Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز٠ مشاهدة

Perkara-Perkara Yang Disunatkan Apabila Melihat Jenazah Diusung

الجواب

Sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat kita apabila berlaku kematian orang Islam, ahli keluarga, sahabat handai dan lain-lain kenalan si mati akan datang berziarah bagi menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan ta‘ziah kepada keluarga si mati. Sebahagiannya akan membantu mengurus jenazah seperti memandikan dan mengkafankannya dan sebahagiannya lagi pula membantu keluarga mengurus apa jua perkara yang diperlukan sehingga jenazah selesai dikebumikan.

Islam telah mengajar umatnya tentang beberapa perkara yang menjadi tuntutan dan juga perkara yang menjadi larangan apabila seseorang itu menghadiri pengurusan jenazah. Antara perkara yang menjadi tuntutan itu ialah berdiri ketika jenazah diusung.

Hukum Berdiri Apabila Jenazah Diusung

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum berdiri apabila jenazah diusung. Sebahagian mereka berpendapat hukumnya makruh berdiri, sebahagian mereka berpendapat harus memilih antara berdiri atau duduk, manakala sebahagiannya lagi berpendapat hukumnya sunat berdiri sebagaimana pendapat Imam al-Mutawalli Rahimahullâh dalam kitab at-Tatimmah. Menurut Imam al- Qalyubi Rahimahullâh pendapat yang mengatakan sunat adalah pendapat yang mu‘tamad sebagaimana katanya:

Ertinya: Sunat (hukumnya) berdiri untuk jenazah (yang diusung) menurut (pendapat yang) mu‘tamad.

Dalil sunat berdiri apabila jenazah diusung itu adalah berdasarkan hadits daripada ‘Amir bin Rabi‘ah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika kamu melihat jenazah (yang diusung), maka berdirilah baginya, sehingga ia meninggalkan kamu atau diletakkan (jenazah tersebut). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitu juga hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika kamu melihat jenazah (yang diusung melewati kamu) maka berdirilah, maka sesiapa yang mengiringinya maka janganlah dia duduk sehingga ia diletakkan (daripada bahu-bahu pengusung jenazah). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Siapa dan Bila Dituntut Berdiri?

Menurut para ulama, hukum sunat berdiri itu adalah dituntut bagi orang-orang yang melihat jenazah yang diusung dan juga bagi orang-orang yang mengiringi jenazah hingga ke kubur.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menukil pendapat Imam al-Mutawalli Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Maka beliau (Imam al-Mutawalli Rahimahullâh) berkata: “Sunat (hukumnya) bagi sesiapa yang dilewati oleh jenazah (yang diusung) untuk berdiri baginya (jenazah tersebut), dan jika dia bersamanya (mengiringinya hingga ke kubur), jangan dia duduk sehingga ia (jenazah) diletakkan (daripada bahu-bahu pengusung jenazah)”, dan inilah (pendapat) yang dikatakan oleh pengarang kitab at-Tatimmah (Imam al-Mutawalli Rahimahullâh), ia adalah (pendapat) yang terpilih.

Ini bermakna orang-orang yang hadir di rumah si mati atau di masjid yang berlangsung padanya pengurusan jenazah, apabila jenazah tersebut diusung keluar untuk dibawa ke tanah perkuburan umpamanya, maka orang yang sedang duduk pada ketika itu adalah disunatkan untuk berdiri apabila melihat jenazah diusung melewati mereka. Dalam keadaan ini, tuntutan berdiri itu adalah berterusan sehinggalah jenazah yang diusung itu meninggalkan mereka.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Syarh Muslim menyatakan bahawa hukum sunat berdiri itu bermula sebaik-baik sahaja melihat jenazah yang diusung dan hukum sunat berdiri itu berterusan sehingga jenazah yang diusung hilang dari pandangan.

Adapun bagi orang-orang yang mengiringi jenazah hingga ke kubur, mereka disunatkan berdiri sehingga jenazah tersebut diletakkan. Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, maksud diletakkan jenazah itu ialah diturunkan daripada bahu-bahu orang yang mengusung jenazah tersebut. Menurut Imam asy- Syibramallisi Rahimahullâh, tujuan berdiri itu adalah sebagai tanda penghormatan terhadap si mati jika dia orang Islam. Oleh itu jika dia duduk sebelum jenazah diletakkan, maka ia adalah dianggap satu penghinaan terhadap si mati.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, tujuan berdiri itu juga ialah takut dan beringat kepada kematian adalah suatu pengagungan terhadap urusan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, serta memuliakan para malaikat yang menjalankan urusan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ khususnya dalam urusan kematian. Menurut beliau lagi, hikmah tuntutan sunat berdiri bagi jenazah itu ialah agar seseorang itu tidak akan berterusan dalam keadaan lalai setelah melihat suatu kematian, sama ada kematian orang Islam atau bukan Islam.

Mendo‘akan Jenazah yang Diusung

Selain sunat berdiri, sunat juga hukumnya mendo‘akan jenazah yang diusung serta memuji jenazah tersebut dengan kebaikan jika dia berkelayakan untuk dipuji.

Antara do‘a yang disunatkan untuk dibaca apabila seseorang itu melihat jenazah yang diusung ialah:

Ertinya: Maha suci (Allah) Yang Maha Hidup yang tidak mati. Atau do‘a:

Ertinya: Maha suci (Allah) Yang Maha Menguasai lagi Maha Suci. Imam al-Qalyubi Rahimahullâh juga ada mengongsikan do‘a untuk dibaca ketika melihat jenazah diusung iaitu:

Ertinya: Allah Maha Besar! Inilah apa yang (Allah) Yang Maha Pemurah janjikan, dan benarlah (kata-kata yang disampaikan) para rasul. Manakala Imam Muhammad bin ‘Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah az-Zain fî Irsyâd al-Mubtadi’în menyebutkan do‘a yang boleh dibaca seperti berikut:

Ertinya: Ya Allah! Angkatlah darjatnya kepada (darjat) orang-orang yang diberi hidayah dan gantikanlah olehMu (Ya Allah) akan dia terhadap keturunannya yang masih hidup. Ampunkanlah bagi kami dan baginya (dosa-dosa) sehingga ke Hari Kiamat. Begitu juga dengan do‘a yang dibaca sebanyak tiga kali:

Ertinya: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan hak Sayyidina Muhammad dan keluarga Sayyidina Muhammad agar Engkau tidak mengazab mayat ini.

Selain itu, beliau juga menyebut do‘a:

Ertinya: Ya Allah, ampunkanlah baginya (dosa-dosa) dan rahmatilah dia, maafkanlah dia, selamatkanlah dia, luaskanlah tempat masuknya, mandikanlah dia dengan air, salji dan air embun, bersihkanlah dia daripada dosa-dosa sebagaimana dibersihkan pakaian putih daripada kotoran, gantikanlah baginya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, isteri/suami yang lebih baik daripada isterinya/ suaminya, lindungilah dia daripada seksa kubur dan seksa (api) neraka.

Dari penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum berdiri bagi jenazah yang diusung adalah sunat bagi orang yang melihat jenazah yang diusung mahupun bagi orang yang mengiringi jenazah sehingga ia diletakkan daripada bahu-bahu orang yang mengusungnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10242

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص