Suami Atau Isteri Patuan Berkahwin Dengan Anak Kemanakan?
الجواب
Dalam hubungan nasab, bapa saudara dan ibu saudara merupakan antara individu yang paling dekat dengan seseorang. Bapa saudara ialah abang atau adik lelaki kepada ibu atau bapa, manakala ibu saudara pula ialah adik perempuan atau kakak kepada ibu atau bapa.
Ramai yang mengetahui bahawa bapa saudara dan ibu saudara atau lebih dikenali dengan panggilan “patuan” dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini merupakan ahli keluarga daripada kalangan mahram atau yang diharamkan bernikah dengannya. Dalam sesetengah keadaan, bapa saudara dan ibu saudara ibarat ibu dan bapa kandung kepada seseorang, lebih-lebih lagi bagi yang telah kehilangan ibu dan bapa kandungnya ketika masih kecil dan dia dipelihara oleh bapa atau ibu saudaranya sehingga dewasa. Tidak hanya mereka keduanya, bahkan isteri bapa saudara dan suami ibu saudara turut sama dirasakan ibarat ibu dan bapa kandung. Hubungan dengan mereka itu pula dianggap seperti hubungan dengan bapa saudara atau ibu saudara.
Namun adakah isteri bapa saudara juga sebagai mahram kepada anak kemanakan suaminya dan adakah dia tidak boleh menikahi isteri bapa saudaranya itu setelah terjadi perceraian antara bapa saudara dan isterinya? Begitu juga, adakah suami ibu saudara sebagai mahram kepada anak kemanakan isterinya. Adakah dia tidak boleh bernikah dengan suami ibu saudaranya setelah terjadi perceraian antara ibu saudara dan suaminya itu?
Haram Mu’abbad dan Haram Mu’aqqat Dalam Pernikahan
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharamkan lelaki Islam untuk mengikat tali pertunangan dan melangsungkan ‘aqad nikah mahupun bertamattu‘ dengan sebahagian perempuan yang tertentu. Ini digariskan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (berkahwin dengan) ibu-ibu kamu (termasuk nenek iaitu ibu bagi bapa dan ibu bagi ibu hingga ke atas), dan anak-anak perempuan kamu (termasuk cucu-cucu perempuan hingga ke bawah), dan adik-beradik perempuan kamu (seibu sebapa atau sebapa atau seibu), dan ibu-ibu saudara kamu sebelah bapa, ibu-ibu saudara kamu sebelah ibu, dan anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki (hingga ke bawah) dan anak-anak perempuan bagi adik-beradik perempuan (hingga ke bawah) dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu (ibu susuan) dan adik-beradik perempuan kamu yang sesusuan (termasuk anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki dan adik-beradik perempuan daripada ibu susuan), dan ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu (ibu mertua termasuk nenek perempuannya), dan anak-anak tiri kamu yang dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang telah kamu campuri (termasuk cucu dan setiap yang menjadi keturunan kepadanya), tetapi sekiranya kamu belum mencampuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka) maka tidaklah menjadi salah ke atas kamu (berkahwin dengan mereka). Dan (haram kamu berkahwin dengan bekas) isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu (termasuk isteri cucu) dan (diharamkan) kamu (berkahwin dengan) menghimpunkan antara dua beradik (pada nasab atau susuan termasuk ibu saudara daripada sebelah ibu dan bapa) kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Dan (diharamkan kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang bersuami kecuali hamba sahaya (tawanan perang) yang kamu miliki… (Surah an-Nisâ’: 23-24)
Perkara yang disebut ini adalah perkara yang menegah berlakunya sebuah pernikahan. Jika perkara yang menegah berlaku pernikahan itu tidak wujud, nescaya sebuah pernikahan adalah sah namun jika sebaliknya, nescaya pernikahan yang berlaku itu tidak sah dan berdosa.
Terdapat dua bentuk haram atau tegahan bernikah, iaitu haram mu’abbad (selamanya) dan haram ghairu mua’abbad (sementara) atau disebut juga mua’aqqat.
1. Haram mu’abbad.
Haram mu’abbad ialah tegahan bernikah buat selamanya, apapun juga waktu dan keadaan. Pengharaman mu’abbad ini ada tiga sebab iaitu:
a. Haram kerana nasab. Perempuan yang diharamkan bernikah dengannya disebabkan nasab itu ialah:
i. Ibu kandung termasuk nenek perempuan sebelah ibu atau bapa dan ke atas. ii. Anak perempuan kandung termasuk cucu perempuan dan ke bawah. iii. Adik beradik perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. iv. Anak perempuan daripada adik-beradik lelaki seibu sebapa, sebapa atau seibu (anak saudara perempuan atau anak kemanakan). Ini termasuk cucu saudara atau cucu kemanakan perempuan dan ke bawah. v. Anak perempuan daripada adik-beradik perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu (anak saudara perempuan atau anak kemanakan). Ini termasuk cucu saudara atau cucu kemanakan perempuan dan ke bawah. vi. Adik-beradik perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu kepada bapa (ibu saudara atau petuan sebelah bapa). Ini termasuk ibu saudara kepada bapa hingga ke atas. vii. Adik-beradik perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu kepada ibu (ibu saudara atau petuan sebelah ibu). Ini termasuk ibu saudara kepada ibu hingga ke atas.
b. Haram kerana susuan. Perempuan yang diharamkan bernikah dengannya disebabkan susuan ialah:
i. Ibu susuan termasuk ibu kepada ibu susuan dan ke atas. ii. Ibu kepada bapa susuan. iii. Adik-beradik perempuan susuan. iv. Anak perempuan daripada adik-beradik susuan dan ke bawah.
v. Adik-beradik perempuan susuan kepada ibu dan bapa iaitu perempuan yang sesusuan dengan ibu. Demikian juga perempuan yang sesusuan dengan bapa. vi. Anak susuan dan seterusnya ke bawah iaitu perempuan yang disusukan oleh isteri. Demikian juga anak kepada perempuan yang disusukan itu dan ke bawah.
c. Haram kerana perkahwinan. Perempuan yang diharamkan bernikah dengannya disebabkan perkahwinan ialah:
i. Isteri bapa termasuk isteri datuk sebelah bapa dan sebelah ibu ke atas. ii. Isteri kepada anak lelaki termasuk isteri cucu dan ke bawah. iii. Ibu kepada isteri dan ke atas. iv. Anak perempuan isteri jika telah berlaku dukhul antara suami dan isteri. v. Selain itu, perempuan yang diharamkan bernikah dengannya disebabkan perkahwinan dan susuan ialah:
i. Ibu susuan kepada isteri. ii. Anak susuan isteri (daripada air susu) hasil bersama suaminya terdahulu. iii. Isteri lain kepada bapa susuan. iv. Isteri anak susuan.
2. Haram ghairu mu’abbad atau mu’aqqat.
Haram ghairu mu’abbad bermaksud tegahan nikah bersifat sementara. Ia juga disebut haram mu’aqqat yang bermaksud tegahan bertempoh.
Pengharaman ini berlaku disebabkan wujudnya sebab atau perkara yang menegah pernikahan. Apabila sebab atau perkara tersebut hilang, maka tegahan untuk bernikah juga hilang dan pernikahan menjadi halal. Jika suatu ‘aqad nikah itu berlaku sebelum hilang sebab yang mengharamkan atau sebelum hilang perkara yang menegah pernikahan itu, nescaya ‘aqad pernikahan tersebut adalah batal. Sebagai contoh, seorang lelaki mengahwini seorang perempuan, maka haram dia mengahwini adik atau kakak kepada isterinya melainkan dia telah bercerai dengan isterinya itu atau isterinya itu telah meninggal dunia. Ini kerana telah hilang perkara yang menegah pernikahan itu iaitu menghimpunkan dua adik-beradik perempuan sebagai isteri dalam satu masa.
Secara ringkasnya, perempuan-perempuan yang diharamkan bernikah disebabkan wujud sebab atau perkara yang menegah pernikahan itu ialah:
i. Adik-beradik perempuan kepada isteri (ipar perempuan) sama ada adik-beradik daripada nasab atau susuan dan sama ada adik-beradik seibu sebapa, sebapa atau seibu. ii. Ibu saudara kepada isteri. iii. Anak saudara perempuan atau cucu saudara perempuan kepada isteri dan ke bawah sama ada daripada nasab ataupun susuan. iv. Anak perempuan atau cucu perempuan kepada isteri. v. Perempuan sebagai isteri kelima sedang lelaki itu telah memiliki empat isteri. vi. Perempuan musyrik yang menyembah berhala iaitu bukan daripada ahli kitab. vii. Perempuan bersuami. viii. Perempuan yang menjalani tempoh ‘iddah. ix. Isteri yang telah dithalaq tiga.
Hukum Seorang Lelaki Bernikah Dengan Isteri Bapa Saudaranya
Isteri bapa saudara tidak termasuk dalam kalangan mahram atau perempuan yang diharamkan bernikah dengannya kerana nasab, susuan mahupun perkahwinan.
Namun diharamkan bernikah dengan isteri bapa saudara kerana kedudukannya ketika itu sebagai perempuan bersuami. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang mengahwini perempuan bersuami sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan (diharamkan kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang bersuami kecuali hamba sahaya (tawanan perang) yang kamu miliki. (Surah an-Nisâ’: 24)
Hukum haram menikahi isteri bapa saudara itu bertukar menjadi halal jika dia tidak lagi menjadi isteri kepada bapa saudaranya melainkan jika perempuan itu merupakan ibu susuannya, terdapat pertalian susuan dengannya ataupun terdapat sebab lain yang boleh menegah pernikahan sebagaimana yang telah disebutkan.
Hukum Seorang Perempuan Bernikah Dengan Suami Ibu Saudaranya
Anak saudara isteri termasuk dalam kalangan perempuan yang diharamkan bernikah dengannya dalam bentuk mu’aqqat.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn, menyebut:
Ertinya: Dan haram menghimpunkan (menikahi dalam satu masa) seorang perempuan dengan adik beradik perempuannya, ibu saudaranya sebelah bapa atau ibu saudaranya sebelah ibu (sama ada) daripada (pertalian) susuan mahupun nasab.
Larangan ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (diharamkan) kamu (berkahwin dengan) menghimpunkan antara dua beradik (pada nasab atau susuan termasuk ibu saudara daripada sebelah ibu dan bapa) kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. (Surah an-Nisâ’: 23)
Sementara itu dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak dihimpunkan (menikahi dalam satu masa) seorang perempuan dengan ibu saudaranya (dari sebelah bapa) dan tidak (dihimpunkan iaitu menikahi dalam satu masa) ibu saudaranya (dari sebelah ibu). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadits ini menyebut tentang larangan menghimpunkan seorang perempuan dengan ibu saudara perempuan untuk dijadikan sebagai isteri.
Oleh kerana itu, anak saudara perempuan diharamkan bernikah dengan suami ibu saudara selama mana wujud hubungan nikah antara ibu saudara dan suaminya. Jika ibu saudara itu meninggal dunia atau berlaku perceraian dengan suaminya, maka hukum haram bernikah antara seorang perempuan dengan suami ibu saudaranya menjadi halal. Ini adalah disebabkan perkara yang menghalang pernikahan iaitu menghimpunkan seorang perempuan dengan ibu saudaranya sebagai isteri telah hilang, melainkan jika terdapat pertalian susuan antara perempuan itu dengan suami ibu saudaranya ataupun terdapat sebab lain yang menegah pernikahan sebagaimana yang telah disebutkan.
Kesimpulannya, anak saudara lelaki diharamkan bernikah dengan isteri bapa saudaranya selagi wujud hubungan pernikahan antara isteri bapa saudaranya itu dengan bapa saudaranya atau dengan lelaki lain. Pengharaman ini adalah kerana seorang lelaki diharamkan menikahi perempuan yang bersuami.
Demikian juga anak saudara perempuan diharamkan bernikah dengan suami ibu saudaranya selagi wujud hubungan pernikahan antara ibu saudara itu dengan suaminya. Pengharaman ini adalah kerana seorang lelaki diharamkan menghimpunkan seorang perempuan dengan ibu saudara perempuan itu sebagai isteri.
Kedua-dua pengharaman nikah yang disebutkan ini hanya bersifat sementara dan pernikahan akan menjadi halal apabila sebab atau perkara yang menegah pernikahan itu telah hilang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10205
دليل الألوان
