Hadhânah Anak Kecil: Syarat-Syarat Hâdhin
الجواب
Islam telah menetapkan hukum berkaitan penjagaan anak kecil apabila berlakunya perceraian ibu bapa atau berlaku kematian salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya. Perkara penjagaan ini disebut dalam kitab-kitab fiqh sebagai hadhânah.
Hadhânah bermaksud menjaga atau memelihara orang yang tidak dapat membezakan di antara mudharat atau yang bermanfaat serta tidak dapat mengurus dirinya sendiri, mendidiknya dengan perkara-perkara yang memberi kebaikan atau memberi manfaat kepadanya dan menjaganya daripada perkara-perkara yang menyakiti atau merosakkannya.
Hadhânah adalah termasuk dalam bentuk perwalian iaitu kekuasaan untuk menjaga urusan-urusan yang berkaitan dengan dirinya sendiri dan orang yang di bawah jagaannya. Maka syarat-syarat kekuasaan ini ditetapkan antaranya dia seorang Islam, bâligh, ‘âdil dan lain-lain syarat yang ditentukan syara‘.
Pensyariatan Hadhânah
Hadhânah wajib dari segi syara‘ kerana anak kecil mungkin akan terabai atau binasa jika tidak dijaga atau dipelihara, maka wajib penjagaan atau pemeliharaannya daripada berlakunya pengabaian terhadap anak kecil tersebut.
Pensyariatan hadhânah tsabit berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau meriwayatkan:
Maksudnya: Bahawasanya seorang perempuan berkata (kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam): “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya (tempat tinggalnya ketika mengandungkannya), buah dadaku adalah tempat minumnya, pangkuanku adalah pelindungnya. Sedang bapanya telah menceraikanku dan hendak merampasnya dariku”. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadanya: “Engkau lebih berhak baginya selama mana engkau belum bernikah.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits di atas menjelaskan bahawa ibu lebih berhak terhadap anak berbanding bapa.
Oleh yang demikian, menurut hukum syara‘, ibu lebih berhak daripada bapa atau yang lainnya dalam menjaga anaknya yang kecil selagi mana ibu memenuhi syarat-syarat kelayakan hadhânah selama mana tidak terjadi apa-apa perkara yang menghalang daripada hadhânah seperti ibu bernikah lain.
Undang-Undang Keluarga Islam, 1999 Negara Brunei Darussalam ada menyebutkan:
“Tertakluk kepada bab 89, ibu adalah orang yang paling layak bagi menjaga kanak-kanak yang belum mumaiyiz dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.”
Walau bagaimanapun sekiranya ibu ditsabitkan hilang kelayakan penjagaan di bawah hukum syara‘ disebabkan tidak memenuhi syarat-syarat hadhânah, maka hak penjagaan anak berpindah mengikut susunan kerabat yang dekat sebagaimana ditentukan syara‘. Perkara ini juga disebut dalam Undang-Undang Keluarga Islam, 1999 Negara Brunei Darussalam:
“Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syara‘ dari mempunyai hak penjagaan anak-anaknya, maka hak itu tertakluk kepada ceraian (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang mengikut susunan keutamaan yang berikut -...”
Syarat-syarat Hâdhin (Penjaga)
Para ulama telah menentukan syarat-syarat hâdhin dalam menetapkan kelayakan penjagaan anak kecil dalam kalangan kerabat dengan mengikut susunan kerabat yang dekat dan seterusnya. Kerana itu tidak tsabit hadhânah ke atas kaum kerabat kecuali memenuhi syarat-syarat hâdhin, antaranya:
1. Hendaklah dia seorang Islam.
Jika anak kecil tersebut seorang Islam, maka tidak tsabit hadhânah orang kafir terhadap anak kecil tersebut. Ini kerana hadhânah adalah perkara perwalian dan tiada boleh perwalian orang kafir ke atas orang Islam.
Sebaliknya jika anak itu seorang kafir, maka tidak disyaratkan Islamnya. Oleh itu tsabit hak hadhânah itu kepada kaum kerabatnya sama ada yang Islam mahupun yang kafir.
2. Hendaklah dia seorang yang bâligh dan berakal.
Disyaratkan hâdhin itu seorang yang bâligh, maka tidak tsabit hak hadhânah bagi ahli kerabat yang kecil atau belum bâligh.
Begitu juga disyaratkan hâdhin itu seorang yang berakal, maka tidak tsabit hak hadhânah bagi orang gila kecuali jika gilanya itu jarang-jarang berlaku seperti hanya satu hari dalam setahun.
Hadhânah adalah perkara perwalian, kerana itu orang yang belum bâligh atau tidak berakal tidak termasuk orang yang layak dalam perkara perwalian. Mereka ini tidak dapat memberikan penjagaan, komitmen serta pemeliharaan (kepada orang lain), bahkan diri mereka sendiripun bergantung kepada orang yang menjaga dan memelihara mereka.
3. Hendaklah dia seorang yang amanah.
Apa yang dimaksudkan dengan amanah ialah dia bukan seorang yang fâsiq. Ini kerana orang fâsiq tidak dapat diberi kuasa melaksanakan urusan orang lain dan tidak diberikan amanah terhadap sesuatu perkara. Anak kecil yang dijaga tidak mendapat keberuntungan di bawah jagaannya kerana anak yang dijaga itu membesar mengikut jalannya.
Memadai syarat ‘adâlah (‘âdil, tidak fâsiq) secara zahir sebagaimana syarat ‘adâlah dalam saksi perkahwinan.
4. Hendaklah dia seorang yang rasyîd iaitu berkelayakan mengurus harta dan baik agama. Maka tiada hak hadhânah bagi safîh iaitu orang yang tidak boleh mengurus harta dan agama kerana dia tidak termasuk dalam kategori orang-orang yang layak hadhânah.
5. Hendaklah dia tidak mempunyai penyakit berpanjangan.
Bagi sesiapa yang diberi hak hadhânah, disyaratkan dirinya tidak mempunyai penyakit yang berpanjangan seperti penyakit tuberkulosis atau lumpuh yang mana sakitnya itu menghalangnya untuk secara langsung menguruskan anak kecil tersebut.
Ini kerana apabila seseorang itu dilantik sebagai hâdhin, dia akan sibuk dengan pengurusan dan pentadbiran urusan anak kecil di bawah jagaannya. Sekiranya dia mempunyai sakit yang berpanjangan yang boleh menyebabkannya sibuk mengurus sakitnya berbanding urusan penjagaan dan pemeliharaan anak kecil tersebut, maka gugur hak hadhânah itu.
6. Hendaklah dia juga tidak mempunyai penyakit sopak iaitu penyakit kulit yang berbelang-belang putih pada tangan atau kaki atau penyakit kusta iaitu penyakit yang merosakkan kulit atau daging dengan menyebabkan bahagian-bahagian anggota atau tubuh pecah-pecah dan bernanah dan merosakkan jari-jari tangan dan kaki.
7. Hendaklah dia juga tidak buta.
8. Bagi hâdhinah (penjaga perempuan) disyaratkan belum berkahwin atau tidak berkahwin dengan lelaki asing iaitu yang bukan bapa kepada si anak. Jika berkahwin dengan lelaki asing, maka hak hadhânah gugur sekalipun suami baru hâdhinah itu belum dukhûl (bersetubuh) dengannya dan suami hâdhinah redha anak kecil itu tinggal bersama di rumahnya.
Perkara ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru Radhiallâhu ‘anhumâ di atas mengenai seorang perempuan yang memberitahu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang suaminya yang menceraikannya dan ingin merampas anak mereka daripadanya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lantas bersabda:
Maksudnya: Engkau lebih berhak baginya selama mana engkau belum bernikah. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits di atas menunjukkan bahawa ibu lebih berhak terhadap anak berbanding bapa selama mana tidak terjadi apa-apa perkara yang menghalang daripada hadhânah seperti ibu bernikah lain. Sekiranya berlaku sedemikian, maka gugur hak hadhânah ibu dan berpindah hak hadhânah kepada orang yang berhak selepasnya.
Adapun sebab demikian adalah kerana si ibu disibukkan dengan menunaikan hak suami baharunya, maka tidak ada jaminan untuk pemeliharaan anak kecilnya dan perhatian pada urusan-urusannya. Selain itu, anak kecil dan adik-beradiknya yang lain (yang berada di bawah jagaan ibunya) akan merasa malu dengan adanya suami baharu si ibu. Redha suami baharu si ibu (untuk memelihara anak) pula tidak memberi kesan apa-apa dalam mengekalkan hak hadhânah kepada si ibu kerana apabila suami baharu si ibu kembali tidak redha dengan anak kecil itu tinggal di rumahnya, maka yang sedemikian mendatangkan kesusahan kepada anak kecil itu.
Walau bagaimanapun, sekiranya ibu berkahwin dengan lelaki asing dan bapa anak kecil tersebut redha anaknya dijaga oleh ibu dengan redha suami baharu ibu, maka tidak gugur hak hadhânah ibu ke atas anak kecil itu.
Begitu juga disyaratkan sedemikian itu bagi kaum kerabat perempuan yang berhak hadhânah seperti emak saudara sebelah ibu. Jika dia berkahwin dengan lelaki asing yang bukan bapa anak kecil, maka gugur hak hadhânahnya.
Walau bagaimanapun, sekiranya suami baharu kepada ibu atau suami kaum kerabat perempuan yang berhak hadhânah merupakan salah seorang kaum kerabat lelaki anak kecil tersebut serta dia (suami baharu iaitu kaum kerabat lelaki) berhak hadhânah walaupun kedudukan (berhak hadhânah) adalah jauh, maka tidak gugur hak hadhânah ibu atau kaum kerabat perempuan jika suami (kaum kerabat lelaki) setuju untuk menjaga anak kecil tersebut. Adapun sedemikian kerana mereka ini orang-orang yang mempunyai hak hadhânah ke atas anak kecil serta simpati dan kerisauan mendorong mereka memelihara anak kecil, maka kedua-dua suami isteri saling bantu membantu menjaga dan memeliharanya.
Sebagai contoh: Jika ibu kepada anak kecil berkahwin dengan bapa saudara sebelah bapa kepada anak kecil, maka tidak gugur hak hadhânah si ibu dengan persetujuan suami baharunya itu, atau jika emak saudara sebelah ibu kepada anak kecil berkahwin dengan bapa saudara sebelah bapa kepada anak kecil itu, maka tidak gugur hak hadhânah emak saudara anak kecil itu dengan persetujuan suaminya. Jika tidak ada persetujuan daripada suami berkenaan, maka tidak berhak hadhânah ke atas mereka.
9. Hendaklah hâdhinah (penjaga perempuan) merupakan orang yang dapat menyusukan anak kecil. Syarat ini tertakluk jika anak kecil itu masih menyusu.
Walau bagaimanapun, Imam al-Adzra‘i Rahimahullâh dan imam-imam lainnya membuat ketetapan bahawa tidak disyaratkan perempuan yang berhak hadhânah itu mempunyai air susu.
Begitu juga Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh menyebut bahawa jika perempuan yang berhak hadhânah tiada mempunyai air susu, maka dia tetap berhak hadhânah.
Berlainan halnya, jika dia mempunyai air susu, akan tetapi dia enggan menyusukan anak kecil itu, maka tiada hak hadhânah menurut pendapat yang ashah sebagaimana menurut Imam al-Bulqini Rahimahullâh.
Kesan Apabila Kurang Syarat-syarat Hâdhin
Sekiranya salah satu syarat daripada syarat-syarat yang disebutkan di atas tidak dipenuhi, maka gugur hak hadhânah daripada orang yang berhak itu dan berpindah hak tersebut kepada kaum kerabat yang berhak selepasnya.
Walau bagaimanapun apabila hak hadhânah gugur daripada seseorang kerana adanya sebab atau wujudnya halangan, kemudian hilang sebab atau hilang halangan itu, maka kembali hak hadhânah tersebut kepadanya.
Sekiranya sempurna syarat yang kurang seperti orang kafir memeluk Islam, orang fâsiq bertaubat atau orang gila sembuh dari gilanya, maka dia berhak mendapat hak hadhânah itu disebabkan telah hilang halangannya. Begitu juga bagi kaum kerabat perempuan yang gugur hak hadhânahnya disebabkan berkahwin dengan orang asing dan telah bercerai, maka akan kembali hak hadhânahnya walaupun dia ketika itu dalam talak raj‘i. Walau bagaimanapun sekiranya dia menjalani ‘iddah di rumah suaminya, maka disyaratkan redha suaminya untuk membenarkan anak tersebut tinggal di sana.
Demikian antara syarat-syarat hâdhin dan serba sedikit penjelasan mengenainya. Walau bagaimanapun sekiranya berlaku perselisihan mengenai hadhânah anak, maka adalah kuasa mahkamah untuk membuat perintah penjagaan. Maka terpulang kepada mahkamah untuk menentukan siapa yang berhak menjaga anak kecil tersebut berdasarkan penelitian, siasatan dan pertimbangan yang dilihat dari segenap aspek. Pertimbangan utama ialah mashlahat anak kecil itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10053
دليل الألوان
