Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Tafrîq Dan Muwâlâh Dalam Puasa Nazar

الجواب

Muwâlâh dalam puasa nazar bermaksud mengerjakan puasa nazar itu secara berturut-turut tanpa menjarakkan hari-harinya. Manakala tafrîq pula bermaksud mengerjakan puasa nazar itu secara berselang-seli. Jika puasa nazarnya berbilang hari, ia boleh dilakukan sama ada secara muwâlâh, tafrîq atau orang yang bernazar itu memilih bagaimana dia hendak mengerjakannya. Dalam pada itu, apabila puasa nazar tersebut disyaratkan oleh orang yang bernazar untuk mengerjakannya secara muwâlâh atau disyaratkan untuk mengerjakannya secara tafrîq, adakah wajib dikerjakan sepertimana disyaratkan dalam nazar atau memadai dikerjakan dengan mana-mana cara yang dikehendaki? Hukum Tafrîq dan Muwâlâh Dalam Puasa Nazar Pada dasarnya, puasa nazar berbilang hari itu tidak lari daripada dua keadaan, iaitu: 1. Disyaratkan untuk dikerjakan secara tafrîq atau secara muwâlâh. 2. Tidak ditentukan dengan apa-apa cara.

Hukum asas bagi kedua-dua keadaan ini adalah seperti berikut: a. Puasa nazar yang disyaratkan dengan tafrîq atau muwâlâh. i) Sekiranya puasa nazar itu disyaratkan oleh orang yang bernazar untuk dikerjakannya secara tafrîq, umpamanya dia berkata: “Demi Allah wajib atasku berpuasa sepuluh (10) hari secara berselang-seli.” Maka dalam hal seperti contoh di atas ini, wajib dia mengerjakan puasa 10 hari itu secara berselang-seli (tafrîq) menurut pendapat al-ashah.

Sekiranya ia dikerjakan secara berturut-turut (muwâlâh), maka hanya 5 hari daripada 10 hari itu yang dikira sebagai puasa nazar bagi mengambil kira pensyaratan tafrîq dalam nazarnya. Oleh yang demikian, hendaklah dia berpuasa lagi baki 5 hari itu dengan berselang-seli bagi melengkapkan puasa nazarnya itu.

Adapun baki puasa 5 hari yang tidak dikira sebagai puasa nazar itu, menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dikira sebagai puasa sunat muthlaq jika orang yang mengerjakannya menyangka bahawa puasa 10 hari secara muwâlâh itu dibolehkan dan diterima sebagai puasa nazar (kerana jahil akan hukumnya).

Sekiranya orang itu tahu akan hukumnya dan dia tahu bahawa perbuatannya itu adalah salah menurut hukum, maka baki puasa 5 hari yang tidak dikira sebagai puasa nazar itu dikira tidak sah.

ii) Sekiranya puasa nazar itu disyaratkan oleh orang yang bernazar untuk dikerjakan secara muwâlâh, umpamanya dia berkata:

“Demi Allah wajib atasku berpuasa tujuh (7) hari secara berturut-turut.”

Maka dalam hal seperti contoh di atas ini, wajib dia mengerjakan puasa 7 hari itu secara muwâlâh sepertimana diniatkan.

Jika dia tidak mengerjakannya secara muwâlâh, maka yang demikian itu tidak memadai dan tidak dikira puasa nazarnya itu bahkan dia dikira berdosa jika ia disengajakan. Dalam hal ini, wajib atasnya isti’nâf, iaitu mengulangi semula puasanya itu dengan cara muwâlâh.

b. Puasa nazar yang tidak disyaratkan dengan tafrîq atau muwâlâh.

Sekiranya tidak disyaratkan puasa nazar itu dengan tafrîq atau muwâlâh, maka dalam hal ini harus puasa itu dikerjakan dengan apa cara sekalipun. Bagaimanapun, mengerjakannya secara muwâlâh adalah lebih afdhal.

Dalam hal ini, Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata:

Ertinya: (Dan jika tidak), iaitu sekiranya tidak disyaratkan (puasa nazar) itu dengan tafrîq dan tidak juga (disyaratkan) dengan muwâlâh, (maka harus) dikerjakan dengan (cara) kedua-duanya dan mengerjakannya secara muwâlâh adalah lebih afdhal.

Kesan Pensyaratan Tafrîq dan Muwâlâh Dalam Puasa Nazar Serta Isu-isu yang Berkaitan Dengannya

Isu tafrîq dan muwâlâh dalam puasa nazar ini merupakan suatu permasalahan yang pasti akan timbul sekiranya seseorang bernazar untuk menunaikan puasa dalam jumlah berbilang hari. Apabila tafrîq dan muwâlâh disyaratkan dalam puasa nazar, ia akan mendatangkan kesan dan hukum tertentu yang akan menentukan sah atau tidaknya puasa nazar itu serta isu-isu lainnya. Berikut beberapa penjelasan mengenainya:

1. Nazar puasa yang tidak ditentukan jumlah harinya.

Salah satu contoh orang yang bernazar untuk menunaikan puasa tanpa menentukan jumlah harinya ialah seperti dia berkata:

“Demi Allah wajib atasku berpuasa beberapa hari.”

Dalam nazar seumpama ini, wajib atasnya mengerjakan puasa sebanyak tiga hari kerana jumlah tiga hari merupakan jumlah jama‘ yang paling sedikit. Bagi menunaikan nazar ini, dia boleh melaksanakannya dengan apa jua cara sekalipun, sama ada secara muwâlâh atau sebaliknya. Ini kerana dia tidak mensyaratkan pelaksanaan puasa nazar itu dengan apa-apa cara. Bagaimanapun, mengerjakannya secara muwâlâh adalah lebih afdhal.

Sekiranya dia mensyaratkan untuk mengerjakannya secara muwâlâh atau tafrîq dalam nazarnya itu, maka wajib ia dilaksanakan sepertimana yang dinazarkan.

2. Nazar puasa yang ditentukan jumlah harinya.

Sekiranya puasa nazar itu ditentukan jumlah harinya, sebagai contoh dia berkata:

“Demi Allah wajib atasku berpuasa dua hari.”

Atau dia berkata:

“Demi Allah wajib atasku berpuasa tiga hari pada bulan Muharram ini.”

Maka dalam nazar seumpama ini, wajib atasnya mengerjakan puasa sepertimana yang dinazarkannya. Dia boleh mengerjakannya sama ada secara muwâlâh atau tafrîq kerana dia tidak mensyaratkan pelaksanaannya dengan apa-apa cara. Bagaimanapun, mengerjakannya secara muwâlâh adalah lebih afdhal.

Sekiranya disyaratkan untuk dikerjakan secara muwâlâh atau tafrîq dalam nazarnya itu, maka wajib ia dilaksanakan sepertimana yang dinazarkan.

Dia juga wajib menunaikan puasa nazarnya itu dengan serta merta sekiranya dia mensyaratkan untuk mengerjakannya dengan segera. Jika dia tidak mensyaratkan sedemikian, maka tidaklah menjadi kesalahan baginya untuk tidak mengerjakannya dengan segera.

3. Nazar puasa sebulan penuh tanpa mensyaratkan muwâlâh.

(i) Sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa sebulan penuh dengan menentukan bulannya tanpa mensyaratkan muwâlâh, misalnya dia berkata:

“Demi Allah, jika aku sembuh daripada sakitku, wajib atasku berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab tahun ini.”

Maka dalam nazar seperti ini, dengan sendirinya apabila dia sembuh nanti wajib atasnya berpuasa setiap hari pada bulan yang diniatkannya itu (Rejab) kerana dia telah mensyaratkan untuk mengerjakan puasa pada semua hari dalam bulan tersebut.

Sekiranya dia berbuka pada salah satu hari daripada hari-hari bulan Rejab tersebut, dia tidak perlu memulakan semula puasanya dari hari pertama kerana dia tidak mensyaratkan dalam niatnya untuk mengerjakannya secara muwâlâh. Dalam ertikata lain, tidak terputus muwâlâh puasanya pada bulan Rejab tersebut kerana dia tidak mensyaratkan untuk mengerjakannya secara muwâlâh. Bahkan sekiranya dia tidak menunaikan puasa nazar sepanjang bulan Rejab itu, dia dibolehkan menqadha’nya walaupun bukan secara berturut-turut sepertimana halnya orang yang menqadha’ puasa bulan Ramadhan. Akan tetapi, perlu diingat bahawa meninggalkan puasa nazar tanpa sebarang keuzuran adalah satu perbuatan yang mendatangkan dosa.

Dalam perkara qadha’ ini, puasa nazar yang terluput itu tetap perlu diqadha’ sekiranya puasa yang luput itu berlaku pada hari yang sah dikerjakan puasa nazar padanya. Oleh sebab itu, puasa nazar yang luput kerana sakit atau musafir tetap wajib diqadha’ kerana puasa nazar masih sah jika dikerjakan ketika sakit atau musafir.

Adapun puasa nazar yang luput kerana haidh dan nifâs tidak perlu diqadha’ kerana ketika haidh dan nifâs puasa tidak sah dikerjakan.

(ii) Sekiranya dia bernazar untuk berpuasa sebulan tanpa menentukan bulannya serta tanpa mensyaratkan muwâlâh, misalnya dia berkata:

“Demi Allah wajib atasku berpuasa sebulan penuh.”

Dalam niat seperti di atas ini, dia boleh memilih sama ada untuk mengerjakannya secara muwâlâh atau tafrîq. Bagaimanapun, mengerjakannya secara muwâlâh adalah lebih afdhal. Sekiranya dia mengerjakannya secara tafrîq, memadai dia berpuasa sehingga cukup 30 hari.

4. Nazar puasa sebulan penuh dengan mensyaratkan muwâlâh.

(i) Sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa sebulan penuh dengan menentukan bulannya serta mensyaratkan muwâlâh, misalnya dia berkata:

“Demi Allah, jika aku sembuh daripada sakitku, wajib atasku berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab tahun ini secara berturut-turut.” Maka dalam hal ini, sekiranya dia berbuka pada salah satu hari daripada bulan Rejab itu, terputuslah muwâlâh dan wajib atasnya isti’nâf yakni memulakan semula puasanya dari hari pertama. Sekiranya dia berbuka tanpa sebarang keuzuran, maka dia dikira berdosa.

Begitu juga sekiranya dia tidak menunaikan puasa sepanjang bulan Rejab itu, maka wajib dia menqadha’nya secara berturut-turut kerana dia telah mensyaratkan untuk mengerjakan puasa nazarnya itu secara muwâlâh. Perbuatan seperti ini mendatangkan dosa jika dia melakukannya tanpa sebarang keuzuran.

Perkara ini khusus jika puasa nazar yang terluput itu berlaku pada hari yang sah dikerjakan puasa nazar padanya. Sekiranya ia berlaku pada hari yang tidak sah puasa padanya seperti ketika didatangi haidh dan nifâs, maka tidak terputus muwâlâh dan tidak wajib dia menqadha’ hari-hari yang luput itu menurut pendapat al-ashah.

(ii) Sekiranya dia bernazar untuk berpuasa sebulan tanpa menentukan bulannya dengan mensyaratkan muwâlâh, misalnya dia berkata:

“Demi Allah wajib atasku berpuasa sebulan berturut-turut.”

Dalam niat nazar seperti di atas ini, maka memadai dia berpuasa pada bila-bila masa secara muwâlâh sehingga mencukupi bilangan 30 hari. Ketetapan ini adalah bagi orang yang tidak memulakan puasa nazarnya pada awal bulan. Sekiranya dia memilih untuk memulakan puasa pada awal bulan, contohnya pada hari pertama bulan Muharram, maka memadai dia mengerjakan puasa nazarnya itu sehingga akhir bulan Muharram walaupun bulan Muharram tersebut hanya 29 hari. Ini kerana dia dikira sudah selesai mengerjakan satu bulan puasa sepertimana yang dinazarkannya.

Dalam tempoh puasa nazar itu, sekiranya dia berbuka pada salah satu hari daripada hari-hari yang sah dikerjakan puasa nazar padanya, maka terputuslah muwâlâh dan wajib atasnya isti’nâf yakni memulakan semula puasa nazarnya itu dari hari pertama. Perbuatan meninggalkan puasa nazar ini boleh mendatangkan dosa sekiranya ia dilakukan tanpa sebarang keuzuran.

Manakala jika puasa nazar yang luput itu berlaku pada hari yang tidak sah puasa padanya seperti ketika didatangi haidh dan nifâs, maka tidak terputus muwâlâh dan tidak wajib dia menqadha’ hari-hari yang luput itu menurut pendapat al-ashah.

5. Nazar puasa satu tahun tanpa mensyaratkan muwâlâh.

(i) Sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa pada suatu tahun tertentu tanpa mensyaratkan muwâlâh, contohnya dia berkata:

“Demi Allah wajib atasku berpuasa satu tahun penuh pada tahun 1443 Hijriyyah.”

Maka wajib dia berpuasa nazar setiap hari pada tahun yang diniatkannya itu melainkan pada bulan Ramadhan serta hari-hari yang diharamkan berpuasa.

Oleh yang demikian, wajib dia berbuka pada hari-hari diharamkan puasa iaitu pada kedua-dua Hari Raya (1 Syawwal dan 10 Zulhijjah) serta ketiga-tiga hari tasyrîq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Manakala pada bulan Ramadhan pula, hendaklah dia mengerjakan puasa Ramadhan dan bukannya berniat puasa nazar.

Hari-hari yang diharamkan puasa nazar seperti bulan Ramadhan, kedua-dua Hari Raya serta ketiga-tiga hari tasyrîq tidak termasuk dalam nazar. Jika dinazarkan untuk berpuasa nazar pada hari-hari berkenaan tidak sah nazar tersebut. Oleh yang demikian, tidak perlu diqadha’ puasa nazar yang ditinggalkan pada hari-hari berkenaan. Sepertimana halnya dalam perkara nazar puasa sebulan, puasa nazar yang terluput pada mana-mana hari pada tahun yang dinazarkan tetap wajib diqadha’ sekiranya puasa yang luput itu berlaku pada hari yang sah dikerjakan puasa nazar padanya seperti puasa nazar yang tidak dikerjakan kerana sakit atau musafir. Begitu juga halnya jika dia berbuka tanpa sebarang keuzuran. Bagaimanapun, perbuatan berbuka tanpa keuzuran ini adalah satu perbuatan yang mendatangkan dosa.

Jika puasa nazar itu luput kerana haidh dan nifâs, maka ia tidak perlu diqadha’ kerana puasa ketika haidh dan nifâs adalah tidak sah.

Dalam nazar puasa tahun tertentu yang tidak disyaratkan padanya muwâlâh sepertimana contoh di atas, jika dia berbuka pada mana-mana hari pada tahun tersebut walaupun tanpa keuzuran, wajib dia menqadha’ hari tersebut sahaja tanpa perlu mengulangi semula puasa satu tahun itu dari hari pertama.

Dalam hal mengqadha’ ini, dia boleh mengerjakan qadha’ puasa nazarnya itu dengan cara muwâlâh atau tafrîq sepertimana qadha’ puasa bulan Ramadhan.

(ii) Sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa satu tahun tanpa menentukan tahunnya dan tanpa mensyaratkan muwâlâh, contohnya dia berkata: “Demi Allah, sekiranya aku mendapat pekerjaan, wajib atasku berpuasa satu tahun.”

Maka apabila berlaku perkara yang dikaitkannya dengan nazarnya, iaitu mendapat pekerjaan, wajib baginya mengerjakan puasa nazarnya itu dan dia boleh memilih sama ada hendak mengerjakannya secara muwâlâh atau tafrîq sehingga cukup bilangan puasanya itu 360 hari. Dia juga boleh berpuasa penuh pada mana-mana 12 bulan yang dikehendakinya walaupun bulan tersebut hanya 29 hari. 6. Nazar puasa satu tahun dengan mensyaratkan muwâlâh.

(i) Sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa pada suatu tahun tertentu dengan mensyaratkan muwâlâh, contohnya dia berkata:

“Demi Allah wajib atasku berpuasa satu tahun penuh pada tahun hadapan secara berturut-turut.”

Maka wajib dia berpuasa nazar setiap hari pada tahun yang diniatkannya itu melainkan pada bulan Ramadhan serta hari-hari yang diharamkan puasa iaitu kedua-dua Hari Raya serta hari-hari tasyrîq. Dalam hal ini, muwâlâh yang disyaratkannya dalam nazar tidak terputus dan tidak wajib atasnya isti’nâf yakni tidak wajib memulakan semula puasanya itu dari hari pertama. Dia juga tidak diwajibkan menqadha’ puasa nazar yang tidak dikerjakan pada hari-hari tersebut.

Sekiranya dia berbuka pada mana-mana hari puasa nazar tanpa sebarang keuzuran, atau dia berbuka kerana musafir atau sakit, maka terputuslah muwâlâh dalam puasa nazarnya itu dan batal puasa yang dikerjakannya sebelum itu. Dalam hal ini, wajib atasnya isti’nâf yakni memulakan semula puasanya itu dari hari pertama. Dalam perkara meninggalkan puasa nazar ini, jika ia dilakukan tanpa sebarang keuzuran, dia akan mendapat dosa.

Bagaimanapun, sekiranya dia berbuka kerana haidh dan nifâs, maka tidak wajib isti’nâf dan dia juga tidak wajib menqadha’nya menurut pendapat al-ashah.

(ii) Sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa satu tahun tanpa menentukan tahunnya dengan mensyaratkan muwâlâh, contohnya dia berkata: “Demi Allah wajib atasku berpuasa satu tahun secara berturut-turut.” Maka apabila dia mengerjakannya, wajib dia berpuasa nazar setiap hari secara muwâlâh sehingga genap 360 hari atau berpuasa penuh 12 bulan berturut-turut melainkan pada hari-hari yang diharamkan puasa serta pada bulan Ramadhan.

Dalam hal ini, dia diwajibkan untuk menqadha’ puasa nazar yang tidak dikerjakan pada bulan Ramadhan serta pada hari-hari yang diharamkan puasa dengan serta merta setelah berlalu hari terakhir (hari ke 360 atau hari terakhir bulan ke-12) bagi puasanya. Maksudnya di sini, qadha’ tersebut hendaklah bersambung dengan hari terakhir berkenaan bagi menggenapkan jumlah hari dalam setahun.

Sebagai contoh, sekiranya dia mula berpuasa pada 1 Muharram, 1442, maka penghujung bulan Zulhijjah, 1442 adalah hari terakhir bagi puasa nazarnya itu. Oleh kerana puasa nazarnya terluput beberapa hari disebabkan bulan Ramadhan, kedua-dua Hari Raya serta hari-hari tasyrîq, maka dia wajib mengqadha’ hari-hari yang tidak dikerjakan puasa nazar itu bermula pada 1 Muharram, 1443, iaitu bersambung terus dengan hari terakhir bulan Zulhijjah, 1442.

Perkara ini ada disebutkan oleh ulama mazhab asy-Syafi‘i antaranya Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh. Dia berkata:

Ertinya: (Dan hendaklah dia menqadha’nya), yakni (puasa nazar yang luput pada) bulan Ramadhan, Hari Raya dan hari tasyrîq, kerana dia telah menetapkan untuk berpuasa satu tahun (tanpa menentukan tahunnya) lalu dia tidak mengerjakannya (secara berturut-turut) yakni secara muwâlâh (dengan mengerjakan qadha’ itu bersambung dengan penghujung tahun) sesuai dengan syarat yang ditetapkannya untuk menunaikan secara berturut-turut.

Bagaimanapun, puasa nazar yang tidak dikerjakan pada bulan Ramadhan, kedua-dua Hari Raya serta hari-hari tasyrîq itu tidak wajib diqadha’ sekiranya orang tersebut meniatkan untuk hanya mengerjakan puasa nazar pada hari-hari yang dibolehkan mengerjakan puasa nazar sahaja. Sebagai contoh dia berkata:

“Demi Allah wajib atasku berpuasa setahun secara berturut-turut pada hari-hari yang dibolehkan puasa nazar padanya.”

Sekiranya dia berbuka pada mana-mana hari puasa nazar tanpa sebarang keuzuran, atau kerana musafir atau sakit, maka terputuslah muwâlâh dan batal puasa yang dikerjakannya sebelum itu serta wajib atasnya isti’nâf. Dalam hal ini, dia dikira berdosa sekiranya dia berbuka tanpa sebarang keuzuran.

Adapun sekiranya dia berbuka kerana haidh dan nifâs, maka tidak terputus muwâlâh dan tidak perlu isti’nâf dan dia juga tidak wajib mengqadha’nya menurut pendapat al-ashah.

Demikian penjelasan mengenai permasalahan tafrîq dan muwâlâh dalam puasa nazar. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat memantapkan pengetahuan dan kefahaman kita khususnya dalam perkara menunaikan puasa nazar. Dengan mantapnya pengetahuan dan kefahaman mengenai perkara ini, puasa nazar dapat ditunaikan dengan sempurna sepertimana yang dikehendaki syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10161

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص