Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Hukum Memakai Hand Sanitizer Ketika Berihrâm

الجواب

Tangan adalah anggota penting yang perlu dijaga kebersihannya bagi mencegah kuman atau virus daripada merebak. Selain menggunakan air dan sabun, produk pembersih tangan antiseptik tanpa air yang lebih dikenali dengan pensanitasi tangan (hand sanitizer) menjadi pilihan utama digunakan bagi tujuan membersihkan tangan serta perlindungan diri daripada jangkitan kuman dan virus. Terdapat pelbagai jenis pembersih tangan antiseptik sama ada dalam bentuk buih, cecair mahupun gel yang dijual di pasaran.

Pembersih tangan antiseptik ini juga mudah digunakan dan boleh dibawa ke mana-mana. Oleh kerana itu, penggunaannya semakin mendapat tempat di kalangan orang ramai terutama jika berada di pejabat, pusat-pusat kesihatan, tempat-tempat awam, termasuk di rumah-rumah persendirian. Tidak dinafikan penggunaan pembersih tangan antiseptik ini digunakan bukan sahaja di dalam negara bahkan juga digunakan di luar negara bagi membendung jangkitan kuman dan virus.

Namun bagi orang yang hendak melakukan ibadat haji atau umrah, timbul persoalan mengenai kesan penggunaan pembersih tangan antiseptik terhadap ibadat sembahyang dan thawaf, serta kesan penggunaannya ketika seseorang itu sedang berihrâm. Berikut dijelaskan hukum mengenainya.

Kesan Penggunaan Pembersih Tangan Antiseptik Terhadap Ibadat

Apabila penggunaan pembersih tangan antiseptik dikaitkan dengan ibadat sembahyang dan thawaf, perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah kesucian bahan pembersih tangan tersebut jika digunakan ketika sembahyang dan thawaf.

Ini adalah kerana salah satu daripada syarat sah sembahyang dan thawaf ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyangnya atau tempat thawafnya daripada najis. Sembahyang dan thawaf orang yang terdapat najis pada tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang atau tempat thawafnya adalah tidak sah.

Oleh yang demikian, kedudukan hukum mengenai penggunaan pembersih tangan antiseptik ketika sembahyang dan thawaf adalah tertakluk kepada sumber bahan kandungan yang digunakan.

Kesan penggunaan pembersih tangan antiseptik ketika sembahyang dan thawaf dapat dibahagikan kepada keadaan seperti berikut:

1. Penggunaan pembersih tangan antiseptik yang tidak mengandungi alkohol.

Penggunaan pembersih tangan antiseptik yang tidak mengandungi alkohol atau benda-benda najis yang lain adalah tidak menjejaskan kesahan sembahyang dan thawaf. Ini bermakna, sembahyang dan thawaf adalah sah dengan penggunaan pembersih tangan antiseptik berkenaan.

2. Penggunaan pembersih tangan antiseptik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui proses pembuatan arak.

Menurut ulama, arak adalah najis sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya itu) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

Pembersih tangan antiseptik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui proses pembuatan arak yang memabukkan adalah najis. Alkohol tersebut adalah termasuk bahagian daripada arak sendiri, maka hukumnya adalah najis.

Oleh itu, penggunaan pembersih tangan tersebut boleh menyebabkan sembahyang dan thawaf tidak sah dengan menggunakannya kerana terdapat najis pada anggota badan khususnya di bahagian tangan.

3. Pembersih tangan antiseptik yang mengandungi alkohol sintetik.

Adapun alkohol sintetik ialah alkohol yang dihasilkan daripada campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semulajadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etilina (hydration of ethylene). Kebiasaannya semua alkohol sintetik yang dihasilkan daripada etilina bersumber daripada petroleum, gas alami dan arang.

Ia tidak dihukumkan najis kerana ia tidak bersumber daripada arak walaupun menurut syara‘ alkohol sintetik tersebut tidak boleh dimakan atau diminum kerana sifatnya yang memudharatkan sama seperti racun.

Oleh kerana pembersih tangan antiseptik yang mengandungi alkohol sintetik atau tiruan adalah tidak dihukumkan najis, penggunaan pembersih tangan daripada jenis ini tidak akan menjejaskan kesahan ibadat sembahyang dan thawaf seseorang bahkan harus dia menggunakannya ketika sembahyang dan thawaf.

Jika seseorang itu merasa ragu akan sumber alkohol yang terkandung di dalam pembersih tangan yang digunakannya sama ada alkohol tersebut diambil daripada sumber yang najis atau sumber yang suci, maka sebaiknya dia tidak menggunakannya ketika sembahyang dan thawaf. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Hasan bin ‘Ali Radhiâllahu ‘anhumâ:

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Penggunaan Pembersih Tangan Antiseptik Ketika Berihrâm

Pada masa kini, terdapat produk pembersih tangan antiseptik yang mempunyai haruman yang dijual di pasaran. Persoalannya, adakah penggunaan produk pembersih tangan antiseptik yang mempunyai haruman itu memberi kesan hukum kepada seseorang yang sedang berihrâm?

Hukum Memakai Haruman Ketika Dalam Ihrâm

Pada dasarnya, memakai haruman adalah salah satu daripada pantang larang ketika dalam ihrâm. Hal ini disebut dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, apabila seseorang bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengenai pakaian yang perlu mereka pakai ketika berihrâm. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah kamu memakai baju, seluar, serban dan jubah yang bertudung kepala. Manakala seseorang yang tidak mempunyai selipar, maka pakailah khuff dan potonglah (khuff itu) sampai di bawah buku lali (sehingga nampak buku lali), dan janganlah kamu memakai sesuatu yang disentuhi minyak za‘faran dan wars (sejenis tumbuhan yang berbau wangi), dan janganlah perempuan yang berihrâm memakai penutup muka (niqâb) dan sarung tangan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Haram bagi lelaki ataupun perempuan yang sedang dalam ihrâm memakai haruman pada pakaian ataupun badan. Jika seseorang yang dalam ihrâm itu memakai haruman, maka wajib ke atasnya membayar fidyah.

Ini berbeza hukumnya bagi orang yang hendak berihrâm. Lelaki, khuntsâ ataupun perempuan sama ada perempuan muda atau tua, bujang atau berkahwin yang hendak berihrâm adalah disunatkan untuk memakai haruman pada pakaian ataupun badan sebelum berniat ihrâm.

Maksud Haruman

Adapun maksud haruman yang diharamkan dipakai oleh orang yang sedang dalam ihrâm itu ialah sesuatu yang pada ghâlibnya dikehendaki baunya ataupun kebanyakan tujuan yang dikehendaki daripada sesuatu itu ialah baunya yang harum.

Jenis-jenis haruman yang dimaksudkan itu adalah banyak, antaranya kasturi (misk), kapur barus, ambar, kayu gaharu, za‘faran, wars, kayu cendana, bunga mawar, bunga melati, bunga narsis dan lain-lain lagi.

Adapun sesuatu yang pada kebiasaannya dikehendaki untuk makanan atau perubatan sekalipun ia berbau harum seperti rempah-ratus dan buah-buahan adalah tidak haram digunakan oleh orang yang sedang dalam ihrâm dan tidak dikenakan fidyah. Sebagai contoh buah epal, limau, pear, lemon, lada, pelaga, cengkih, kayu manis dan seumpamanya adalah harus dimakan, dihidu atau dicelup pada pakaian.

Demikian juga, inai tidak termasuk dalam kategori haruman sekalipun ia berbau harum, kerana ia sesuatu yang pada ghâlibnya dikehendaki warnanya (bukan baunya).

Penggunaan Pembersih Tangan Antiseptik yang Mempunyai Haruman Ketika Berihrâm

Pembersih tangan antiseptik pada kebiasaannya digunakan bagi tujuan membersihkan tangan serta perlindungan diri daripada jangkitan kuman dan virus.

Seperti yang telah dijelaskan, haruman yang haram dipakai oleh orang yang sedang dalam ihrâm ialah sesuatu yang pada kebiasaannya dikehendaki baunya ataupun kebanyakan tujuan yang dikehendaki daripada sesuatu itu ialah baunya yang harum. Adapun sesuatu yang pada kebiasaannya dikehendaki untuk perubatan sekalipun ia berbau harum adalah tidak haram digunakan oleh orang yang sedang dalam ihrâm dan tidak dikenakan fidyah.

Menyentuh mengenai pembersih tangan antiseptik itu, perlu difahami bahawa komponen yang dikehendaki untuk membunuh kuman dan virus itu adalah daripada alkohol yang terdapat pada pembersih tangan antiseptik itu. Alkohol tersebut meskipun mempunyai baunya yang tersendiri akan tetapi ia tidaklah dianggap sebagai bau yang harum.

Namun beberapa pengeluar produk pembersih tangan antiseptik masa kini telah mencampurkan produk mereka itu dengan sesuatu campuran yang berbau harum. Campuran tersebut pula ada kalanya daripada bahan makanan seperti buah-buahan dan ada kalanya daripada bahan sintetik yang menyerupai bau buah-buahan dan lain-lain. Manakala tujuan penggunaan buah-buahan dalam produk pembersih tangan antiseptik itu pada kebiasaannya adalah bagi mendapatkan bau harum buah-buahan tersebut sahaja dan bukan untuk tujuan pemakanan mahupun perubatan.

Dalam perkara buah-buahan apabila menjadi minyak, adakah ia boleh dikira sebagai haruman atau tidak? Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menukilkan pendapat ulama mengenainya:

Ertinya: Dalam (perkara) minyak buah limau sitron (citron) menjadi haruman, (terdapat) dua pendapat yang diriwayatkan oleh Imam al-Mawardi dan Imam ar- Ruyani Rahimahumallâh. Dan Imam ad-Darimi Rahimahullâh telah memutuskan bahawa sesungguhnya ia (minyak buah limau sitron) adalah haruman.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh juga menyebut:

Ertinya: Dan ia (haruman) adalah apa-apa yang jelas padanya (digunakan untuk) tujuan berharuman dan (apa-apa yang) dikehendaki daripadanya (haruman) pada kebiasaannya seperti kasturi (misk) … dan minyak seperti buah limau sitron (yang dijadikan minyak) dengan direbus, walaupun buah limau sitron itu (asalnya adalah makanan dan) bukan bahan haruman.

Oleh yang demikian, berdasarkan keterangan ulama tersebut, buah-buahan apabila ia menjadi minyak serta mengeluarkan bau-bauan yang harum, maka ia juga dikira sebagai haruman.

Justeru itu, hukum orang yang sedang dalam ihrâm menggunakan produk pembersih tangan antiseptik yang berbau harum sama ada daripada bahan makanan atau daripada bahan sintetik adalah haram dan wajib fidyah ke atasnya. Ini kerana penggunaan bahan makanan atau bahan sintetik yang berbau harum dalam produk pembersih tangan antiseptik adalah jelas tujuannya untuk berharuman.

Namun jika haruman yang terdapat pada produk pembersih tangan antiseptik itu menghilang setelah dicampur dengan campuran lain (umpamanya alkohol), maka tidaklah diwajibkan fidyah ke atas pengguna produk tersebut yang sedang dalam ihrâm jika jelas tidak lagi ada haruman pada produk tersebut sebelum digunakan. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan:

Ertinya: Jika seseorang itu makan makanan yang mengandungi za‘faran, atau (mengandungi) haruman lain, atau menggunakan (sesuatu) campuran dengan haruman bukan untuk tujuan makanan, (hendaklah) dilihat, jika hilang haruman itu sehingga tidak berbaki padanya bau, tidak juga rasa dan tidak juga warna, maka tidak (diwajibkan ke atasnya) fidyah. Jika nampak sifat-sifat tersebut, atau berbaki baunya saja, wajib (ke atasnya) fidyah. Jika berbaki warna (sahaja) satu-satunya, maka (padanya) dua pendapat. Pendapat yang zhâhir (mu‘tamad) daripada kedua-dua pendapat itu ialah tidak dikenakan fidyah. Menurut satu pendapat lain (lagi), tidak dikenakan fidyah secara pasti. Jika berbaki rasa sahaja, maka (hukumnya) seperti bau (iaitu wajib fidyah) menurut pendapat yang ashah.

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh juga menjelaskan:

Ertinya: Jika hilang haruman tersebut dalam (sesuatu) campuran dengannya sehingga tidak berbaki bau, tidak juga rasa dan tidak juga warna seperti yang digunakan pada perubatan, maka harus menggunakannya (sesuatu campuran dengan haruman tersebut) dan (harus) memakannya dan tidak (diwajibkan) fidyah, dan jika berbaki bau pada sesuatu (haruman) yang hilang (sedangkan baunya masih ada) secara zahir atau (bau tersebut) tersembunyi (yang mana ia menjadi) zahir dengan percikan air ke atasnya, (wajib) fidyah, kerana tujuan besar daripada haruman itu (ialah) bau, dan begitu juga halnya jika berbaki rasa (wajib fidyah ke atasnya) kerana ia menandakan baki bau (haruman tersebut).

Oleh itu, orang yang hendak menunaikan ibadat haji atau umrah itu hendaklah memilih produk pembersih tangan antiseptik yang tidak mempunyai haruman kerana penggunaan produk pembersih tangan antiseptik yang mempunyai haruman adalah haram dan diwajibkan fidyah ke atas penggunanya yang sedang berihrâm.

Fidyah Bagi Orang yang Berihrâm Melanggar Larangan Memakai Haruman

Fidyah atau dam bagi mereka yang melanggar larangan memakai haruman itu ialah dengan memilih di antara satu daripada tiga jenis fidyah berikut:-

(1) Menyembelih seekor kambing. (2) Memberi enam orang miskin tiga gantang beras atau gandum atau seumpamanya dengan setiap seorang setengah gantang. (3) Berpuasa selama tiga hari.

Demikianlah penjelasan berkenaan hukum memakai pembersih tangan antiseptik (hand sanitizer) ketika berihrâm. Oleh itu, perlulah diingatkan terutamanya kepada mereka yang ingin menunaikan ibadat haji atau umrah untuk meningkatkan ilmu tentang haji dan umrah sama ada pada perkara yang disuruh ataupun perkara yang dilarang melakukannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10124

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص