Bila Air Muthlaq Menjadi Najis?
الجواب
Air merupakan suatu keperluan dalam kehidupan manusia. Keperluan tersebut bukan hanya bagi kelangsungan hidup, bahkan juga bagi kesempurnaan ibadat. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menurunkan air yang suci lagi menyucikan sepertimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Kami menurunkan dari langit air hujan yang suci lagi menyucikan. (Surah al-Furqân: 48)
Dalam perkara ibadat, air sering dikaitkan dengan perkara mengangkat hadats dan membersihkan najis. Ini kerana ibadat-ibadat seperti sembahyang dan thawaf itu tidak sah ditunaikan tanpa mengangkat hadats atau membersihkan diri daripada najis terlebih dahulu. Oleh kerana itu, menurut ulama, mengangkat hadats kecil dan besar serta membersihkan najis itu disyaratkan dengan menggunakan air muthlaq. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan:
Ertinya: Disyaratkan bagi mengangkat hadats (kecil dan besar) dan (membersihkan) najis (dengan menggunakan) air muthlaq.
Air muthlaq ialah air yang suci lagi menyucikan. Air muthlaq boleh didapati daripada tujuh sumber air iaitu air hujan, air laut, air sungai, air perigi, air mata air, air salji dan air embun.
Manakala najis ialah setiap sesuatu yang menjijikkan yang menghalang daripada sah suatu sembahyang itu selagi mana tidak terdapat sesuatu atau keadaan yang mengharuskan. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, najis itu adalah setiap benda cair yang memabukkan, anjing dan babi serta apa yang lahir daripada kedua-duanya, setiap bangkai (kecuali bangkai manusia, bangkai ikan dan bangkai belalang), darah, nanah, muntah, tahi, air kencing, air mâdzi, air wadi, susu daripada binatang yang tidak boleh dimakan dan bahagian-bahagian yang terputus daripada binatang yang hidup kecuali bulu dan seumpamanya daripada binatang yang halal dimakan.
Persoalannya, jika air muthlaq itu terkena najis, adakah air muthlaq tersebut masih boleh digunakan untuk mengangkat hadats atau membersihkan dan menghilangkan najis?
Hukum Air Muthlaq Apabila Terkena Najis
Apabila air muthlaq itu terkena suatu najis, maka ketetapan hukum sama ada ia bertukar menjadi air najis atau tidak adalah bergantung kepada isi padu air muthlaq tersebut, sama ada air muthlaq itu banyak atau sedikit. Ia juga bergantung kepada keadaan sifat air muthlaq itu apabila terkena najis, sama ada ia merubah kesemua atau salah satu sifat air muthlaq itu dari segi warna, bau dan rasa, atau langsung tidak merubah sifatnya. Berikut dijelaskan ketetapan hukum mengenainya:
1. Air yang banyak.
Jika air muthlaq itu banyak, maka hukum air tersebut sama ada suci atau najis adalah bergantung kepada dua keadaan:
a. Jika najis yang terkena air yang banyak itu tidak merubah sifat air tersebut dari segi warna, bau dan rasa, sama ada najis itu berupa pepejal seperti bulu atau najis yang berupa cecair seperti darah, maka air tersebut kekal dalam keadaan suci dan tidak berubah menjadi air najis.
b. Jika najis yang terkena air yang banyak itu merubah kesemua atau salah satu sifat air tersebut dari segi warna, bau dan rasa, walaupun dengan perubahan yang sedikit, sama ada perubahan itu yang dapat dilihat perubahannya dengan pancaindera atau secara taqdiri (anggaran), umpamanya jatuh ke air yang banyak itu suatu cairan najis yang menyerupai sifat air yang dianggarkan dapat merubah sifat air yang banyak pada kebiasaannya, seperti air kencing yang tidak mengeluarkan bau, tidak mempunyai rasa air kencing dan tidak berwarna, lalu ia dianggar boleh merubah sifat air yang banyak, maka air tersebut berubah menjadi air najis.
Adapun sukat-sukat air yang banyak itu ialah isi padu air sebanyak dua qullah atau lebih sebagaimana yang diterangkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Dan tidak menjadi najis dua qullah air itu (air yang banyak) dengan pertemuan (air tersebut dengan) najis (jika tidak merubah sifat air tersebut), jika merubahnya (sifat air dari segi warna, bau dan rasa), maka ia (menjadi air) najis.
Dalil bahawa dua qullah air itu tidak menjadi najis adalah sebagaimana hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jika sampai (isi padu) air itu dua qullah, maka ia tidak dinajiskan sesuatu pun. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah) Kadar dua qullah itu menurut sukatan atau ukuran pada masa kini ialah lebih kurang 216 liter atau ukuran isi padu empat segi sebesar 60 x 60 x 60 sentimeter.
2. Air yang sedikit.
Jika air muthlaq itu sedikit iaitu isi padu air kurang daripada dua qullah, maka hukum air tersebut sama ada ia suci atau najis adalah bergantung kepada dua keadaan:
a. Jika air muthlaq itu sedikit dan terkena najis yang tidak dimaafkan seperti air kencing atau darah yang boleh dilihat dengan mata, sama ada najisnya itu banyak atau sedikit, berupa pepejal atau berupa cecair, yang merubah sifat airnya atau tidak merubah sifat air, atau sama ada airnya itu mengalir atau tidak mengalir, maka air tersebut akan menjadi air najis.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan (isi padu air) selain (kurang daripada) dua qullah itu akan menjadi najis dengan pertemuan (pertembungan antara najis dengan air).
Air yang berubah menjadi air najis tidak sah digunakan untuk mengangkat hadats besar dan kecil dan tidak juga sah digunakan untuk menghilangkan najis.
b. Jika air muthlaq itu sedikit dan terkena najis yang dimaafkan, air yang kurang daripada dua qullah itu tetap dihukumkan suci lagi menyucikan apabila ia terkena najis yang dimaafkan tersebut selama ia tidak merubah sifat air. Adapun sebab kenapa air tetap dihukumkan suci apabila terkena najis yang dimaafkan itu selama ia tidak merubah sifatnya ialah kerana kesukaran untuk menghindari najis tersebut dan mencegahnya daripada mengenai air. Contoh-contoh najis yang dimaafkan itu ialah:
i. Najis yang tidak nampak di mata dengan penglihatan yang sederhana, seperti setitik air kencing atau najis yang terdapat di kaki lalat yang hinggap pada air, walaupun najis itu daripada najis mughallazhah. ii. Bangkai binatang yang tidak mengalir darahnya jika dibelah tubuhnya ketika hidup, seperti lalat dan kutu, dengan syarat bangkai tersebut jatuh ke dalam air dengan sendirinya dan bukan dicampakkan secara sengaja ke dalam air oleh seseorang. iii. Sedikit bulu yang najis daripada binatang. iv. Sedikit debu daripada najis yang dibuat baja.
Meskipun begitu, jika najis yang dimaafkan itu merubah kesemua atau salah satu sifat air muthlaq dari segi warna, bau atau rasa, maka air tersebut berubah menjadi air najis dan tidak lagi dihukumkan suci.
Demikian penerangan mengenai keadaan air muthlaq yang boleh berubah menjadi air najis. Sebagai kesimpulan, air muthlaq yang sedikit akan berubah menjadi najis apabila suatu najis yang tidak dimaafkan mengenai air tersebut, sama ada merubah sifat air atau tidak. Sekiranya ia terkena najis yang dimaafkan yang tidak merubah sifat air, maka air muthlaq adalah kekal dalam keadaan suci lagi menyucikan. Akan tetapi jika sekiranya najis yang dimaafkan itu merubah sifat air atau najis yang dimaafkan itu dicampak secara sengaja ke dalam air oleh seseorang walaupun ia tidak merubah sifat air, maka air muthlaq tersebut akan berubah menjadi air najis. Manakala air yang banyak itu hanya akan berubah menjadi najis apabila najis tersebut merubah sifat air.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10156
دليل الألوان
