Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز٠ مشاهدة

Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa Dengan Mendo‘Akan Dan Menyembahyangkan Jenazah Mereka

الجواب

Berbuat baik kepada kedua ibu bapa hukumnya adalah wajib. Tuntutan ini banyak dijelaskan melalui dalil-dalil syara‘, antaranya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada mereka berdua atau kedua-duanya berumur lanjut dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada kedua-duanya (sesuatu perkataan yang boleh menyinggung perasaan seperti perkataan) “ah” dan janganlah engkau menengking kedua-duanya tetapi ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang mulia (dengan berlemah-lembut dan bersopan-santun). Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdo‘alah (untuk kedua-duanya): “Ya Tuhan! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku sejak kecil (lagi).” (Surah al-Isrâ’: 23-24)

Dalam ayat yang lain, Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan Kami memerintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. qâf: 15)hA-(Surah al Sebaliknya, berbuat derhaka kepada kedua ibu bapa hukumnya adalah haram dan berdosa besar. Perkara ini dilihat daripada beberapa buah hadits yang menyebutkan mengenainya, antaranya sebagaimana hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Mensyirikkan Allah.” Dia (orang Arab itu) berkata lagi: “Kemudian apa?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Kemudian menderhakai kedua ibu bapa.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Akibat menderhaka kepada kedua ibu bapa pasti akan memberikan kesan yang buruk kepada pelakunya seperti tidak masuk syurga sebagaimana hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang gemar minum minuman keras. (Hadits riwayat Ahmad)

Selain itu, orang yang derhaka kepada ibu bapa itu tidak akan dipandang (tidak mendapat perlindungan Allah Ta‘ala) pada Hari Kiamat sebagaimana hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tiga golongan yang tidak dipandang oleh Allah ‘Azza wa Jalla pada Hari Kiamat: (Iaitu) orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang meyerupai seperti laki-laki dan orang yang dayus. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Jelaslah bahawa derhaka kepada ibu bapa bukan sahaja haram dan berdosa besar, bahkan ia juga memberikan kesan yang buruk kepada penderhaka itu di akhirat kelak. Kita dituntut untuk sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa, bukan sahaja semasa hidup mereka bahkan juga sesudah mereka tiada.

Tuntutan Berbuat Baik Setelah Ibu Bapa Meninggal Dunia

Berbuat baik kepada kedua ibu bapa masih boleh dilakukan walaupun mereka telah meninggal dunia. Antara perbuatan baik yang boleh dilakukan oleh seorang anak itu sama ada anak lelaki mahupun perempuan ialah seperti mendo‘akan keampunan dan rahmat ke atas mereka, menyembahyangkan jenazah mereka, menyempurnakan janji atau wasiat mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim yang terjalin disebabkan mereka dan memuliakan orang-orang yang dahulu menjadi sahabat karib mereka.

Perkara ini disebutkan dalam sebuah hadits daripada Abu Usaid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Ketika kami berada di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam datang seorang laki-laki daripada kaum Bani Salimah, lalu dia bertanya: “Wahai Rasulullah! Masih adakah sesuatu kebaikan yang boleh saya lakukan untuk kedua ibu bapa saya sesudah kedua-duanya meninggal dunia?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Ya, (iaitu) mendo‘akan (dan mengerjakan sembahyang jenazah ke atas) kedua-duanya, memohon keampunan bagi kedua-duanya, melaksanakan janji kedua-duanya sesudah meninggal kedua-duanya, menghubungkan tali silaturrahim yang tidak terjalin kecuali disebabkan jasa kedua-duanya dan memuliakan sahabat karib kedua-duanya.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam Muhammad Syams al-Haq al-‘Azhim Abadi Rahimahullâh, maksud perkataan hadits “ash-shalah ‘alaihima” itu ialah mendo‘akan mereka dengan rahmat dan pengampunan, termasuk juga dalam erti kata do‘a itu menyembahyangkan jenazah mereka sepertimana yang dikatakan oleh al-Qari Rahimahullâh. Imam as-Sindi Rahimahullâh pula menerangkan bahawa perkataan tersebut bermaksud mendo‘akan kedua-dua mereka dengan rahmat, serta berkemungkinan ia juga membawa maksud menyembahyangkan jenazah mereka.

Jelas disebutkan dalam hadits di atas bahawa mendo‘akan dan mengerjakan sembahyang jenazah ke atas kedua ibu bapa mereka yang sudah meninggal dunia adalah antara perbuatan baik yang boleh dilakukan oleh anak lelaki dan juga anak.

Mendo‘akan Ibu Bapa Jangan Diambil Ringan

Dalam masyarakat kita, anak-anak sejak kecil lagi dididik oleh ibu bapa mereka dengan didikan agama. Demikian juga di sekolah-sekolah mereka dididik dengan pelajaran agama seperti pelajaran tauhid, al-Qur’an, ibadat, akhlak dan termasuklah juga membimbing mereka agar mendo‘akan ibu bapa mereka baik selepas sembahyang ataupun di luar sembahyang. Ini sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan berdo‘alah (untuk kedua-duanya): “Ya Tuhan! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku sejak kecil (lagi).” (Surah al-Isrâ’: 24)

Anak-anak selain dididik mendo‘akan ibu bapa mereka ketika kedua-duanya masih hidup, mereka juga dididik untuk mendo‘akan ibu bapa setelah kedua-duanya sudah meninggal dunia. Ini kerana do‘a anak yang salih itu merupakan salah satu amalan yang tidak putus setelah ibu atau bapanya meninggal dunia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila mati seseorang manusia maka terputuslah amalannnya melainkan tiga perkara iaitu: “Sedekah jâriah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang mendo‘akannya.” (Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, anak-anak dalam masyarakat kita sudah terbiasa dengan mendo‘akan ibu bapa mereka baik semasa hidup ataupun sesudah ibu bapa mereka tiada. Amalan sebegini perlulah dikekalkan dan tidak boleh diambil ringan agar amalan mendo‘akan ibu bapa itu tidak dilupakan oleh generasi-generasi akan datang.

Menyembahyangkan Jenazah Ibu Bapa

Demikian juga, penglibatan anak-anak dalam menyembahyangkan jenazah ibu bapa mereka amatlah membanggakan, malah mereka turut serta dalam menyempurnakan kewajiban yang lain seperti memandikan, mengkafankan dan menguburkan jenazah kedua ibu bapa mereka.

Namun tidak dinafikan dalam perkara menyembahyangkan jenazah ibu bapa khususnya, ada antara anak-anak yang tidak turut serta dalam menyembahyangkan jenazah ibu bapa mereka dengan beralasan bahawa mereka tidak tahu mengerjakan sembahyang jenazah dan ada juga yang beranggapan sembahyang jenazah itu memadailah sudah dikerjakan oleh orang lain.

Ini termasuk juga dalam pengurusan jenazah yang lain seperti memandikan, mengkafankan dan menguburkan jenazah. Ada yang beranggapan apabila berlaku kematian maka semua perkara yang berkaitan dengan pengurusan jenazah akan diuruskan oleh penggapai dan imam sahaja. Tanggapan sebegini perlulah dibetulkan, kerana penggapai dan imam yang hadir sememangnya akan sentiasa memberikan bantuan dan bimbingan kepada ahli keluarga yang memerlukan. Namun ia tidaklah diserahkan sepenuhnya kepada penggapai dan imam dalam perkara tersebut. Ini kerana ahli keluarga termasuk anak-anak si mati adalah mereka yang afdhal menguruskan jenazah keluarga mereka.

Oleh itu, anak-anak perlulah mempelajari cara-cara mengerjakan sembahyang jenazah agar dapat turut serta dalam mengerjakan sembahyang jenazah ibu bapa mereka. Ini bukan sahaja kerana memenuhi tuntutan fardhu Kifayah, bahkan bagi merebut peluang untuk berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah tiada.

Anak Lelaki Afdhal Menjadi Imam Sembahyang Jenazah Ibu Bapanya

Bukan sahaja anak dituntut untuk menyembahyangkan jenazah ibu bapa, bahkan anak lelaki antara orang yang afdhal menjadi imam sembahyang jenazah kedua ibu bapa mereka.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan dalam al-Minhâj bahawa ahli keluarga terdekat daripada kalangan lelaki adalah orang yang lebih utama untuk menjadi imam sembahyang jenazah. Ini jelas sebagaimana nashnya berbunyi:

Ertinya: Menurut qaul al-jadîd bahawa wali (iaitu ahli keluarga terdekat daripada kalangan lelaki) adalah lebih utama menjadi imam daripada al-wâli (iaitu orang yang dilantik oleh raja untuk menjadi ketua atau qadhi sesebuah negara atau wilayah). Dari segi urutan afdhal, anak lelaki diutamakan untuk menjadi imam sembahyang jenazah selepas bapa dan datuk sekiranya mereka masih ada. Nashnya juga daripada kitab al-Minhâj:

Ertinya: Maka didahulukan bapa, kemudian datuk lelaki dan ke atas, kemudian anak lelaki, kemudian anak lelakinya (kepada anak lelaki bapa, iaitu cucu kepada bapa) dan ke bawah, kemudian adik beradik lelaki dan pendapat yang al-azhhar mendahulukan adik beradik lelaki seibu sebapa ke atas adik beradik lelaki yang sebapa, kemudian anak lelaki kepada adik beradik lelaki seibu sebapa, kemudian (anak lelaki kepada adik beradik lelaki) yang sebapa, kemudian ‘ashabah (baki kerabat yang termasuk dalam ahli waris yang menerima kesemua bahagian waris)

mengikut tertib menerima bahagian waris, kemudian dzawu al-arhâm (kerabat yang tidak termasuk dalam ahli yang menerima bahagian waris).

Oleh kerana itu, dalam perkara menjadi imam sembahyang jenazah ini, anak lelaki bukan sahaja melakukannya untuk mengambil peluang berbuat baik kepada ibu bapa, malah dari sudut lain merekalah antara orang yang lebih utama menjadi imam. Bagi merealisasikan perkara ini, anak-anak lelaki perlu mengetahui mengenai perkara ini supaya mereka bersedia dengan berusaha dan belajar mengenai ilmu fardhu Kifayah sama ada dengan menyertai bengkel-bengkel dan kursus-kursus yang berkaitan fardhu Kifayah atau seumpamanya.

Manakala bagi anak perempuan pula, mereka boleh mengambil peluang untuk berbuat baik kepada ibu bapa mereka dengan menyembahyangkan jenazah kedua ibu bapa mereka jika mereka tidak mempunyai sebarang keuzuran.

Sebagai kesimpulan, mendo‘akan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan juga sesudah mereka tiada serta menyembahyangkan jenazah mereka adalah antara cara untuk berbakti kepada ibu bapa. Bahkan anak lelaki adalah orang yang afdhal menjadi imam sembahyang jenazah ibu bapanya selepas bapa dan datuk kepada si mati sekiranya mereka masih ada. Begitulah keindahan Islam dalam mendidik umatnya untuk sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa walaupun sesudah mereka tiada.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10171

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص