialah:

Ertinya: Allah Maha Besar dengan segala kebesaranNya, Segala puji bagi Allah dengan sebanyak-banyaknya, Maha Suci Allah (pada waktu) pagi dan petang, Aku hadapkan wajahku pada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan mengakui kebenaran dan menyerahkan diri kepadaNya, dan aku tidaklah tergolong daripada kalangan orang-orang yang musyrik, sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah, Tuhan semesta alam, Tiada sekutu bagiNya, dengan demikianlah, aku diperintah dan aku tergolong dari orang-orang Islam.

Kemudian sunat bagi mereka yang diharuskan memanjangkan bacaan untuk menambah dengan doʻa berikut:

Ertinya: Ya Allah, Engkaulah Penguasa, tiada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau dan segala Puji bagiMu, Engkau Tuhanku dan aku hambaMu. Aku telah menganiaya diriku dan aku akui dosaku, maka ampunilah semua dosa-dosaku itu, kerana tidak ada yang mengampuni dosa-dosa itu kecuali Engkau. Berilah hidayah kepadaku untuk memiliki akhlak yang mulia, kerana tidak ada yang dapat menuntunku kepadanya (kepada akhlak yang mulia) kecuali Engkau. Hindarkan daripadaku akhlak yang buruk, kerana tidak ada yang dapat menghindarkannya daripadaku kecuali Engkau. Aku menyahut panggilanMu dan aku terima perintahMu. Semua kebaikan berada di tanganMu dan kejahatan tidak (kembali) kepadaMu, aku bersamaMu dan (kembali) kepadaMu. Engkau Maha Suci dan Engkau Maha Tinggi. Aku memohon keampunanMu dan kembali bertaubat kepadaMu.

Begitu juga dianjurkan untuk menambah lagi doʻa berikut:

Ertinya: Ya Allah, jauhkanlah aku dengan kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau jauhkan di antara Timur dengan Barat. Ya Allah, sucikanlah aku daripada kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau sucikan pakaian putih daripada kotoran. Ya Allah, bersihkanlah diriku daripada kesalahan-kesalahanku dengan air, salju dan hujan batu.

2. Zikir ketika rukuʻ.

Bacaan zikir ketika rukuʻ hukumnya adalah sunat hai’ah. Zikir rukuʻ yang sunat dibaca itu ialah:

Ertinya: Maha suci Tuhanku yang Maha Agung KebesaranNya dengan segala puji-pujian bagiNya. Selain zikir rukuʻ di atas, sunat juga bagi mereka yang diharuskan memanjangkan bacaan menambah dengan membaca zikir berikut:

Ertinya: Ya Allah, (hanya) kepadaMu aku rukuʻ, dan (hanya) kepadaMu aku beriman, dan (hanya) kepadaMu aku berserah diri. Aku menundukkan kepadaMu (segala) pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulang-belulangku, urat sarafku, rambut-rambutku, kulitku dan apapun yang dilakukan oleh kakiku (seluruh jasadku), semuanya (hanya) kerana Allah Tuhan semesta alam.

3. Zikir ketika i‘tidâl.

Zikir ketika i‘tidâl juga termasuk dalam sunat-sunat hai’ah. Zikir yang sunat dibaca ketika i‘tidâl itu ialah:

Ertinya: Allah Maha Mendengar sesiapa yang memujiNya, wahai Tuhan kami bagiMu segala pujian.

Sunat bagi mereka yang diharuskan memanjangkan bacaan menambah zikir di atas dengan membaca zikir berikut:

Ertinya: Tuhan kami, bagiMu segala puji, puji-pujian yang banyak lagi baik, mengandungi keberkatan padanya sepenuh langit dan sepenuh bumi, sepenuh apa yang ada di antara kedua-duanya dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki daripada sesuatu selepas itu.

Seterusnya disambung lagi dengan membaca zikir di bawah ini:

Ertinya: (Wahai) Pemilik Pujian dan Keagungan yang paling berhak diucapkan oleh seorang hamba, dan kami semua adalah hambaMu, tidak ada penghalang yang dapat menghalangi apa yang Engkau beri, dan tidak ada pemberi yang dapat memberikan apa yang Engkau halangi, dan tidak bermanfaat orang yang memiliki kekayaan melainkan kekayaan itu dariMu.

4. Zikir ketika sujud.

Bacaan zikir ketika sujud hukumnya adalah sunat hai’ah. Zikir sujud yang disunatkan itu ialah:

Ertinya: Maha suci Tuhanku yang Maha Tinggi KebesaranNya dengan segala puji-pujian bagiNya.

Sunat bagi mereka yang diharuskan memanjangkan bacaan menambah selepas zikir sujud di atas dengan membaca zikir berikut:

Ertinya: Ya Allah ya Tuhanku! (Hanya) kepadaMu aku sujud dan (hanya) kepadaMu aku beriman dan (hanya) kepadaMu aku berserah diri. Sujud wajahku (seluruh anggota tubuhku) kepada Dzat yang telah menciptakannya (daripada asalnya tiada), yang membentukkannya (dalam bentuk yang indah dan sebaik-baik kejadian), yang membukakan (sebaik-baik) pendengarannya dan (membukakan sebaik-baik) penglihatannya, dengan kuasaNya dan kekuatanNya Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta (Khâliq) sekalian makhluk.

Kemudian sunat juga ditambah selepas itu dengan membaca zikir di bawah:

Ertinya: Tuhan Yang Maha Suci dari segala cacat dan kekurangan, Tuhan Yang Maha Suci daripada segala kekurangan yang tiada layak bagi Tuhan (Quddus), Tuhan bagi para malaikat-malaikat dan Tuhan bagi ar-Ruh (Malaikat Jibril ‘Alaihissalâm).

Begitu juga bagi mereka yang diharuskan memanjangkan bacaan adalah sunat memperbanyakkan membaca doʻa ketika sujud, antara doʻa sebagaimana yang dibaca oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah:

Ertinya: Ya Allah, ampunilah seluruh dosaku, yang sekecil-kecilnya dan yang sebesar-besarnya, yang terawal dan yang terakhir, yang (dilakukan secara) terang-terangan dan yang tersembunyi. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan redhaMu daripada kemurkaanMu, dan (aku berlindung) dengan kemaafanMu daripada (mendapat) hukumanMu (seksaMu), dan aku berlindung denganMu daripadaMu (aku memohon pertolonganMu untuk menolak kemurkaanMu). Tidaklah aku mampu menghitung pujian ke atasMu sebagaimana Engkau (sendiri) memuji ke atas diriMu.

Perkara sunat memperbanyakkan membaca doʻa ketika sujud di dalam sembahyang itu adalah berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Saat (ketika) yang paling dekat seorang hamba kepada Tuhannya adalah (ketika) dia (dalam keadaan) sujud. Maka kamu perbanyakkanlah berdoʻa (pada ketika itu). Menurut lafaz lain: “Maka bersungguh-sungguhlah kamu pada (membaca) doʻa.” (Hadits riwayat Muslim)

Maka jelaslah bahawa memanjangkan bacaan doʻa dan zikir ketika sembahyang itu adalah sunat. Oleh itu, bagi orang yang mendirikan sembahyang secara bersendirian, dia sunat memanjangkan bacaan sembahyangnya bagi meraih pahala sunat itu selain sebagai ittibâ‘, iaitu mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Namun anjuran memanjangkan bacaan doʻa dan zikir dalam sembahyang ini tidaklah terhad kepada orang yang sembahyang secara bersendirian sahaja, bahkan juga disunatkan kepada imam yang mempunyai kelompok jemaah yang redha dengan bacaan-bacaan yang panjang. Sementara imam yang tidak mendapat keredhaan ma’mumnya adalah disunatkan untuk meringankan bacaan sembahyang jemaahnya dan makruh baginya memanjangkan bacaan kecuali dia mendapat keredhaan daripada ma’mumnya. Sementara bagi ma’mum pula, dia juga boleh memanjangkan bacaan-bacaan doʻa dan zikir dalam sembahyangnya selama mana dia tidak tertinggal oleh imamnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10025

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص