Sunat Membangunkan Orang Yang Sedang Tidur?
الجواب
Tidur merupakan antara perkara semulajadi yang diperlukan dalam kehidupan manusia sebagaimana makan, minum, qadha hajat dan seumpamanya.
Dalam kitab ath-Thibb an-Nabawi disebutkan bahawa salah satu manfaat besar daripada tidur itu ialah merehatkan seluruh anggota tubuh badan. Di samping itu, ia juga merehatkan dan melegakan pancaindera daripada kepenatan berjaga serta menghilangkan kelesuan dan kelelahan yang dialami. Kerana itu, orang-orang sekeliling jarang atau tidak akan membangunkan orang yang sedang tidur lebih-lebih lagi tidur yang lena, kecuali dalam waktu atau keadaan tertentu seperti tidur pada waktu senja, tidur di tempat yang dirasakan tidak bersesuaian atau yang seumpamanya, maka pada kebiasaannya mereka ini dibangunkan daripada tidurnya.
Hukum Sunat Membangunkan Orang yang Sedang Tidur
Terdapat keadaan tertentu yang sunat hukumnya membangunkan orang yang sedang tidur. Para ulama asy-Syafi‘i seperti Imam an-Nawawi, asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal, al-‘Allâmah Abu Bakar ibn Muhammad Syaththa ad-Dimyathi Rahimahumullâh menyebut keadaan-keadaan tersebut, iaitu:
i. Sunat membangunkan orang yang sedang tidur untuk melakukan sembahyang sebagaimana disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Disunatkan membangunkan orang yang tidur untuk bersembahyang.
Asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh pula menyebut:
Ertinya: Sunat membangunkan orang yang tidur untuk bersembahyang jika diketahui bahawa orang itu tidak menyengajakan tidur atau dia tidak mengetahui keadaan orang (yang tidur) itu. Jika diketahui orang itu menyengajakan tidur seperti diketahui bahawa orang itu tidur (setelah masuk) waktu sembahyang (namun dia belum melakukan sembahyang) dan orang yang tidur itu mengetahui bahawa dia tidak akan bangun dalam waktunya, maka (dalam keadaan ini) wajib membangunkannya.
Apa yang dapat difahami ialah terdapat perbezaan hukum di antara hukum membangunkan orang yang tidak menyengajakan tidur dengan mereka yang menyengajakannya.
Dalam kitab al-Asybâh wa an-Nadzâ’ir, Imam as-Suyuthi Rahimahullâh juga menyebut:
Ertinya: Dan adapun mengenai membangunkan orang tidur yang belum melakukan sembahyang, maka pertama – (iaitu) dia tidur setelah (masuk waktu) wajib sembahyang – wajib membangunkannya (kerana yang demikian itu adalah) daripada perkara menegah kemungkaran. Adapun orang yang tidur sebelum waktu (sembahyang) maka tidak wajib (membangunkannya), kerana belum ada taklîf (tanggungjawab sembahyang) ke atasnya (ketika itu). Akan tetapi, jika tidak ditakuti berlaku ke atasnya kemudharatan (kerana membangunkannya), maka yang utama adalah membangunkannya, bagi mendapatkan sembahyang pada waktu(nya).
Jelasnya, jika seseorang itu tidur sebelum masuk waktu sembahyang, maka perbuatannya itu tidak dianggap sebagai sengaja untuk tidur. Ini kerana (tidur sebelum masuk waktu sembahyang) belum tertanggung ke atasnya kewajiban sembahyang. Maka dalam hal ini, sunat orang itu dibangunkan daripada tidurnya untuk mendirikan sembahyang setelah masuk waktu sembahyang. Begitu juga sunat membangunkan seseorang yang tidak diketahui halnya sama ada dia menyengajakan tidur itu ataupun tidak.
Sekiranya diketahui sebaliknya, seperti seseorang tidur setelah masuk waktu sembahyang dan dia belum mendirikan sembahyangnya. Apabila diyakini dan diketahui bahawa dia tidak akan bangun pada waktunya untuk menunaikan sembahyang tersebut, maka dalam keadaan ini wajib bagi orang yang mengetahui hal orang yang tidur tersebut untuk membangunkannya. ii. Sunat membangunkan orang yang tidur di hadapan orang yang sedang bersembahyang jika tempat tidurnya itu berdekatan dengan tempat sembahyangnya. Menurut ‘urf (kebiasaannya) perbuatan tersebut dianggap sebagai adab yang buruk.
Asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Dan demikian juga disunatkan membangunkannya (orang yang tidur) apabila melihatnya sedang tidur di hadapan orang-orang (yang sedang) bersembahyang jika (dia tidur) dekat (tempat) daripada mereka (bersembahyang), yang dianggap secara ‘urf bahawa ia (suatu) adab yang buruk.
iii. Sunat membangunkan orang yang tidur pada shaf sembahyang yang pertama atau di mihrâb masjid.
Asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh menyebutkan lagi:
Ertinya: Atau (disunatkan membangunkan orang yang tidur) pada shaf pertama atau di mihrâb masjid.
Mihrâb masjid bermaksud bahagian masjid yang menganjur ke qiblat (tempat imam berdiri sembahyang).
Hukum membangunkan orang yang tidur pada shaf pertama atau mihrâb masjid adalah sama dengan hukum membangunkan orang yang tidur di hadapan orang yang sedang bersembahyang. Disebutkan dalam kitab Fath al-Bâri, menurut Mujahid, Thawus dan Malik Rahimahumullâh bahawa makruh tidur di hadapan orang bersembahyang kerana tidurnya itu ditakuti boleh mengalih perhatian orang yang sedang bersembahyang.
iv. Sunat membangunkan orang yang tidur atas tempat tinggi yang tiada penghadang sebagaimana yang disebutkan oleh asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh:
Ertinya: Atau (disunatkan membangunkan orang yang tidur) atas tempat tinggi yang tiada penghadang padanya.
Hikmah membangunkan orang yang tidur atas tempat tinggi yang tiada penghadang atau penutup itu adalah bagi mengelak perkara mudharat yang boleh berlaku kepada orang yang tidur tersebut seperti (dikhuatiri) dia terguling atau terjatuh dari tempat tinggi itu sehingga boleh menyebabkan kebinasaan atau kecederaan kepadanya.
v. Sunat membangunkan orang yang tidur selepas terbit fajar dan sebelum terbit matahari walaupun dia sudah melakukan sembahyang fardhu Shubuh sebagaimana disebutkan:
Ertinya: Atau (disunatkan membangunkan orang yang tidur) selepas terbit fajar dan sebelum terbit matahari walaupun dia sudah melakukan sembahyang fardhu Shubuh.
Adapun sunat membangunkan orang yang tidur selepas terbit fajar dan sunat juga membangunkan orang yang tidur sebelum terbit matahari disebabkan pada waktu tersebut bumi menangis kerana orang yang tidur itu mengetahui tentang larangan (makruh) tidur pada waktu tersebut. Menurut kitab Fath al-Qadîr pula bahawa pada waktu tersebut merupakan saat rezeki dibahagi-bahagikan kepada manusia.
vi. Sunat membangunkan orang yang tidur selepas sembahyang fardhu ‘Ashar sebagaimana disebut dalam Hâsyiyah al-Jamal ‘alâ Syarh al-Manhâj:
Ertinya: Atau (disunatkan membangunkan orang yang tidur) selepas sembahyang fardhu ‘Ashar.
Berdasarkan kajian beberapa ulama, tidur pada waktu ini boleh menyebabkan mudharat yang boleh mendatangkan gangguan akal. Menurut Makhul Rahimahullâh bahawa perbuatan tidur selepas sembahyang ‘Ashar boleh menyebabkan terkena gangguan waswas. Selain itu Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullâh, salah seorang ulama besar Ahli Sunnah wal-Jama‘ah menyebutkan bahawa makruh tidur selepas ‘Ashar kerana ditakuti boleh mendatangkan mudharat pada akal.
vii. Sunat membangunkan orang yang tidur bersendirian seorang diri di dalam sebuah rumah. Asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh menyebutkan lagi:
Ertinya: Atau (disunatkan membangunkan orang yang tidur) bersendirian di dalam rumah, kerana (perbuatan) sedemikian tidak digemari.
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh, tidur bersendirian itu boleh menyebabkan kesunyian dan perasaan terpencil dalam dirinya dan gangguan akalnya.
viii. Sunat membangunkan perempuan yang tidur menelentang serta wajahnya menghadap ke langit (ke atas). Al-‘Allâmah Abu Bakar ibnu Muhammad Syaththa ad-Dimyathi Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn menyebut:
Ertinya: Atau (disunatkan membangunkan) perempuan yang tidur berbaring (menelentang) dan wajahnya menghadap langit.
Cara perempuan yang tidur berbaring (menelentang) dengan wajah menghadap langit (ke atas) adalah posisi yang ditegah kerana ia boleh menyebabkan aurat dan bahagian tubuh badan perempuan itu terdedah.
ix. Sunat membangunkan lelaki atau perempuan yang tidur dengan keadaan meniarap kerana yang sedemikian itu adalah cara tidur yang tidak disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn disebut lagi:
Ertinya: Atau (disunatkan membangunkan) lelaki atau perempuan yang tidur berbaring serta dengan wajahnya (meniarap). Maka sesungguhnya berbaring sedemikian adalah cara berbaring yang dibenci Allah Ta‘ala.
x. Sunat orang yang tidur dibangunkan untuk melakukan sembahyang malam jika diketahui bahawa dia ingin melakukannya. Begitu juga sunat membangunkan orang lain yang sedang tidur untuk bersahur (kerana berpuasa).
Seterusnya al-‘Allâmah Abu Bakar ibnu Muhammad Syaththa ad-Dimyathi Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Dan disunatkan membangunkan orang lain untuk melakukan sembahyang malam dan untuk bersahur.
xi. Sunat membangunkan orang yang tidur pada waktu wuqûf di Arafah. Perkara ini disebut dalam Hâsyiyah al-Jamal ‘alâ Syarh al-Manhâj:
Ertinya: Dan (disunatkan membangunkan) orang yang tidur di Arafah pada waktu wuqûf, kerana sesungguhnya pada waktu tersebut merupakan waktu permohonan (berdo‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) dan tunduk (beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).
xii. Sunat membangunkan orang yang tidur dalam keadaan pakaian dan tubuh badannya terdapat kotoran.
xiii. Ini disebut lagi dalam Hâsyiyah al-Jamal ‘alâ Syarh al-Manhâj:
Ertinya: Dan (disunatkan membangunkan) orang yang tidur dan (sedang) pada tangannya bau lemak daging.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa tidur dan pada tangannya terdapat bau lemak (daripada daging dan kotoran) dan dia tidak membersihkannya, lalu dia ditimpa oleh sesuatu, maka dia jangan menyalahkan kecuali dirinya sendiri. (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn pula ada disebutkan bahawa antara hikmah bagi tuntutan membangunkan orang yang tidur dalam keadaan di atas boleh menyebabkan syaitan mendatanginya (kotoran tersebut) dan boleh membahayakan atau menyakiti yang empunya tangan atau tubuh badan.
Demikianlah penjelasan mengenai beberapa keadaan orang yang sedang tidur yang sunat untuk dibangunkan. Ini kerana sunat membangunkan itu adalah memberi manfaat dan kebaikan kepada orang yang tidur itu sendiri.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10212
دليل الألوان
