Isu Ragu-Ragu Dalam Bilangan Pusingan Thawaf
الجواب
Thawaf bererti melakukan pusingan di sekeliling al-Bait al-Haram (Ka‘bah), iaitu mengelilingi Ka‘bah sebanyak 7 kali keliling dengan syarat tertentu sambil berdo‘a.
Tempat melakukan thawaf ialah di sekeliling Ka‘bah yang terletak di dalam Masjid al-Haram. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan melakukan thawaf di Bait al-‘Atiq (Ka‘bah). (Surah al-Hajj: 29)
Thawaf ada berbagai jenis antaranya thawaf ifâdhah, thawaf qudûm, thawaf wadâ‘, thawaf nadzar, thawaf tathawwu‘ dan thawaf tahallul.
Sepertimana ibadat-ibadat lain yang mempunyai syarat-syarat tertentu agar ia dianggap sah dan sempurna, thawaf juga mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri. Salah satu daripada syarat-syarat thawaf ialah melakukan 7 kali pusingan thawaf yang sempurna dengan yakin. Bermula satu pusingan thawaf yang sempurna itu ialah daripada penjuru Hajar al-Aswad dan berakhir pada penjuru Hajar al-Aswad itu juga.
Ragu-Ragu Dalam Bilangan Pusingan Thawaf
Manusia bukanlah makhluk yang sempurna. Bagaimana hebat pun kejadian manusia itu, ia tetap mempunyai berbagai kekurangan. Antara kekurangan tersebut ialah sifat lupa, lalai, leka dan sebagainya. Adanya sifat-sifat seumpama ini, maka berlakulah berbagai kesilapan atau kekurangan dalam kehidupan seorang manusia itu, termasuk dalam perkara ibadat.
Kita ambil satu contoh sahaja iaitu ibadat sembahyang. Walaupun ibadat sembahyang adalah satu ibadat yang merupakan rutin harian seorang Islam yang mukallaf. Sembahyang yang dikerjakan sekurang-kurangnya lima kali sehari itu, tetap sahaja boleh berlaku kekurangan dan kesilapan ketika mengerjakannya. Apatah lagi dalam perkara yang jarang dilakukan seperti ibadat thawaf yang hanya dilakukan ketika berada di Masjid al-Haram sahaja.
Antara perkara yang boleh berlaku ketika thawaf ialah ragu-ragu dalam bilangan pusingan thawaf. Sepertimana dijelaskan sebelum ini bahawa salah satu syarat daripada syarat-syarat thawaf ialah melakukan 7 kali pusingan thawaf yang sempurna dengan yakin. Jika kurang daripada bilangan tersebut walaupun hanya satu langkah nescaya ia tidak memadai dan belum dikira thawaf tersebut. Syarat ini tetap dikenakan walaupun thawaf itu dilakukan dalam waktu ditegah melakukan sembahyang. Ia juga tetap dikenakan walaupun orang itu melakukan thawaf dengan menggunakan tunggangan tanpa sebarang keuzuran.
Jika berlaku keraguan dalam bilangan pusingan thawaf, iaitu sama ada sudah sempurna dilakukan 7 kali pusingan thawaf atau sebaliknya, ini bererti tuntutan syarat tersebut belum lagi dipenuhi. Oleh yang demikian, apakah yang perlu dilakukan jika perkara ini berlaku? Berikut beberapa isu dan persoalan yang timbul serta penyelesaiannya:
1. Kiraan mana yang perlu diambil jika ragu antara dua bilangan?
Secara dasarnya, sekiranya berlaku keraguan dalam bilangan pusingan thawaf, maka hendaklah meninggalkan yang syak dan mengambil yang yakin, iaitu dengan cara mengambil bilangan yang paling sedikit sepertimana halnya jika berlaku keraguan dalam bilangan rakaat sembahyang.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada keraguan yang berlaku itu, sama ada ia berlaku sebelum selesai melakukan thawaf atau selepasnya. Ini kerana ada ketikanya keraguan tersebut tidak lagi mendatangkan kesan terhadap thawaf yang dikerjakan. Penjelasannya seperti berikut:
a. Keraguan yang berlaku sebelum selesai melakukan thawaf.
Keraguan dalam bilangan pusingan thawaf sebelum thawaf selesai dikerjakan akan menjejaskan thawaf seseorang. Dalam hal ini, dia hendaklah mengetepikan keraguannya itu dengan cara mengambil bilangan yang paling sedikit.
Sebagai contoh, ketika melakukan thawaf seseorang itu ragu-ragu sama ada pusingan thawaf yang sedang dikerjakannya itu adalah pusingan yang ke-6 atau yang ke-7. Maka dalam hal ini, dia hendaklah mengambil bilangan yang sedikit iaitu dia baru melakukan 6 pusingan. Dengan mengambil bilangan yang sedikit ini, maka keraguannya itu tadi dapat diketepikan.
b. Keraguan yang berlaku setelah selesai melakukan thawaf.
Sekiranya keraguan itu berlaku setelah selesai thawaf dikerjakan, iaitu dia sudah selesai melakukan 7 pusingan thawaf menurut perkiraannya, maka keraguan yang timbul selepas itu tidak lagi menjejaskan thawafnya.
Sebagai contoh, selepas dia selesai melakukan 7 pusingan thawaf, dia menjadi ragu sama ada thawaf yang dikerjakannya itu sudah sempurna 7 pusingan ataupun pusingan ke-7 yang dikerjakannya itu tadi sebenarnya adalah pusingan ke-6. Dalam hal ini, keraguan tersebut tidak menjejaskan thawafnya dan dia dikira sudah sempurna menyempurnakan thawaf dengan 7 pusingan itu.
Ketetapan ini disebutkan dalam kitab Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj sepertimana berikut:
Ertinya: Sekiranya dia syak pada bilangan (pusingan thawaf) sebelum thawaf itu sempurna dikerjakan, (maka hendaklah) dia mengambil bilangan yang sedikit menurut ijmâ‘ … Ataupun (jika) dia syak padanya selepas itu atau setelah dia selesai daripada thawaf, (maka yang demikian itu) tidak mendatangkan apa-apa kesan (terhadap thawafnya).
2. Bolehkah berpegang kepada kata-kata orang lain sebagai sandaran bagi memastikan bilangan sebenar pusingan thawaf?
Sekiranya ketika melakukan thawaf, seseorang yang dinilai ‘âdil (yang menjauhi dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil dan menjauhi perkara-perkara keji dalam segala tindakan) mendatanginya lalu berkata kepadanya: “Engkau baru berthawaf 6 pusingan” atau dia berkata:
“Thawafmu sudah sempurna 7 pusingan”, sedangkan kiraan orang tersebut berbeza dengan kiraannya sendiri dan dia (orang yang melakukan thawaf itu) pada asalnya tidak ragu akan kiraannya sendiri sebelum diberitahukan oleh orang tersebut, maka dalam hal ini terdapat perbezaan di antara dua keadaan:
i. Bilangan pusingan thawaf yang diberitahukan itu kurang daripada perkiraannya sendiri.
Di sini disebutkan dua contoh:
a. Menurut perkiraannya sendiri dia sudah selesai melakukan 7 pusingan thawaf, lalu diberitahukan kepadanya oleh seorang yang ‘âdil bahawa dia baru melakukan 6 pusingan.
b. Menurut perkiraannya sendiri dia sudah melakukan 6 pusingan thawaf, lalu diberitahukan kepadanya oleh seorang yang ‘âdil bahawa dia baru melakukan 5 pusingan.
Jika berlaku perkara seumpama ini, sama ada kata-kata orang tersebut diterima selepas dia selesai menyempurnakan thawafnya sepertimana contoh pertama (a) di atas ataupun diterima ketika dia masih dalam thawaf sepertimana contoh kedua (b), maka dalam hal ini sunat dia beramal dengan kata-kata orang yang ‘âdil tersebut dengan mengambil kira bilangan yang diberitahukan kepadanya itu.
Ketetapan di atas ini khusus dalam hal sekiranya kata-kata orang tersebut tidak menyebabkan dia menjadi ragu akan kiraannya sendiri dan dia hanya disunatkan mengambil kata-kata orang tersebut atas dasar berhati-hati.
Bagaimanapun, sekiranya kata-kata orang berkenaan menyebabkan dia menjadi ragu akan kiraannya sendiri, maka wajib dia mengikut dan beramal dengan kata-kata orang tersebut. Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh, ketetapan ini khusus jika keraguan itu timbul sebelum dia selesai daripada thawafnya (sepertimana contoh ‘b’). Sekiranya keraguan itu timbul selepas selesai dia menyempurnakan thawaf (sepertimana contoh ‘a’), maka keraguan itu tidak mendatangkan kesan atau tidak menjejaskan thawafnya dan tidak wajib dia mengikut dan beramal dengan kata-kata orang tersebut.
ii. Bilangan pusingan thawaf yang diberitahukan itu melebihi daripada perkiraannya sendiri.
Sekiranya orang yang ‘âdil itu memberitahukan kepadanya bahawa dia sudah melakukan 7 pusingan thawaf sedangkan orang yang melakukan thawaf itu sendiri menyangka bahawa dia baru melakukan 6 pusingan, maka dalam hal ini orang yang melakukan thawaf itu tidak boleh mengambil kata-kata orang tersebut. Menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam al-Minhâj al-Qawîm dan turut disokong oleh Imam Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh dalam Hâsyiyah al-Jamal ‘alâ Syarh al-Manhaj, kata-kata seumpama itu tetap tidak boleh diambil sekalipun bilangan orang yang memberitahukan itu ramai.
Demikian beberapa penjelasan mengenai perkara ragu-ragu dalam bilangan pusingan thawaf. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat menjawab kemusykilan serta meningkatkan ilmu kita dalam perkara ibadat khususnya mengenai ibadat thawaf.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10128
دليل الألوان
