Jangan Lupa Berdo‘a Selepas Membaca Tasyahhud Âkhir Dalam Sembahyang
الجواب
Berdo‘a selepas membaca tasyahhud âkhir dalam sembahyang adalah dituntut sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu selesai membaca tasyahhud âkhir, maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada empat perkara, iaitu; seksaan Neraka Jahannam, seksaan kubur, fitnah kehidupan dan kematian serta kejahatan al- Masih ad-Dajjal. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas menyatakan bahawa tuntutan berdo‘a itu adalah selepas selesai membaca tasyahhud âkhir dan bukan selepas membaca tasyahhud awwal. Ini kerana bacaan yang dituntut ketika tasyahhud awwal itu adalah bacaan yang ringan sahaja.
Do‘a-do‘a yang boleh dibaca selepas membaca tasyahhud âkhir ialah apa sahaja do‘a yang harus dibaca di luar sembahyang sama ada yang berkaitan dengan perkara duniawi ataupun ukhrawi, do‘a ma’tsûr (do‘a yang berasal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) ataupun yang bukan ma’tsûr (do‘a yang bukan berasal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam iaitu seperti do‘a yang dikarang atau dicipta sendiri atau orang lain). Namun do‘a-do‘a yang ma’tsûr adalah afdhal.
Hukum Meninggalkan Do‘a Selepas Tasyahhud Âkhir
Hukum berdo‘a selepas membaca tasyahhud âkhir adalah sunat. Malah ia sunat juga dibaca oleh imam walaupun bagi imam yang tidak mendapat keredhaan ma’mumnya (untuk menambah atau memanjangkan bacaan sembahyangnya).
Adapun meninggalkan sebarang do‘a selepas membaca tasyahhud âkhir hukumnya adalah makruh.
Kadar Panjang Bacaan Do‘a Selepas Tasyahhud Âkhir
Kadar panjang bacaan do‘a selepas tasyahhud âkhir berbeza antara munfarid, imam dan ma’mum. Penjelasannya adalah seperti berikut:
1. Munfarid (sembahyang seorang diri).
Bagi munfarid, dia boleh memanjangkan bacaan do‘a selepas tasyahhud âkhir mengikut kadar yang dikehendakinya selagimana tidak menjadikan dia terlalai atau terleka.
2. Imam.
Bagi imam, sunat dan afdhal bacaan do‘a selepas tasyahhud âkhir itu supaya tidak melebihi kadar panjang bacaan tasyahhud âkhir dan selawat yang dibaca oleh imam berkenaan.
Sekiranya imam memanjangkan bacaan sembahyangnya melebihi kadar panjang bacaan tasyahhud âkhir dan selawat yang dibacanya, maka tidaklah menjejaskan atau membatalkan sembahyangnya. Bagaimanapun perbuatan ini dikira sebagai khilâf as-sunnah jika dilakukan oleh imam yang mendapat keredhaan ma’mumnya dan makruh jika dilakukan oleh imam yang tidak mendapat keredhaan ma’mumnya.
3. Ma’mum.
Bagi ma’mum pula, maka bacaannya adalah mengikut apa yang dilakukan oleh imamnya.
Adapun kadar panjang bacaan do‘a yang tidak melebihi kadar bacaan tasyahhud âkhir dan selawat itu ialah mengikut kadar panjang bacaan tasyahhud âkhir dan selawat yang dibaca oleh imam itu. Sebagai contoh, jika imam itu membaca tasyahhud âkhir dan selawat dengan bacaan yang sekurang-kurangnya ( ), maka dia sunat membaca do‘a tersebut tidak melebihi kadar bacaan tasyahhud âkhir dan selawat yang sekurang-kurangnya itu. Manakala jika imam itu membaca tasyahhud âkhir dan selawat dengan bacaan yang sempurna ( ), maka dia sunat membaca do‘a tersebut tidak melebihi kadar bacaan tasyahhud âkhir dan selawat yang sempurna itu.
Kadar bacaan tasyahhud âkhir dan selawat yang sekurang-kurangnya itu ialah:
Manakala kadar bacaan tasyahhud âkhir dan selawat yang sempurna itu pula ialah:
Do‘a-do‘a Selepas Tasyahhud Âkhir
Terdapat banyak do‘a yang sunat dibaca selepas membaca tasyahhud âkhir. Antara do‘a-do‘a tersebut ialah seperti berikut:
Ertinya: Ya Allah ya Tuhanku, mohon ampunkan dosaku yang terdahulu dan terkemudian dan dosaku yang tersembunyi dan terang-terangan dan dosaku yang melampau dan (dosaku) yang Allah lebih mengetahui akannya, Allah yang mendahulukan sesuatu dan Allah yang melewatkan sesuatu, tiada tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah jua.
Begitu juga dengan do‘a di bawah ini:
Ertinya: Ya Allah ya Tuhanku, aku mohon berlindung denganMu daripada azab kubur dan daripada azab api neraka dan daripada fitnah kehidupan dan kematian dan daripada fitnah al-Masîh ad-Dajjal.
Dan juga do‘a di bawah ini;
Ertinya: Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayakan diriku dengan aniaya yang amat banyak dan amat besar dan tiada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau, maka aku mohon ampun akan dosaku dengan keampunan yang benar-benar daripada Engkau, dan mohon kurniakan rahmat dan kasihan ke atasku, kerana sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Begitulah huraian mengenai berdo‘a selepas tasyahhud âkhir dalam sembahyang. Membaca do‘a-do‘a tersebut selain mendapat pahala kerana hukum membacanya adalah sunat, kita juga akan mendapat perlindungan dan keampunan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini kerana do‘a-do‘a tersebut mengandungi permohonan perlindungan dan keampunan Allah Ta‘ala. Maka rebutlah peluang dan janganlah lepaskan kesempatan berdo‘a selepas membaca tasyahhud âkhir dalam sembahyang.
SEMBAHYANG TERAS KECEMERLANGAN UMAT
Kecemerlangan yang diraih setelah melalui detik sukar dan memenatkan, sememangnya memberi suatu rasa kepuasan. Justeru itu, tidak hairan kenapa kecemerlangan itu tetap diburu dan diimpikan. Pelbagai cara dan pendekatan berbentuk formal atau tidak formal, tradisional atau moden mahupun selainnya yang dirancang dan seterusnya diamalkan dalam memastikan kecemerlangan itu dapat diraih. Manusia giat mencari dan terus mencari apa jua cara yang boleh membawa kepada kecemerlangan.
Namun adakalanya sesetengah orang seakan lupa ataupun tidak menyedari bahawa apa yang dicari itu sebenarnya ada diajarkan dalam Islam. Hakikatnya, umat Islam sangat beruntung kerana semenjak awal telah dibekalkan dengan ilmu dan bimbingan yang meliputi pelbagai aspek yang bersumberkan al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Dalam menuju kecemerlangan, Islam merupakan landasan yang tepat untuk diikut. Banyak cara mahupun pendekatan yang diajarkan dalam Islam boleh diamalkan untuk mendapatkan kejayaan sekaligus meraih kecemerlangan. Antara yang utama dan istimewa ialah dengan sembahyang.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mensyariatkan sembahyang bagi memenuhi matlamat kehidupan dalam pelbagai aspek seperti ‘aqidah, rohaniah, sosial, tarbiyyah (pendidikan), kesihatan dan sebagainya. Dalam aspek ‘aqidah dan iman umpamanya, sembahyang memainkan peranan dalam membekal dan menambah keimanan seseorang, mewujudkan dan meyakinkan rasa kehambaan seseorang terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, mewujudkan ketenangan jiwa, kebahagiaan dan juga hubungannya dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Khusyû‘ dan Memelihara Sembahyang Ciri Orang Beriman yang Berjaya
Salah satu keistimewaan yang diperoleh daripada sembahyang ialah apabila Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberi jaminan kejayaan kepada hambaNya yang beriman sebagaimana firmanNya di permulaan surah al-Mu’minûn:
Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Surah al-Mu’minûn: 1)
Perkataan (sesungguhnya) dalam ayat di atas mempunyai fungsi yang tersirat. Ia menunjukkan akan perihal wujudnya jaminan kejayaan bagi orang-orang beriman sebagaimana yang dimaksudkan di dalam ayat berkenaan. Di samping itu, ayat ini disampaikan dalam bentuk kata kerja lampau atau perbuatan yang telah lalu sebagai menunjukkan kepada penetapan ataupun penegasan akan perkhabaran yang disampaikan dalam ayat berkenaan.
Adapun yang dimaksudkan dengan orang-orang yang beriman dalam konteks ini adalah mereka yang membenarkan ketauhîdan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan membenarkan RasulNya Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, mengakui dan mempercayai akan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada mereka dan melakukan apa yang disuruh kepada mereka.
Dalam surah al-Mu’minûn, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memberitahu tujuh sifat atau ciri orang beriman yang mendapat ganjaran besar iaitu kejayaan di akhirat. Antara ciri-ciri itu ialah mereka yang khusyû‘ dalam sembahyangnya dan mereka yang memelihara sembahyangnya.
1) Khusyû‘ dalam sembahyang.
Selepas memberi khabar gembira berupa jaminan kejayaan bagi orang-orang yang beriman, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seterusnya menyebut mengenai ciri-ciri orang beriman yang dimaksudkan berjaya itu antaranya ialah mereka yang khusyû‘ dalam sembahyang sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang khusyû‘ dalam sembahyang mereka. (Surah al-Mu’minûn: 2)
Khusyû‘ ialah perihal merendah diri, taat, patuh atau tunduk. Khusyû‘ itu letaknya di hati disertai rasa takut dan penetapan dan ketenangan seluruh anggota badan. Mereka yang khusyû‘ dalam sembahyang adalah mereka yang taat, takut dan merendah diri di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sentiasa mentaati apa yang diwajibkan ke atas mereka.
Untuk menghadirkan khusyû‘ itu dalam sembahyang, seseorang hendaklah mengosongkan atau melapangkan hatinya daripada perkara-perkara lain, tidak memikirkan perkara-perkara lain melainkan hanya untuk sembahyang. Maka pada saat inilah sembahyang itu menenangkan dan menyenangkan hati.
Dari segi hukum pula, khusyû‘ adalah satu daripada perkara-perkara yang disunatkan dalam sembahyang malah memikirkan perkara lain selain sembahyang adalah makruh. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan:
Ertinya: Disunatkan khusyû‘ dalam sembahyang, tunduk merendah diri, tadabbur (merenung dan menghayati) bacaannya, zikir-zikirnya dan segala yang berkaitan dengannya (sembahyang). (Disunatkan juga) berpaling dari fikiran apapun yang tidak berkaitan dengannya (sembahyang). Jika memikirkan selainnya (sembahyang) dan lebih banyak berfikir, (maka) tidak batal sembahyangnya tetapi (dihukumkan) makruh sama ada fikirannya itu (pada) perkara-perkara yang harus ataupun yang haram.
2) Memelihara sembahyang.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga menyebut bahawa orang yang memelihara sembahyang adalah antara ciri orang-orang beriman yang berjaya sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang tetap memelihara sembahyang mereka. (Surah al-Mu’minûn: 9)
Mereka yang memelihara sembahyang itu adalah mereka yang tekun dan gigih melakukan sembahyang, menunaikan sembahyang dalam waktunya dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat sembahyang. Mereka sentiasa memastikan agar tidak lalai sehingga waktu sembahyang luput atau sehingga menyebabkan sembahyang dilakukan di luar waktunya.
Sembahyang fardhu lima waktu wajib dilakukan dalam lingkungan waktunya yang telah ditetapkan. Namun, harus menangguhkan sembahyang di awal waktu jika seseorang itu telah berazam untuk melakukannya dalam lingkungan waktu yang ditetapkan. Akan tetapi haram pula hukumnya melambat-lambatkan sembahyang itu sehingga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk memenuhi semua rukun yang fardhu dalam sembahyang. Sementara itu, menyegerakan sembahyang dengan menunaikannya di awal waktu adalah afdhal.
Disebutkan dalam hadits daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah bertanya kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Amalan yang manakah lebih disukai Allah?” (Baginda) bersabda: “Sembahyang pada waktunya.” (Ibnu Mas‘ud) bertanya: “Kemudian (amalan) yang mana lagi?” (Baginda) bersabda: “Kemudian berbuat baik terhadap ibu bapa.” (Ibnu Mas‘ud) bertanya terus: “Kemudian (amalan) yang mana pula?” (Baginda) bersabda: “Jihâd di jalan Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ganjaran Bagi Orang-orang Beriman yang Berjaya
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah lebih awal menyebut bahawa orang-orang beriman yang memenuhi semua sifat atau ciri-ciri terpuji yang disebutkan dalam beberapa ayat di permulaan surah al-Mu’minûn itu adalah orang-orang beriman yang berjaya. Namun apakah ganjaran besar yang mereka peroleh daripada kejayaan dan kecemerlangan mereka itu?
Sekali lagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menggunakan ungkapan kiasan sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Mereka itulah pewaris-pewaris. Yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Mu’minûn: 10-11)
Dalam ayat di atas, “pewaris-pewaris” adalah kiasan yang merujuk kepada orang-orang beriman yang berjaya itu. Disebut sebagai pewaris adalah untuk menunjukkan berhak dan layaknya mereka itu menerima ganjaran atas apa yang mereka lakukan dan ganjaran itu berupa syurga Firdaus dan mereka kekal di dalamnya. Maka orang selain mereka adalah tidak berhak menerima ganjaran syurga Firdaus.
Perlu diketahui, setiap manusia disediakan baginya satu tempat di syurga dan satu tempat lagi di neraka, apabila dia mati dan akhirnya menjadi ahli neraka, maka dia tetap menduduki tempatnya di neraka sementara tempatnya di syurga yang telah disediakan itu akan diwarisi oleh orang-orang beriman yang lain. Perkara ini dikhabarkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidaklah salah seorang daripada kamu melainkan baginya dua buah rumah; sebuah rumah di syurga dan sebuah rumah di neraka. Maka apabila dia meninggal dunia lalu (dia) masuk neraka, (maka) penghuni syurga mewarisi akan rumahnya itu. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Demikianlah mengenai orang-orang beriman yang berjaya itu dan antara ciri orang beriman yang berjaya itu ialah khusyû‘ dan memelihara sembahyangnya. Apabila dilihat dari sudut yang lain, khusyû‘ sebenarnya melatih dan menjadikan seseorang lebih bersikap fokus atau memberi tumpuan terhadap sesuatu. Sementara amalan memelihara sembahyang pula mengajar seseorang bijak dalam merancang dan mengurus waktu serta mengajak untuk tidak lalai dan tidak bertangguh dalam membuat sesuatu perkara. Semua ini membantu membina keperibadian individu yang lebih bertanggungjawab, pengurusan yang lebih teratur dan berkesan serta memberi hasil yang cemerlang.
Di samping itu, sembahyang juga merupakan pintu daripada pintu-pintu taubat serta penebus dosa dan kesalahan, mencegah daripada perkara keji dan munkar. Di sebalik pensyariatan sembahyang, tersimpan seribu satu hikmah. Apatah lagi dengan adanya jaminan kejayaan dan ganjaran daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi sesiapa yang memenuhi ciri-ciri khusyû‘ dan memelihara sembahyang. Maka selayaknya mereka mewarisi syurga Firdaus dan sentiasa kekal di dalamnya.
Hakikatnya! Inilah kecemerlangan yang diperoleh sepanjang kehidupan sebagai umat Islam kerana kehidupan akhirat itu adalah yang abadi. Maka benarlah sembahyang itu teras kecemerlangan umat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10059
دليل الألوان
