Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Shârih Dan Kinâyah Dalam Shîghah ÎLâ’

الجواب

Îlâ’ bererti sumpah. Ia bermaksud sumpah seorang suami yang sah thalaqnya untuk tidak menyetubuhi isterinya sama ada secara muthlaq (tidak menetapkan tempoh) atau dalam tempoh melebihi empat bulan.

Perkataan “suami yang sah thalaqnya” bererti orang yang boleh menjatuhkan thalaq dan diterima thalaqnya. Maka dari itu tidak diterima îlâ’ daripada orang yang tidak sah thalaqnya seperti kanak-kanak, orang gila atau orang yang dipaksa.

Menurut ulama, penetapan tempoh melebihi empat bulan dalam perkara îlâ’ ini adalah kerana tahap kesabaran seorang isteri terhadap suaminya adalah dalam kadar empat bulan sahaja. Sekiranya melebihi daripada kadar empat bulan, penderitaan yang ditanggung isteri menjadi sangat berat lalu hilang atau berkuranglah kesabarannya itu.

Amalan îlâ’ ini sudah diamalkan pada zaman jahiliyyah lagi. Pada zaman tersebut, apabila seorang suami marah kepada isterinya, dia akan bersumpah untuk tidak menyetubuhinya untuk suatu tempoh yang sangat panjang sehingga membawa kepada beberapa tahun bahkan ada yang langsung tidak lagi menyetubuhi isterinya. Maka terbiarlah para isteri yang dikenakan îlâ’ itu dalam keadaan tergantung-gantung. Dengan makna yang lain, dia tidak mendapat hak yang sepatutnya yang wajib dini‘mati oleh seorang isteri dan dia tidak juga diceraikan supaya dia bebas berkahwin dengan lelaki lain.

Namun setelah kedatangan agama Islam, syara‘ menyelamatkan golongan wanita daripada amalan yang zalim ini lalu mengubah îlâ’ zaman jahiliyyah itu kepada îlâ’ sepertimana istilah syara‘ di atas, iaitu dengan menggariskan beberapa hukum tertentu yang bertujuan untuk melepaskan golongan wanita daripada kezaliman atau kemudharatan yang berterusan disebabkan îlâ’.

Asal bagi ketentuan hukum îlâ’ ini adalah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Bagi orang-orang yang melakukan îlâ’ (bersumpah tidak akan mencampuri) isteri-isteri mereka, diberi tempoh selama empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampuri mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan thalaq, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 226-227)

Hukum Îlâ’

Menurut hukum syara‘, îlâ’ adalah haram sehinggakan terdapat sebahagian ulama antaranya Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menganggapnya sebagai al-kabâ’ir iaitu dosa-dosa besar. Bagaimanapun, kebanyakan ulama hanya mengkategorikannya sebagai ash-shaghâ’ir sahaja iaitu dosa-dosa kecil dan ini adalah pendapat mu‘tamad sebagaimana disebutkan dalam kitab I‘ânah ath- Thâlibîn dan lainnya.

Adapun sebab ia dinilai haram adalah kerana perbuatan tersebut menyakiti, menzalimi dan melakukan mudharat terhadap isteri serta menghalang daripada istimtâ‘ (bersenang-senang antara suami isteri) yang dibenarkan syara‘. Atas sebab ini, syara‘ menyediakan jalan keluar daripadanya.

Rukun-Rukun Îlâ’

Secara ringkasnya, terdapat enam rukun dalam perkara îlâ’ iaitu:

(i) Suami.

(ii) Isteri.

(iii) Al-mahlûf bihi, iaitu sama ada dengan:

(a) Bersumpah dengan nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau dengan salah satu daripada sifat-sifatNya, atau (b) Dia menta‘lîqkan (mengaitkan) keengganannya bersetubuh dengan isterinya itu dengan suatu amalan seperti dengan berkata: “Sekiranya aku menyetubuhimu, maka demi Allah wajib atasku menunaikan haji”, atau (c) Dia menta‘lîqkannya dengan thalaq atau memerdekakan hamba seperti berkata: “Jika aku menyetubuhimu nescaya merdekalah hambaku”.

(iv) Al-mahlûf ‘alaihi iaitu keengganan untuk menyetubuhi isteri yang halal disetubuhi.

(v) Al-muddah (tempoh îlâ’) iaitu hendaklah melebihi empat bulan sekalipun tanpa menyatakan tempoh.

(vi) Ash-shîghah iaitu lafaz îlâ’.

Kesan Apabila Berlaku Îlâ’

Sekiranya suami bersumpah untuk tidak menyetubuhi isterinya secara muthlaq tanpa menyebutkan tempoh atau bagi suatu tempoh melebihi daripada empat bulan, dan ia menepati kesemua rukun di atas berserta syarat-syaratnya, maka tsabit dan bermulalah îlâ’ itu.

Dalam tempoh îlâ’ itu, si suami boleh memilih sama ada hendak:

(i) Kembali menyetubuhi isterinya, atau (ii) Menjatuhkan thalaq.

Jika si suami memutuskan untuk melakukan mana-mana satu daripada dua pilihan ini, maka dengan sendirinya terlerailah îlâ’ itu.

Sekiranya dalam tempoh tersebut si suami tidak juga kembali menyetubuhi isterinya serta tidak juga menjatuhkan thalaq, maka selepas berlalu empat bulan, si isteri berhak untuk mengadu kepada qadhi atau hakim untuk melepaskan dia daripada mudharat yang dikenakan ke atasnya oleh suaminya itu dengan salah satu daripada perkara di bawah ini:

(i) Menuntut suami untuk melakukan fai’ah iaitu kembali menyetubuhi isterinya. (ii) Meminta dijatuhkan thalaq sekiranya suaminya tetap dengan pendiriannya untuk tidak menyetubuhinya.

Sekiranya suami memilih untuk melakukan fai’ah, sama ada atas kemahuan sendiri atau setelah berlaku tuntutan daripada isteri, maka hendaklah diperhatikan perkara berikut:

(i) Si suami diwajibkan untuk membayar kaffârah sumpah sekiranya dia bersumpah dengan nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau sifat-sifatNya.

Ini bererti, kaffârah sumpah itu tetap perlu dibayar dan ditunaikan, tidak kira sama ada perbuatannya kembali menyetubuhi isterinya itu berlaku dalam masa empat bulan dari bermulanya îlâ’ atau sesudah berlalu tempoh tersebut selagimana masih dalam tempoh sumpah.

Kaffârah sumpah itu adalah pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya atau memberi makan sepuluh orang miskin atau fakir ataupun memberi pakaian kepada mereka. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari.

(ii) Sebaliknya, jika dia bersumpah untuk melakukan suatu amalan, umpamanya dia berkata: “Sekiranya aku menyetubuhimu, maka demi Allah wajib atasku mengerjakan puasa”, maka dia boleh memilih untuk melaksanakan amalan tersebut yakni berpuasa atau membayar kaffârah sumpah.

(iii) Manakala jika dia menta‘lîqkannya dengan thalaq atau memerdekakan hamba, umpamanya dia berkata: “Jika aku menyetubuhimu nescaya terthalaqlah engkau” atau dia berkata: “Jika aku menyetubuhimu nescaya merdekalah hambaku”, maka dengan sendirinya jatuhlah thalaq atau merdekalah hamba tersebut.

Sekiranya suami masih enggan melakukan fai’ah serta enggan juga menjatuhkan thalaq setelah isteri mengadu kepada qadhi atau hakim, maka menurut qaul al-jadid dan al-azhhar, qadhi atau hakim akan menjatuhkan thalaq satu antara kedua suami isteri itu.

Penjelasan Serta Contoh Sharih dan Kinâyah Dalam Shîghah Îlâ’

Shîghah atau lafaz îlâ’ merupakan salah satu rukun îlâ’. Selain ucapan lafaz, îlâ’ juga boleh dilakukan dengan cara penulisan atau menggunakan isyarat bagi orang yang bisu. Shîghah tetap sah walaupun dilakukan dalam keadaan marah atau dalam keadaan redha. Ia boleh dilafazkan dalam mana-mana bahasa yang difahami sama ada dalam bahasa Melayu, Arab atau sebagainya. Shîghah atau lafaz îlâ’ tidak sah kecuali dengan lafaz-lafaz yang membawa makna îlâ’ iaitu yang mengandungi makna enggan atau tidak mahu menyetubuhi isteri. Ia terbahagi kepada dua jenis, iaitu lafaz secara sharih yakni secara jelas dan terang atau secara lafaz kinâyah yakni secara kiasan. (i) Contoh lafaz îlâ’ secara sharih: “Demi Allah aku tidak akan menyetubuhimu.” “Demi Allah aku tidak akan berjimâ‘ denganmu selama enam bulan.” “Demi Allah aku tidak akan memasukkan seluruh kepala zakarku atau hasyafahku ke dalam farajmu selama-lamanya.” “Demi Allah aku tidak akan memecahkan daramu (jika masih dara)” dan yang seumpamanya. (ii) Contoh lafaz îlâ’ secara kinâyah: “Demi Allah aku tidak akan menggaulimu.” “Demi Allah aku tidak akan mencampurimu selama satu tahun.” “Demi Allah aku tidak akan menyentuhmu sampai bila-bila.” “Demi Allah aku tidak akan memasukimu.” “Demi Allah aku tidak akan mendatangimu.” “Demi Allah aku tidak akan membaringkan kepalaku di atas satu bantal denganmu selama lima bulan.” “Demi Allah aku akan menjauhkan diri daripadamu selama-lamanya”, dan seumpamanya.

Dalam lafaz îlâ’ secara kinâyah ini, disyaratkan supaya ia disertai dengan niat jimâ‘ atau setubuh. Ini kerana lafaz-lafaz tersebut boleh disalah erti kerana ia mempunyai maksud yang lain selain setubuh. Sekiranya lafaz kinâyah itu dimaksudkan selain setubuh, maka suami itu tidak dianggap melakukan îlâ’ terhadap isterinya. Bagaimanapun, dia dikira telah bersumpah untuk tidak melakukan perkara yang disebutkannya dalam lafaz kinâyahnya itu dan wajib dia membayar kaffârah sekiranya dia melanggar sumpahnya itu.

Selain menggunakan lafaz kinâyah dalam mengertikan setubuh, kinâyah juga ada digunakan dalam menyatakan tempoh îlâ’. Contohnya:

“Demi Allah aku tidak akan mendekatimu dalam suatu waktu yang panjang.”

“Demi Allah aku akan menghilangkan diri darimu buat suatu masa yang panjang” dan seumpamanya.

Mengenai kinâyah dalam penyataan tempoh îlâ’ ini, menurut Imam asy- Syibramallisi Rahimahullâh, sekiranya tempoh yang dinyatakan secara kinâyah itu dimaksudkan empat bulan atau kurang daripada itu, maka ia tidak dikira sebagai îlâ’. Bagaimanapun, sekiranya ia dimaksudkan melebihi daripada tempoh empat bulan, maka lafaz itu dikira sebagai îlâ’. Sekiranya tidak dimaksudkan sebarang tempoh tertentu oleh suami, maka ia dikira juga sebagai îlâ’ kerana ia boleh membawa maksud tempoh yang panjang atau selama-lamanya.

Kesimpulan

Demikian penjelasan mengenai îlâ’ serta beberapa perbincangan tentang lafaz sharih dan lafaz kinâyah dalam shîghah îlâ’. Walaupun îlâ’ diperakui dalam Islam dan telah diaturkan hukum-hakamnya yang tertentu, ia perlu dihindari kerana ia satu perbuatan yang menzalimi, menyakiti dan memudharatkan diri orang lain yang tentu sahaja haram di sisi Islam. Apatah lagi yang dizalimi dalam îlâ’ itu tidak lain adalah seorang isteri iaitu pasangan hidup yang telah banyak menaburkan kasih sayang dan mengorbankan banyak masa dan tenaga dalam menjaga dan memelihara rumahtangga. Sekiranya berlaku pertelingkahan atau salah faham, sebaiknya bersabar dan berbincang dengan baik mudah-mudahan akan dibukakan jalan bagi kedua-duanya oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10049

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص