Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأيمان والنذور٠ مشاهدة

Lupa Tentang Amalan Yang Dinazarkan

الجواب

Nazar adalah amalan yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Sering ada dalam kalangan masyarakat kita orang yang berkorban menyembelih kerbau apabila anak sembuh daripada sakit, lulus dalam peperiksaan, mendapat jodoh dan sebagainya.

Nazar terbahagi kepada dua, iaitu nazar at-tabarrur dan nazar al-lajâj. Nazar dalam kategori at-tabarrur ialah nazar yang diniatkan semata-mata untuk bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ). Nazar dalam kategori ini merupakan salah satu cara untuk mendapatkan syafaat dan keredhaan serta mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Nazar at-tabarrur ini hukumnya adalah sunat.

Adapun nazar dalam kategori al-lajâj pula ialah nazar yang berlaku apabila seseorang yang dalam keadaan sedang marah atau tidak berpuas hati. Dalam keadaan tersebut dia bernazar untuk melakukan suatu ketaatan bagi tujuan menegah dirinya atau orang lain daripada melakukan sesuatu, untuk menggesa dirinya atau orang lain supaya melakukan sesuatu, atau hendak membenarkan suatu perkhabaran. Nazar al-lajâj ini hukumnya adalah makruh.

Antara syarat sah nazar itu hendaklah suatu yang dinazarkan itu berupa perkara ibadat yang bukan wajib seperti bersedekah, sembahyang sunat, puasa sunat, berwaqaf dan sebagainya. Apabila seseorang bernazar, bererti dia telah mewajibkan ke atas dirinya suatu ketaatan yang pada asalnya tidak wajib. Nazar itu wajib ditunaikan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri (bertahallul) dan menyempurnakan nazar-nazar mereka. ajj: 29)H-(Surah al

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu) dan sesiapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat kepadaNya (janganlah dia menunaikan nazarnya itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Lupa Amalan yang Dinazarkan

Adalah sudah menjadi tabiat manusia memiliki sifat lupa. Lupa itu boleh sahaja berlaku pada bila-bila masa dan boleh berlaku terhadap apa jua perkara, termasuk amalan atau ibadat yang dinazarkan. Contohnya seseorang bernazar “jika dia mendapat pekerjaan dia akan mengerjakan puasa sunat” atau “jika dinaikkan pangkat dia akan mengerjakan sembahyang sunat” ataupun “jika dia mendapat jodoh dia akan bersedekah”. Namun oleh kerana perkara yang disyaratkan dalam nazar itu terhasil beberapa tahun selepas nazar dilafazkan, dia lupa akan jenis amalan yang dinazarkannya, sama ada dia hendak berpuasa sunat, bersembahyang sunat, bersedekah dan sebagainya.

Jika ini berlaku, apakah yang perlu dilakukannya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya itu? Adakah perlu dikerjakan ketiga-tiganya atau dia boleh memilih salah satu sahaja daripadanya?

Apabila seseorang lupa apakah amalan yang dinazarkannya, misalnya dia tidak ingat adakah dia telah bernazar untuk mengerjakan sembahyang, mengerjakan puasa atau bersedekah, maka dia hendaklah mengambil langkah berikut:

(1) Dia hendaklah berijtihâd iaitu berusaha untuk mengingati apa amalan yang dinazarkannya itu. Kemudian sekiranya dia mampu mengingati bahawa amalan yang dinazarkannya itu adalah sembahyang contohnya, maka dalam hal ini memadai dia melaksanakan sembahyang. Perkara ini ada disebutkan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj. Beliau berkata:

Ertinya: Sekiranya seseorang itu syak setelah dia sembuh (daripada sakitnya) mengenai perkara yang diwajibkan (ke atasnya dengan nazar), adakah ia (amalan yang dinazarkan itu) memerdekakan hamba, puasa, sedekah atau sembahyang, hendaklah dia berijtihâd sepertimana yang difatwakan oleh ayahanda (Imam Syihabuddin ar-Ramli) Rahimahullâhu Ta‘âlâ.

Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh menambah bahawa sekiranya setelah dia berijtihâd dan cenderung untuk melaksanakan sembahyang contohnya, kemudian dia pun melaksanakan sembahyang tersebut. Namun setelah itu ternyata bahawa ijtihâdnya itu adalah salah dan dia baru teringat kembali bahawa dia sebenarnya bernazar untuk berpuasa, maka hendaklah dia berpuasa bagi menyempurnakan tuntutan nazarnya itu. Walau bagaimanapun, amalan sembahyang yang dikerjakannya itu tadi tidak menjadi sia-sia, bahkan ia menjadi tathawwu‘ yakni amalan sunat.

Dalam melaksanakan amalan yang dinazarkan ini, sekiranya dia ada menentukan untuk mengerjakan amalan tersebut dengan kaifiyyah atau syarat tertentu, maka dia wajib mengerjakannya dengan kaifiyyah atau syarat yang ditentukannya itu. Contohnya sekiranya dia berniat mengerjakan puasa 3 hari berturut-turut, maka wajib dia mengerjakan dengan cara yang sedemikian.

Sekiranya dia tidak menentukan kaifiyyah atau mensyaratkan apa-apa, maka memadai dia mengerjakan kadar minima bagi amalan yang dinazarkannya itu sepertimana yang telah ditetapkan ulama. Kadar ini berbeza mengikut amalan-amalan yang dinazarkan. Sebagai contoh, sekiranya dia bernazar untuk berpuasa secara muthlaq tanpa menentukan jumlah harinya, maka memadai dia mengerjakan satu hari puasa pada bila-bila masa. Sekiranya dia bernazar untuk bersembahyang secara muthlaq contohnya, maka memadai dia mengerjakan sembahyang dua rakaat menurut pendapat al-aujah. Sekiranya dia bernazar untuk bersedekah secara muthlaq tanpa menetapkan kadar, maka memadai dia bersedekah dengan sesuatu yang boleh dijadikan harta serta mempunyai nilai walaupun sedikit. Begitulah juga halnya bagi semua amalan-amalan lain yang dinazarkan.

(2) Sekiranya selepas dia berusaha berijtihâd dia belum juga mampu mengingati apakah amalan yang dinazarkannya itu, maka dalam hal ini wajib atasnya mengerjakan semua amalan yang disangkakannya diniatkan dalam nazarnya.

Sebagai contoh, sekiranya dia ragu adakah dia bernazar untuk berpuasa atau beri‘tikâf, maka sekiranya selepas dia berijtihâd dia masih belum dapat menentukan atau mengingati amalan yang dinazarkannya, maka wajib atasnya mengerjakan kedua-dua amalan berkenaan iaitu berpuasa dan beri‘tikâf bagi melepaskannya daripada tuntutan wajib tersebut.

Dasar bagi ketetapan di atas sepertimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj ialah:

Ertinya: Apabila dia telah berijtihâd (untuk mengingati amalan yang dinazarkannya) dan belum jelas baginya sesuatupun, dan dia berputus asa dari yang demikian (berijtihâd), maka (pendapat) yang lebih dicenderungi ialah wajib melaksanakan semuanya.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh lagi, ketetapan untuk mengerjakan semua amalan yang disangkakan dalam nazar itu adalah kerana orang yang bernazar tidak akan dapat terlepas daripada tuntutan wajib kecuali dengan mengerjakan semuanya dan tuntutan mengerjakan perkara yang wajib perlu disempurnakan secara yakin. Ketetapan ini juga dipersetujui oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al- Muhtâj.

Ini berdasarkan kaedah fiqh:

Ertinya: Apa yang tidak sempurna perkara wajib itu melainkan dengannya (melakukan suatu perkara lain), maka ia juga adalah wajib.

Adapun jika dia terlupa adakah dia ada bernazar ataupun tidak, maka dalam hal ini menurut hukum asal dia dikira tidak ada bernazar. Ketetapan bahawa dia dikira tidak ada bernazar ini ada disebutkan oleh Imam ‘Izzuddin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdussalam Rahimahullâh dalam kitabnya Qawâ‘id al-Ahkâm fî Mashâlih al- Anâm. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

Ertinya: (Hukum) asal (bagi sesuatu) adalah kekal menurut (hukum) yang terdahulu.

Demikian penjelasan mengenai isu terlupa amalan yang dinazarkan. Apa yang dapat disimpulkan ialah sekiranya seseorang terlupa amalan yang dinazarkannya, dia hendaklah berusaha semampunya untuk mengingati apakah amalan yang dinazarkannya itu. Sekiranya dia tidak mampu mengingatinya, contohnya dia ragu adakah dia bernazar untuk berpuasa atau bernazar untuk bersembahyang, maka wajib dia melaksanakan kedua-duanya bagi melepaskan dirinya daripada tuntutan wajib tersebut. Adapun dalam perkara dia tidak pasti sama ada dia ada bernazar ataupun tidak, maka dia dikira sebagai tidak ada menanggung nazar.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10236

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص