Hukum Membaca Terjemahan Ayat, Zikir Dan Do‘a Dalam Sembahyang
الجواب
Bacaan-bacaan dalam sembahyang menurut hukum asal, hendaklah dibaca dalam bahasa Arab tidak kira dalam bacaan-bacaan yang wajib atau sunat. Atas sebab itulah orang Islam yang mukallaf wajib mempelajari bacaan-bacaan wajib seperti takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah dan sebagainya dalam bahasa Arab kerana bacaan-bacaan tersebut merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun dalam sembahyang. Tanpa bacaan-bacaan wajib tersebut, sembahyang yang dikerjakan adalah tidak sah.
Walau bagaimanapun, timbul persoalan bagi mereka yang belum mampu berbuat demikian atas suatu sebab, seperti baru masuk Islam, lemah hafalan atau atas sebab lainnya. Bolehkah mereka ini membaca terjemahannya sahaja?
Hukum Membaca Terjemahan Bacaan-bacaan Dalam Sembahyang
Perbincangan mengenai bacaan-bacaan sembahyang yang boleh dan tidak boleh dibaca dalam bentuk terjemahan ada disebutkan oleh para ulama. Untuk lebih jelas lagi, perbincangan hukum mengenainya terbahagi kepada empat bahagian, iaitu:
1. Hukum membaca terjemahan surah al-Fâtihah dan ayat-ayat al-Qur’an dalam sembahyang.
Membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang merupakan salah satu daripada rukun sembahyang. Oleh kerana itu, membaca surah al-Fâtihah dalam semua sembahyang adalah wajib, sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat dan ia boleh dibaca secara hafalan, melihat Mushhâf atau dengan mengikut bacaan imam ketika sembahyang.
Orang yang melakukan sembahyang hendaklah membaca surah al-Fâtihah dalam bahasa Arab. Maka adalah tidak harus malah batal sembahyang bagi orang yang tahu membaca surah al-Fâtihah dan dia membacanya dalam bentuk terjemahan. Begitulah juga bagi orang yang tidak tahu membacanya tidak harus membacanya dalam bentuk terjemahan. Ini kerana surah al-Fâtihah merupakan ayat-ayat daripada al-Qur’an dan membaca al-Qur’an dalam bentuk terjemahan akan menghilangkan mu‘jizat al-Qur’an tersebut.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah Yusuf:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Qur’an) sebagai kitab bacaan dalam bahasa Arab. (Surah Yusuf: 2)
Larangan membaca surah al-Fâtihah dalam bentuk terjemahan walaupun bagi orang yang tidak tahu membacanya dalam bahasa Arab telahpun disepakati oleh para ulama tanpa ada sebarang percanggahan di antara mereka.
Oleh itu, seseorang yang tidak tahu membaca surah al-Fâtihah, wajib ke atasnya mempelajarinya. Jika waktu sembahyang telah sempit dan dia belum tahu membaca keseluruhan surah al-Fâtihah maka dia wajib membaca tujuh ayat al- Qur’an yang lain sebagai ganti tujuh ayat surah al-Fâtihah dan basmalah.
Sementara itu, jika seseorang itu langsung tidak tahu membaca mana-mana ayat daripada al-Qur’an, maka dia hendaklah menggantikannya dengan tujuh jenis zikir dan do‘a. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad:
Maksudnya: Telah datang seseorang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, lalu beliau berkata kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Sesungguhnya aku tidak mampu mempelajari sesuatupun daripada al- Qur’an, maka ajarkanlah aku (bacaan) apa yang memadai bagiku (selain) daripadanya (al-Qur’an).” Lalu Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun menjawab: “Bacalah: (Maha suci Allah, dan segala puji hanya bagi Allah, dan tiada tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada daya serta tiada kekuatan kecuali dengan (keupayaan dan kekuatan) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar). (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Dalam hadits di atas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada orang tersebut lima jenis zikir dan ditambah lagi oleh ulama sebagai mencukupi syarat tujuh jenis zikir itu dengan dua jenis zikir yang lain, seperti:
a. () Ertinya: Segala apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku.
b. () Ertinya: Dan segala apa yang tidak dikehendakiNya, tidak akan berlaku. Walau bagaimanapun, menurut pendapat yang ashah (paling shahîh), tidaklah ditentukan mana-mana zikir untuk dibaca sebagai badal (ganti) surah al-Fâtihah itu. Ia memadai diganti dengan memilih mana-mana tujuh macam zikir. Huruf-huruf ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a gantian surah al-Fâtihah itu hendaklah tidak kurang daripada huruf-huruf surah al-Fâtihah dan basmalah iaitu sebanyak 156 huruf. Sebagaimana juga tidak boleh kurang dari bilangan ayatnya.
Sementara itu, jika seseorang itu langsung tidak tahu membaca mana-mana jenis zikir dan do‘a dengan menggunakan bahasa Arab maka dia harus membaca zikir dan do‘a itu dalam bentuk terjemahan.
Jika sekiranya langsung tidak tahu membaca surah al-Fâtihah, tidak tahu pula membaca mana-mana ayat gantian daripada al-Qur’an, zikir mahupun do‘a dan tidak juga tahu membaca terjemahan zikir dan do‘a, maka wajib atasnya qiyâm (berdiri) sahaja dalam kadar bacaan surah al-Fâtihah, iaitu kira-kira kadar bacaan yang sederhana. Perkara ini disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: Jika tidak tahu sesuatu (daripada surah al-Fâtihah, ayat-ayat gantian daripada al-Qur’an, ayat gantian daripada zikir atau do‘a, dan tidak juga tahu membaca terjemahan zikir dan do‘a maka wajib baginya berdiri) dan berhenti dalam kadar bacaan surah al-Fâtihah.
Begitu juga ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca selepas surah al-Fâtihah, tidak harus dibaca dalam bentuk terjemahan ketika sembahyang.
2. Hukum membaca terjemahan bacaan-bacaan wajib (rukun qauli) dalam sembahyang selain surah al-Fâtihah.
Rukun qauli wajib dibaca dalam sembahyang malah sembahyang seseorang tanpa membaca salah satu daripada rukun qauli adalah tidak sah. Bagi orang mukallaf wajib mempelajari kesemua bacaan rukun qauli dengan menggunakan bahasa Arab. Rukun qauli itu ialah takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah, tasyahhud âkhir, selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pada tasyahhud âkhir dan salam yang pertama. Hukum membaca terjemahan bacaan surah al-Fâtihah dan ayat-ayat al-Qur’an yang lain dalam sembahyang telahpun dihuraikan sebelum ini.
Adapun bacaan-bacaan rukun qauli selain surah al-Fâtihah itu juga tidak harus malah batal sembahyang jika orang yang tahu membaca (rukun qauli) itu, membacanya dalam bentuk terjemahan. Berlainan halnya, jika orang itu tidak tahu membacanya dengan bahasa Arab dan tidak sempat belajar kerana sudah sempit waktu sembahyang maka wajib baginya membaca dalam bentuk terjemahan.
3. Hukum membaca terjemahan bacaan-bacaan sunat dan yang ma’tsûr dalam sembahyang.
Bacaan-bacaan sunat dan yang ma’tsûr dalam sembahyang itu adalah seperti tasyahhud awwal dan selawat dalam tasyahhud awwal, do‘a qunut, takbîr intiqâlât, tasbîh ruku‘, tasbîh sujud, do‘a selepas bacaan tasyahhud âkhir dan selainnya.
Jika seseorang itu tahu membaca bacaan-bacaan tersebut dengan bahasa Arab maka dia tidak harus membacanya dalam bentuk terjemahan. Malah batal sembahyangnya jika dibacanya dalam bentuk terjemahan sedangkan dia tahu membacanya dalam bahasa Arab.
Namun jika seseorang itu tidak tahu membaca bacaan-bacaan tersebut dalam sembahyang dengan bahasa Arab, maka sunat baginya membaca dalam bentuk terjemahan.
4. Hukum membaca terjemahan zikir dan do‘a yang bukan ma’tsûr dalam sembahyang.
Membaca zikir dan do‘a dalam sembahyang adalah diharuskan walaupun zikir dan do‘a itu bukan ma’tsûr. Zikir dan do‘a yang bukan ma’tsûr adalah yang bukan berasal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seperti zikir dan do‘a yang dikarang atau dicipta sendiri atau orang lain. Zikir dan do‘a yang bukan ma’tsûr ini boleh sahaja didapati dalam bahasa Arab atau selainnya. Namun perlu diambil perhatian bahawa zikir dan do‘a yang bukan ma’tsûr ini hanya boleh dibaca dengan bahasa Arab sahaja ketika sembahyang.
Dalam perkara membaca terjemahan zikir dan do‘a yang bukan ma’tsûr ketika sembahyang, walaupun seseorang itu tidak tahu membaca zikir dan do‘a tersebut dengan bahasa Arab, namun dia tetap tidak harus membacanya dalam bentuk terjemahan. Jika dibacanya juga dalam bentuk terjemahan maka hukumnya adalah haram dan membatalkan sembahyangnya. Perkara ini disebutkan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Nihâyah al- Muhtâj:
Ertinya: Adapun (do‘a atau zikir) yang tidak ma’tsûr, iaitu seseorang mengarang suatu do‘a atau zikir kemudian diterjemah keduanya dalam bahasa ‘Ajamiyyah (bahasa asing bukan Arab) ketika sembahyang, maka sesungguhnya (perbuatan tersebut) adalah haram dan batal sembahyangnya.
Maka perlu diambil perhatian, zikir-zikir dan do‘a-do‘a yang bukan ma’tsûr iaitu zikir-zikir dan do‘a-do‘a yang dikarang atau dicipta sendiri atau orang lain adalah harus dibaca ketika melakukan sembahyang tetapi hendaklah zikir dan do‘a yang bukan ma’tsûr itu dibaca dalam bahasa Arab dan haram membacanya dalam bentuk terjemahan walaupun orang tersebut tidak tahu membacanya dalam bahasa Arab.
Begitulah huraian mengenai hukum membaca terjemahan bacaan-bacaan ketika sembahyang. Orang yang tahu membaca bacaan-bacaan sembahyang, wajib dia membacanya dalam bahasa Arab dan tidak sah apabila ia dibaca dalam bahasa lain. Adapun jika orang yang tidak tahu membacanya dalam bahasa Arab disebabkan seperti kesuntukan waktu sembahyang, kedunguan, tidak ada guru yang mengajar, tidak terdapat Mushhaf atau sebagainya, maka keharusan dia membacanya dalam bahasa lain itu tertakluk kepada jenis-jenis bacaan sembahyang yang dibacanya sebagaimana dihuraikan sebelum ini.
Oleh itu, perlulah kita mencari ikhtiar dan usaha untuk mempelajari bacaan-bacaan sembahyang terutama sekali bacaan-bacaan wajib. Ini kerana, jika seseorang itu sengaja tidak berusaha dalam mempelajari bacaan-bacaan tersebut sedangkan waktu sembahyang masih luas, lalu dia mengerjakan sembahyang dengan membaca bacaan-bacaan tersebut dalam bentuk terjemahan, maka batal sembahyangnya dan wajib ke atasnya mengulang sembahyang tersebut kerana dia telah meninggalkan bacaan-bacaan wajib sembahyang sedangkan dia mampu untuk mempelajarinya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10043
دليل الألوان
