Mengqadha’ Sembahyang Sunat ‘Idul-Fithri!
الجواب
‘Idul-fithri merupakan hari yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam. Ia merupakan hari yang penuh keberkatan, kegembiraan, kemeriahan dan merupakan kurniaan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Justeru ketibaannya wajar disyukuri oleh seluruh umat Islam. Banyak cara yang boleh dilakukan untuk mensyukuri kurnia Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu, antaranya dengan mengerjakan sembahyang sunat ‘Idul-fithri.
Sembahyang sunat ‘Idul-fithri hukumnya sunat mu‘akkadah iaitu sembahyang sunat yang sangat dituntut untuk umat Islam mengerjakannya. Ia sunat dikerjakan oleh orang yang mukallaf, sama ada lelaki atau perempuan, yang bermuqîm atau yang sedang musafir. Ia sunat dan afdhal dikerjakan secara berjemaah, akan tetapi boleh juga dilakukan secara bersendirian.
Sembahyang sunat ‘Idul-fithri afdhal dilakukan di masjid, kerana ia adalah tempat yang mulia. Namun dalam keadaan tertentu seperti sakit, musim penularan wabak dan sebagainya yang tidak memungkinkan orang mengerjakannya di masjid, sembahyang sunat ‘Idulfitri itu masih tidak wajar ditinggalkan kerana ia boleh saja dikerjakan di rumah sama ada secara bersendirian atau berjemaah bersama keluarga.
Sekiranya ia dikerjakan di rumah bersama ahli keluarga, maka kaifiyyahnya sama sahaja sepertimana dikerjakan secara berjemaah di masjid. Bagaimanapun, sekiranya ia dikerjakan secara bersendirian, khuthbah tidaklah disunatkan. Demikian juga bagi jemaah perempuan, melainkan ada lelaki yang membacakan khutbah untuk mereka.
Waktu Sembahyang Sunat ‘Idul-fithri
Waktu sembahyang sunat ‘Idul-fithri adalah di antara terbit matahari (terbitnya sebahagian daripada matahari) dan tergelincir matahari (sebelum masuk waktu Zhuhur) pada 1 Syawwal. Akan tetapi sunat dan afdhal diakhirkan sembahyang sunat ‘Idul-fithri itu sehingga naik matahari dengan kadar tinggi segalah (kira-kira 7 hasta pada pandangan mata kasar) pada hari tersebut sebagai ittibâ‘ (mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).
Di Negara Brunei Darussalam, kebiasaannya sembahyang sunat ‘Idul-fithri di masjid-masjid, surau dan balai ibadat ditetapkan untuk dilaksanakan bermula pada jam 7.30 pagi.
Bolehkah Diqadha’ Sembahyang Sunat ‘Idul-fithri?
Sekiranya seseorang terluput mengerjakan sembahyang sunat ‘Idul-fithri pada waktunya, iaitu dia belum mengerjakannya sehingga tergelincir matahari pada 1 Syawwal, adakah dia boleh menqadha’nya? Bagaimana pula kaifiyyah pelaksanaannya jika ia boleh diqadha’?
Sembahyang sunat ‘Idul-fithri termasuk dalam kategori sembahyang sunat mu‘akkad iaitu sembahyang sunat yang ada ditentukan masa untuk mengerjakannya oleh syara‘. Menurut pendapat yang azhhar dalam mazhab asy- Syafi‘i, semua sembahyang sunat mu‘akkad sunat untuk diqadha’.
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: (Sekiranya terluput sembahyang sunat mu‘akkad) yang disunatkan berjemaah padanya seperti sembahyang Hari Raya atau yang tidak disunatkan berjemaah padanya seperti sembahyang Dhuha, (disunatkan untuk menqadha’nya menurut pendapat yang azhhar).
Ini berdasarkan beberapa dalil antaranya hadits riwayat Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa mengerjakan sembahyang, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyangnya itu apabila dia teringat akannya. (Hadits riwayat Muslim)
Qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepertimana halnya qadha’ sembahyang sunat rawâtib. Ini adalah pendapat yang azhhar dalam mazhab asy-Syafi‘i. Oleh yang demikian, qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri ini boleh dikerjakan sama ada pada hari berkenaan (1 Syawwal) atau pada hari-hari selepasnya walaupun selepas berlalu bulan Syawwal. Bagaimanapun, mengerjakannya dengan segera adalah lebih afdhal atas dasar menyegerakan ibadat supaya qadha’ itu dikerjakan lebih dekat dengan waktu tunainya.
Sepertimana keadaannya ketika dikerjakan secara tunai, qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri juga boleh dikerjakan sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian. Mengenai kaifiyyahnya pula, adakah qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri itu dikerjakan sepertimana ia dikerjakan ketika tunai?
Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata dalam Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Sekiranya seseorang itu terluput sembahyang sunat Hari Raya lalu dia menqadha’nya, (hendaklah) dia mengerjakan takbîr (az-zawâ’id) dalam sembahyangnya itu, sama ada dia menqadha’nya pada Hari Raya atau pada hari lainnya.
Takbîr az-zawâ’id di atas bermaksud takbîr yang dilakukan sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama sembahyang sunat Hari Raya, iaitu selepas membaca do‘a iftitâh dan sebelum membaca at-ta‘awwudz dan surah al-Fâtihah, dan lima kali selepas takbîr intiqâl iaitu takbîr ketika bangun dari sujud pada rakaat kedua sebelum membaca at-ta‘awwudz dan surah al-Fâtihah.
Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah lagi, sembahyang sunat ‘Idul-fithri yang diqadha’ itu hendaklah dikerjakan secara jahr (menyaringkan bacaan) sepertimana asalnya ketika dikerjakan secara tunai. Ini bererti bahawa qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri itu tetap sunat dikerjakan secara jahr pada bila-bila masa ia dikerjakan, walaupun qadha’ itu dikerjakan pada waktu yang disunatkan membaca secara sirr. Bahkan disunatkan khutbah jika dikerjakan qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri itu secara berjemaah.
Ini bererti, walaupun sembahyang sunat ‘Idul-fithri itu dikerjakan secara qadha’, ia tetap dikerjakan sepertimana kaifiyyahnya ketika dikerjakan secara tunai. Ini adalah pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i. Imam al-Bulqini Rahimahullâh berkata dalam at-Tadrîb:
Ertinya: Dan diqadha’ (sembahyang sunat Hari Raya) itu jika luput waktunya sepertimana bentuk kaifiyyahnya (ketika ia dikerjakan secara tunai).
Ini tidak ada bezanya sama ada qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri itu dikerjakan pada selepas waktu zawâl (tergelincir matahari) 1 Syawwal itu juga ataupun pada hari lainnya. Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh, hal ini juga tidak ada bezanya sama ada qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri itu dikerjakan pada waktu siang atau pada waktu malam.
Demikian penjelasan mengenai hukum dan kaifiyyah menqadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri yang terluput dari waktunya. Kesimpulannya, sembahyang sunat ‘Idul-fithri sunat diqadha’ sekiranya seseorang itu terluput mengerjakannya secara tunai pada waktunya. Qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri dikerjakan sepertimana kaifiyyah ia dikerjakan secara tunai. Ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sama ada secara bersendirian atau secara berjemaah. Bagaimanapun, mengerjakan qadha’ sembahyang sunat ‘Idul-fithri itu dengan segera adalah lebih afdhal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10111
دليل الألوان
