Jual Beli Dengan Lafaz Ta’lîq
الجواب
Dalam jual beli, keredhaan itu menjadi syarat pada kedua-dua orang yang melakukan ‘aqad iaitu penjual dan pembeli. Jual beli itu hendaklah dilaksanakan dengan keinginan dan kerelaan kedua-duanya tanpa ada paksaan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang bâthil (seperti makan riba, merampas, menipu dan berjudi), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu. (Surah an-Nisâ’: 29)
Dalil daripada hadits pula daripada Abu Sa‘id al-Khudhri Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya jual beli itu (adalah) dengan keredhaan (persetujuan bersama). (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Seperti yang diketahui, keredhaan dan kerelaan itu adalah suatu perkara yang tersembunyi, maka shîghah di sini berperanan sebagai suatu yang mengungkapkan atau menerangkan keredaan penjual dan pembeli.
Tuntutan Memenuhi Syarat-syarat Shîghah Agar ‘Aqad Jual Beli Menjadi Sah
Walau bagaimanapun, tidak semua bentuk shîghah yang terdapat padanya keredhaan antara penjual dan pembeli dibenarkan dalam Islam. Rukun shîghah juga ada syarat-syaratnya yang tersendiri yang mesti dipenuhi agar ‘aqad yang dilakukan menjadi sah di sisi syara‘.
Ini bermakna jika terdapat kekurangan dalam syarat shîghah itu, maka jual beli tersebut menjadi tidak sah. Apabila jual beli menjadi tidak sah, suatu barang yang hendak dijual itu akan masih kekal menjadi milik penjual dan tidak boleh berpindah tangan kepada pembeli, sementara suatu harga yang ditawarkan itu tidak boleh berpindah tangan daripada pembeli kepada penjual.
Antara syarat shîghah bagi ‘aqad jual beli itu ialah tidak melafazkan ta‘lîq (tergantung) dalam ‘aqad jual beli. Oleh itu, berikut dijelaskan hukum mengenainya.
Pelafazan Dalam Bentuk Ta‘lîq
Jual beli dengan shîghah yang melafazkan ta‘lîq (tergantung) bermaksud pelaksanaan suatu ‘aqad jual beli yang bergantung kepada terjadinya suatu keadaan yang ditentukan. Ini bermakna apabila suatu keadaan yang ditentukan itu terjadi, maka terlaksanalah ‘aqad jual beli tersebut. Namun jika keadaan yang ditentukan itu tidak terjadi, maka jual beli tersebut belum terlaksana.
Hukum jual beli dengan lafaz ta‘lîq adalah tertakluk kepada dua keadaan seperti berikut:
1. Jika lafaz ta‘lîq itu merupakan sesuatu yang tiada kaitan dengan akad jual beli tersebut, maka jual beli dengan lafaz ta‘lîq ini adalah tidak sah, sama ada lafaz ta‘lîq itu daripada penjual mahupun pembeli. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan hendaklah tidak berlaku (lafaz) yang tergantung (ta‘lîq) dengan apa yang tidak ada kaitan dengan ‘aqad (jual beli).
Contoh jual beli dengan lafaz ta‘lîq yang tiada kaitan dengan ‘aqad jual beli itu, umpamanya penjual berkata kepada pembeli: “Jika Zaid datang, maka saya akan jual kepada awak barang ini”, atau “Jika bapa saya meninggal dunia, maka saya akan jual kepada awak barang ini”. Oleh itu, tidak sah jual beli dengan lafaz ta‘lîq ini kerana lafaz ta‘lîq seperti dalam contoh tersebut iaitu “jika Zaid dating” dan “jika bapa saya meninggal dunia” tiada kaitan dengan ‘aqad jual beli.
2. Jika lafaz ta‘lîq itu merupakan sesuatu yang ada kaitan secara langsung dengan ‘aqad jual beli tersebut, maka jual beli dengan lafaz ta‘lîq ini adalah sah, sama ada lafaz ta‘lîq itu daripada penjual mahupun pembeli. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menjelaskan lagi:
Ertinya: Berbeza dengan sesuatu (‘aqad) jika digantungkan dengan apa yang ada kaitan dengan ‘aqad (jual beli) itu seperti katanya (penjual): “Saya jual kepada awak barang ini dengan harga sekian jika awak mahu”, lalu (pembeli) berkata: “Saya beli”, atau (pembeli) berkata: “Saya beli daripada awak barang ini dengan harga sekian jika awak mahu”, lalu (penjual) berkata: “Saya jual kepada awak”, sah (‘aqad jual beli dengan lafaz) tersebut, dan ta‘lîq ini tidak menjejaskan (kesahîhan ‘aqad tersebut) kerana sesungguhnya ia adalah penjelasan berkenaan dengan ‘aqad (jual beli) itu.
Contoh jual beli dengan lafaz ta‘lîq yang ada kaitan secara langsung dengan ‘aqad jual beli itu adalah lafaz ta‘lîq yang berkaitan dengan kemahuan dan lafaz ta‘lîq yang berkaitan dengan pemilikan. Berikut diterangkan secara lanjut mengenainya:
a) Lafaz ta‘lîq yang berkaitan dengan kemahuan seperti “…jika awak mahu” atau “…jika awak suka” atau “…jika awak redha” atau “…jika awak pilih” hendaklah ia dilafazkan oleh orang yang mula-mula melakukan shîghah ‘aqad jual beli sama ada oleh penjual atau pembeli. Imam Ibnu Hajar al- Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan tidak (sah jual beli dengan lafaz) tergantung (ta‘lîq) kecuali dengan (lafaz tergantung dalam bentuk) kemahuan pada lafaz yang didahulukan.
Ini bermakna lafaz ta‘lîq yang berkaitan dengan kemahuan itu disyaratkan untuk dilafazkan oleh orang yang mula-mula sekali melakukan shîghah, iaitu sama ada daripada penjual apabila melafazkan îjâb atau daripada pembeli apabila pembeli yang mendahulukan lafaz qabûl ke atas lafaz îjâb. Manakala jika lafaz ta‘lîq yang berkaitan dengan kemahuan itu tidak dilafazkan oleh orang yang mula-mula sekali melakukan shîghah, maka tidak sah ‘aqad jual beli tersebut.
Untuk lebih jelas, berikut dibawakan contoh:
(i) Contoh ta‘lîq dengan lafaz kemahuan yang didahulukan pelafazannya oleh penjual, umpamanya penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada awak barang ini jika awak mahu”, lalu pembeli menjawab: “Saya beli”. Maka sah ‘aqad jual beli dengan lafaz ta‘lîq “...jika awak mahu” daripada penjual.
(ii) Contoh ta‘lîq dengan lafaz kemahuan yang didahulukan pelafazannya oleh pembeli pula, umpamanya pembeli berkata kepada penjual: “Saya beli daripada awak barang ini dengan harga sekian jika awak mahu”, lalu penjual berkata: “Saya jual kepada awak”. Maka sah ‘aqad jual beli dengan lafaz ta‘lîq “...jika awak mahu” daripada pembeli.
(iii) Contoh ta‘lîq dengan lafaz kemahuan yang tidak didahulukan pelafazannya, umpamanya pembeli berkata kepada penjual: “Saya beli daripada awak barang ini dengan harga sekian”, lalu penjual berkata: “Saya jual kepada awak jika awak mahu”. Maka tidak sah ‘aqad jual beli dengan lafaz begini. Begitu juga halnya jika pembeli selepas itu menjawab “Saya beli” atau “Saya terima”, maka tidak sah ‘aqad jual beli tersebut.
Contoh-contoh yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa ta‘lîq dengan lafaz kemahuan itu berkedudukan di akhir lafaz shîghah. Begitu juga sah ‘aqad jual beli dengan lafaz ta‘lîq yang diawalkan dalam lafaz shîghah menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh pada pendapat yang aujah, umpamanya penjual berkata kepada pembeli: “Jika awak mahu, saya jual kepada awak barang ini”.
b) Adapun lafaz ta‘lîq yang berkaitan dengan pemilikan, Syaikh Sulaiman al- Jamal Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan tidak (sah jual beli dengan lafaz) tergantung juga kecuali dengan (lafaz tergantung dalam bentuk) pemilikan.
Contohnya, penjual mengatakan kepada pembeli: “Jika ini milik saya, maka saya jual kepada awak dengan harga sekian”. Jual beli dengan lafaz ta‘lîq ini adalah sah kerana penjual tidak akan menjual sesuatu barang itu melainkan barang jualan itu adalah daripada miliknya. Jika barang jualan itu ternyata bukan daripada milik penjual, maka ia menjadi tidak sah.
Lafaz Qabûl Dalam Bentuk Kemahuan
Dari sudut pembeli pula, jika penjual melafazkan ta‘lîq dengan lafaz kemahuan ketika menawarkan barang jualannya kepada pembeli, lalu pembeli menerima tawaran tersebut dalam bentuk lafaz kemahuan, adakah sah jual beli dengan lafaz sedemikian?
Untuk lebih jelas, dibawakan contoh umpamanya penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada awak barang ini dengan harga sekian jika awak mahu”, lalu dijawab oleh pembeli dengan lafaz kemahuan: “Saya mahu”. Dalam hal ini, sah jual beli itu dengan lafaz sedemikian jika diiringi dengan niat membeli oleh pembeli. Jika tidak diiringi dengan niat membeli, maka jual beli dengan lafaz ini akan menjadi tidak sah.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Tidak (sah jika pembeli mengatakan:) “Saya mahu” kecuali jika dia (pembeli) berniat dengannya (lafaz kemahuan itu dengan niat) pembelian.
Ini kerana lafaz dalam bentuk kemahuan itu bukan daripada lafaz pemilikan sepertimana yang dijelaskan oleh Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh:
Ertinya: Kerana lafaz kemahuan itu (seperti “saya mahu” atau “saya suka”) bukan daripada lafaz-lafaz pemilikan.
Oleh itu, jika ia diiringi dengan niat membeli, maka lafaz daripada pembeli dalam bentuk kemahuan itu akan menjadi lafaz kinâyah (secara kiasan) serta sah jual beli tersebut.
Beberapa Pengecualian Dalam Lafaz Ta‘lîq yang Berkaitan Dengan Kemahuan
Terdapat beberapa pengecualian dalam lafaz ta‘lîq yang berkaitan dengan kemahuan yang menjadikan ‘aqad jual beli itu tidak sah, antaranya:
i. Penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada kamu berdua jika kamu berdua mahu”. Jual beli dengan lafaz ta‘lîq ini adalah tidak sah kerana penjual telah menggantungkan syarat kemahuan itu kepada dua orang.
ii. Penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada kamu jika kamu mahu selepas saya membelinya daripada awak”. Jual beli dengan lafaz ta‘lîq ini adalah tidak sah kerana padanya terdapat lafaz yang tergantung semata-mata.
iii. Penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada kamu jika saya mahu”. Jual beli dengan syarat ta‘lîq ini juga adalah tidak sah kerana padanya terdapat lafaz yang tergantung semata-mata daripada penjual.
Lafaz Ta‘lîq yang Ditujukan Kepada Harga
Pelafazan dalam bentuk ta‘lîq yang dijelaskan itu tadi adalah ditujukan kepada barang jualan sahaja. Namun apabila ia ditujukan kepada harga seperti duit yang akan digunakan untuk membayar barang yang hendak dibeli, maka sah ‘aqad jual beli itu jika dilafazkan ta‘lîq pada harga seperti dia menjual kepadanya suatu barang dengan mensyaratkan pembayaran harga dilakukan di awal bulan sekian.
Begitulah penerangan mengenai jual beli dengan lafaz ta‘lîq. Pada dasarnya, shîghah dalam jual beli dengan lafaz ta‘lîq yang ditujukan kepada barang jualan adalah tidak dibenarkan kerana ia akan menjadikan suatu ‘aqad jual beli itu tidak sah. Namun terdapat pengecualian dalam lafaz ta‘lîq yang ditujukan kepada barang jualan bahawa jika ia ada kaitan dengan ‘aqad jual beli, maka ‘aqad jual beli tersebut menjadi sah. Adalah menjadi kepentingan bagi setiap orang Islam untuk mengetahui dan menjaga rukun dalam jual beli bagi memastikan bahawa muamalat yang kita lakukan itu adalah selari dengan tuntutan syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10201
دليل الألوان
