Membahagikan Bacaan Al-Qur’an Untuk Mengkhatamkannya Secara Berkumpulan
الجواب
Membaca al-Qur’an merupakan salah satu ibadat yang sangat dituntut ke atas umat Islam untuk melakukannya, bahkan orang yang membacanya dikurniakan fadhilat serta ganjaran yang sangat hebat sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an dan juga hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menyebut perumpamaan membaca al-Qur’an itu sebagai perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian dan ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi orang yang membacanya.
Di Negara Brunei Darussalam, membaca al-Qur’an menjadi amalan harian di kalangan masyarakat Islam sama ada secara sendirian atau jemaah iaitu kumpulan. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan, amalan membaca al-Qur’an lebih giat dilaksanakan terutama dengan mengadakan aktiviti membacanya secara kumpulan.
Terdapat beberapa cara pembacaan al-Qur’an secara kumpulan yang biasa dilaksanakan di kalangan masyarakat. Antaranya:
i. Pembacaan al-Qur’an yang dilaksanakan dengan cara bergilir-gilir dan saling memperdengarkan bacaan masing-masing. Setiap ahli kumpulan akan membaca sambil didengar dan diperbetulkan bacaannya jika ada sebarang kesalahan oleh ahli-ahli lain. Setelah selesai bacaan tiga puluh juz, maka majlis khatam al- Qur’an diadakan.
ii. Pembacaan al-Qur’an yang dilaksanakan mengikut pembahagian juz tertentu kepada setiap ahli kumpulan. Setiap ahli kumpulan hanya membaca juz tertentu itu secara bersendirian dan tidak memperdengarkan bacaan masing-masing. Ada pula dibuat satu kumpulan di dalam aplikasi Whatsapp atau cara lainnya untuk dibahagikan bacaan al-Qur’an mengikut juz masing-masing. Setelah setiap ahli selesai membaca juz masing-masing sebagaimana pembahagian, maka majlis khatam al-Qur’an diadakan.
Namun timbul persoalan, sekiranya selesai tiga puluh juz bacaan al-Qur’an yang dibaca secara bergilir-gilir dan saling memperdengarkan bacaan masing-masing di kalangan ahli kumpulan atau setiap ahli kumpulan hanya membaca juz tertentu mengikut pembahagian dan tidak memperdengarkan bacaan masing-masing, adakah boleh dianggap sebagai khatam al-Qur’an?
Untuk menjelaskan persoalan ini lebih dahulu difahami maksud atau pengertian khatam al-Qur’an serta kaedah membaca secara kumpulan.
Apakah Maksud Khatam al-Qur’an?
Dalam kitab Faidh al-Qadir Syarh al-Jâmi‘ ash-Shaghîr dan at-Tanwîr Syarh al- Jâmi‘ ash-Shaghîr, khatam al-Qur’an bermaksud menyelesaikan bacaan al-Qur’an atau menyempurnakan bacaan al-Qur’an sehingga tiga puluh juz.
Khatam al-Qur’an merupakan amalan yang sangat digalakkan. Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:
Maksudnya: Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah amal yang paling disukai Allah?” Baginda menjawab: “Al-hâll al-murtahil”. Lelaki itu berkata: “Apa itu al-hâll al-murtahil?” Baginda berkata: “Iaitu orang yang melakukan (bacaan) dari awal al-Qur’an hingga ke akhirnya, setiap kali dia selesai (khatam) dia memulakan (lagi).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr juga ada menyebut riwayat yang serupa dan mengatakan bahawa apabila telah selesai daripada khatam al-Qur’an, disunatkan untuk memulakan bacaan baru yang bersambung dengan khatam tersebut dan disebut sebagai sebaik-baik amal.
Dalam kitab at-Tibyân fî Âdâb Hamalah al-Qur’ân pula, ketika menjelaskan tentang perkara memelihara bacaan al-Qur’an serta memperbanyakkannya, Imam an-Nawawi Rahimahullâh telah menyebut bahawa para salaf mempunyai kebiasaan yang berbeza-beza dari segi tempoh atau jangka masa untuk mengkhatam al-Qur’an. Oleh yang demikian dapat difahami bahawa orang yang membaca al-Qur’an hendaklah memelihara serta memperbanyakkan bacaan al- Qur’an sebagaimana yang dilakukan oleh para salaf iaitu dengan sentiasa membacanya sehingga khatam dan setelah khatam mengulanginya lagi. Dari penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa khatam al-Qur’an itu ialah menyelesaikan atau menyempurnakan bacaan al-Qur’an tiga puluh juz dari awal hingga akhir. Individu yang menyempurnakan bacaan al-Qur’an tiga puluh juz dari awal hingga akhir dikira telah khatam al-Qur’an sebagaimana yang disebut dalam hadits dan para ulama. Sekiranya individu tersebut hanya membaca sebahagian daripada al-Qur’an misalnya satu juz atau dua juz atau beberapa juz al-Qur’an sahaja, maka dia tidak atau belum dianggap khatam al-Qur’an.
Membaca al-Qur’an Secara Kumpulan
Dalam kitab at-Tibyân fî Âdâb Hamalah al-Qur’ân, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan bahawa membaca al-Qur’an secara kumpulan adalah mustahabb (sunat).
Hukum sunat membaca al-Qur’an secara kumpulan ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan amalan yang biasa dilakukan oleh para salaf dan khalaf daripada kalangan para sahabat dan tâbi‘în. Antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tiada duduk satu kaum di dalam masjid membaca al -Qur’an dan bertâdarus antara mereka melainkan ketenangan turun ke atas mereka, rahmat menyelubungi mereka dan para malaikat rahmat mengelilingi mereka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Maksud tâdarus itu ialah seorang pembaca membaca dan diperdengarkannya bacaan ayat-ayat al-Qur’an kepada pendengar yang lain. Setelah itu, giliran pendengar tadi pula untuk membacakan ayat al-Qur’an lalu diperdengarkannya kepada pembaca pertama tadi, sama ada ayat yang dibacakan adalah ayat yang serupa dengan apa yang telah dibacakan oleh pembaca pertama ataupun ayat yang berlainan. Maksud yang lain, pembaca al-Qur’an membacanya bergilir-gilir.
Berdasarkan huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa membaca al-Qur’an secara kumpulan adalah amalan yang digalakkan. Secara praktikalnya aktiviti membaca al-Qur’an dengan cara sebegini biasanya dilakukan sekurang-kurang oleh dua orang pembaca atau dalam kumpulan yang lebih ramai. Setiap orang akan membaca dan memperdengarkan bacaan masing-masing dengan bersungguh-sungguh menjaga lafaz atau sebutan ayat-ayat al-Qur’an sementara yang mendengar berkewajiban untuk mendengar dan menyemak bacaan tersebut. Sekiranya terdapat kesilapan atau kesalahan dalam bacaan, maka orang yang mendengar dan menyemak akan segera memperbetulkannya.
Adakah Membaca Al-Qur’an Secara Bergilir-gilir Sehingga Selesai Tiga Puluh Juz Dikira Khatam Al-Qur’an?
Jika orang-orang yang membaca al-Qur’an secara kumpulan itu menggunakan kaedah pembacaan bergilir-gilir dan saling memperdengarkan bacaan masing-masing sehingga tiga puluh juz, maka mereka semuanya dikira khatam al-Qur’an kerana setiap ahli dalam kumpulan tersebut telah saling membaca dan memperdengarkan bacaan al-Qur’an mereka dari awal hingga akhir al-Qur’an.
Sebagai contoh, sebahagian daripada ahli kumpulan membaca misalnya sepuluh ayat atau satu juz atau seumpamanya, kemudian berhenti dan diam setelah selesai bacaannya, seterusnya bacaan disambung pula oleh pembaca lain dengan memulai bacaan dari tempat berhenti bacaan pembaca pertama dan seterusnya disambung lagi oleh pembaca yang lain sehingga selesai tiga puluh juz. Oleh itu, setiap ahli yang telah membaca dan sama-sama mendengar bacaan orang lain sehingga selesai tiga puluh juz adalah dikira khatam al-Qur’an.
Pembacaan Al-Qur’an Mengikut Pembahagian Juz Tertentu Dengan Tujuan Mengkhatamkannya, Adakah Dianggap Khatam?
Fadhilat serta ganjaran yang janjikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada orang yang membaca al-Qur’an menyebabkan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menjadikan al-Qur’an sebagai amalan harian. Ada yang mengambil inisiatif mengumpul keluarga atau kawan-kawan dan menubuhkan kumpulan khusus untuk membaca al-Qur’an dan membahagikan juz-juz atau ayat-ayat al- Qur’an di kalangan mereka untuk dibaca sehingga selesai. Apa lagi dengan adanya kemudahan telekomunikasi melalui aplikasi Whatsapp atau Telegram umpamanya, kumpulan membaca al-Qur’an mudah ditubuhkan dan hasil bacaan cepat dikemas kini setiap waktu. Pembahagian juz-juz atau ayat-ayat al-Qur’an dibaca dengan cara berasingan atau bersendirian di tempat masing-masing dan tidak memperdengarkan kepada ahli yang lain.
Pembahagian cara begini tidak menjadi suatu kesalahan, bahkan ia merupakan perkara yang baik untuk dilaksanakan bagi memperoleh fadhilat dan ganjaran pahala membaca al-Qur’an. Selain itu cara sedemikian dilihat sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan orang ramai lebih giat membaca atau memperbanyak bacaan al-Qur’an.
Walau bagaimanapun aktiviti seperti ini, iaitu membaca al-Qur’an berkumpulan dengan cara membahagikan bacaan al-Qur’an mengikut juz masing-masing tanpa membaca atau mendengar bacaan yang selainnya adalah tidak dikira sebagai khatam al-Qur’an, kerana tidak ada sesiapapun daripada mereka yang telah menghabiskan pembacaan al-Qur’an atau membaca dan mendengar bacaan rakan dalam kumpulan sehingga selesai tiga puluh juz malah mereka hanya membaca secara bersendirian sebahagian daripada al-Qur’an sahaja.
Maka dalam keadaan tersebut adalah tidak sesuai untuk mengadakan majlis khatam mengenainya. Walau bagaimanapun majlis khatam masih sahaja boleh diadakan dengan cara sekurang-kurangnya jika ada seorang daripada ahli kumpulan yang menyempurnakan bacaan tiga puluh juz, maka bolehlah bersama-sama mengkhatamkan bacaannya di majlis tersebut bagi memperolehi fadhilat khusus majlis khatam al-Qur’an.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10098
دليل الألوان
