Belia Berilmu Dan Beramal Salih Pemangkin Negara Berkat
الجواب
Generasi muda atau belia merupakan tiang dan sandaran negara dan menjadi sumber tenaga manusia yang sangat bernilai. Pada mereka diletakkan cita-cita serta harapan negara di masa hadapan. Sebagai harapan negara, mereka memikul tanggungjawab yang besar.
Oleh itu, mereka perlu dibentuk dan dipersiapkan dengan tarbiyyah, nilai-nilai dan kefahaman Islam sejak dari kecil lagi bagi menanai matlamat dan aspirasi negara yang dicintai.
Pandangan Islam Terhadap Golongan Belia
Golongan belia adalah golongan yang lebih cepat bertindak balas serta peka dengan sebarang perubahan dan pembaharuan. Keistimewaan golongan belia ini juga tercatat dalam sejarah Islam.
Sebagai contoh, Ibnu Katsir Rahimahullâh menyebut dalam kitab tafsirnya bahawa di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam golongan belia adalah antara mereka yang paling ramai menerima kebenaran agama yang dibawa oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan seterusnya mendapat hidayah memeluk agama Islam dalam usia mereka yang masih muda.
Selain itu, dalam kitab Sunan al-Baihaqi al-Kubrâ menyatakan bahawa az-Zuhri Rahimahullâh telah berkata kepada sekumpulan budak lelaki (hampir kepada umur bâligh): “Jangan kamu (merasa) rendah diri kerana kecilnya umur kamu (masih muda). Sesungguhnya ‘Umar al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu jika dia menghadapi perkara yang sangat berat, dia memanggil para pemuda lalu meminta pandangan daripada mereka kerana mahukan buah fikiran (pandangan) mereka yang tajam (cerdas).”
Berdasarkan kenyataan di atas, golongan berwibawa ini tidak boleh dibiarkan terlalu kaku, lemah dan mundur dalam segala hal, tetapi mesti melalui proses transformasi yang jitu ke arah mempersiapkan mereka sebagai barisan warga serba boleh, berfikiran besar dan bersedia berhadapan dengan segala cabaran kehidupan. Renunglah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Seorang daripada mereka berkata: “Wahai bapaku: “Ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik orang yang bapa ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qashash: 26)
Melengkapkan Diri Belia Dengan Ilmu
Meskipun kecerdasan dan ketajaman fikiran itu antara keistimewaan yang dimiliki oleh para belia, ia juga hendaklah dilengkapi dan diasaskan dengan ilmu pengetahuan.
Islam sangat menitikberatkan perkara yang berkaitan dengan ilmu serta memberi perhatian dan kelebihan terhadap orang yang tekun mencari ilmu, menyusun dan menulis ilmu pengetahuan demi kesinambungannya serta menjadi sumber kepada yang lain. Selain gesaan untuk mendapatkan dan mempelajari ilmu, Islam juga sentiasa memberi panduan ke arah mencapai perkara yang berkaitan dengan ilmu malah menekankan supaya ilmu itu pula diajarkan.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh hukum mempelajari ilmu syara‘ itu antaranya ada yang wajib dan ada juga yang sunat. Manakala ilmu selain ilmu syara‘, ada antaranya dihukumkan haram, makruh dan mubâh (harus). Dari itu, timbul pertanyaan apakah jenis ilmu yang perlu ditekuni dan ada pada setiap Muslim? Oleh itu, penjelasan mengenainya hanya akan difokuskan kepada mempelajari ilmu yang dihukumkan wajib dan sunat sahaja.
Dalam muqaddimah kitab al-Majmû‘, karangan Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan bahawa ilmu syara‘ ada tiga bahagian, iaitu ilmu fardhu ‘Ain, ilmu fardhu Kifayah dan sunat. Hukum mempelajarinya adalah seperti berikut:
1. Ilmu Fardhu ‘Ain.
Wajib ke atas setiap individu yang beragama Islam yang mukallaf, iaitu yang berakal dan bâligh, mempelajarinya.
Contohnya mempelajari perkara yang berkaitan dengan ibadat seperti cara berwudhu’, cara sembahyang, perkara halal dan haram mengenai makanan, minuman, pakaian, pergaulan dan selain yang disebutkan ini. Demikian juga mempelajari perkara yang berkaitan dengan perkara zakat, ibadat haji, nikah dan muamalat, walaupun keperluan untuk mengetahuinya akan datang kemudian.
Sebagai contoh, kewajiban mempelajari dan mengetahui cara sembahyang itu adalah kerana sembahyang telahpun diwajibkan ke atas orang mukallaf. Sementara kewajiban mempelajari cara berwudhu’ pula adalah kerana kesahan sembahyang dan ibadat sembahyang itu bergantung pada wudhu’ yang sah. Tanpa mempelajari segala rukun dan syarat, dia pasti tidak dapat melaksanakan suatu ibadat itu sebagaimana yang dituntut dan menepati kehendak syara‘.
Demikian juga hukumnya mempelajari ilmu-ilmu ushul ad-dîn dan yang berkaitan dengan perkara ‘aqidah. Bagaimanapun dalam perkara ini, menurut Imam an- Nawawi Rahimahullâh memadailah dengan dia membenarkan setiap apa yang dibawa oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan i‘tiqâd (kepercayaan) tanpa keraguan mengenainya. Oleh itu, dia tidak dituntut untuk berlebih-lebihan mendalaminya, kerana Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh melarang perbuatan sedemikian.
Menurut Imam asy-Syafi‘ Rahimahullâh lagi, ibu bapa adalah orang pertama yang bertanggungjawab dalam mendidik anak mereka sejak dari kecil lagi tentang perkara-perkara yang diwajibkan oleh syara‘.
2. Ilmu Fardhu Kifayah.
Ilmu-ilmu fardhu Kifayah ini memadai jika hanya sebahagian orang pada suatu tempat atau negeri itu yang mempelajarinya, meskipun hanya seorang sahaja. Dengan hanya seorang itu, maka gugur dosa dan tuntutan fardhu Kifayah daripada yang lain. Oleh itu, wajib ke atas umat Islam untuk mempelajari ilmu-ilmu ini walaupun hanya sebahagian sahaja daripada mereka.
Jika terabai suatu tuntutan fardhu Kifayah di suatu tempat itu, maka adalah berdosa bagi setiap orang yang mengetahui tentang perkara ini dan yang mampu untuk melaksanakan tuntutan fardhu Kifayah tersebut, sekalipun dia berada jauh daripada tempat tersebut. Begitu juga dihukumkan berdosa bagi sesiapa yang tidak mengetahui tentang perkara ini, akan tetapi dia berada berdekatan dengan tempat tersebut, sedangkan dia boleh mengetahui mengenai perkara ini dengan cara menyelidikinya dan mengambil perhatian terhadapnya. Dalam perkara ini, dia juga dianggap cuai daripada mengambil tahu.
Contoh ilmu fardhu Kifayah itu ialah menghafaz al-Qur’an, iaitu keseluruhan 30 juz al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta mempelajari cabang ilmu yang berkaitan dengan keduanya, ilmu fiqh dan ilmu ushûl fiqh, ilmu nahu bahasa Arab dan selainnya daripada ilmu-ilmu syara‘ yang akan menegakkan agama Islam apabila ia dipelajari.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, ilmu perubatan dan ilmu kira-kira adalah termasuk dalam ilmu fardhu Kifayah kerana ilmu-ilmu tersebut merupakan satu kemestian dan sangat diperlukan untuk kebaikan dan mashlahat kehidupan manusia. Ilmu perubatan adalah untuk keperluan tubuh badan manusia, manakala ilmu kira-kira pula adalah untuk urusan muamalat, pembahagian wasiat dan harta perwarisan atau selainnya.
Di samping itu, menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh lagi, ilmu asas pembuatan dan kemahiran seperti pertanian dan jahitan serta ilmu pengurusan juga termasuk ilmu fardhu Kifayah. Ini kerana jika tiada seorang pun pada suatu tempat itu mempelajari ilmu-ilmu fardhu Kifayah seperti yang disebutkan, maka mereka bakal menghadapi kesulitan dan boleh membawa kepada kebinasaan.
3. Ilmu Nafl (Sunat).
Adakalanya mempelajari ilmu syara‘ hukumnya sunat seperti seorang mempelajari perkara-perkara sunat dalam ibadat untuk tujuan mengamalkannya.
Dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, antara contoh yang menjelaskan perkara ini ialah mempelajari perkara-perkara sunat (nawâfil) dalam ibadat haji. Apabila seorang berazam untuk menunaikan ibadat haji, maka pada ketika itu adalah wajib (fardhu ‘Ain) baginya untuk belajar cara mengerjakan ibadat haji. Dia diwajibkan untuk mempelajari rukun-rukun dan perkara wajib haji tanpa diwajibkan mempelajari perkara-perkara sunat haji. Ini kerana hukum melakukan perbuatan sunat haji itu adalah sunat, maka hukum mempelajarinya juga adalah sunat. Oleh itu, mempelajari perkara sunat haji bukan termasuk fardhu ‘Ain.
Maka, adalah wajib ke atas orang Islam yang mukallaf, termasuklah para belia, untuk mempelajari ilmu-ilmu fardhu ‘Ain dan dituntut juga untuk menambah pengetahuannya dalam ilmu-ilmu yang sunat serta mempelajari ilmu-ilmu fardhu Kifayah yang bermanfaat dan diperlukan untuk mashlahat kehidupan dunia. Di samping itu, hendaklah dia meninggalkan ilmu yang tidak bermanfaat lebih-lebih lagi ilmu-ilmu yang dihukumkan haram dan makruh.
Dari itu, para belia yang dikatakan sebagai seorang yang berilmu, tidaklah wajar hanya mempelajari ilmu-ilmu fardhu Kifayah sahaja, sedang ilmu-ilmu fardhu ‘Ain, termasuk yang sunat, ditinggalkan atau diabaikan.
Kelebihan Orang yang Berilmu
Dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah banyak disebutkan ciri-ciri dan kelebihan bagi orang yang berilmu. Antara kelebihan tersebut ialah:
i. Orang yang berilmu takut kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Tafsirnya: Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambanya hanyalah ulama.
(Surah Fâthir: 28)
ii. Orang yang berilmu diangkat darjatnya.
Tafsirnya: Nescaya Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. (Surah al-Mujâdalah: 11)
Kerana itu, kelebihan pada orang yang berilmu itu ialah dia memiliki keupayaan berfikir dan memahami sesuatu perkara, sebagaimana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang mengambil pengajaran hanyalah orang-orang yang mempunyai akal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Surah az-Zumar: 9)
Manakala kelebihan bagi orang yang berilmu itu juga disebutkan dalam beberapa hadits antaranya ialah diriwayatkan daripada Mu‘awiyah bin Abi Sufyan Radhiallâhu ‘anhu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang Allah kehendaki dengannya suatu kebaikan, Allah menjadikannya faham (dengan mendalam) pada bidang agama. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadits ini memperjelaskan tentang fadhilat ilmu, kefahaman yang mendalam (tafaqquh) dalam perkara agama, gesaan untuk mencapai tafaqquh kerana ia membawa kepada bertaqwa kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Ilmu, Akhlak Mulia dan Amal Salih
Menurut al-Qadhi Husain Rahimahullâh, jika berhimpun pada seorang guru (yang mengajarkan ilmu) tiga sifat, maka telah sempurnalah ni‘mat ke atas muridnya, iaitu kesabaran guru dalam memberi kefahaman kepada murid, tawâdhu‘ dan akhlak yang mulia.
Begitu juga, jika berhimpun pada seorang murid tiga sifat, maka telah sempurnalah ni‘mat ke atas guru yang mengajarnya, iaitu akal, adab dan kefahaman yang baik.
Jelasnya, ilmu, akhlak yang mulia dan adab adalah tiga perkara yang tidak boleh dipisahkan lebih-lebih lagi dalam perkara menuntut ilmu. Selain itu, untuk seseorang mencapai kesempurnaan dalam manfaat ilmunya, dia juga dimestikan untuk mengamalkan ilmu yang dipelajarinya.
Al-Khathib al-Baghdadi Rahimahullâh dalam kitabnya Iqtidhâ’ al-‘Ilm al-‘Amal menyebutkan sebuah riwayat daripada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud: Pelajarilah apa yang kamu mahu pelajari, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sekali-kali tidak akan berikan manfaat kepada kamu sehingga kamu beramal dengan apa yang kamu pelajari.
Menurut al-Munawi Rahimahullâh dalam kitabnya Faidh al-Qadîr, maksud daripada hadits di a tas adalah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sekali-kali tidak akan memberikan manfaat ilmu yang telah dipelajari itu sehinggalah diamalkan ilmu tersebut.
Jelasnya, ilmu dan amal itu saling beriringan. Orang yang berilmu, beradab dan berakhlak mulia, hendaklah dia beramal dengan ilmunya, sama ada yang berkaitan dengan perkara agamanya mahupun yang lain. Bahkan tidak ada faedahnya ilmu yang dipelajari itu jika tidak diamalkan kerana amal merupakan buah atau hasil daripada ilmu. Dari itu, orang yang mempunyai ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya adalah belum mencapai kesempurnaan malahan diumpamakan seperti pohon yang tidak berbuah.
Imam Fakhr ar-Razi Rahimahullâh ada menyatakan bahawa tidak sempurna empat perkara melainkan dengan menyempurnakan empat perkara, iaitu;
Ertinya: Tidak sempurna agama kecuali dengan taqwa, tidak sempurna percakapan kecuali dengan perbuatan, tidak sempurna muru’ah kecuali dengan tawâdhu‘ dan tidak sempurna ilmu kecuali dengan amal.
Manakala melakukan amal-amal salih pula telah dijanjikan dengan ganjaran syurga. Amal salih itu ialah setiap kebaikan yang diakui menurut pandangan sesuatu ‘urf (kebiasaan), syara‘, akal fikiran dan juga fitrah yang sempurna.
Sebagai kesimpulan, para belia sebagai golongan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, sayugia mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu agama (syara‘) dan ilmu-ilmu yang bermanfaat, di samping menghiasi diri dengan ajaran dan nilai-nilai Islam serta sentiasa bersiap siaga mendukung aspirasi dan wawasan negara. Belia yang berilmu, berakhlak mulia dan beramal salih bukan setakat teguh pada agama dan negara, malahan dia sentiasa akan mempamerkannya pada cara berfikir, berkata-kata, tindak-tanduk serta sentiasa membuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Jika ciri-ciri ini ada pada diri belia, nescaya tinggilah keyakinan dan kepercayaan bahawa mereka inilah bakal pemangkin negara berkat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10165
دليل الألوان
