Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Masbûq Ketika Mendapati Imam Duduk Tahiyyat Akhir

الجواب

Sembahyang berjemaah, sama ada ia dilakukan oleh lelaki atau perempuan, mempunyai kelebihan dan keistimewaan serta menjanjikan ganjaran yang sangat menguntungkan. Antaranya ialah ganjaran sebanyak dua puluh tujuh darjat dan menurut sebahagian ulama maksud dua puluh tujuh darjat itu ialah dua puluh tujuh sembahyang. Ganjaran yang dijanjikan ini tsabit berdasarkan hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyang berjemaah adalah afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mereka yang mengetahui akan kelebihan serta fadhilat ini, pasti akan berusaha untuk merebut peluang melaksanakan sembahyang secara berjemaah lebih-lebih lagi di masjid.

Menyentuh mengenai sembahyang berjemaah di masjid, adakalanya ketika seseorang masuk ke masjid untuk sembahyang berjemaah, dia mendapati bahawa imam dan para jemaah sedang berada pada rakaat terakhir umpamanya duduk tahiyyat akhir. Dalam keadaan seperti ini, dorongan untuk segera menunaikan sembahyang menyertai imam sudah pasti lebih kuat kerana tidak mahu kerugian akibat daripada terlepas peluang serta fadhilat sembahyang berjemaah itu. Maka, berikut dibawakan penjelasan mengenai perkara yang perlu diketahui dan dilakukan ketika mendapati imam sudah duduk tahiyyat akhir.

Memperolehi Fadhilat Berjemaah

Peluang untuk sembahyang berjemaah bersama imam dan memperolehi fadhilatnya masih ada sekalipun imam sudah berada dalam duduk tahiyyat akhir.

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh fadhilat berjemaah akan tetap diperolehi oleh ma’mum yang masbûq selagi imam belum selesai mengucapkan salam yang pertama dalam sembahyang. Maksud selesai memberi salam itu ialah sebelum ucapan salam imam sampai kepada huruf ‘mim’ ( ( pada kalimah ‘alaikum ( ). Dalam keadaan sedemikian, ma’mum tetap memperolehi fadhilat berjemaah sekalipun sejurus sahaja dia sempurna melafazkan takbîratul-ihrâm, imam pun memberi salam yang pertama dalam sembahyang dan sekalipun ma’mum tersebut tidak sempat duduk tahiyyat akhir bersama imam.

Tetapi jika lafaz takbîratul-ihrâm ma’mum selesai beriringan dengan selesainya salam imam (menyebut huruf ‘mim’ pada kalimah ‘alaikum) dalam salam pertamanya, maka ma’mum tersebut tidak mendapat fadhilat berjemaah kerana sembahyang imam telah selesai dan sembahyang ma’mum dikira sebagai sembahyang secara sendirian dan bukan berjemaah.

Ini bermakna bahawa sesiapa yang menyertai imam pada mana-mana bahagian daripada sembahyang imam, sama ada pada awal, pertengahan ataupun penghujung sembahyang imam, maka dia (ma’mum yang masbûq) tetap memperolehi fadhilat berjemaah dan ganjaran pahala yang dijanjikan. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa mereka yang mengikut imam dari awal sembahyang imam (ma’mum muwâfiq), iaitu bermula dari takbîratul-ihrâm, akan mendapat kelebihan atau kebaikan yang lebih banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding ma’mum masbûq yang mengikut imam hanya pada sebahagian sembahyang imam sahaja.

Tatacara Sembahyang Mengikut Imam yang Sedang Duduk Tahiyyat Akhir

Tatacara sembahyang berjemaah mengikut imam yang sedang duduk tahiyyat akhir ialah ma’mum yang masbûq wajib menyempurnakan lafaz takbîratul-ihrâm yang diiringi dengan niat dalam keadaan berdiri.

Setelah sempurna melafazkan takbîratul-ihrâm dalam keadaan berdiri, ma’mum yang masbûq akan tertakluk pada dua keadaan berikut:

1. Ma’mum yang sempat duduk tahiyyat akhir bersama imam.

Setelah sempurna melafazkan takbîratul-ihrâm dalam keadaan berdiri, ma’mum yang masbûq wajib berpindah kepada rukun yang sedang dilakukan oleh imam, iaitu duduk tahiyyat akhir, tanpa perlu melafazkan takbîr intiqâlât dan juga tidak dituntut untuk membaca do‘a iftitâh. Sekiranya dia terus sahaja dalam keadaan berdiri dan tidak mengikut imam duduk tahiyyat akhir sehingga imam memberi salam yang pertama, batal sembahyangnya jika perbuatan itu dilakukan dengan sengaja dan dia mengetahui hukum batalnya.

Hukum duduk tahiyyat akhir bagi ma’mum yang masbûq adalah wajib kerana mengikut perbuatan imam, akan tetapi hukum membaca tasyahhud pada tahiyyat akhir baginya adalah sunat. Dia juga tidak disunatkan untuk duduk dengan cara tawarruk (duduk tahiyyat akhir) melainkan apabila dia tiba pada duduk tahiyyat akhir dalam sembahyangnya sendiri.

Selain itu, dia juga diwajibkan untuk menunggu dan tidak bangkit berdiri melainkan setelah imam selesai memberi salam yang pertama. Walau bagaimanapun sunat baginya menunggu sehingga imam selesai memberi salam yang kedua dalam sembahyang sebelum dia bangkit untuk menyempurnakan rakaat sembahyangnya.

Jika imam memberi salam sejurus selepas ma’mum yang masbûq duduk tahiyyat akhir, maka setelah ma’mum berdiri semula untuk menyempurnakan sembahyangnya, dia juga tidak dituntut untuk membaca do‘a iftitâh kerana tempat membaca do‘a iftitâh, iaitu sejurus selepas takbîratul-ihrâm telahpun luput.

2. Ma’mum tidak sempat duduk tahiyyat akhir bersama imam.

Dalam keadaan ma’mum tidak sempat duduk tahiyyat akhir bersama imam, umpamanya sejurus selepas ma’mum sempurna melafazkan takbîratul-ihrâm dalam keadaan berdiri imam pun memberi salam dalam sembahyang, maka wajib ma’mum tersebut terus sahaja dalam keadaan berdiri dan sunat baginya membaca do‘a iftitâh dan seterusnya menyempurnakan sembahyangnya. Sekiranya dia duduk, maka batal sembahyangnya jika perbuatan duduk itu dilakukan dengan sengaja dan dia mengetahui hukum batalnya.

Perkara yang Afdhal Dilakukan

Sepertimana yang dijelaskan di atas, ma’mum yang mengikuti sembahyang berjemaah bermula dari takbîratul-ihrâm imam akan mendapat fadhilat pahala berjemaah yang penuh dan sempurna. Menurut pendapat sebahagian fuqahâ’, apabila seorang mendapati sembahyang berjemaah sedang didirikan dan telahpun berlalu sebahagiannya, pada ketika itu dia juga mengharap dengan sangkaan yang kuat akan kehadiran orang lain agar dia dapat mendirikan sembahyang tersebut keseluruhannya secara berjemaah di dalam waktunya, maka afdhal dia menunggu jemaah yang lain itu dan mengakhirkan sembahyangnya.

Perkara ini disebut oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al- Muhtâj:

Ertinya: Jika (keadaan) membolehkannya mendapat sebahagian (sembahyang secara) jemaah dan dia mengharap (ada lagi) jemaah yang lain, maka afdhal (baginya) menunggunya (jemaah lain) untuknya memperolehi kesempurnaan fadhilatnya (sembahyang berjemaah) secara penuh, dan (menurut) pendapat yang zhâhir bahawa situasinya itu (hukum afdhal menunggu) adalah selama mana tidak luput fadhilat awal waktu atau waktu al-ikhtiyâr dengan sebab menunggu (kehadiran) mereka, (adanya) harapan dan keyakinan (dalam perkara menunggu kehadiran mereka) adalah sama dalam perkara tersebut (afdhal menunggu).

Oleh yang demikian, sekiranya dia mengharap, sama ada dengan kuat sangkaannya (ghâlib zhann), ataupun dia yakin kehadiran individu atau jemaah lain yang akan mendirikan sembahyang secara berjemaah dalam waktu yang disebutkan, maka afdhal baginya mengakhirkan sembahyangnya untuk menunggu jemaah lain.

Sekiranya dia takut dengan memilih untuk menunggu kehadiran jemaah lain itu akan menyebabkan sembahyang yang akan didirikan bersama mereka meluputkan fadhilat sembahyang di awal waktu atau waktu al-ikhtiyâr, maka dalam keadaan ini lebih utama baginya menyertai sembahyang berjemaah bersama imam yang sedia ada, sekalipun dia yakin akan kehadiran mereka.

Dalam perkara masbûq ketika mendapati imam sudah di pertengahan sembahyangnya dalam keadaan dia mengharap dengan sangkaan yang kuat kehadiran jemaah lain selepas selesai sembahyang imam tersebut, maka bagi orang yang hanya mahu melakukan sembahyang sekali sahaja dan tidak mahu mengulangi sembahyangnya adalah afdhal dia menunggu kehadiran jemaah lain.

Namun sekiranya perbuatan mengulangi sembahyang tersebut tidak menjadi halangan baginya, maka afdhal baginya sembahyang mengikut imam yang sedia ada dan kemudian mengulangi sembahyang tersebut bersama jemaah yang kedua.

Perkara afdhal menunggu kehadiran jemaah yang dijelaskan di atas adalah dengan syarat perbuatan menunggu itu tidak akan meluputkan fadhilat sembahyang di awal waktu atau waktu al-ikhtiyâr.

Sebagai kesimpulan, dalam situasi seseorang yang mendapati imam sedang duduk tahiyyat akhir dalam sembahyang, peluang untuknya sembahyang bersama imam dan memperolehi fadhilat berjemaah masih ada, iaitu selagi imam belum selesai mengucapkan salam yang pertama dalam sembahyang.

Walau bagaimanapun jika kuat sangkaannya atau dia yakin akan kehadiran jemaah lain, maka afdhal dia menunggu kehadiran mereka untuk mendapat fadhilat sembahyang berjemaah secara sempurna bersama mereka dari awal takbîratul-ihrâm imam hingga selesai sembahyang, dengan syarat sembahyang bersama mereka tidak akan meluputkan fadhilat sembahyang di awal waktu atau waktu al-ikhtiyâr. Tetapi jika sembahyang dengan mereka itu akan meluputkan fadhilat sembahyang di awal waktu atau waktu al-ikhtiyâr, maka adalah afdhal dia mengikut imam yang awal dan kemudian sunat baginya mengulang sembahyang tersebut jika ada jemaah lain yang datang kemudian.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10258

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص