Banyakkan Berdo‘a Ketika BerpuasaDan Selepas Bersungkai (Berbuka)
الجواب
Kedatangan bulan Ramadhan yang dinanti-nantikan adalah merupakan rahmat bagi setiap orang yang beriman. Di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit, pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat.
Sebagai seorang yang beriman, sudah setentunya tidak ingin terlepas segala peluang yang ada untuk meraih keistimewaan dan ganjaran pahala yang banyak lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini. Setiap amal kebajikan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda. Segala do‘a dikabulkan dan pintu pengampunan terbuka luas bagi setiap orang yang beriman dan orang-orang yang kembali ke jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Untuk itu, sama-samalah kita meraih peluang istimewa yang diberikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan yang penuh berkat, serta sentiasa membasahkan bibir dengan berzikir dan berdo‘a selama menjalankan ibadat puasa.
Tuntutan Untuk Berdo‘a
Berdo‘a adalah salah satu daripada elemen yang penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah pengakuan seorang hamba terhadap kekuasaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang muthlaq terhadap segala yang berlaku. Manakala dari segi yang lain pula, ia adalah bentuk pengabdian seorang hamba kerana hadirnya perasaan berhajat dan bergantung kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Berdasarkan ini, do‘a mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Ta‘ala daripada do‘a. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Keistimewaan Umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam Berhubung Dengan Do‘a
Al-Hakim at-Tirmidzi Rahimahullâh dalam kitab Nawâdir al-Ushûl mengatakan bahawa umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah umat yang diberikan keutamaan dari segi do‘a berbanding umat-umat lain. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdo‘alah kepadaKu nescaya Aku memperkenankan do‘a kamu.” (Surah Ghafir: 60)
Perintah berdo‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berserta do‘a yang dikabulkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu pada asalnya adalah bagi para anbiyâ’ ‘Alaihim as-salâm. Kemudian ia diberikan kepada umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sepertimana diberikan kepada para anbiyâ’ ‘Alaihim as-salâm sebelum ini. Maka apabila masuk percampuran dalam keadaan-keadaan umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu, iaitu percampuran dari segi syahwat yang menguasai hati mereka, terhijâblah hati mereka daripada do‘a yang dikabulkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Oleh yang demikian, puasa itulah yang menahan dan melindungi diri daripada dikuasai oleh syahwat. Jika dia meninggalkan panggilan syahwatnya disebabkan puasa, hatinya akan menjadi suci dan do‘anya akan dilakukan dengan hati yang kosong yang terlepas daripada kegelapan syahwat dan dipenuhi cahaya. Maka dalam keadaan ini, do‘anya akan dikabulkan.
Jika apa yang dido‘akannya itu sudah ditakdirkan baginya, maka ia akan dikabulkan dengan cepat baginya. Jika ia bukan apa yang ditakdirkan baginya, maka ia akan menjadi simpanan pahala baginya pada Hari Akhirat.
Bulan Ramadhan antara Waktu Do‘a Mudah Dikabulkan
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan dan mendorong hambaNya untuk sentiasa berdo‘a dan memohon kepadaNya pada bila-bila masa. Dia telah berjanji untuk memakbulkan permohonan mereka, bahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ malu jika menolak permintaan hambaNya dengan tangan kosong. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai Aku, maka (katakan kepada mereka): “Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdo‘a apabila dia berdo‘a kepadaKu.” (Surah al-Baqarah: 186)
Salman al-Farisi Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kamu itu Pemalu lagi Pemurah, Dia malu kepada hambaNya apabila (berdo‘a) mengangkat kedua-dua tangannya memohon kepadaNya, dan mengembalikan kedua-dua tangannya dengan tidak memberikannya apa-apa (daripada rahmatNya). (Hadits riwayat Abu Daud)
Bahkan terdapat beberapa waktu, saat-saat atau keadaan-keadaan yang tertentu yang mana apabila seseorang itu berdo‘a pada waktu atau keadaan tertentu itu, do‘anya lebih mudah dan cepat dikabulkan berbanding di waktu atau keadaan lain. Antara waktu dan keadaan tersebut adalah bulan Ramadhan. Ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang agung, bulan yang mulia lagi berkat serta dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa apabila tiba bulan Ramadhan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah fardhukan ke atas kamu (di dalam bulan Ramadhan ini) berpuasa, dibuka dalamnya (dalam bulan Ramadhan) pintu-pintu syurga, dikunci dalamnya pintu-pintu neraka dan dibelenggu dalamnya syaitan-syaitan. (Hadits riwayat Ahmad)
Banyakkan Berdo‘a Ketika Berpuasa
Sunat bagi orang yang berpuasa itu untuk sentiasa membasahkan bibirnya dengan zikir dan do‘a sepanjang hari dia menjalani ibadat puasa.
Sesungguhnya ibadat puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan membolehkan seseorang itu hampir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dengan demikian akan memudahkan lagi segala zikir dan do‘anya diterima dan dikabulkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Oleh itu, sunat bagi orang yang berpuasa, iaitu pada ketika dia sedang berpuasa, untuk berdo‘a memohon kepentingan-kepentingan akhirat dan dunia bagi dirinya, bagi sesiapa yang dia suka dan bagi kaum Muslimin amnya.
Tambahan lagi, do‘a orang yang berpuasa itu tidak ditolak sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan yang tidak ditolak do‘a mereka: Orang yang berpuasa sehingga dia bersungkai (berbuka), imam (pemerintah) yang ‘âdil dan do‘a orang yang dizalimi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Menurut Imam al-Munawi Rahimahullâh, yang dimaksudkan daripada lafaz hadits ‘sehingga dia bersungkai’ itu ialah apabila seseorang itu berpuasa dengan sempurna yang menjaga keseluruhan anggotanya daripada kesalahan-kesalahan (iaitu kesalahan-kesalahan yang boleh merosakkan puasa), maka dimakbulkan do‘anya disebabkan jasadnya yang bersih kerana melawan hawa nafsu.
Berdo‘a Sejurus Selepas Bersungkai
Disunatkan juga untuk membaca do‘a sejurus selepas bersungkai.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh ketika mensyarahkan kitab Minhâj ath- Thâlibîn karangan Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan dalam kitab beliau:
Maksudnya: [Dan] sunat hukumnya [untuk mengatakan ketika bersungkai] iaitu selepasnya (bersungkai)...
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullah juga menegaskan:
Maksudnya: Dan katanya (Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh): “Selepas bersungkai, maksudnya (hukum sunat berdo‘a itu terhasil) selepas terjadinya sungkai itu, bukan sebelumnya dan bukan pada ketika itu.”
Sunat bagi seseorang itu sejurus selepas bersungkai untuk membaca do‘a-do‘a, antaranya seperti berikut:
1. Diriwayatkan dalam hadits mursal daripada Mu‘adz bin Zuhrah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca do‘a ini selepas bersungkai:
Maksudnya: Ya Allah! KeranaMu aku telah berpuasa dan di atas rezekiMu, aku telah bersungkai.
Menurut al-Mutawalli Rahimahullâh, sunat untuk menambah do‘a berikut:
Maksudnya: Dan kepadaMu sahaja aku telah berserah diri, dan kepadaMu aku telah beriman, dan terhadap rahmatMu aku telah berharap dan kepadaMu aku telah kembali.
Menurut al-Maqdisi Rahimahullâh, elok juga untuk menambah selepasnya do‘a berikut:
Maksudnya: Dengan kesucianMu dan dengan segala pujianMu, terimalah daripada kami (segala amal ibadat kami), sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Allah! Sesungguhnya Engkau (Tuhan) Yang Maha Pengampun yang menyukai pengampunan, maka ampunilah aku.
2. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca do‘a ini selepas bersungkai:
Maksudnya: Telah hilang kehausan dan telah basah urat-urat dan pasti dikurniakan pahala dengan kehendak Allah.
3. Diriwayatkan bahawasanya Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ membaca do‘a ini:
Maksudnya: Wahai (Tuhan) Yang Maha Luas kelebihanNya ampunilah aku.
4. Diriwayatkan daripada Mu‘adz bin Zuhrah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca do‘a ini:
Maksudnya: Segala puji-pujian bagi Allah yang telah menolongku maka dapatlah aku berpuasa dan telah memberi rezeki kepadaku maka dapatlah aku berbuka.
5. Diriwayatkan daripada Ibnu Abu Mulaikah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya beliau mendengar ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ membaca do‘a ini selepas bersungkai:
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan rahmatMu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkanku.
6. Apabila bersungkai di tempat orang lain pula, elok dibaca do‘a sebagaimana yang dibaca oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berkunjung bersungkai di rumah Sa‘ad bin ‘Ubadah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Orang-orang yang baik makan makanan kamu, dan semoga malaikat memohonkan rahmat buat kamu, orang-orang yang berpuasa bersungkai di tempat kamu.
Kesimpulan Kita sepatutnya bersyukur kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana betapa banyak ni‘mat dan rahmat yang telah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kurniakan kepada hambaNya yang beriman. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menjadikan keseluruhan bulan Ramadhan sebagai waktu yang dimakbulkan do‘a. Tidak cukup dengan itu, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjanjikan lagi dua waktu, iaitu apabila seseorang itu sedang berpuasa dan waktu sejurus selepas bersungkai sebagai waktu-waktu yang tidak ditolak do‘anya.
Oleh itu, manfaatkanlah bulan Ramadhan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan amal ibadat kita, khususnya berzikir dan berdo‘a di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh berkat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10101
دليل الألوان
