Al-Qur’an Asas Pembangunan Diri
الجواب
Salah satu sejarah terbesar umat Islam yang berlaku di bulan Ramadhan adalah berlakunya nuzûl al-Qur’an iaitu peristiwa turunnya al-Qur’an sebagai petunjuk dan pedoman kepada umat manusia sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur’an itu pada malam yang berkat. Sesungguhnya Kami ialah Pemberi Peringatan. (Surah ad-Dukhân: 3)
Sebagaimana yang diketahui, al-Qur’an merupakan kitab Allah yang bukan sahaja dituntut untuk dibaca, bahkan untuk dijadikan rujukan dan panduan bagi segenap perkara dalam kehidupan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Al-Qur’an ini menjadi panduan bagi manusia dan petunjuk serta rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya). (Surah al-Jâtsiyah: 20)
Dalam kitab Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân, perkataan bermaksud petunjuk. Ia juga bermaksud bimbingan atau jalan yang membawa ke syurga bagi sesiapa yang mengambil daripadanya (untuk diamalkan), bahkan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga diperolehi di akhirat bagi sesiapa yang meyakini kebenarannya. Inilah keistimewaan al-Qur’an sebagai kitab agung umat Islam. Antara keagungannya, adalah sebagai pembangun akhlak mulia seorang insan yang menjadikan akhirat sebagai matlamat. Maka tidak syak lagi, amalan membaca al-Qur’an sekaligus mengamalkan isi kandungannya adalah jalan ke arah kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Membaca Al-Qur’an dan Fadhilatnya
Membaca al-Qur’an merupakan perkara sunat yang dituntut ke atas setiap orang Islam. Membacanya pula adalah satu ibadat. Orang yang membaca al-Qur’an dijanjikan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan ganjaran dan fadhilat yang amat besar.
Sebagai contoh, al-Qur’an itu dianggap sebagai sebuah perniagaan yang tidak akan ditimpa kerugian, bahkan orang yang membaca dan mengamalkannya akan memperolehi pahala yang berlipat ganda sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa (melazimkan) membaca Kitab Allah (al-Qur’an) dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka sama ada secara bersembunyi-sembunyi atau secara berterang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang sekali-sekali tidak akan rugi. (Surah Fâthir: 29) Di dalam hadits, disebutkan bahawa istimewanya al-Qur’an itu antaranya sebagai pemberi syafaat kepada orang yang membacanya pada Hari Kiamat kelak. Diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bacalah al-Qur’an, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuan-tuannya (pembaca-pembacanya). (Hadits riwayat Muslim)
Selain itu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga menyebut bahawa pembaca al-Qur’an akan memperolehi kedudukan yang tinggi di syurga dan memperolehi kemuliaan serta ibu bapanya diberi rahmat.
Al-Qur’an juga disunatkan untuk dibaca secara berjemaah atau berkumpulan sebagaimana disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab at-Tibyân fi Âdâb Hamalah al-Qur’ân berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan ia juga menjadi amalan yang biasa dilakukan oleh para salaf dan khalaf daripada kalangan para sahabat dan tâbi‘în.
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak berkumpul suatu kaum dalam satu rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid-masjid), mereka itu membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan saling bertadârus (membaca dan memperdengarkan bacaan) di antara mereka, kecuali akan turun ke atas mereka ketenangan dan diliputi dengan rahmat dan dikelilingi oleh para malaikat dan Allah Ta‘ala akan menyebut-nyebut mereka kepada siapa yang dekat di sisiNya (malaikat). (Hadits riwayat Muslim)
Berpegang Teguh Kepada Al-Qur’an dan Mengamalkan Isi Kandungannya
Al-Qur’an diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai penjelasan bagi membezakan di antara suatu yang hak dan bâthil sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Masa yang diwajibkan ke atas kamu berpuasa itu ialah pada) bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dengan yang salah. (Surah al-Baqarah: 185)
Al-Qur’an merupakan sumber hukum Islam yang pertama kemudian diikuti dengan as-sunnah. Disebut jelas dalam ayat di atas dan beberapa ayat-ayat lain bahawa ia merupakan sumber hidayah, petunjuk dan panduan yang sempurna mencakup semua perkara dalam kehidupan. Ini kerana di dalamnya mengandungi penjelasan-penjelasan lengkap dan mencukupi untuk menjadi panduan dalam jiwa manusia serta menjadi petunjuk daripada kesesatan dan berupa rahmat daripada azab kepada sesiapa yang beriman dan meyakininya.
Bagi memahami kandungan al-Qur’an, terdapat para ulama yang membahasnya dalam bidang yang disebut sebagai ‘ulûm al-Qur’an iaitu ilmu-ilmu berkaitan al- Qur’an al-Karim. Antaranya Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh (745H-794H) dan Imam as-Suyuthi Rahimahullâh (849H-911H). Dalam kitab al-Burhân fî ‘Ulûm al-Qur’ân, Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh, menyebutkan bahawa induk ‘ulûm al- Qur’an itu ada tiga, iaitu:
1. Tauhîd (pengesaan), termasuk di dalamnya pengetahuan tentang makhluk-makhluk, pengetahuan tentang Pencipta (Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) serta nama-namaNya, sifat-sifatNya dan lain-lain.
2. Tadzkîr (peringatan), antaranya janji baik atau janji buruk, syurga dan neraka, penyucian zahir dan batin.
3. Ahkâm (hukum-hakam), antaranya taklîf (tuntutan-tuntutan agama) keseluruhannya, penerangan mengenai perkara-perkara yang bermanfaat dan yang mudharat, perintah dan larangan dan yang sunat.
Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh dalam kitab beliau di atas juga menaqal beberapa pendapat para ulama lain berkaitan ilmu al-Qur’an. Antaranya Muhammad bin Jarir ath-Thabari Rahimahullâh yang menjelaskan bahawa al-Qur’an itu mengandungi tiga perkara iaitu tauhîd (pengesaan), ikhbâr (perkhabaran) dan ad-diyânât (perkara-perkara berkaitan agama). Selain itu, banyak lagi kitab-kitab penulisan hasil para ulama yang mengkaji mengenai ilmu al-Qur’an ini.
Tidak syak lagi, al-Qur’an itu kitab panduan lengkap bagi seluruh umat manusia. Dalam kitab Manâhil al-‘Irfân fî ‘Ulûm al-Qur’ân disebut bahawa al-Qur’an itu merupakan peraturan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang turun untuk memperbaiki dan memperelok hamba-hambaNya. Ia merupakan undang-undang langit yang diturunkan untuk memberi hidayah dan bimbingan kepada dunia. Ia penyudah setiap pensyariatan dan ia juga diturunkan untuk membawa kejayaan, kemajuan, kebahagiaan dan kegembiraan.
Orang yang mengikuti dan mentaati peraturan dan petunjuk Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melalui Rasul dan kitabNya, akan diberi pedoman dan tidak akan sesat sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka jika datang kepada kamu petunjuk daripadaKu (melalui rasul-rasul dan kitab-kitab) maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat (di dunia) dan tidak akan menderita (di akhirat). (Surah Thâ Hâ: 123)
Dalam kitab Tafsîr ath-Thabari dijelaskan bahawa sesiapa yang mengikut petunjuk Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka dia tidak akan sesat bahkan diberi panduan dan pedoman di dunia. Bahkan dia juga tidak menderita di akhirat disebabkan azabNya kerana dia akan dimasukkan ke syurga oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dilindungi daripada azabNya.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga ada berpesan kepada umat Baginda supaya sentiasa berpegang teguh kepada al-Qu’ran. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Aku tinggalkan kepada kamu apa yang jika kamu berpegang teguh padanya, maka kamu tidak tersesat selama-lamanya: (iaitu) Kitab Allah (al- Qur’an) dan sunnah nabiNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Hadits riwayat al-Hakim)
Imam az-Zarqani Rahimahullâh menyebut bahawa umat Islam wajib berpegang teguh kepada al-Qur’an dan as-sunnah kerana kedua-duanya merupakan sumber hidayah, petunjuk dan panduan. Orang yang berpegang teguh kepada kedua-duanya dijanjikan perlindungan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Oleh itu, kewajiban untuk kembali kepada kedua-duanya adalah suatu perkara agama yang wajib diketahui oleh seluruh umat Islam.
Jelasnya, umat Islam wajib berpegang teguh dengan al-Qur’an dan sekali-kali tidak berpaling ataupun membelakangkannya. Ia adalah sumber rujukan yang lengkap bagi kesejahteraan dan pembangunan kehidupan umat manusia yang merangkumi ‘aqidah, akhlak dan syari‘ah. Membacanya adalah satu ibadat, manakala mengamalkannya pula membawa kepada kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10107
دليل الألوان
