Sembahyang Ghaib
الجواب
Hukum sembahyang ke atas jenazah orang Islam selain yang mati syahîd di jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah fardhu Kifayah. Pengecualian melakukan sembahyang jenazah ke atas orang yang mati syahîd di jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjadi saksi ke atas orang yang mati syahîd dalam peperangan Uhud pada Hari Kiamat dan Baginda memerintahkan agar jenazah mereka dikebumikan dengan darah mereka, tidak dimandikan dan tidak disembahyangkan.
Sembahyang ke atas jenazah merupakan salah satu ciri khusus umat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Jenazah orang Islam yang sudah dimandikan dan dikafankan, wajib disembahyangkan sebelum dikebumikan sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa‘ Radhiallâhu ‘anhu, sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sembahyanglah kamu ke atas (jenazah) sahabat kamu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Pada kebiasaannya, apabila berlaku kematian orang Islam maka ahli keluarga, sahabat handai dan lain-lain kenalan si mati akan berkumpul di rumah si mati bagi mengerjakan sembahyang jenazah di samping memenuhi tuntutan fardhu Kifayah yang lain. Selain itu, terdapat di kalangan orang-orang yang mengenali si mati yang tidak berada di negeri tempat jenazah itu berada, turut berkeinginan mengerjakan sembahyang ghaib bagi si mati.
Keharusan Sembahyang Ghaib
Sembahyang ghaib bermaksud sembahyang ke atas jenazah yang tidak berada di tempat sembahyang. Keharusan mengerjakan sembahyang ghaib adalah tertakluk kepada tiga perkara iaitu tempat keberadaan jenazah, jenazah selesai dimandikan dan kelayakan orang sembahyang jenazah.
Tempat Keberadaan Jenazah
Dari sudut tempat keberadaan jenazah, keharusan sembahyang ghaib itu tertakluk kepada dua keadaan berikut:
1. Mayat berada di luar negeri.
Hukum mengerjakan sembahyang ke atas jenazah yang ghaib iaitu jenazah yang tidak berada dalam negeri adalah harus berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengumumkan berita kematian an-Najasyi (Raja Habsyah) pada hari kematiannya (kepada para sahabat), (dan) Baginda (pergi) keluar ke tempat sembahyang, lalu Baginda membuat shaf dengan mereka dan bertakbîr sebanyak empat kali. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în menyebut:
Ertinya: Sah sembahyang ke atas jenazah yang ghaib dari negeri (tidak berada di dalam negeri), iaitu (seumpama) jenazah yang berada di tempat yang jauh dari negeri sekira-kira secara ‘urf ia tidak dinisbahkan kepadanya (negeri tersebut). (Pendapat ini) mengambil kira daripada kata az-Zarkasyi: “Sesungguhnya (kawasan) di luar sempadan (negeri) yang berdekatan dengannya (sempadan) adalah seperti (kawasan) di dalamnya (sempadan).”
Daripada perkataan para ulama di atas, dapat difahami bahawa sembahyang ghaib hanya harus dilaksanakan jika jenazah tidak berada di dalam negeri, dengan maksud jenazah tersebut berada jauh dari negeri orang yang hendak menyembahyangkannya yang secara ‘urfnya (kebiasaannya) tempat jenazah itu tidak dinisbahkan kepada negeri tersebut. Walau bagaimanapun, apabila tempat jenazah berada dan tempat orang yang mendirikan sembahyang jenazah letaknya berdekatan seumpama jenazah yang berada di luar negeri itu berdekatan dengan sempadan negeri, maka tidak harus mendirikan sembahyang ghaib ke atas jenazah tersebut kerana kedudukannya yang berdekatan itu adalah seumpama terletak dalam satu negeri secara ‘urf.
Menurut Imam ar-Ramli dan as-Sayyid Muhammad al-Bakri Rahimahumallâh ukuran berdekatan itu ialah yang pada lazimnya penduduk luar sempadan dan penduduk dalam sempadan negeri itu saling pinjam-meminjam barang antara satu sama lain. Menurut al-Asnawi Rahimahullâh pula ukuran kawasan yang berdekatan itu ialah kawasan yang terletak dalam lingkungan had al-ghauts iaitu had yang diwajibkan ke atas seseorang untuk mencari air sebelum diharuskan bertayammum. Menurut sebahagian ulama kadar tersebut adalah sekira-kira jarak lontaran anak panah.
2. Mayat berada dalam negeri.
Adapun jenazah yang berada dalam negeri walaupun besar keluasan negeri tersebut, tidak sah mengerjakan sembahyang ghaib ke atasnya kerana pada kebiasaannya mereka yang berada di dalam negeri yang sama dengan jenazah berada adalah mudah untuk menghadiri tempat jenazah tersebut.
Dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Adapun (jenazah) yang hadir di dalam negeri sekalipun besar (negeri itu), maka tidak (harus) disembahyangkan ke atasnya (sembahyang ghaib) kerana mudah untuk menghadirinya.
Dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn pula, as-Sayyid Muhammad al- Bakri Rahimahullâh ada menyebut:
Ertinya: Tidak sah sembahyang ke atas jenazah yang ghaib dari tempat kedudukan orang yang hendak bersembahyang di tempat itu, sedangkan dia (jenazah) hadir (berada) di dalam negeri sekalipun negeri itu besar kerana mudah menghadirinya, dan mereka menyamakannya (perkara tersebut) dengan (perkara) menjatuhkan hukuman ke atas orang yang berada di dalam negeri yang dia mampu menghadirinya (perbicaraan).
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa sembahyang ghaib tidak boleh dilakukan jika jenazah berada di dalam negeri yang sama dengan negeri orang yang menyembahyangkannya, sekalipun jarak di antara kedua-duanya adalah jauh kerana tidak berlaku kesukaran untuk seseorang itu menghadirinya berbanding jika jenazah berada di luar negeri.
Walau bagaimanapun dalam keadaan berlaku keuzuran untuk menghadiri jenazah yang berada dalam negeri seperti ditahan atau sakit, menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh sembahyang ghaib harus didirikan oleh orang yang menghadapi keuzuran tersebut, sebagaimana yang dinyatakannya dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan jika sesiapa yang berada di dalam negeri berkeuzuran untuk hadir (ke tempat jenazah berada), kerana ditahan (ditegah) atau sakit, tidak jauh (menurut tarjîhnya iaitu pendapat pilihannya) adalah harus yang demikian itu (dia mendirikan sembahyang ghaib).
Pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas dicenderungi oleh beberapa ulama asy-Syafi‘iyyah yang lain, antaranya Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam Mughnî al-Muhtâj dan Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Mu‘în.
Selain keuzuran untuk menghadiri jenazah kerana ditahan (ditegah) atau sakit sebagaimana disebut di atas, sembahyang ghaib ke atas jenazah yang berada di dalam negeri juga diharuskan apabila seseorang itu tidak dapat menghadirinya kerana adanya masyaqqah (kesukaran) yang bersangatan dan tidak tertanggung pada kebiasaannya.
Asy-Syaikh Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah al- Bujairimi ‘ala al-Manhaj menyebut:
Maksudnya: Al-muttajah (pendapat yang lebih dicenderungi) bahawasanya yang diambil kira ialah kesukaran dan ketiadaannya (kesukaran), sekira-kira (ada) kesukaran untuk hadir walaupun di dalam negeri kerana besarnya (negeri itu) dan seumpamanya seperti sakit dan ditahan sah sembahyang (ghaib), dan sekira-kira tidak (ada kesukaran menghadiri) walaupun di luar sempadan (negeri), tidak sah (sembahyang ghaib).
Maka, dengan mengambil kira pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas, sembahyang jenazah ghaib di dalam negeri adalah harus dilakukan oleh orang yang menghadapi kesukaran untuk menghadiri jenazah tersebut seumpama ditahan dan sakit. Namun, jika tidak ada sebarang kesukaran untuk hadir ke tempat jenazah tersebut disembahyangkan, sekalipun negeri itu besar atau sekalipun jenazah itu berada pada jarak perjalanan yang jauh, maka tidak harus baginya mendirikan sembahyang ghaib ke atas jenazah tersebut.
Jenazah Selesai Dimandikan
Sembahyang ghaib itu hanya sah didirikan setelah mengetahui dengan yakin atau zhann (sangkaan) bahawa jenazah tersebut telah selesai dimandikan. Dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn disebut:
Ertinya: Dan tidak boleh tidak dalam perkara sah sembahyang ke atas (jenazah) yang ghaib hendaklah dia tahu (yakin) atau zhann (sangkaan) bahawa sesungguhnya (jenazah) telah (selesai) dimandikan. Sekiranya belum, maka tidak sah (sembahyang jenazah itu).
Kelayakan Orang Sembahyang Jenazah
Sembahyang ghaib hanya sah didirikan oleh orang yang layak menyembahyangkannya bagi menunaikan fardhu Kifayah ketika waktu kematiannya sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan (menurut pendapat) yang ashah, pengkhususan sah (sembahyang jenazah yang ghaib itu ialah) bagi sesiapa yang terdiri daripada orang yang mempunyai kelayakan menunaikan kefardhuannya (sembahyang jenazah) pada waktu berlaku kematian, iaitu hendaklah pada ketika itu dia seorang mukallaf, beragama Islam dan suci (daripada haidh dan nifâs).
Kaifiyyah Sembahyang Ghaib
Kaifiyyah sembahyang ghaib adalah sama seperti kaifiyyah sembahyang jenazah bagi mayat yang hadir kecuali beberapa perkara berkaitan dengan niat.
Menurut asy-Syaikh al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah al-Bujairimi bahawa niat sembahyang ke atas jenazah yang ghaib, hendaklah ditentukan jenazah tersebut, seperti menyatakan nama, gelaran atau nasabnya. Beliau menyebut:
Ertinya: Dan (menurut pendapat) yang mu‘tamad, sesungguhnya dalam (sembahyang) ghaib mesti ada penentuannya (nama, gelaran atau nasab jenazah).
Sebagai contoh lafaz niat dengan menentukan jenazah lelaki:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib (Fulan bin Fulan) empat takbîr fardhu Kifayah kerana Allah Ta‘ala.
Walau bagaimanapun sekiranya seseorang itu mengerjakan sembahyang ghaib secara berjemaah, adalah memadai bagi ma’mum berniat dengan niat sembahyang ke atas jenazah yang disembahyangkan oleh imam. Contoh lafaz niatnya:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas siapa yang disembahyangkan oleh imam empat takbîr fardhu Kifayah menjadi ma’mum kerana Allah Ta‘ala.
Menyebut mengenai dengan niat ini, ada dijelaskan sebelumnya bahawa sembahyang ghaib tidak harus dilaksanakan melainkan telah diketahui secara yakin atau zhann (sangkaan) bahawa jenazah telahpun dimandikan. Akan tetapi sekiranya seseorang itu tidak pasti sama ada jenazah telah selesai dimandikan atau belum, maka harus hukumnya dia menggantungkan niat sembahyang ghaib dengan kesucian jenazah (telah dimandikan atau ditayammumkan). Contoh lafaz niatnya:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib (Fulan bin Fulan) jika dia telah disucikan empat takbîr fardhu Kifayah kerana Allah Ta‘ala.
Selain itu juga, orang yang melakukan sembahyang ghaib hendaklah tetap menghadap qiblat walaupun negeri tempat jenazah itu tidak berada di kedudukan qiblat orang yang sembahyang ghaib.
Berikut adalah kaifiyyah sembahyang ghaib secara ringkas:
1. Takbîratul-ihrâm berserta niat.
Contoh lafaz-lafaz niat:
a. Lafaz niat menjadi imam bagi jenazah lelaki yang ghaib:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib (Fulan bin Fulan) empat takbîr fardhu Kifayah menjadi imam kerana Allah Ta‘ala. b. Lafaz niat menjadi imam bagi jenazah perempuan yang ghaib:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib (Fulanah binti Fulan) empat takbîr fardhu Kifayah menjadi imam kerana Allah Ta‘ala. c. Lafaz niat menjadi ma’mum bagi jenazah lelaki yang ghaib:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib (Fulan bin Fulan) empat takbîr fardhu Kifayah menjadi ma’mum kerana Allah Ta‘ala. d. Lafaz niat menjadi ma’mum bagi jenazah perempuan yang ghaib:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib (Fulanah binti Fulan) empat takbîr fardhu Kifayah menjadi ma’mum kerana Allah Ta‘ala. e. Lafaz niat sembahyang secara bersendirian bagi jenazah lelaki yang ghaib:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib (Fulan bin Fulan) empat takbîr fardhu Kifayah kerana Allah Ta‘ala. f. Lafaz niat sembahyang secara bersendirian bagi jenazah perempuan yang ghaib:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib (Fulanah binti Fulan) empat takbîr fardhu Kifayah kerana Allah Ta‘ala. 2. Membaca surah al-Fâtihah selepas takbîratul-ihrâm. 3. Takbîr kedua diikuti dengan membaca selawat. Sekurang-kurang lafaz selawat ialah:
Ertinya: Ya Allah! Limpahkanlah selawat ke atas (Nabi) Muhammad. Sunat pula membaca selawat dengan menyebut ahli keluarga Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Ertinya: Ya Allah! Limpahkanlah selawat ke atas (Nabi) Muhammad dan ke atas ahli keluarga (Nabi) Muhammad. Walau bagaimanapun selawat yang afdhal dibaca ialah selawat al-Ibrahimiyah iaitu:
Ertinya: Ya Allah! Limpahkanlah selawat ke atas Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga Sayyidina Muhammad, sebagaimana Engkau telah limpahkan selawat ke atas Sayyidina Ibrahim, dan ke atas ahli keluarga Sayyidina Ibrahim. Berkatilah Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga Sayyidina Muhammad, sebagaimana Engkau telah berkati Sayyidina Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Sayyidina Ibrahim. Pada sekalian alam, Engkaulah Yang Maha Terpuji dan Maha Mulia.
4. Takbîr ketiga diikuti dengan do‘a untuk jenazah.
Lafaz do‘a antaranya sebagaimana yang dibaca oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullâh iaitu:
Ertinya: Ya Allah, ampunkanlah dia dan rahmatilah dia, afiatkanlah dia, maafkanlah dia, muliakanlah tempatnya (di akhirat), luaskanlah kuburnya, mandikanlah dia dengan air salji dan air embun, bersihkanlah dia daripada dosa-dosa sebagaimana dibersihkan pakaian putih daripada kotoran. Gantikanlah baginya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, pasangan yang lebih baik daripada pasangannya, masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah dia daripada azab kubur dan fitnahnya dan daripada azab neraka.
Manakala do‘a untuk jenazah perempuan lafaznya ialah:
Ertinya: Ya Allah, ampunkanlah dia dan rahmatilah dia, afiatkanlah dia, maafkanlah dia, muliakanlah tempatnya (di akhirat), luaskanlah kuburnya, mandikanlah dia dengan air salji dan air embun, bersihkanlah dia daripada dosa-dosa sebagaimana dibersihkan pakaian putih daripada kotoran. Gantikanlah baginya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, pasangan yang lebih baik daripada pasangannya, masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah dia daripada azab kubur dan fitnahnya dan daripada azab neraka.
Sekurang-kurang do‘a bagi jenazah lelaki ialah:
Ertinya: Ya Allah! Ampuni dan rahmati dia.
Sekurang-kurang do‘a bagi jenazah perempuan ialah:
Ertinya: Ya Allah! Ampuni dan rahmati dia.
Do‘a di atas boleh dibacakan bagi jenazah kanak-kanak dan boleh ditambah dengan lafaz do‘a sebagaimana berikut:
Bagi jenazah kanak-kanak lelaki:
Ertinya: Ya Allah! Jadikan dia sebagai suatu pahala pendahuluan bagi kedua ibu bapanya, (pahala) taruhan dan simpanan, beratkanlah dengannya timbangan (amal kebajikan) kedua (ibu bapanya), curahkanlah kesabaran pada hati kedua (ibu bapanya), janganlah Engkau menguji kedua (ibu bapanya) selepasnya (dengan perkara maksiat), dan janganlah Engkau menghalangi kedua (ibu bapanya) daripada mendapat pahalanya.
Manakala bagi jenazah kanak-kanak perempuan:
Ertinya: Ya Allah! Jadikan dia sebagai suatu pahala pendahuluan bagi kedua ibu bapanya, (pahala) taruhan dan simpanan, beratkanlah dengannya timbangan (amal kebajikan) kedua (ibu bapanya), curahkanlah kesabaran pada hati kedua (ibu bapanya), janganlah Engkau menguji kedua (ibu bapanya) selepasnya (dengan perkara maksiat), dan janganlah Engkau menghalangi kedua (ibu bapanya) daripada mendapat pahalanya.
5. Takbîr keempat dan disunatkan membaca do‘a.
Antara lafaz do‘anya ialah:
Ertinya: Ya Allah! Janganlah Engkau halang kami dari mendapat pahalanya, janganlah Engkau menguji kami selepasnya dan ampunkanlah kami dan dia.
Jika jenazah itu perempuan:
Ertinya: Ya Allah! Janganlah Engkau halang kami dari mendapat pahalanya, janganlah Engkau menguji kami selepasnya dan ampunkanlah kami dan dia.
6. Memberi salam.
Berdasarkan penjelasan di atas, adalah difahami bahawa sembahyang ghaib hanya harus bagi jenazah yang berada di luar negeri. Manakala sembahyang ghaib bagi jenazah yang berada di dalam negeri hanya diharuskan bagi orang yang menghadapi kesukaran yang tidak tertanggung olehnya pada kebiasaannya kerana sakit atau kerana ditahan (ditegah).
Selain itu, sembahyang ghaib itu hanya boleh dilakukan setelah mengetahui dengan yakin atau zhann (sangkaan) bahawa jenazah telah selesai disucikan sama ada dimandikan atau ditayammumkan. Sembahyang ghaib hanya boleh dikerjakan oleh orang-orang yang layak menyembahyangkannya pada waktu kematian iaitu hendaklah dia seorang Islam, mukallaf dan suci daripada haidh dan nifâs.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10252
دليل الألوان
