Bukan Semua Nazar Boleh DigantiDengan Kaffârah
الجواب
Amalan bernazar merupakan salah satu cara untuk mendapatkan syafaat dan keredhaan serta mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Apabila seseorang bernazar, bererti dia telah mewajibkan dirinya dengan suatu ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ketaatan yang dimaksudkan itu adalah ketaatan yang pada asalnya tidak wajib ke atas dirinya.
Nazar itu wajib ditunaikan sekiranya berlaku perkara yang disyaratkan dalam nazar tersebut. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri (bertahallul) dan menyempurnakan nazar-nazar mereka. ajj: 29)H-(Surah al
Perkara ini juga tsabit dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu), dan sesiapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia melaksanakan nazarnya itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jenis-jenis Nazar
Nazar terbahagi kepada dua bahagian iaitu nazar al-lajâj dan nazar at-tabarrur.
1. Nazar al-lajâj
Nazar al-lajâj dinamakan juga sebagai nazar al-ghalaq, nazar al -ghadhab, nazar al-qalaq atau yamîn al-lajâj, yamîn al-ghalaq serta yamîn al-qalaq. Ia adalah nazar yang berlaku apabila seseorang yang dalam keadaan sedang marah atau tidak berpuas hati. Dalam keadaan tersebut dia bernazar untuk melakukan suatu ketaatan bagi tujuan menegah dirinya atau orang lain daripada melakukan sesuatu, untuk menggesa dirinya atau orang lain supaya melakukan sesuatu atau hendak membenarkan suatu perkhabaran.
Contohnya seseorang menegah dirinya daripada bercakap dengan salah seorang sahabatnya, lalu dia bernazar:
“Kalau aku bercakap dengan si fulan itu, maka wajib atasku berpuasa tujuh hari.”
2. Nazar at-tabarrur.
Nazar at-tabarrur pula ialah nazar yang diniatkan semata-mata untuk bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ). Nazar ini terbahagi kepada dua iaitu:
(i) Nazar al-mujâzah.
Nazar al-mujâzah atau dinamakan juga sebagai nazar al -mukâfa’ah berlaku apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan suatu ketaatan jika berlaku suatu ni‘mat atau terhindar daripada suatu perkara yang buruk.
Contohnya seseorang bernazar:
“Kalau aku sembuh dari penyakit ini, maka wajib atasku bersedekah kepada si fulan.”
(ii) Nazar al-muthlaq.
Nazar al-muthlaq berlaku apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan suatu ketaatan tanpa mengaitkan dengan sesuatu.
Contohnya seseorang bernazar:
“Demi Allah, wajib atasku bersembahyang dua rakaat.”
Hukum Nazar Al-Lajâj dan Nazar At-Tabarrur
Hukum nazar adalah mengikut jenis nazar. Jika nazar itu daripada jenis nazar al-lajâj, maka hukumnya adalah makruh. Adapun jika nazar itu daripada jenis nazar at-tabarrur, maka hukumnya adalah sunat. Perkara ini disebut oleh Imam Ibnu ar- Rif‘ah Rahimahullâh dengan katanya:
Ertinya: Sesungguhnya ia (nazar) adalah qurbah (perbuatan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) pada nazar at -tabarrur dan bukan (qurbah) pada selainnya.
Pendapat Ibnu ar-Rif‘ah Rahimahullâh ini adalah pendapat yang dipilih oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam ar-Ramli, Imam asy-Syarbini Rahimahumullâh dan lainnya dan ia merupakan pendapat yang paling shahîh dan mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i.
• Hukum nazar al-lajâj dan dalilnya;
Nazar al-lajâj hukumnya adalah makruh. Ini berdasarkan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ dia berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada bernazar, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya nazar itu tidak dapat menolak sesuatu (bahaya), akan tetapi dengan sebab nazar itu ketaatan dilakukan oleh seorang yang bakhil.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam hadits di atas jelas bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang umatnya daripada melakukan nazar. Menurut pendapat al-ashah, nazar dalam konteks hadits di atas adalah khusus bagi nazar al-lajâj.
Maka berdasarkan hadits tersebut, para ulama mengistinbâthkan bahawa hukum nazar al-lajâj adalah makruh. Ini diperkuatkan lagi dengan hujjah bahawa nazar al-lajâj bukan dinazarkan atas tujuan taqarrub kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bahkan ia dinazarkan ketika sedang marah dan rasa tidak puas hati sepertimana yang dijelaskan sebelum ini. Maka ia bukanlah suatu wasîlah atau jalan yang menyampaikan kepada pelaksanaan suatu ketaatan.
Walaupun hukum nazar al-lajâj ini makruh, akan tetapi apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan suatu ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka wajib ke atasnya melaksanakan apa yang dinazarkannya itu. Apabila ditunaikannya, maka dia akan mendapat pahala.
• Hukum nazar at-tabarrur dan dalilnya;
Nazar at-tabarrur hukumnya adalah sunat. Ini berdasarkan beberapa hujjah antaranya:
(i) Nazar at-tabarrur diniatkan bagi tujuan taqarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini berbeza dengan nazar al-lajâj yang dilaksanakan bukan atas tujuan taqarrub sepertimana yang dijelaskan sebelum ini.
(ii) Nazar adalah wasîlah atau jalan yang menyampaikan kepada pelaksanaan suatu qurbah atau ketaatan. Ini kerana apabila perkara yang disyaratkan dalam nazar itu berlaku (contohnya lulus dalam peperiksaan), maka ia membawa kepada pelaksanaan qurbah yang dinazarkan (contohnya berpuasa tiga hari). Suatu wasîlah yang membawa kepada perkara yang diperintahkan, bererti ia juga turut diperintahkan. Kaedah fiqh menyebutkan:
Ertinya: Wasîlah-wasîlah itu mengambil hukum-hakam maqâshid (tujuan-tujuan).
(iii) Qurbah yang ditunaikan kerana nazar itu diberikan ganjaran pahala wajib sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Qadhi Hussain Rahimahullâh di mana ganjaran pahala wajib itu melebihi daripada pahala sunat sebanyak tujuh puluh darjat.
(iv) Nazar tidak sah daripada orang kafir kerana ia (nazar) itu adalah taqarrub atau perbuatan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Walaupun hukum asal nazar at-tabarrur adalah sunat, ia boleh menjadi makruh atas sebab-sebab tertentu, iaitu sekiranya orang yang hendak bernazar itu:
(i) Takut tidak mampu melaksanakan nazarnya.
(ii) Takut terjerumus kepada kesan-kesan buruk yang boleh terjadi disebabkan bernazar seperti timbul sangkaan bahawa nazar itu dapat mengubah takdir atau sikap mengharapkan balasan atas sesuatu amalan.
Bila Kaffârah Menjadi Pilihan atau Ganti Dalam Melaksanakan Nazar?
Antara perkara yang menjadi kekeliruan dalam perkara nazar adalah mengenai kaffârah. Ini kerana terdapat sebahagian orang menyangka bahawa apabila mereka bernazar, lalu tidak mampu melaksanakan nazar mereka itu, maka mereka boleh menggantikannya dengan kaffârah. Walaupun pendapat ini ada betulnya, tetapi ia bukanlah secara muthlaq. Ini kerana tidak semua nazar itu boleh diganti dengan kaffârah.
Bagi memahami perkara ini, berikut dijelaskan cara pelaksanaan nazar bagi setiap jenis nazar:
(i) Nazar al-lajâj.
Dalam nazar al-lajâj, sekiranya berlaku perkara yang disyaratkan dalam nazar, orang yang bernazar itu diberi pilihan sama ada untuk melaksanakan nazarnya atau menggantikannya dengan kaffârah.
Contohnya:
Seseorang menegah dirinya daripada keluar dari suatu negeri lalu bernazar:
“Kalau aku keluar dari negeri ini, maka wajib atasku berpuasa satu bulan.”
Contoh lain ialah: Seseorang hendak meyakinkan orang lain supaya mempercayai perkhabarannya dengan bernazar:
“Kalau tidak benar perkhabaran yang aku bawakan ini, demi Allah aku akan bersedekah seekor kambing.”
Dalam contoh yang disebutkan, ‘berpuasa’ dan ‘bersedekah’ merupakan qurbah atau suatu ketaatan yang pada asalnya tidak wajib.
• Cara pelaksanaan nazar al-lajâj:
Sekiranya dalam contoh pertama dia melanggar perkara yang ditegahkannya atas dirinya, iaitu dia keluar juga dari negeri itu, atau ternyata dalam contoh kedua itu khabar yang dibawa olehnya adalah tidak benar, maka dia diberi pilihan sama ada untuk melaksanakan nazarnya, iaitu berpuasa satu bulan atau bersedekah seekor kambing ataupun membayar kaffârah nazar.
Kaffârah nazar adalah sama dengan kaffârah sumpah iaitu pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya, memberi makan sepuluh orang miskin atau fakir ataupun memberi pakaian kepada mereka dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffârahnya.
Bagaimanapun, sekiranya dia bernazar untuk membayar kaffârah nazar atau kaffârah sumpah semata-mata tanpa menyatakan suatu qurbah, contohnya dia berkata: ‘Kalau aku masuk ke dalam bangunan ini, maka wajib atasku kaffârah nazar’, maka dalam hal ini, sekiranya dia masuk juga ke bangunan tersebut dengan sendirinya hanya kaffârah yang wajib dibayarnya.
Berbeza pula halnya jika dia berkata umpamanya: “Kalau aku keluar dari negeri ini, maka wajib atasku nazar” tanpa menentukan apa-apa bentuk qurbah, maka dalam hal ini, sekiranya dia keluar juga dari negeri tersebut, dia boleh memilih sama ada untuk melaksanakan mana-mana qurbah yang dikehendakinya atau membayar kaffârah. (ii) Nazar at-tabarrur.
Adapun dalam nazar at-tabarrur pula, orang yang bernazar wajib melaksanakan nazarnya sepertimana yang dinazarkannya dan ia tidak boleh digantikan dengan kaffârah. Ini sama keadaannya dalam kedua-dua nazar iaitu nazar al-mujâzah dan nazar al-muthlaq.
(a) Contoh nazar al-mujâzah.
Seseorang bernazar: “Kalau aku lulus dalam peperiksaan ini, maka wajib atasku bersembahyang dua rakaat”,
atau dia berkata:
“Kalau aku dikurniakan anak lelaki, demi Allah aku akan menunaikan haji ke Makkah.”
(b) Contoh nazar al-muthlaq.
Seseorang bernazar: “Demi Allah, wajib atasku mengerjakan umrah”,
atau dia berkata:
“Demi Allah, wajib atasku bersedekah kepada si fulan”.
• Cara pelaksanaan nazar al-mujâzah dan nazar al-muthlaq:
Nazar al-mujâzah dan nazar al-muthlaq ini kedua-duanya termasuk dalam kategori nazar at-tabarrur sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Nazar dalam kategori at-tabarrur ini wajib dilaksanakan sepertimana yang dinazarkan dan tidak boleh digantikan dengan kaffârah dan akan tetap tertanggung atas orang yang bernazar selagimana dia belum melaksanakannya.
Oleh yang demikian, merujuk kepada contoh-contoh nazar al-mujâzah di atas, sekiranya berlaku perkara yang disyaratkan dalam nazar, maka wajib nazarnya untuk “bersembahyang dua rakaat” atau “menunaikan haji ke Makkah” itu ditunaikan sebagaimana yang dinazarkan dan ia sekali-kali tidak boleh diganti dengan kaffârah. Begitu juga halnya dalam nazar al-muthlaq.
Sekiranya dalam nazar al-mujâzah dia berkata: “Jika dijumpai keretaku yang hilang, maka wajib atasku nazar” tanpa menentukan apa-apa bentuk qurbah, maka wajib atasnya melaksanakan apa sahaja qurbah yang dikehendakinya jika dijumpai keretanya yang hilang itu.
Begitu juga halnya jika dalam nazar al-muthlaq dia berkata: “Demi Allah, wajib atasku nazar” tanpa menentukan apa-apa bentuk qurbah, maka wajib atasnya melaksanakan nazarnya itu dengan mengerjakan apa sahaja qurbah yang dikehendakinya.
Demikian penjelasan mengenai kaffârah sama ada ia boleh menjadi pilihan atau ganti dalam perlaksanaan nazar. Apa yang difahami ialah kaffârah boleh menjadi pilihan atau ganti dalam nazar jika nazar itu dalam kategori nazar al-lajâj sahaja. Adapun dalam nazar al-mujâzah dan nazar al-Muthlaq pula, perkara yang dinazarkan wajib ditunaikan dan ia sekali-kali tidak boleh diganti dengan kaffârah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10116
دليل الألوان
