Adakah Barang Waqaf Boleh Disewakan?
الجواب
Antara amalan sunat yang digalakkan untuk dilakukan sebagai qurbah iaitu ibadat yang dilakukan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah waqaf. Waqaf merupakan suatu amalan yang menjanjikan aliran pahala dan kebaikan yang berterusan sekalipun seseorang itu telah meninggal dunia. Inilah keistimewaan waqaf yang memberi keuntungan berpanjangan bagi sesiapa yang mengamalkannya.
Namun sedarkah kita keuntungan atau laba yang diperoleh daripada waqaf itu tidak terbatas kepada pewaqaf sahaja. Bahkan keuntungan juga dapat dini‘mati oleh pihak lain. Waqaf memainkan peranan yang tidak kurang penting dalam kehidupan bermasyarakat khususnya bagi memenuhi keperluan dan memberi kemudahan. Sumbangan dan perkongsian melalui waqaf ternyata membawa kepada wujudnya suatu jaminan dan tanggungjawab sosial antara individu dalam sesebuah masyarakat, apabila sebahagian daripada mereka dapat menyediakan sesuatu yang memberi manfaat kepada sebahagian yang lain.
Apa yang dapat dilihat dalam kehidupan hari ini, terdapat kemudahan-kemudahan awam yang wujud melalui sarana waqaf antaranya seperti kenderaan pengangkutan, kerusi roda, tanah untuk tapak masjid, sekolah, perkuburan dan sebagainya yang diwaqafkan bagi kegunaan orang awam. Kemudahan seperti ini merupakan al-mauqûf (barang waqaf) yang diberi kepada penerima umum atau tidak ditentukan. Di samping itu terdapat juga barang waqaf seperti rumah atau kereta yang diberi kepada penerima waqaf yang ditentukan secara khusus.
Barang waqaf merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun waqaf. Apabila suatu barang menjadi barang waqaf dan telah diwaqafkan kepada seseorang atau pihak, barang tersebut tidak boleh dijual, tidak boleh dijadikan pemberian dan tidak boleh diwariskan. Namun timbul persoalan adakah barang tersebut boleh disewakan?
Kedudukan Barang Waqaf Menurut Syara‘
Barang yang diwaqafkan kepada penerima waqaf sama ada penerima waqaf itu ditentukan kepada seseorang atau tidak ditentukan adalah menjadi hak milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Apabila berlaku waqaf yang sah dengan memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan, hak milik ke atas barang yang diwaqafkan berpindah dari milik pewaqaf kepada milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini bererti hak tasharruf (guna pakai) ke atas barang yang diwaqafkan berserta manfaatnya tidak lagi dimiliki oleh pewaqaf.
Dengan sebab itu, barang waqaf tidak lagi menjadi hak milik sesiapa, tidak kekal menjadi milik pewaqaf dan tidak juga akan menjadi milik penerima waqaf. Ini bukan sahaja bagi barang waqaf daripada jenis barang tidak alih seperti tanah, rumah dan lainnya, bahkan juga barang boleh alih seperti kereta, meja dan seumpamanya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn menyebut:
Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar bahawasanya hak milik pada barang yang diwaqafkan itu berpindah (milik) kepada Allah Ta‘ala iaitu terlepas (hak milik tersebut) dari milik khusus manusia, maka ia (barang yang diwaqafkan itu) tidak lagi menjadi hak milik kepada pewaqaf dan juga tidak menjadi hak milik kepada penerima waqaf.
Pewaqaf tidak berhak untuk menarik balik atau membatalkan waqaf yang telah dilakukannya. Barang waqaf akan terus kekal menjadi barang waqaf kerana kedudukan waqaf itu tidak boleh dibatalkan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan tidak batal (hukum) waqaf oleh apa jua keadaan bahkan ia (hukum waqaf) itu berterusan ke atasnya.
Selain itu, barang waqaf juga tidak dijual, tidak dijadikan pemberian atau diwariskan kepada sesiapa pun. Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab (Radhiallâhu ‘anhu) memperoleh sebidang tanah di Khaibar, lalu beliau datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (untuk) meminta nasihat (petunjuk) tentangnya. Sayyidina ‘Umar berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah memperoleh sebidang tanah di Khaibar, aku tidak pernah mempunyai harta yang lebih berharga daripada tanah itu. Oleh itu apa yang engkau perintahkan kepadaku dengan tanah itu?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “(Wahai ‘Umar), jika engkau mahu, engkau tahan (waqafkan) tanah itu dan engkau bersedekah dengannya (manfaatnya)”. Ibnu ‘Umar berkata: “Maka Sayyidina ‘Umar bersedekah dengannya, (dengan syarat) tanah itu tidak dijualbeli, tidak diberikan (hibah) dan tidak diwariskan.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hak Mengambil Manfaat Barang Waqaf
Pewaqaf tidak berhak mengambil manfaat daripada barang yang diwaqafkannya kecuali jika dia mewaqafkan sesuatu daripada miliknya untuk menjadi sebuah masjid, tempat perkuburan atau perigi. Dalam keadaan ini, pewaqaf boleh bersembahyang di dalam masjid yang dia waqafkan itu dan pewaqaf juga boleh mengambil air daripada perigi yang dia waqafkan. Selain itu jasad pewaqaf juga boleh dikuburkan di tanah perkuburan yang diwaqafkannya.
Adapun hak mengambil manfaat barang-barang waqaf berpindah kepada penerima waqaf, sama ada penerima waqaf itu ditentukan (khusus) atau tidak ditentukan (umum).
Menyewakan Barang Waqaf
Dalam perkara menyewakan barang waqaf, keharusan menyewakan barang waqaf adalah tertakluk kepada beberapa perkara dan dapat disimpulkan sebagaimana berikut:
1. Penerima waqaf ditentukan.
Penerima waqaf khusus atau ditentukan ialah seorang penerima yang ditentukan namanya, ataupun kumpulan yang ditentukan sama ada dengan disebut nama-nama yang ditentukan seperti polan dan polan atau disebut sifat orang-orang yang ditentukan seperti anak-anak si polan yang fakir. Penerima ini boleh mengambil manfaat barang waqaf tersebut untuk dirinya sendiri atau orang lain dengan cara menyewakan ataupun meminjamkan barang waqaf yang diterimanya itu kepada orang lain sepertimana dia menyewakan atau meminjamkan barang-barang kepunyaannya kepada orang lain. Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut di dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan manfaat-manfaatnya (barang waqaf) adalah (menjadi) milik kepada penerima waqaf (untuk dia) memanfaatkannya untuk dirinya (penerima waqaf sendiri) atau orang selainnya, dengan (cara) meminjamkan atau menyewakan. Dan (penerima waqaf) memiliki bayaran (sewa atau upah) itu.
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh pula memperincikan maksud ‘penerima waqaf’ dalam nash di atas sebagai penerima waqaf yang ditentukan:
Ertinya: Dan manfaat-manfaatnya iaitu (manfaat) barang yang diwaqafkan kepada (penerima pewaqaf) yang ditentukan.
Dari penjelasan di atas dapat difahami bahawa penerima waqaf yang ditentukan secara khusus boleh memanfaatkan barang waqaf yang diberi kepadanya dengan cara menyewakan barang waqaf itu kepada orang lain. Apabila barang waqaf disewakan, maka bayaran sewa itu menjadi milik penerima waqaf sebagaimana juga halnya seseorang menyewakan barang kepunyaannya sendiri.
Walau bagaimanapun, keharusan menyewakan barang waqaf itu hanya dibolehkan apabila penerima waqaf itu sendiri merupakan nazhir (pengelola) waqaf atau orang lain yang dilantik menjadi nazhir memberi keizinan kepada penerima waqaf untuk menyewakan barang waqaf tersebut.
2. Penerima waqaf tidak ditentukan.
Penerima waqaf umum atau tidak ditentukan ialah penerima yang hanya dinamakan kepada sesuatu pihak seperti berwaqaf kepada masjid-masjid, orang-orang fakir, para penuntut ilmu dan yang selainnya.
Dalam perkara penerima-penerima waqaf yang tidak ditentukan ini, mereka hanya berhak mengambil manfaat terus daripada barang waqaf tersebut untuk diri mereka sahaja dan tidak dengan selainnya seperti dengan menyewakan atau meminjamkan barang waqaf itu. Mengenai perkara ini, Imam al-Khathib asy- Syarbini Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Maka jika berwaqaf kepada suatu pihak sahaja (secara umum) seperti (berwakaf untuk) orang-orang fakir, penerima waqaf (tersebut) tidak memiliki akan manfaat (barang waqaf), bahkan hanya berhak mengambil manfaatnya.
Sebagai contoh, seorang pewaqaf telah mewaqafkan seratus buah komputer (sebagai barang waqaf) untuk kemudahan pelajar-pelajar sekolah (penerima yang tidak ditentukan). Maka dalam hal ini, komputer-komputer waqaf itu hanya boleh dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar dengan menggunakannya sebagai kemudahan. Oleh kerana pelajar-pelajar sekolah itu adalah penerima waqaf yang tidak ditentukan, mereka tidak ada hak memanfaatkan komputer-komputer waqaf itu dengan cara lain seperti menyewakannya atau meminjamkannya kepada orang lain kerana manfaat yang diperoleh daripada komputer-komputer waqaf itu tidak menjadi milik mereka, bahkan mereka hanya berhak mengambil manfaat dengan menggunakannya sahaja.
Berbeza dengan penerima waqaf yang ditentukan, penerima waqaf yang ditentukan berhak memiliki manfaat barang waqaf yang ditentukan kepadanya. Sebagai contoh, seorang pewaqaf telah mewaqafkan sebuah komputer (barang waqaf) kepada polan bin polan (penerima waqaf yang ditentukan). Oleh kerana si polan itu penerima waqaf yang ditentukan, manfaat komputer waqaf yang diterimanya itu menjadi haknya. Maka dalam hal ini, selain memanfaatkan komputer itu dengan menggunakannya, si polan itu boleh memanfaatkan komputer waqaf yang diterimanya itu dengan cara lain seperti menyewakannya atau meminjamkannya kerana manfaat komputer yang diwaqafkan kepadanya itu adalah miliknya.
Berdasarkan penjelasan ini, penerima waqaf yang tidak ditentukan adalah tidak dibolehkan untuk menyewakan barang waqaf yang dia ambil manfaat daripadanya.
3. Syarat pewaqaf.
Jika pewaqaf meletakkan syarat-syarat tertentu terhadap waqafnya, maka segala syarat-syarat itu hendaklah dipatuhi. Umpamanya pewaqaf mensyaratkan barang yang diwaqafkannya untuk tidak disewakan, pewaqaf hanya membataskan tempoh sewaan selama setahun atau pewaqaf mensyaratkan untuk tidak memperbaharui sewaan waqaf kepada penyewa yang sama. Maka dalam keadaan-keadaan seperti ini, hendaklah dipatuhi syarat yang diletakkan oleh pewaqaf.
Syarat waqaf hendaklah dipatuhi selagi bukan dalam keadaan dharurat sebagaimana juga syarat-syaratnya yang lain yang tidak bertentangan dengan hukum syara‘ dan hendaklah terdapat mashlahat padanya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Menurut pendapat al-ashah, sesungguhnya jika seseorang berwaqaf dengan syarat supaya (waqafnya itu) tidak disewakan, (maka hendaklah) dipatuhi syaratnya itu.
Oleh kerana itu dalam perkara menyewakan barang waqaf, sekalipun penerima waqaf itu adalah penerima waqaf yang ditentukan, dia juga tidak boleh menyewakan barang waqaf yang diterimanya jika pewaqaf meletakkan syarat waqaf itu bukan untuk disewakan.
Daripada penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa barang waqaf boleh disewakan dengan syarat:
a. Penerima waqaf terdiri daripada penerima waqaf khusus atau ditentukan. b. Penerima waqaf adalah nazhir barang waqaf tersebut atau orang lain yang dilantik menjadi nazhir memberi keizinan kepada penerima waqaf. c. Pewaqaf tidak meletakkan syarat untuk tidak menyewakan barang waqaf.
Demikian penjelasan mengenai hukum menyewakan barang waqaf. Walaupun tuntutan berwaqaf itu sunat, barang waqaf tidak boleh diperlakukan sesuka hati termasuk dalam perkara menyewakannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10175
دليل الألوان
