Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Bila Afdhal Membaca Al-Qur’An?

الجواب

Membaca al-Qur’an merupakan perkara sunat yang dituntut ke atas setiap orang Islam. Ia merupakan seafdhal-afdhal zikir dan membacanya merupakan satu ibadat. Maka, orang yang membaca al-Qur’an dijanjikan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan ganjaran dan fadhilat yang amat besar.

Membaca al-Qur’an boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak ada waktu-waktu yang dimakruhkan membaca al-Qur’an. Walau bagaimanapun terdapat beberapa waktu pilihan yang afdhal untuk membaca al-Qur’an sebagaimana yang disebut antaranya oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh.

Waktu-waktu Pilihan Untuk Membaca Al-Qur’an

Dalam kitab al-Adzkâr dan kitab at-Tibyân fî Âdâb Hamalah al-Qur’ân, ada disebutkan tentang waktu-waktu pilihan untuk membaca al-Qur’an yang dibahagikan kepada dua iaitu membaca al-Qur’an di dalam sembahyang dan membaca al-Qur’an di luar sembahyang.

1. Membaca al-Qur’an di dalam sembahyang.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut:

Ertinya: Sesungguhnya waktu afdhal membaca al-Qur’an adalah pada ketika melakukan sembahyang.

Membaca al-Qur’an afdhal dilakukan di dalam sembahyang kerana membaca ayat-ayat al-Qur’an di dalam sembahyang itu, apa lagi dengan tadabbur (memahami dan merenung) merupakan cara atau jalan ke arah mencapai kekhusyû‘an dalam sembahyang. Ini kerana sembahyang yang mampu menghalang seseorang daripada melakukan keburukan dan kemungkaran adalah hasil dari hati yang khusyû‘ dan rendah diri ketika melakukan sembahyang. Pembacaan al-Qur’an di dalam sembahyang yang dilakukan dengan tadabbur juga dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta membawanya berakhlak dengan akhlak-akhlak yang mulia. Demikian antara sebab afdhalnya membaca al-Qur’an dalam sembahyang.

Adapun yang dimaksudkan afdhal membaca al-Qur’an di dalam sembahyang itu ialah ketika qiyâm (bediri) di dalam sembahyang. Ia tidak dilakukan pada selain berdiri di dalam sembahyang. Para ulama mazhab asy-Syafi‘i menyebutkan bahawa memanjangkan tempoh berdiri dalam sembahyang dengan membaca al-Qur’an lebih afdhal daripada memanjangkan tempoh sujud dalam sembahyang.

Ketika berdiri di dalam sembahyang, sunat membaca surah atau ayat daripada al-Qur’an selepas membaca surah al-Fâtihah pada rakaat pertama dan kedua di dalam sembahyang. Tuntutan sunat membaca sesuatu ayat daripada al-Qur’an itu dapat dicapai dengan hanya membaca satu ayat sahaja daripada al-Qur’an. Walau bagaimanapun, lebih utama membaca sebanyak tiga ayat kerana jumlah demikian merupakan kadar sependek-pendek surah.

Manakala membaca satu surah yang lengkap, sekalipun surah yang pendek, adalah lebih afdhal daripada membaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang (jika tidak dibaca keseluruhannya). Ini kerana memulakan bacaan dan waqaf (memberhentikan) pada akhir bacaan surah yang lengkap sudah pasti betul. Berbeza dengan hanya membaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang, boleh jadi dia memberhentikan bacaan di tempat yang tidak diharuskan waqaf dan ini boleh memutuskan ayat al-Qur‘an yang mempunyai kaitan dengan ayat yang selepasnya.

2. Membaca al-Qur’an di luar sembahyang.

a. Membaca pada waktu malam.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut:

Ertinya: Dan adapun membaca al-Qur’an di luar sembahyang, maka afdhalnya membaca di waktu malam. Dan separuh kedua malam lebih afdhal daripada separuh pertama malam.

Membaca al-Qur’an di luar waktu sembahyang afdhal dilakukan pada waktu malam. Ibnu ‘Allan ash-Shiddiqi Rahimahullâh dalam kitab Futûhât ar- Rabbaniyyah ‘ala al-Adzkâr an-Nawawiyyah menjelaskan bahawa kecenderungan mengutamakan membaca al-Qur’an pada waktu malam kerana membacanya pada waktu itu lebih mengukuhkan dan mententeramkan hati serta menjauhkan diri dari kesibukan, hiburan dan melakukan keperluan-keperluan lain. Membaca pada waktu malam juga lebih memelihara atau menjaga hati daripada berperasaan riya’ dan lain-lain perkara yang sia-sia serta memudahkan untuk meneliti dan memahami kandungan al-Qur’an. Selain itu banyak perkara baik yang disyariatkan pada waktu malam antaranya perjalanan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam peristiwa yang disebut sebagai Isra’ Mi‘raj. Disebutkan bahawa membaca al-Qur’an pada separuh kedua malam pula lebih afdhal daripada membaca pada separuh pertama malam. Ini kerana di dalam separuh kedua malam terdapat kebenaran yang diperlihatkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang menunjukkan akan kebesaran dan keagunganNya serta merupakan waktu di mana do‘a dimakbulkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perkara ini diqiyâskan dengan sembahyang sunat iaitu ia afdhal dilakukan pada separuh kedua malam.

b. Membaca di antara waktu Maghrib dan waktu ‘Isya’.

Selain afdhal membaca al-Qur’an pada waktu malam, membaca al-Qur’an di antara waktu Maghrib dan waktu ‘Isya’ juga merupakan waktu yang disukai sebagaimana disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Dan membaca al-Qur’an di antara Maghrib dan ‘Isya’ adalah disukai.

c. Membaca al-Qur’an pada siang hari.

Membaca al-Qur’an pada siang hari, maka afdhal membacanya selepas sembahyang fardhu Shubuh sebagaimana juga disebut oleh Imam an- Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Dan adapun membaca al-Qur’an pada siang hari, maka afdhalnya membaca selepas sembahyang Shubuh.

Selain itu, ada juga disebut mengenai beberapa hari-hari pilihan untuk membaca al-Qur’an, iaitu antaranya membaca:

- Pada hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) kerana fadhilat hari tersebut antaranya hari diampunkan dosa-dosa serta memperoleh apa-apa yang dikehendaki.

- Pada hari Jumaat kerana ia merupakan penghulu segala hari. Selain itu juga disebut bahawa pada hari tersebut, do‘a yang dipohon akan dimakbulkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

- Pada hari Isnin dan hari Khamis kerana pada setiap dua hari tersebut semua amal perbuatan dihadapkan di depan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

- Pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah kerana keutamaan berbuat amal pada hari-hari tersebut.

- Pada sepuluh hari akhir bulan Ramadhan kerana terdapat lailatul qadr di antara malam-malamnya.

- Di sepanjang bulan Ramadhan kerana ia merupakan penghulu daripada bulan-bulan yang lain.

Oleh yang demikian, ganjaran dan fadhilat yang besar dikurniakan kepada orang yang membaca al-Qur’an tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Membaca al- Qur’an itu dituntut untuk dibaca pada setiap waktu dan ketika. Lebih-lebih lagi kita membacanya pada waktu-waktu yang afdhal.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10120

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص