Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Bersangka Baik Terhadap Allah Subhânahu WA Ta‘âLâ: Usaha Mengatasi Kesedihan Dan Tekanan

الجواب

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada ketika ini tidak hanya mendatangkan kesan terhadap kesihatan fizikal dengan menjangkiti jutaan manusia malahan juga terhadap kesihatan mental. Antaranya berlaku peningkatan tahap kemurungan di seluruh dunia disebabkan kesedihan kerana kehilangan orang tersayang, pengasingan diri, kehilangan pendapatan, ketakutan tentang jangkitan dan yang seumpamanya. Lebih parah lagi, penyakit kemurungan yang dihidapi itu boleh membawa kepada perbuatan membunuh diri.

Kemurungan merupakan gangguan mental yang bercirikan kesedihan secara berterusan dan merupakan penyebab utama kepada beban penyakit global secara keseluruhannya. Penyelidikan semasa menunjukkan bahawa kemurungan berpunca disebabkan oleh gabungan faktor genetik, biologi, persekitaran dan psikologi. Namun menurut laman sesawang Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam bahawa kemurungan boleh dirawat dan diatasi sekalipun dalam kes yang paling kritikal. Semakin awal rawatan dijalankan, semakin berkesan rawatan tersebut. Biasanya penyakit ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan, psikoterapi atau gabungan kedua-duanya.

Di dalam laman sesawang berkenaan juga dimuatkan beberapa panduan tentang perkara yang boleh dilakukan untuk mencegah atau mengatasi kemurungan. Sebagai contoh, langkah-langkah yang disaran oleh pihak Kementerian Kesihatan ialah agar sentiasa berfikiran positif, mendapatkan bantuan pakar, mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa berhubung dengan orang yang tersayang. Berfikiran positif di sini bermaksud memikirkan sesuatu yang baik dalam setiap situasi atau merasa yakin dan pasti bahawa sesuatu yang baik akan berlaku. Ini kerana dengan berfikiran positif itu boleh mengatasi rasa tertekan, sedih dan duka.

Sebagai seorang Muslim, bersangka baik terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ merupakan cara utama untuk melegakan hati yang tertekan seterusnya memberi jalan untuk keluar dari kesedihan dan kedukaan yang berpanjangan. Inilah saranan yang dinyatakan oleh Imam Fakhr ar-Razi Rahimahullâh dalam kitab tafsir beliau, at-Tafsîr al-Kabîr wa Mafâtîh al-Ghaib. Beliau menyebut tentang kesabaran Nabi Ya‘qub ‘Alaihissalâm ketika menghadapi ujian yang diberitakan kepada Baginda tentang anaknya Bunyamin, yang ditahan oleh penguasa Mesir. Mengetahui berita tersebut, paling jelas baginda ‘Alaihissalâm bersangka baik dengan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu dan yakin lagi pasti bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tetap membantu serta memberi jalan keluar dari kesulitan yang dihadapi baginda.

Tuntutan Untuk Bersangka Baik Terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ

Adapun bersangka baik terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan tidak bersangka buruk terhadapNya, hukumnya adalah wajib. Sebagai contoh tidak membandingkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan apa-apa yang tidak layak denganNya.

Disebut antaranya dalam kitab Hawâsyi asy-Syarwani wa al-‘Abbadi ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Maka yang wajib itu ialah berbaik sangka terhadap Allah dengan tidak bersangka buruk terhadapNya seperti membandingkanNya dengan apa-apa yang tidak layak denganNya.

Manakala bersangka buruk terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pula hukumnya adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Berburuk sangka yang dimaksudkan itu ialah berputus asa dan putus harapan terhadap rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Malahan berburuk sangka itu melebihi daripada maksud berputus asa dan putus harapan kerana ia juga mengandungi maksud mengharuskan sesuatu yang tidak layak dengan kemuliaan dan kemurahan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hambaNya. Dalam kitab az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir menyebut:

Ertinya: Dan yang jelas juga bahawasanya berburuk sangka (terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) adalah lebih daripada (maksud) kedua-duanya (berputus asa dan putus harapan) kerana sesungguhnya (berburuk sangka itu) adalah putus asa dan berputus harapan (malah) lebih (daripada maksud itu) kerana ia mengharuskan sesuatu (terhadap) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang tidak layak dengan kemuliaanNya dan kemurahanNya (kepada hamba-hambaNya).

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai anak-anakku! Pergi dan carilah berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusuf: 87)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:

Tafsirnya: Nabi Ibrahim berkata: “Dan tidak ada yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.” (Surah al-Hijr: 56)

Berbaik Sangka Terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Dalam Menghadapi Kesedihan dan Mengatasi Kesulitan

Bersangka baik terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ boleh menghilangkan kesedihan dan kedukaan disebabkan tekanan atau kesusahan yang menimpa. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan memberi ketenangan di hati serta memberi jalan keluar dari kesusahan yang dihadapinya. Ini kerana bersangka baik terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ iaitu dengan menghadirkan pengharapan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, pastinya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan memberikan dan mengabulkan apa yang diharapkannya.

Perkara ini disebut dalam sebuah hadits Qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Allah Ta‘ala berfirman: “Aku (memperlakukan hambaKu berdasarkan) sangkaan hambaKu kepadaKu. Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Maka jika dia mengingatiKu dalam dirinya, (nescaya Aku juga akan) mengingatinya dalam diriKu. Dan jika dia mengingatiKu dalam satu kumpulan, (nescaya) Aku juga akan mengingatinya dalam satu kumpulan yang lebih baik daripada mereka. Dan jika dia mendekatiKu pada jarak sejengkal, (nescaya) Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Jika dia mendekatiKu dengan jarak sehasta, (nescaya) Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Dan jika dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, (nescaya) Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak (mendahului hambaNya dengan memberikan rahmat).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ulama memberikan maksud perkataan: “Aku (memperlakukan hambaKu berdasarkan) sangkaan hambaKu kepadaKu” dalam hadits di atas, antaranya;

• Pengarang kitab Fath al-Bâri fî Syarh al-Bukhari, memberikan maksudnya: “Aku berkuasa untuk memperlakukan hambaKu dengan apa yang dia sangkakan akan Aku lakukan terhadapnya”.

• Pengarang kitab ‘Umdah al-Qâri Syarh Shahîh al-Bukhari menyatakan maksudnya: “Sekiranya dia menyangka bahawa Aku memaafkan dan mengampunkannya, maka baginya yang demikian (kemaafan dan pengampunanKu). Dan sekiranya dia menyangka diberi hukuman dan pembalasan, maka yang demikian itulah baginya.”

Manakala Imam al-Qurthubi Rahimahullâh memberikan maksud perkataan: “Sangkaan hambaKu terhadapKu” itu ialah sangkaan baik terhadap penerimaan do‘a (seseorang hamba itu) ketika dia berdo‘a; penerimaan taubat ketika dia bertaubat; mendapat keampunan ketika dia memohon keampunan (istighfâr) dan (sangka baik) akan mendapat pahala ketika melakukan ibadat dengan syarat dia yakin dan percaya akan kebenaran janji Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Oleh itu, jelas kepada kita bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan memperlakukan kita sebagaimana sangkaan kita terhadapNya. Apabila kita bersangka baik terhadapNya seperti berharap dan yakin mendapat keampunanNya, nescaya kita akan diampunkan. Begitu juga apabila kita bersangka baik bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menghilangkan tekanan dan kesedihan kita, nescaya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menghilangkannya daripada diri kita.

Begitu juga dengan perkara kemurungan disebabkan kesedihan berpanjangan dan rasa tertekan, perbuatan bersangka baik terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah terapi terbaik untuk menjadi pengubat kesedihan dan kedukaan yang berpanjangan serta rasa putus asa itu. Jelasnya, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan sentiasa bersama kita, mengasihani dan membantu kita serta menerima do‘a dan taubat kita.

Selain itu, mereka yang mengalami masalah kesedihan dan rasa tertekan hendaklah berusaha untuk mendapatkan bantuan pakar, mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa berhubung dengan orang yang tersayang sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan. Bagi orang sekeliling pula, adalah penting agar mereka sentiasa memberi sokongan dan bimbingan kepada mereka yang mengalami masalah sedemikian.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10227

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص