Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث٠ مشاهدة

Wasiat Yang Haram

الجواب

Pemberian wasiat adalah salah satu perkara yang disyariatkan dalam Islam. Wasiat bermaksud pemberian suatu hak kepada seseorang selepas berlakunya kematian pewasiat.

Antara dalil yang menyatakan tentang pensyariatan wasiat itu ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: (Pembahagian itu dibuat) setelah dilaksanakan terlebih dahulu wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati atau setelah dibayar segala hutangnya. (Surah an-Nisâ’: 11)

Antaranya lagi sepertimana yang disebutkan dalam hadits daripada Sa‘d bin Waqqash Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya beliau telah ditimpa sakit dan mempunyai harta yang akan diwarisi oleh seorang anak perempuan beliau sahaja.

Lalu beliau bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, adakah boleh beliau bersedekah (kepada selain ahli warisnya) dengan dua pertiga daripada hartanya? Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: ‘Tidak’. Beliau bertanya lagi, adakah boleh bersedekah dengan separuh daripada hartanya? Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: ‘Tidak’.

Lantas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Satu pertiga dan satu pertiga adalah besar - atau banyak, sesungguhnya engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka (ahli warismu) dalam keadaan miskin (sehingga) meminta-minta kepada orang ramai. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pada permulaan Islam, mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan kaum kerabat hukumnya adalah wajib. Akan tetapi hukum wajib mewasiatkan harta itu dimansûkhkan setelah turunnya ayat-ayat pusaka. Maka hukum mewasiatkan harta menjadi sunat dengan tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan yang diberikan kepada selain ahli waris.

Hikmah Wasiat

Setiap ibadat yang dituntut untuk dikerjakan setentunya mempunyai hikmah yang tersendiri, begitulah juga wasiat. Antara hikmah tuntutan wasiat itu ialah:

1. Wasiat adalah sebagai salah satu jalan untuk menunaikan kewajiban-kewajiban yang tidak dapat dipenuhi oleh manusia kerana lalai daripada melakukannya. Maka apabila seseorang telah merasakan semakin hampir kepada ajalnya, lalu dia berhajat untuk menunaikan kewajiban atau kebajikan yang belum dia tunaikan, maka dalam keadaan ini wasiat boleh menyempurnakan kewajiban dan kebajikan yang tidak sempat ditunaikannya semasa hidupnya itu.

2. Berwasiat kepada perkara-perkara baik di sisi syara‘ adalah salah satu bentuk pemberian (tabarru‘) bagi mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang dapat menambah pahala si pewasiat di akhirat kelak sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah bersedekah (dengan mengurniakan harta) ke atas kamu, ketika kamu (hendak) wafat, dengan (mewasiatkan) satu pertiga harta kamu, sebagai tambahan (ganjaran pahala) bagi kamu pada amalan-amalan kamu. (Hadits riwayat Ibnu Majah) 3. Wasiat sebagai sumbangan pada perkara-perkara kebajikan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan, sama ada bagi kaum keluarga yang tidak mendapat bahagian waris, golongan fakir miskin bagi meringankan beban kehidupan mereka serta merapatkan silaturrahim antara mereka, bagi mashlahat umum seperti mewasiatkan harta bagi kegunaan masjid, persatuan-persatuan kebajikan atau kepada usaha-usaha da‘wah.

Jelas daripada hikmah yang disebutkan bahawa wasiat itu akan dapat memberikan kebaikan kepada pewasiat di dunia serta akan mendapat ganjaran pahala di akhirat.

Wasiat itu juga bergantung kepada hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Dapatlah difahami bahawa tidak semua wasiat itu dibolehkan menurut syara‘. Dari itu, kita akan membincangkan mengenai wasiat yang haram dalam Islam.

Bentuk-Bentuk Wasiat yang Haram

Sepertimana yang telah diterangkan, wasiat pada hakikatnya adalah pemberian (tabarru‘) bagi mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dapatlah difahami bahawa jika wasiat itu untuk selain tujuan taqarrub, maka ia sudah setentunya menyalahi tujuan sebenar atau hikmah berwasiat dari sisi syara‘, lebih-lebih lagi jika wasiat itu untuk perkara yang haram.

Terdapat beberapa bentuk wasiat yang haram untuk dilaksanakan, iaitu:

1. Berwasiat dengan sesuatu yang diharamkan oleh syara‘.

Tidak sah wasiat seseorang itu jika dia berwasiat untuk sebarang tujuan maksiat yang diharamkan. Umpamanya berwasiat kepada penerima yang tidak ditentukan seperti membangun gereja atau melakukan pengubahsuaian gereja untuk tujuan beribadat, mencetak kitab-kitab Taurat dan Injil sama ada yang telah diubah isi kandungannya atau yang tidak diubah isi kandungannya atau membacakan kedua-dua kitab tersebut, mencetak buku-buku yang menyesatkan serta ilmu-ilmu yang diharamkan dan lain-lain perkara maksiat yang diharamkan oleh syara‘, atau berwasiat kepada penerima yang ditentukan seperti mewasiatkan arak kepada seseorang atau ramai orang.

2. Pendorong atau sebab untuk berwasiat itu daripada perkara haram.

Dalam hal ini, haram hukumnya mewasiatkan suatu barang wasiat jika pendorong atau sebab berwasiat itu adalah perkara yang diharamkan. Umpamanya berwasiat dengan tujuan untuk menyakiti ahli waris dengan berwasiat lebih daripada satu pertiga, jika barang wasiat itu diyakini akan digunakan untuk suatu perbuatan haram seperti mewasiatkan anggur kepada pembuat arak yang diyakini akan menggunakan anggur tersebut untuk pembuatan arak, jika barang wasiat itu akan digunakan untuk membantu atau mengagungkan agama lain seperti mewasiatkan minyak pelita bagi kegunaan gereja dengan niat untuk memuliakan dan mengagungkan gereja tersebut atau untuk membantu orang-orang yang tinggal di persekitarannya untuk beribadat. Ini bererti, mewasiatkan barang kepada gereja sekalipun tanpa apa-apa niat, maka wasiatnya itu adalah tidak sah.

Adapun sebab wasiat untuk tujuan yang diharamkan itu tidak sah telah dijelaskan oleh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dengan katanya:

Ertinya: Kerana tujuan daripada wasiat itu (adalah untuk) menambal apa yang luput pada ketika hidup (si pewasiat) daripada (membuat) perkara-perkara kebajikan, maka (wasiat itu) tidak harus dijadikan (daripada) maksiat.

Imam Taqiyyuddin al-Hishni Rahimahullâh juga menjelaskan:

Ertinya: Dan sebab tidak sah itu (kerana) sesungguhnya wasiat disyariatkan untuk mendatangkan kebaikan-kebaikan (bagi pewasiat di dunia dan di akhirat) dan menambal apa yang telah luput (daripada perkara-perkara kebaikannya) dan yang demikian itu (perkara maksiat) adalah bertentangan (dengan) tujuan (wasiat yang sebenar).

Oleh itu, jika ia ditujukan kepada perkara maksiat yang jelas tidak mendatangkan kebaikan di dunia dan tidak menambah pahala pewasiat di akhirat, maka ia adalah bertentangan dengan tujuan dan hikmah wasiat itu sendiri.

Larangan Melaksanakan Wasiat yang Diharamkan

Berwasiat pada perkara yang haram itu adalah tidak sah dan tidak harus bagi ahli waris atau selain mereka untuk melaksanakannya.

Jika ahli waris atau selain mereka melaksanakan wasiat yang haram itu juga, maka mereka telah bersepakat dalam melakukan dosa. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang umatNya untuk tolong-menolong dalam melakukan dosa sepertimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hakam Allah). (Surah al-Mâ’idah: 2)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:

Tafsirnya: Sesudah dilaksanakan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati daripada harta itu dan sesudah dibayarkan hutangnya. Wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudharat (kepada waris-waris seperti mewasiatkan lebih daripada satu pertiga). (Surah an-Nisâ’: 12)

Menasihati Pewasiat yang Hendak Mewasiatkan Perkara Haram

Jika terdapat pewasiat yang hendak mewasiatkan kepada perkara-perkara haram, maka wajib bagi orang yang mengetahui perkara itu untuk mengingatkannya dan menasihatinya agar dia tidak melakukan perkara sedemikian. Ini adalah bersesuaian dengan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Tetapi sesiapa yang khuatir bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau berbuat salah dalam wasiatnya lalu dia mendamaikan antara mereka (orang yang berwasiat dan penerima wasiat dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan agama) maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah al-Baqarah: 182)

Sebagai kesimpulan, segala bentuk wasiat yang diwasiatkan dengan sesuatu yang diharamkan oleh syara‘ dan juga pendorong untuk berwasiat itu daripada perkara haram adalah tidak sah dan tidak harus dilaksanakan. Ini kerana wasiat itu adalah satu bentuk taqarrub kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang pasti akan dibalas dengan ganjaran pahala bagi pewasiat di akhirat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10221

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص