Istirjâ‘ Bukan Hanya Khusus Diucapkan Ketika Berlaku Kematian
الجواب
Istirjâ‘ ialah ucapan yang bermaksud: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali”. Ucapan ini sangat sinonim dengan kematian. Apabila berlaku kematian atau dikhabarkan mengenai kematian seorang yang beragama Islam, zikir ini akan diucapkan oleh orang Islam sama ada dia mempunyai kaitan dengan orang yang meninggal itu atau tidak. Tapi tahukah kita bahawa ucapan istirjâ‘ ini bukan hanya khusus diucapkan ketika berlaku kematian?
Dalil pensyariatan ucapan istirjâ‘ adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Baqarah:
Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan (kerana Kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu). Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu musibah mereka berkata: “ (sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali)”. Mereka itulah orang yang mendapat keampunan daripada Tuhan mereka dan mendapat rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayat. (Surah al-Baqarah: 155-157)
Ayat di atas turut menyatakan bahawa mereka yang mengucapkan istirjâ‘ ketika ditimpa musibah adalah mereka yang mempunyai ciri-ciri orang Islam yang memiliki sifat sabar. Walaupun mereka ditimpa musibah, mereka tetap ingat dan memperakui bahawa segala ni‘mat yang dikurniakan kepada mereka adalah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mereka tetap mentauhîdkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan memperakui ketuhananNya. Mereka percaya kepada Hari Kebangkitan dan percaya bahawa semuanya akan kembali kepadaNya. Inilah ciri orang-orang yang menerima qadha’ Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan ikhlas dan redha serta sentiasa mengharapkan ganjaranNya dan takut akan azab seksaNya.
Dalam hadits pula, Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, isteri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menceritakan:
Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tidak ada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, lalu dia mengucapkan: (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali. Ya Allah! Kurniakanlah ganjaran bagiku atas musibahku ini dan berikanlah bagiku ganti yang lebih baik daripadanya), melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan baginya sesuatu yang lebih baik daripadanya. Apabila Abu Salamah meninggal dunia, aku pun mengucapkan sepertimana yang disuruh oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Lalu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pun menggantikan bagiku sesuatu yang lebih baik daripadanya (Abu Salamah), iaitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.” (Hadits riwayat Muslim)
Hadits ini mengkhabarkan bahawa apabila Abu Salamah Radhiallâhu ‘anhu meninggal dunia, balunya iaitu Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ pun mengucapkan istirjâ‘ serta do‘a yang diajarkan kepadanya oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Lalu setelah ‘iddahnya selesai, Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ pun dinikahi pula oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Ini menunjukkan bahawa apa yang dijanjikan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits berkenaan adalah benar kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menggantikan suaminya yang telah meninggal dunia, iaitu Abu Salamah Radhiallâhu ‘anhu dengan suami yang lebih baik daripadanya iaitu Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Daripada hadits ini dapat difahami bahawa adalah sunat ditambah dan dilengkapkan ucapan istirjâ‘ itu dengan do‘a yang diajarkan oleh Baginda sebagaimana tersebut dalam hadits berkenaan khusus bagi mereka yang ditimpa suatu musibah.
Maksud Ucapan Istirjâ‘
Ucapan istirjâ‘ mempunyai maksud yang sangat mendalam. Imam al-Qurthubi Rahimahullâh berkata dalam kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qurân:
Ertinya: Allah Ta‘ala menjadikan kalimat-kalimat (istirjâ‘) ini sebagai perlindungan bagi mereka yang ditimpa musibah serta pemeliharaan bagi mereka yang ditimpa ujian dengan sebab terhimpunnya (dalam ucapan tersebut) makna-makna yang penuh keberkatan. Adapun firmanNya ( ) merupakan tauhîd dan pengakuan tentang kehambaan (diri) dan kekuasaan (Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ). Manakala firmanNya ( ) merupakan pengakuan bahawa kita semua akan binasa dan akan bangkit daripada kubur-kubur kita serta keyakinan bahawa segala urusan kembali kepadaNya, sebagaimana semuanya ini adalah milikNya.
Bila Disunatkan Mengucap Istirjâ‘?
Dalam ayat al-Qur’an dan hadits yang disebutkan sebelum ini, jelas disebutkan bahawa istirjâ‘ sunat diucapkan apabila seseorang itu ditimpa musibah. Hukum sunat ini tsabit berdasarkan ayat al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘. Mengucapkannya di awal berlaku musibah adalah lebih dituntut sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Munawi Rahimahullâh.
Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâh, sunat diperdengarkan atau dipertunjukkan ucapan istirjâ‘ itu seperti dengan menguatkan sedikit suara ketika mengucapkannya supaya orang Islam lain yang mendengarnya turut sama mengucapkannya. Jika ia didengar oleh orang bukan Islam pula, perkara itu bertujuan supaya mereka (orang bukan Islam) tahu akan kesungguhan dan kecintaan orang yang mengucapkan istirjâ‘ itu terhadap agama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta ketaatan yang tidak terbelah bahagi kepadaNya.
Apa Dia Jenis Musibah yang Disunatkan Istirjâ‘ Padanya?
Menurut ulama tafsir, antaranya Imam ath-Thabari dan Imam al-Qurthubi Rahimahumullâh, maksud musibah dalam konteks ayat al-Qur’an dan hadits berkenaan ialah apa sahaja perkara buruk atau tidak disukai yang menimpa atau menyakiti seorang Islam sama ada kerana kematian seseorang, ditimpa penyakit, kesakitan, kesedihan, keresahan, kerisauan, kehilangan harta benda dan seumpamanya. Semua ini adalah dinamakan sebagai musibah. Oleh yang demikian, apa sahaja bentuk musibah yang menimpa seorang Islam, sama ada yang kecil ataupun yang besar adalah disunatkan untuk mengucapkan istirjâ‘.
Ganjaran Mengucapkan Istirjâ‘ Ketika Ditimpa Musibah
Orang yang mengucapkan istirjâ‘ serta ditambah dengan do‘a yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila ditimpa musibah akan mendapat berbagai ganjaran dan kelebihan. Dalam kitab-kitab tafsir seperti kitab Jâmi‘ al- Bayân ‘an Ta’wîl Âyi al-Qur’ân serta kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân, ada menyebutkan beberapa pendapat ulama mengenai ganjaran atau kelebihan mengucapkan istirjâ‘ ketika ditimpa musibah, antaranya:
(1) Mendapat keampunan, rahmat, belas kasihan, pujian, hidayat dan keberkatan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (2) Dimuliakan di dunia dan di akhirat. (3) Dilepaskan daripada kesusahan yang menimpa. (4) Diringankan musibah dan kesedihan. (5) Digantikan musibah yang berlaku dengan suatu yang lebih baik. (6) Dikurniakan pahala dan dilipatgandakan ganjarannya serta dimasukkan ke dalam syurga. (7) Ditunaikan hajat.
(8) Dikurniakan ni‘mat dengan segera serta ni‘mat pada masa akan datang.
Perlu diingat bahawa untuk mendapatkan ganjaran yang sedemikian, selain dituntut untuk membaca istirjâ‘ serta do‘a yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ yang disebutkan sebelum ini, seseorang yang ditimpa musibah itu wajib berserah diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sepenuhnya, sabar dan redha kepada qadha’ dan ketentuanNya dan menghadapi segala dugaanNya dengan penuh cekal dan tabah. Walaupun dia ditimpa oleh musibah dunia, dia hendaklah tetap sabar dan taat mengerjakan segala perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan tidak berpaling dari segala kewajibannya.
Bolehkah Istirjâ‘ Diucapkan Ketika Junub?
Ucapan istirjâ‘ merupakan antara zikir yang berasal daripada ayat-ayat al-Qur’an. Sepertimana yang dimaklumi, menurut hukum asal, ayat-ayat al-Qur’an haram dibaca oleh mereka yang dalam keadaan hadats besar. Persoalan yang timbul ialah, jika berlaku musibah ketika seseorang dalam keadaan haidh umpamanya, adakah diharuskan baginya untuk mengucapkan istirjâ‘?
Persoalan ini dijawab oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh yang menyatakan bahawa harus hukumnya bagi mereka yang dalam keadaan junub, haidh atau nifâs untuk mengucapkan istirjâ‘ ketika berlaku musibah sekiranya dia meniatkannya sebagai zikir semata-mata dan bukan atas niat untuk membaca ayat al-Qur’an ketika mengucapkan istirjâ‘ itu.
Kesimpulan
Musibah merupakan ujian daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi menduga keimanan hambaNya. Sesiapa yang bersabar dan redha akan ketentuanNya lalu mengucapkan istirjâ‘ dan do‘a yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika ditimpa apa sahaja musibah, maka baginya pahala dan berbagai hikmah serta ganjaran kelebihan yang lain. Ucapan inilah yang menjadi teman seorang Islam apabila ditimpa musibah dan akan turut membantunya mengharungi saat-saat yang mendukacitakan. Oleh yang demikian, apabila ditimpa musibah, sama ada kecil atau besar, jangan sekali-kali diabaikan ucapan ini kerana selain ganjaran dan hikmahnya yang sangat besar, ia juga adalah tanda ketaatan dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10066
دليل الألوان
