Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Belia Yang Mendapat Naungan Allah Ta‘Ala

الجواب

Belia merupakan cerminan masa hadapan sesebuah negara. Apabila mantap belianya, maka akan bersinar dan bercahayalah masa hadapan sesebuah negara itu. Jika sebaliknya, nescaya masa hadapan negara tersebut akan suram dan gelap.

Maka tidak diragukan lagi bahawa belia adalah aset yang amat bernilai dan merupakan tonggak serta kekuatan bagi sesebuah negara. Atas sebab itu, para belia perlu dididik dan dibimbing dengan sempurna agar kelak mereka menjadi generasi yang beriman, berilmu, beramal dan bertaqwa serta mempunyai akhlak mulia berpandukan ajaran Islam supaya menjadi belia yang kukuh syakhshiyyah serta bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Pentingnya menekankan ciri beriman kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan mentaati segala suruhan dan laranganNya dalam pembentukan belia ini kerana ciri tersebut menanamkan sifat ‘adâlah dalam diri. Sifat ‘adâlah bererti memiliki ketaqwaan yang berterusan dan sentiasa memelihara maruah. Sifat ‘adâlah ini merupakan satu dasar utama dalam membentuk akhlak seseorang. Apabila seseorang itu memiliki sifat ‘adâlah, dia akan sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik dan betul serta akan menjauhi perkara-perkara yang buruk dan salah.

Keprihatinan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap pembentukan belia ini sangat jelas dalam hadits-hadits Baginda. Ketika mengkhabarkan tentang tujuh golongan yang mendapat naungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada Hari Kiamat, Baginda menjelaskan bahawa salah satu daripada golongan tersebut adalah golongan belia yang melazimkan diri mereka pada usia muda mereka untuk beribadat. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah dalam naunganNya pada hari tiada naungan melainkan naunganNya: (Iaitu) imam yang adil, seorang belia yang hidup (melazimkan usia mudanya) dalam beribadat kepada Tuhannya, seorang lelaki yang hatinya terikat (cenderung) kepada masjid, dua orang yang saling kasih mengasihi kerana Allah baik ketika bertemu mahupun ketika berpisah, seorang lelaki yang diajak (melakukan zina) oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan namun dia menolak dan berkata: “Saya takut (akan azab) Allah”, seseorang lelaki yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan seseorang lelaki yang berzikir mengingati Allah bersendirian sehingga mengalir air matanya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits tersebut, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjelaskan dalam bentuk targhîb atau motivasi tentang para belia lelaki dan perempuan yang melazimkan usia mudanya dengan beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bahawa mereka dijanjikan akan mendapat ganjaran yang sangat besar iaitu mendapat naungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada Hari Akhirat.

Kenapa Golongan Belia Disebut Secara Khusus?

Apakah hikmah atau rahsia dikhususkan para belia dalam hadits ini sedangkan pada hakikatnya ibadat itu dituntut ke atas semua orang Islam yang mukallaf? Para ulama memberikan beberapa penjelasan mengenai persoalan ini.

Imam al-Munawi Rahimahullâh menjelaskan dalam Faidh al-Qadîr bahawa pengkhususan ini adalah kerana usia belia merupakan usia yang syahwat berada di kemuncaknya dan kuatnya dorongan untuk mengikut hawa nafsu. Jika melihat kepada realiti, kenyataan Imam al-Munawi Rahimahullâh ini adalah benar-benar berasas.

Imam Ibnu Rajab Rahimahullâh pula menyebut bahawa usia belia adalah usia yang syahwat dan hawa nafsu akan mempengaruhi tuannya untuk memenuhi segala keinginan serta kelazatan duniawi dengan menggunakan apa sahaja cara, walaupun dengan cara yang terlarang. Berdasarkan kenyataan ini, sekiranya syahwat dan hawa nafsu ini telah menguasai seseorang, tidak syak lagi bahawa golongan belia adalah golongan yang lebih mudah untuk jatuh ke perangkap syaitan kerana syaitan sentiasa menghasut supaya lebih cenderung kepada kelazatan duniawi.

Dalam keadaan para belia yang penuh dengan ujian dan godaan ini, pastinya amat susah melazimkan diri untuk beribadat dan taat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sudah pasti mereka memerlukan semangat, komitmen serta kegigihan yang lebih, berbanding golongan yang lain. Tambahan lagi, dalam usia belia ini, dengan tubuh yang sihat serta tenaga yang masih kuat, pastinya mempunyai cita-cita tinggi dan keinginan besar yang hendak dicapai dalam hidup. Biasanya pada usia belia, kecintaan terhadap dunia dan kesenangan duniawi lebih kuat jika dibandingkan dengan golongan usia yang lain.

Selain cabaran tersebut, terdapat juga ‘mentaliti’ yang menghantui pemikiran para belia yang dipengaruhi oleh bisikan syaitan seperti: “Aku masih muda, umurku masih panjang, masa masih banyak untuk bertaubat dan beribadat”. Bisikan ini pastinya menjadi satu lagi dugaan dan aral yang menghalang dan memberatkan lagi para belia daripada melazimkan diri untuk beribadat dan taat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Selain itu, sifat ingin mencuba serta pengalaman yang belum luas membuatkan para belia ingin meneroka segala jalan dan kemungkinan sehingga adakalanya, jika iman tidak kuat, akan menjerumuskan mereka kepada perkara-perkara maksiat dan gejala-gejala yang tidak bermoral.

Menurut Imam Ibnu Rajab Rahimahullâh lagi, golongan belia sememangnya layak untuk mendapat penghormatan dan ganjaran mendapat naungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di Hari Akhirat sekiranya mereka melazimkan diri untuk beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, di mana dalam usia seperti itu memerlukan perjuangan yang sangat getir. Ini kerana pada usia tersebut, musuh yang hendak ditumpaskan bukan calang-calang musuh, bahkan musuh tersebut adalah syahwat dan hawa nafsu yang kuat bergejolak dan sedang berada di kemuncaknya. Untuk menumpaskan syahwat dan hawa nafsunya itu, dia pastinya memerlukan usaha, kesabaran dan pengorbanan yang lebih. Kalau bukan kerana keikhlasan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan pengharapan terhadap keredhaanNya, dia tidak akan mampu melaksanakannya. Maka tidak hairanlah mereka dijanjikan perlindungan yang sebegitu rupa pada Hari Akhirat kelak. Mereka terlepas daripada segala kesukaran dan keperitan Hari Akhirat kerana mereka telah berkorban diri menempuhi kesukaran dan keperitan menentang godaan syaitan dan hawa nafsu yang begitu kuat pada usia belianya.

Berbeza pula halnya dengan golongan tua yang pada kebiasaanya sudah lemah nafsu dan tenaganya. Golongan tua lebih mudah melazimkan ibadat kerana sudah puas meni‘mati kelazatan dunia. Lebih-lebih lagi, apabila keadaan sudah uzur kerana terasa dekatnya dengan kematian.

Maka, jelaslah keprihatinan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap pembentukan syakhshiyyah belia dengan menuntut mereka melazimkan diri untuk sentiasa beribadat.

Belia yang Hidup Beribadat Kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ

Maksud belia yang hidup beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti yang disebutkan dalam hadits mengenai belia yang mendapat naungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada Hari Akhirat, bukanlah maksudnya seseorang belia itu mengisi masa kehidupan hariannya dengan duduk di atas sejadah sepanjang hari berzikir, membaca al-Qur’an dan sebagainya atau berada sepanjang masa dalam masjid beri‘tikâf dan mengerjakan sembahyang tanpa menghiraukan urusan kehidupan dunianya seperti kebajikan diri, keluarga, jiran, pekerjaan serta kewajiban seharian yang lain. Bahkan maksud ibadat itu adalah lebih luas.

Berdasarkan penjelasan di atas, maksud sebenar ungkapan belia yang hidup dalam beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu ialah belia yang memperhambakan dirinya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan mentaati setiap perintah serta segala laranganNya.

Mentaati setiap perintah serta larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bukan hanya khusus dalam perkara tuntutan ibadat sahaja, bahkan juga dalam segenap perkara serta urusan seharian. Ini bererti, selain mengerjakan semua ibadat yang diperintahkan secara khusus, ketaatan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga bermaksud memelihara setiap perilaku sepanjang masa, termasuk memelihara kata-kata ataupun perbuatan sama ada yang zahir mahupun yang batin. Ini adalah ibadat umum yang merangkumi segenap jiwa raga, harta, pengorbanan waktu serta memanfaatkan segala apa yang dikurniakan ke atasnya untuk tujuan kebaikan, semata-mata bagi memperolehi keredhaanNya.

Imam Mulla ‘Ali al-Qari Rahimahullâh berkata:

Ertinya: (Dan belia yang hidup) iaitu: Membesar dan terdidik (dalam beribadat kepada Allah), iaitu bukan dalam melakukan maksiat terhadapNya, maka dia diberikan ganjaran dengan naungan ‘Arasy kerana dia sentiasa memelihara dirinya daripada mengingkari Tuhannya.

Ini bererti memelihara tuntutan wajib adalah ibadat. Memperbanyakkan amalan sunat juga ibadat. Menuntut ilmu dengan tekun bagi manfaat diri, agama, umat dan negara juga adalah ibadat. Mentaati dan menghormati ibu bapa juga ibadat. Memelihara dan membesarkan anak dengan cara Islam adalah ibadat. Membimbing ahli keluarga atau rakan-rakan dengan bimbingan yang baik juga adalah ibadat. Ringkasnya, kecintaan dan kecenderungan untuk semua perbuatan yang baik serta amal salih serta membenci dan menjauhi perbuatan yang buruk dan maksiat adalah ciri-ciri orang yang sentiasa dalam beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Orang yang sentiasa dalam beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kebiasaannya memiliki akhlak dan jati diri yang baik kerana dia tahu dan sedar bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sentiasa memerhatikan gerak-gerinya. Oleh kerana itu, dia akan sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam setiap tindak-tanduknya dan memelihara perlakuannya sama ada secara terang-terangan mahupun secara sembunyi.

Belia seperti ini adalah mereka yang bersih ‘aqidahnya dan suci jiwanya. Mereka melazimkan ibadat dengan sentiasa mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bukan sahaja secara zahir ketika berada di hadapan orang lain, bahkan mereka juga mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ketika mereka bersendirian dan tersembunyi daripada pandangan manusia. Setiap perilaku dan perbuatan mereka, lahir daripada keimanan yang tulus, pengharapan serta kegerunan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mereka ini adalah layak untuk mendapat naungan pada hari tiada naungan dan bantuan melainkan naungan dan bantuan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Zhill (Naungan) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ

Para ulama memberikan berbagai pendapat dan huraian mengenai maksud zhill atau naungan pada Hari Akhirat yang disebut dalam hadits sebagai ganjaran kepada belia yang melazimkan diri beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antara pendapat yang diutarakan oleh para ulama ialah:

(i) Menurut Imam ‘Isa bin Dinar dan Imam Ibnu Baththal Rahimahumallâh, zhill bermaksud naungan kemuliaan, pemeliharaan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

(ii) Menurut nukilan Imam al-‘Aini Rahimahullâh daripada sebahagian pendapat ulama, maksud zhill itu ialah pemeliharaan dari segala kesusahan yang dihadapi pada Hari Akhirat, di mana pada ketika itu matahari menghampiri dan mereka merasakan kepanasan yang amat dahsyat.

(iii) Menurut pendapat yang ditetapkan oleh Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dan ditarjîhkan oleh Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, maksud zhill adalah naungan ‘Arasy serta syurgaNya.

Dengan terbentuknya belia yang mantap itu, akan lahirlah peneraju bangsa yang bebas daripada gejala-gejala buruk yang boleh meruntuhkan masyarakat dan negara seperti dadah, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Lebih dari itu, ia juga akan turut melahirkan generasi masa hadapan yang beriman dan bertaqwa serta akan membawa kepada kewujudan sebuah negara yang dirahmati dan diredhai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Sebagai hamba Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keredhaanNya, janganlah sekali-kali disiakan-siakan usia belia ini kerana ia hanya akan melewati kita sekali sahaja. Tanpa disedari, usia tersebut akan meninggalkan kita dan terlepaslah peluang untuk mendapatkan keistimewaan yang telah dijanjikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Jadikanlah usia belia sebagai usia pengukuh kedudukan di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan janganlah jadikan usia tersebut sebagai pemesong dari jalan keredhaanNya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengingatkan kita supaya sentiasa memanfaatkan dan jangan sekali-kali mensia-siakan usia belia kerana usia tersebut merupakan usia yang paling bernilai dan paling bermanfaat dalam kehidupan.

Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda kepada seorang lelaki ketika menasihatinya:

Maksudnya: Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: Mudamu sebelum tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum fakirmu, kelapanganmu sebelum kesibukanmu dan hidupmu sebelum matimu. (Hadits riwayat al-Hakim)

Demikian penjelasan mengenai belia yang mendapat naungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada Hari Akhirat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10249

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص