Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق٠ مشاهدة

Poligami Isteri-Isteri Dihimpunkan Dalam Satu Rumah

الجواب

Poligami atau memiliki lebih daripada seorang isteri dalam satu masa merupakan satu amalan yang diperakui syara‘. Hukum asalnya adalah harus. Bagaimanapun, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, sunat hukumnya untuk tidak menambah isteri jika tidak ada apa-apa keperluan. Beliau berkata dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan disunatkan supaya tidak menambah isteri tanpa ada keperluan yang jelas.

Sekiranya orang itu memiliki hajat dan keperluan untuk menambah isteri, contohnya kerana memiliki seorang isteri tetapi masih belum mampu menahannya daripada melakukan maksiat, isteri yang ada pada masa itu sakit atau isterinya itu mandul sedangkan suaminya menginginkan anak, maka dalam hal ini sunat dia menambah isteri kerana terdapat padanya mashlahat syara‘. Akan tetapi hendaklah suami itu yakin dan kuat sangkaannya bahawa apabila dia menambah isteri, dia mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya itu.

Namun poligami boleh pula menjadi haram sekiranya seorang lelaki itu kuat sangkaannya bahawa dia tidak akan dapat berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Perbuatan ini dinilai sebagai haram kerana ia boleh membawa kepada perlakuan zalim terhadap orang lain (isteri-isteri). Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Maka kahwinilah sesiapa yang baik bagi kamu daripada perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (tentang nafkah dan giliran mereka) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (Surah an-Nisâ’: 3)

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji dan kitab al-Mu‘tamad fî al-Fiqh asy-Syafi‘i ada disebutkan bahawa keadilan yang dituntut terhadap para isteri itu ialah keadilan dari segi pemberian nafkah, tempat tinggal, hak bermalam, pergaulan dan muamalat yang baik dalam kehidupan bersuami isteri dan menunaikan hak-hak isteri.

Dari itu dapat difahami bahawa antara syarat terpenting bagi seorang yang hendak berpoligami adalah mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Tuntutan berlaku adil ke atas para isteri ini hukumnya adalah wajib.

Menyentuh tentang penyediaan tempat tinggal bagi isteri, ia merupakan salah satu kewajiban hak-hak mâliyyah (harta benda) bagi seorang suami terhadap seorang isteri. Namun bagaimana pula halnya bagi seorang lelaki yang mempunyai beberapa orang isteri? Adakah boleh kesemua isterinya itu ditempatkan bersama dalam sebuah rumah atau tempat tinggal, atau adakah wajib disediakan sebuah rumah atau tempat tinggal bagi setiap seorang isteri?

Hukum Suami Menyediakan Tempat Tinggal yang Berasingan Bagi Isteri-isterinya

Bagi suami yang memiliki lebih daripada seorang isteri dalam satu masa, wajib hukumnya menyediakan tempat tinggal yang berasingan bagi setiap seorang isteri. Tempat tinggal berkenaan mestilah sebuah tempat tinggal yang layak dan sesuai bagi isterinya. Ketetapan ini ada disebutkan oleh ulama-ulama mazhab asy-Syafi’i antaranya pengarang kitab Asna al-Mathâlib dengan nash berikut:

Ertinya: (Dan wajib ke atas seorang suami untuk mengasingkan setiap seorang) daripada isteri-isterinya (dengan menyediakan tempat tinggal yang sesuai dengannya walaupun dengan (menempatkan mereka dalam) bilik-bilik yang mempunyai kelengkapan asas yang berasingan).

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula, ketetapan ini adalah kerana setiap seorang isteri itu mempunyai hak untuk disediakan tempat tinggal. Beliau berkata:

Ertinya: Dan kerana itu setiap seorang daripada kedua-duanya (para isteri) berhak disediakan tempat tinggal. Maka tidak menjadi kemestian atasnya (isteri) untuk berkongsi padanya (tempat tinggal itu).

Maksud Tempat Tinggal yang Berasingan Serta Ciri-cirinya

Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa wajib hukumnya suami yang memiliki lebih daripada seorang isteri dalam satu masa untuk menyediakan tempat tinggal berasingan yang bersesuaian bagi setiap isterinya. Tempat tinggal berasingan yang dimaksudkan dalam ketetapan ini tidaklah semestinya berupa sebuah rumah bagi setiap seorang isteri. Bahkan memadai dan tidak menjadi kesalahan sekiranya para isterinya itu ditempatkan semuanya dalam sebuah rumah sahaja dengan syarat-syarat berikut:

(i) Setiap seorang isteri dikhususkan untuk tinggal dalam satu tingkat berasingan berserta kelengkapan asas yang khusus untuknya, atau

(ii) Setiap seorang isteri tinggal dalam bilik berasingan walaupun dalam satu tingkat yang sama dengan syarat hendaklah kelengkapan asasnya juga berasingan dan tidak dikongsi bersama isteri yang lain.

Sekiranya suami mampu menyediakan sebuah tempat tinggal berasingan bagi setiap seorang isteri dengan salah satu daripada pilihan yang disebutkan, maka suami tidak memerlukan keredhaan atau persetujuan isteri sekiranya dia hendak menempatkan mereka dalam sebuah rumah sahaja. Ini kerana kedua-dua pilihan yang telah disebutkan itu sudah menepati maksud tempat tinggal berasingan sebagaimana yang dituntut syara‘. Ketetapan seumpama ini telah disebut dalam kitab Hâsyiyah al-Jamal:

Ertinya: Sekiranya dalam sebuah rumah itu terdapat bilik atau terdapat (tingkat) bawah dan atas, (adalah) harus dijadikan tempat tinggal bagi para isteri walaupun tanpa keredhaan mereka (dengan syarat tempat tinggal itu) mempunyai kelengkapan asas yang berasingan dan tempat tinggal tersebut sesuai bagi mereka.

Daripada perkataan ulama yang disebutkan sebelum ini, jelas bahawa tempat tinggal tersebut mestilah memiliki kelengkapan asas yang berasingan dan tidak dikongsikan bersama isteri yang lain. Kelengkapan asas yang berasingan ini adalah syarat yang penting bagi mencapai ketetapan syara‘ kerana jika kelengkapan asas tersebut perlu dikongsi bersama isteri lain, walaupun hanya sebahagiannya sahaja, maka tuntutan menyediakan tempat tinggal berasingan itu belum dipenuhi dan ia masih belum menepati ciri-ciri tempat tinggal yang berasingan sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘.

Adapun maksud ‘kelengkapan asas’ itu adalah kelengkapan yang lazimnya perlu terdapat dalam sebuah tempat tinggal yang menjadikan tempat tersebut sesuai dan layak untuk didiami seperti dapur dan kelengkapan memasak, bekalan air, bilik mandi, tandas dan sebagainya. Sekiranya salah satu daripada kelengkapan asas ini dikongsi bersama isteri yang lain, maka dengan sendirinya ia belum lagi dikira sebagai sebuah tempat tinggal berasingan sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘ kecuali jika isteri-isterinya itu redha dan bersetuju dengan perkara tersebut.

Kelengkapan asas yang tidak boleh dikongsikan ini adalah kelengkapan asas yang jika dikongsikan bersama isteri yang lain boleh menimbulkan pertengkaran dan menimbulkan perasaan kurang senang antara mereka.

Dalam pada itu, menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam ar-Ramli Rahimahumallâh, adapun berkongsi pintu keluar masuk rumah ataupun berkongsi lorong laluan yang sama untuk menuju ke bilik masing-masing dan mereka tinggal dalam bilik berasingan dalam sebuah rumah, tidaklah menjadi kesalahan. Begitu juga mengenai perkongsian kelengkapan asas, ia juga tidak menjadi kesalahan sekiranya para isteri redha akan perkara tersebut.

Hukum Menempatkan Isteri-isteri Dalam Sebuah Tempat Tinggal

Adalah menjadi kewajiban bagi seorang suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri dalam satu masa untuk mengasingkan tempat tinggal mereka dengan suatu tempat tinggal yang bersesuaian serta mempunyai kelengkapan asas berasingan yang tidak dikongsikan bersama isteri yang lain. Bagaimana pula hukumnya jika isteri-isterinya itu ditempatkan dalam sebuah tempat tinggal?

Imam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Maka haram atasnya (suami) untuk mengumpulkan (menempatkan) mereka (isteri-isterinya) dalam sebuah tempat tinggal walaupun hanya untuk satu malam melainkan dengan keredhaan mereka, kerana (perkara ini) boleh menimbulkan banyak perselisihan dan merosakkan perhubungan.

Berdasarkan penjelasan di atas, menempatkan para isteri untuk tinggal dalam satu tempat (tidak berasingan) hukumnya adalah haram walaupun hanya untuk satu malam sahaja. Perkara ini adalah kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan perselisihan dan mengakibatkan pertengkaran serta boleh mengeruhkan perhubungan sesama mereka.

Tidak syak lagi bahawa perbuatan tersebut merupakan satu perbuatan yang tidak wajar terhadap isteri sedangkan seorang suami dituntut untuk berbuat baik kepada isterinya dalam muamalat dan pergaulan. Bahkan menurut Imam Taqiuddin Abu Bakar al-Hishni Rahimahullâh, perbuatan tersebut boleh menyebabkan isteri-isterinya menjadi derhaka. Tambahan lagi, setiap isteri tersebut adalah memiliki hak untuk disediakan tempat tinggal yang berasingan. Oleh yang demikian, isteri-isterinya tidak wajib untuk bersetuju dan mereka berhak untuk menolak sekiranya diminta oleh suami untuk ditempatkan bersama-sama dengan isteri yang lain.

Bagaimanapun, sekiranya isteri-isterinya redha dan memberikan persetujuan untuk ditempatkan bersama dalam sebuah tempat tinggal, maka perkara itu adalah harus dan tidak menjadi kesalahan kerana itu adalah hak isteri-isteri tersebut. Dalam hal ini, sekiranya para isteri menarik balik keredhaan atau persetujuan mereka, maka hendaklah dipatuhi keputusan mereka itu.

Demikian penjelasan mengenai hukum menyediakan tempat tinggal para isteri bagi suami yang berpoligami.

Apa yang dapat disimpulkan adalah, suami wajib menyediakan tempat tinggal yang berasingan yang bersesuaian sama ada dengan cara menyediakan sebuah rumah bagi setiap seorang isteri atau mengkhususkan satu tingkat atau sebuah bilik bagi setiap seorang isteri sekalipun dalam satu rumah atau tempat tinggal, dengan kelengkapan asas yang khusus dan tidak dikongsi bersama isteri yang lain. Oleh itu, haram hukumnya jika mereka ditempatkan dalam sebuah rumah atau tempat tinggal yang sama tanpa keredhaan dan persetujuan mereka. Bagaimanapun, sekiranya isteri-isterinya tidak ada halangan dan redha untuk ditempatkan dalam sebuah rumah atau tempat tinggal bersama isteri yang lain, maka yang demikian itu adalah harus dan tidaklah menjadi kesalahan menurut syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10188

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص