Jual Beli Dengan Lafaz Ta’Qît
الجواب
Islam menjadikan jual beli sebagai salah satu cara untuk memenuhi keperluan kehidupan manusia dan sebagai usaha mencari rezeki melalui jalan yang baik dan halal. Kehalalan berjual beli itu adalah menerusi firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)
Ayat ini secara umum menjelaskan bahawa jual beli itu adalah halal dan dibolehkan dalam Islam. Jika berlaku ‘aqad jual beli itu dengan kaedah yang patuh syara‘, maka barang jualan yang pada asalnya adalah milik penjual adalah sah bertukar menjadi milik pembeli dan harga ditawarkan (contohnya duit yang akan digunakan oleh pembeli untuk membeli barang yang dijual) yang pada asalnya milik pembeli adalah sah bertukar menjadi milik penjual.
Walau bagaimanapun, jika ‘aqad jual beli itu tidak memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh syara‘ disebabkan kekurangan pada rukun atau syarat-syarat dalam jual beli, maka ‘aqad jual beli tersebut menjadi tidak sah. Dalam hal ini, barang jualan dan harga (seperti duit) tidak boleh bertukar milik. Barang yang hendak dijual itu akan tetap menjadi milik penjual dan harga akan tetap menjadi milik pembeli.
Jika pertukaran milik tetap berlaku di antara penjual dan pembeli sedangkan ‘aqad jual beli tersebut adalah tidak sah menurut syara‘, maka ia akan tergolong dalam perkara memakan harta dengan jalan yang haram, sedangkan memakan harta orang lain dengan jalan haram itu adalah dilarang dalam Islam. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bâthil. (Surah al-Baqarah: 188)
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh menjelaskan ketika menafsirkan ayat di atas bahawa sesiapa sahaja yang mengambil harta orang lain bukan atas jalan yang diizinkan oleh syara‘, maka dia telah memakan harta tersebut dengan jalan yang bâthil. Dalam perkara memakan harta dengan jalan yang bâthil ini, Imam an- Nawawi Rahimahullâh juga ada menjelaskan:
Ertinya: Dan umat Islam bersepakat bahawa sesungguhnya perbelanjaan harta dengan (jalan yang) bâthil adalah haram sama ada secara memakan, jual beli, hibah atau selainnya.
Oleh kerana itu, setiap ‘aqad jual beli itu hendaklah dijaga rukun-rukunnya berserta syarat-syarat bagi rukun-rukun tersebut untuk memastikan bahawa ‘aqad jual beli itu adalah patuh syara‘. Salah satu rukun jual beli itu ialah rukun shîghah.
Shîghah Dalam ‘Aqad Jual Beli
Shîghah adalah salah satu daripada rukun dalam transaksi jual beli. Shîghah dalam jual beli itu ialah suatu lafaz atau apa sahaja yang boleh mengganti lafaz seperti isyarat dan tulisan yang terbit daripada penjual dan pembeli bagi pernyataan keredhaan dan kerelaan kedua-duanya terhadap transaksi jual beli tersebut. Shîghah itu terbahagi kepada dua iaitu îjâb dan qabûl.
Îjâb merupakan kata-kata penjual atau wakilnya: “Saya jual kepada awak…” atau “Saya menjadikan barang sekian milik awak…”. Manakala qabûl pula ialah kata-kata pembeli atau wakilnya: “Saya beli…”, “Saya memiliki…” atau “Saya terima…”.
Rukun shîghah dalam ‘aqad jual beli ada syarat-syaratnya tersendiri yang mesti dipenuhi agar ‘aqad jual beli yang dilakukan menjadi sah di sisi syara‘. Antara syarat shîghah yang menjadi fokus kali ini ialah tidak melafazkan lafaz tempoh (ta’qît) dalam shîghah ‘aqad jual beli. Oleh itu, berikut dijelaskan hukum mengenainya.
Melafazkan Tempoh (Ta’qît) Dalam Shîghah Jual Beli
Jual beli dengan shîghah berbentuk ta’qît (bertempoh) bermaksud menetapkan pemilikan suatu barang yang dijual kepada pembeli untuk tempoh yang tertentu. Ini bermakna apabila tempoh yang dipersetujui itu sudah tamat, maka barang yang dijual tidak lagi menjadi milik si pembeli.
Jual beli dengan lafaz ta’qît ini adalah tidak sah di sisi syara‘. Shîghah dalam jual beli itu hendaklah dengan tujuan melepaskan hak pada barang jualan itu selama-lamanya dan bukan dalam tempoh-tempoh tertentu sahaja.
Contoh jual beli dengan lafaz ta’qît itu, umpamanya penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada awak barang ini untuk tempoh sebulan dengan harga sekian”. Maka tidak sah ‘aqad jual beli tersebut. Demikian juga jika tempoh yang diberikan oleh penjual itu merupakan tempoh yang sangat panjang seperti seribu tahun atau seumur hidup seseorang, maka jual beli dalam bentuk ini juga adalah tidak sah menurut pendapat mu‘tamad. Sebagai contoh, penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada awak barang ini untuk tempoh seribu tahun dengan harga sekian”. Maka ‘aqad jual beli dengan lafaz seperti ini juga tidak sah.
Transaksi seumpama ini menurut syara‘ adalah tidak sah disebabkan pemilikan suatu barang jualan daripada ‘aqad jual beli itu tidak akan terhenti dengan kematian pembeli kerana pemilikan itu akan berpindah kepada ahli waris pembeli. Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh ada menerangkan:
Ertinya: Dan hendaklah tiada (melafazkan atau menetapkan) suatu tempoh (dalam transaksi jual beli) sekalipun misalnya (dia mengatakan) “seumur hidup kamu” atau “seribu tahun” (pada pendapat yang) aujah (mu‘tamad).
Walau bagaimanapun, penjelasan hukum mengenai ‘aqad jual beli dengan lafaz ta’qît itu adalah ditujukan kepada barang jualan yang ditetapkan tempoh jualannya sahaja. Berlainan halnya jika ia ditujukan kepada harga, maka sah transaksi jual beli itu jika dilafazkan ta’qît seperti melafazkan dalam ‘aqad jual beli itu bahawa pembeli akan mula membayar harga selepas dua bulan.
Contoh jual beli dengan lafaz ta’qît yang ditujukan pada harga itu, umpamanya pembeli berkata: “Saya beli daripada awak barang ini dengan harga sekian yang akan dibayar selepas dua bulan daripada hari ini”. Maka sah ‘aqad jual beli tersebut dengan lafaz begini.
Begitulah penerangan mengenai jual beli dengan lafaz ta’qît. ‘Aqad jual beli dengan lafaz ta’qît pada shîghahnya adalah tidak sah walaupun tempoh yang dilafazkan itu suatu tempoh yang sangat panjang seperti seribu tahun. Adalah menjadi kepentingan bagi setiap orang Islam untuk mengetahui dan menjaga rukun dalam ‘aqad jual beli bagi memastikan bahawa muamalat yang kita lakukan itu adalah selari dengan tuntutan syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10192
دليل الألوان
