Penjagaan Anak Mumayyiz Apabila Berlaku Perbalahan Mengenainya Akibat Perceraian Ibu Bapa
الجواب
Apabila berlaku perceraian ibu bapa dan berlaku perebutan penjagaan anak, perkara mengenai siapa yang berhak menjaga anak yang sudah mumayyiz adalah berbeza daripada anak yang belum mumayyiz. Anak mumayyiz ialah anak yang sudah boleh menguruskan urusan-urusannya yang tertentu dengan sendirinya tanpa berhajat kepada bantuan orang lain dalam penyediaan makan minum, qadha hajat, pembersihan diri daripada kotoran dan melaksanakan perkara-perkara kebersihan seperti wudhu’ dan sebagainya.
Bagi anak yang belum mumayyiz, ibu adalah yang lebih berhak daripada bapa atau daripada yang lainnya ke atas penjagaannya apabila berlaku perceraian dan perebutan untuk mendapatkan penjagaan anak melainkan ibu itu hilang kelayakan penjagaan yang ditetapkan syara‘. Jika berlaku sedemikian, maka anak kecil itu diserahkan kepada orang lain (kerabat lain mengikut susunan keutamaan yang ditentukan syara‘) untuk dijaga selama mana ibu terhalang dari mendapat hak penjagaan. Penjagaan anak kecil ini disebut juga sebagai hadhânah.
Manakala bagi anak yang sudah mumayyiz, baginya pula hukum khusus berkaitan penjagaannya. Sebahagian ulama menyebutnya sebagai hadhânah, manakala sebahagian lagi menyebutnya sebagai kafâlah. Perkara mengenai siapa yang berhak menjaganya adalah berbeza daripada anak yang belum mumayyiz. Berikut penjelasan mengenainya.
Penjagaan Anak Mumayyiz Berdasarkan Pilihannya
Apabila berlaku perceraian kedua ibu bapa dan berlaku perebutan penjagaan anak antara kedua-duanya, maka bagi anak yang telah mumayyiz, dia berhak memilih salah satu di antara kedua-duanya sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberikan pilihan (kepada) seorang anak itu (untuk memilih) di antara bapanya atau ibunya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Pengarang Kitab Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarh Jâmi‘ at-Tirmidzi menjelaskan bahawa perkataan dalam hadits di atas membawa maksud anak yang mumayyiz dan dia ada hak untuk memilih di antara bapa atau ibunya apabila berlaku perceraian di antara kedua-duanya dan inilah menurut pendapat dalam mazhab asy- Syafi‘i.
Ini bermaksud, anak yang mumayyiz berhak memilih di antara bapa atau ibunya apabila kedua-duanya memenuhi syarat-syarat hadhânah sebagaimana digariskan syara‘. Antara syarat-syarat hadhânah ialah kedua-duanya hendaklah Islam, berakal, ‘âdil (tidak fâsiq), bermastautin pada satu tempat dan ibu tidak berkahwin dengan lelaki lain.
Apabila seorang anak itu sudah memilih salah seorang di antara kedua-duanya, kemudian dia memilih yang seorang pula, maka berpindah hak penjagaan itu daripada pilihannya yang pertama kepada pilihannya yang kedua. Walau bagaimanapun sekiranya dia berbalik semula pada pilihannya yang pertama, maka hak penjagaannya berpindah semula kepada pilihannya yang pertama. Sebagai contoh, si anak tersebut pada awalnya memilih ibunya namun kemudiannya memilih bapanya, maka hak penjagaannya adalah ke atas bapanya. Namun kemudiannya dia bertukar fikiran dan memilih semula ibunya, maka berpindah hak penjagaannya itu pula ke atas ibunya.
Akan tetapi sekiranya berulang kali berlaku pemilihan itu (anak banyak kali bertukar-tukar memilih di antara ibu dan bapa) dan dengan sangkaan (kuat) bahawa perbuatan anak yang berulang kali melakukan pemilihan itu adalah disebabkan kurang akal anak tersebut, maka dalam perkara ini, hak penjagaan berhak ke atas ibu walaupun anak tersebut sudah bâligh. Kedudukan ini sama seperti anak yang belum mumayyiz di mana hak penjagaan berhak ke atas ibu.
Kedudukan Pemilihan Anak Mumayyiz Terhadap Ibu atau Bapanya
Apabila anak yang mumayyiz memilih salah seorang di antara kedua ibu bapanya atau memilih kedua-duanya atau tidak memilih langsung, maka hukum kedudukannya sebagaimana berikut:
1) Jika anak lelaki atau perempuan memilih bapanya, maka hendaklah anak tersebut diserahkan kepada bapanya untuk dijaga. Manakala dengan ibu pula adalah sebagaimana berikut:
a. Sekiranya dia anak lelaki, maka bapa tidak boleh menghalangnya daripada keluar rumah untuk menziarahi ibunya kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perbuatan derhaka dan memutus silaturrahim. Di samping itu ia tidak membebankan ibunya untuk keluar menziarahi anak lelakinya itu. Ini kerana, anak lelaki lebih utama untuk keluar menziarahi ibu berbanding ibu keluar menziarahinya. Walau bagaimanapun sekiranya ibu datang melawat anak lelakinya ke rumah bapa, maka bapa tidak patut menghalang ibu untuk menemui anak lelakinya dengan syarat tidak berlaku khalwat seperti bapa bersendirian dengan ibu tanpa ada mahram dan tidak menimbulkan kecurigaan.
b. Sekiranya dia anak perempuan pula, maka bapa adalah dianjurkan untuk menghalang anak perempuannya dari keluar rumah menziarahi ibu bagi memastikan anak perempuan itu terjaga. Sekiranya ibu ingin menemuinya, maka ibu lebih utama untuk keluar menziarahi anak perempuannya berbanding anak perempuannya keluar menziarahinya disebabkan umur dan pengalaman ibu.
Dalam perkara ibu ziarah anak ke rumah bapa, hendaklah juga berhati-hati dan mencegah daripada berlakunya khalwat dan menimbulkan kecurigaan. Adalah elok ia dilakukan sekali sahaja setiap dua hari atau lebih (menurut adat biasa) dan tidak dilakukan pada setiap hari. Walau bagaimanapun jika rumah ibu dekat, maka tidak mengapa ibu melakukannya setiap hari sebagaimana disebut Imam al-Mawardi Rahimahullâh. Begitu juga hendaklah dia tidak berada di sana pada jangka waktu yang lama.
Mengenai perkara ibu yang berkeuzuran untuk menziarahi anak disebabkan seperti sakit atau dilarang suami barunya, maka menurut Ibnu ash-Shalah Rahimahullâh ibu boleh meminta anak perempuannya untuk datang menziarahinya dengan wali atau penjaga anak perempuan itu hendaklah menghantarnya kepada ibunya dengan syarat tiada berlakunya khalwat dan menimbulkan kecurigaan
c. Jika anak yang mumayyiz sama ada dia lelaki atau perempuan yang di bawah jagaan bapa itu sakit, maka ibu lebih utama merawat kedua-duanya kerana ibu lebih komited dan lebih bersabar menghadapi yang sedemikian berbanding bapa dan yang lainnya. Jika bapa setuju ibu menjaga anak yang sakit di rumah bapa, maka ibu menjaga anak di rumah bapa dengan syarat tiada khalwat dan tidak menimbulkan kecurigaan. Manakala jika sebaliknya iaitu bapa tidak setuju ibu menjaga di rumahnya, maka terpulang bapa untuk memindah anak yang sakit itu ke rumah ibu untuk dirawat dan dijaga. Walau bagaimanapun sekiranya dengan memindah anak yang sakit dari rumah bapa ke rumah ibu itu memudharatkan anak tersebut, maka perpindahan itu adalah ditegah.
2) Jika anak lelaki atau perempuan memilih ibunya, maka berlaku kedudukannya sebagaimana berikut:
a. Jika anak lelaki memilih ibu, maka dia hendaklah di rumah ibunya pada malam hari. Manakala pada siang hari pula, dia bersama bapa. Bapa wajib mendidik dan mengajar anak itu tentang perkara-perkara agama dan duniawi serta menghantar ke tempat belajar seperti sekolah.
b. Sekiranya dia anak perempuan, maka dia hendaklah bersama ibu pada waktu siang dan malam. Manakala bapa hanya menziarahinya menurut adat biasa iaitu sekali sahaja setiap dua hari atau lebih dan tidak pada setiap hari serta ia dilakukan pada waktu siang bagi mengelak tohmah dan kecurigaan.
Apabila bapa menziarahi anak perempuan di rumah ibu, hendaklah bapa masuk ke rumah ibu dengan kebenaran ibu serta tidak mendatangkan kecurigaan dan tidak bersendirian dengan ibu sebagaimana dinukilkan oleh Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh. Manakala jika ibu berkahwin, hendaklah bapa masuk ke rumah dengan izin suami ibu. Jika sekiranya tiada kebenaran atau keizinan daripada suaminya, ibu hendaklah membawa anak perempuannya kepada bapa untuk bapa melihatnya, memeriksa keadaannya, memberi perhatian kepadanya terutama bagi menyempurnakan pendidikannya, pelajarannya dan barang keperluannya.
3) Jika dia memilih kedua ibu bapa, maka hendaklah dibuat undian antara kedua-duanya bagi memutuskan perbalahan tentang penjagaan anak.
4) Jika dia tidak memilih salah seorang dari kedua ibu dan bapa atau langsung tidak membuat pemilihan, maka ibu adalah berhak terhadap penjagaan ke atas anak tersebut kerana ibu lebih utama untuk menjaganya dan lebih pengasih terhadap anak.
Siapa Berhak Dipilih Anak Untuk Menjaganya Jika Bapa atau Ibu Hilang Kelayakan Penjagaan?
Sekiranya salah seorang daripada kedua ibu bapa tidak memenuhi salah satu atau sebahagian daripada syarat-syarat hadhânah, sebagai contoh bapa gila atau fâsiq atau ibu bernikah dengan lelaki lain, maka dalam keadaan ini tiada pemilihan anak ke atas kedua-duanya yang tidak memenuhi syarat-syarat hadhânah kerana wujud halangan bagi hak penjagaan. Maka berpindah hak penjagaan anak itu kepada yang lain.
Akan tetapi apabila kelayakan hak penjagaan kembali disebabkan hilang halangan tersebut, maka kembali semula haknya untuk dipilih oleh anak tersebut.
Dijelaskan mengenai siapa yang dipilih anak untuk menjaganya berdasarkan beberapa keadaan berikut:
i. Dalam keadaan di mana bapa tidak ada atau hilang kelayakan penjagaan, maka anak yang mumayyiz boleh memilih di antara ibu atau datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) dan sekiranya datuk tidak ada, maka berpindah kepada moyang (datuk kepada bapa) dan begitulah seterusnya mengikut susunan hingga ke atas. Ini kerana kedudukan datuk mengambil tempat bapa dari segi kelahiran dan perwalian anak apabila ketiadaan bapa. Demikian juga keadaan jika datuk tidak ada, anak boleh memilih di antara ibu dengan kerabat lelaki yang mempunyai pertalian nasab yang dekat dengannya seperti memilih di antara ibu atau adik beradik lelakinya ataupun memilih di antara ibu atau bapa saudaranya sebelah bapa kerana mereka ini keturunan yang dekat dengan anak tersebut.
Begitu juga, anak lelaki yang mumayyiz boleh memilih di antara ibu dan anak lelaki kepada bapa saudaranya. Walau bagaimanapun bagi anak perempuan yang mumayyiz, maka ibu lebih berhak penjagaan ke atasnya. Inilah sebagaimana yang dinukil dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn.
ii. Dalam keadaan di mana ibu tidak ada atau hilang kelayakan penjagaan pula, anak yang mumayyiz boleh memilih di antara bapa dan nenek sebelah ibu (ibu kepada ibu). Begitu juga anak tersebut boleh memilih di antara bapa atau adik beradik perempuannya seibu sebapa ataupun di antara bapa atau adik beradik perempuannya seibu ataupun di antara bapa atau emak saudaranya sebelah emak.
iii. Dalam keadaan di mana ibu dan bapa tidak ada atau hilang kelayakan penjagaan, anak yang mumayyiz boleh memilih di antara nenek sebelah ibu (ibu kepada ibu) atau mahârim ‘ashabah iaitu seperti datuk (bapa kepada bapa), adik beradik lelakinya dan bapa saudaranya sebelah bapa.
Dia juga boleh memilih di antara adik beradik perempuannya seibu sebapa atau mahârim ‘ashabah ataupun memilih di antara adik perempuannya seibu atau mahârim ‘ashabah. Begitu juga dia boleh memilih di antara emak saudara sebelah ibu atau mahârim ‘ashabah.
Selain itu, anak yang mumayyiz boleh juga memilih di antara kedua-duanya yang sama jantina seperti memilih di antara dua orang abang kandungnya atau di antara dua orang kakak kandungnya menurut pendapat yang aujah.
Bagaimana Hak Penjagaan Anak Jika Ibu atau Bapa Belayar?
Anak yang mumayyiz diberi hak memilih di antara ibu dan bapa apabila kedua-duanya bermuqîm atau menetap dalam negeri yang sama. Sekiranya salah seorang daripada mereka hendak belayar disebabkan ada hajat seperti belayar kerana menunaikan haji atau belayar untuk berperang atau belayar kerana berniaga dan lain-lain, maka orang yang belayar itu tidak dibenarkan untuk belayar membawa anak tersebut kerana akan ada bahaya dan kesusahan dalam pelayaran. Anak tersebut hendaklah tinggal bersama ibu atau bapa yang bermuqîm sehingga ibu atau bapa yang belayar itu balik, sama ada tempoh pelayarannya itu panjang atau pendek.
Manakala sekiranya salah seorang dari mereka belayar untuk berpindah negeri atau tempat, maka bapa lebih utama daripada ibu dalam hak menjaga anak tersebut tanpa mengira yang berpindah itu sama ada ibu atau bapa. Ini sebagai langkah berhati-hati bagi menjaga nasab kerana pemeliharan nasab dan pemeliharaan mashlahat-mashlahat lain juga seperti pendidikan anak serta memudahkan urusan nafkah adalah amanah dan tanggungjawab bapa. Sekiranya bapa belayar berpindah dengan anak, maka disyaratkan perjalanan pelayaran ke tempat yang dituju itu hendaklah aman, jika tidak, maka anak tersebut tinggal bersama ibu.
Sekiranya ibu yang berhak penjagaan anak menemani anak sepanjang perjalanan anak mengikut bapa berpindah, bahkan turut berada di tempat atau negeri bapa berpindah (kerana ingin bersama anak), maka kekal hak penjagaan ibu.
Dalam keadaan jika berpindah hak menjaga anak daripada ibu kepada bapa disebabkan anak mengikut bapa belayar berpindah negeri atau tempat, sekiranya bapa kembali semula ke tempat atau negeri di mana ibu anak berada, maka kembali hak penjagaan anak kepada ibu.
Menyentuh mengenai perkara belayar berpindah ini, mahârim ‘ashabah iaitu seperti datuk (bapa kepada bapa), adik beradik lelaki dan bapa saudara sebelah bapa kedudukannya adalah sama seperti bapa (jika ketiadaan bapa). Mereka lebih berhak daripada ibu apabila belayar untuk berpindah ke tempat atau negeri lain sebagai langkah berhati-hati bagi menjaga nasab anak.
Penutup
Dalam Islam, penjagaan anak-anak wajib ditunaikan agar anak-anak tidak terabai apalagi jika berlaku perceraian atau kematian salah seorang daripada kedua ibu bapa atau kedua-duanya. Apabila berlaku perebutan anak dalam situasi perceraian, maka Mahkamah Syariah dalam bidang kuasa mâlnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding berkenaan antaranya, berhubung dengan nafkah tanggungan dan jagaan (hadhânah) kanak-kanak.
Dalam perkara kanak-kanak yang mencapai umur mumayyiz, maka kanak-kanak itu berhak memilih untuk tinggal sama ada bersama ibu atau bapanya, melainkan jika mahkamah memerintahkan sebaliknya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10057
دليل الألوان
