Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Beberapa Perkara Yang Disunatkan Ke Atas Imam Ketika Sembahyang Berjemaah

الجواب

Sembahyang berjemaah merupakan salah satu syi‘âr Islam. Sembahyang berjemaah itu mempunyai kelebihan dari sudut ganjaran pahala sehingga disebut oleh Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebanyak dua puluh tujuh kali ganda berbanding sembahyang seorang diri. Baginda sendiri tekun mengamalkan sembahyang berjemaah bersama para sahabat Ridhwânullâh ‘alaihim ajma‘în. Sembahyang berjemaah itu dilakukan paling kurang oleh dua orang iaitu seorang imam dan seorang ma’mum.

Kedudukan seorang imam dalam sembahyang berjemaah sangat penting kerana sifatnya sebagai ketua kepada ma’mum dalam menunaikan ibadat sembahyang.

Seorang imam bukan hanya perlu mengetahui perkara-perkara yang wajib dilakukan dalam sembahyang berjemaah, tetapi imam juga perlu tahu perkara-perkara yang sunat dilakukan dalam sembahyang berjemaah. Antara perkara yang disunatkan ke atas imam dalam sembahyang berjemaah ialah:

1. Berpakaian dan berketerampilan yang elok.

Sunat bagi imam berpakaian dan berketerampilan elok ketika sembahyang berjemaah. Perkara tersebut lebih dituntut ke atasnya berbanding ma’mum sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Mawardi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Hâwi al-Kabîr:

Ertinya: (Tuntutan) Disunatkan bagi imam untuk berketerampilan elok dan berpakaian cantik adalah melebihi (tuntutan) disunatkan bagi ma’mum kerana dia (imam) adalah ikutan.

Perkataan Imam al-Mawardi di atas adalah bersumberkan kepada kata Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh yang menyebut:

Ertinya: Dan aku lebih menyukai bagi seseorang imam itu untuk berketerampilan elok, memakai ‘imâmah (seperti serban) dan memakai jubah. Sesungguhnya dikatakan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memakai ‘imamah dan memakai jubah.

2. Tidak bangkit berdiri sehingga selesai iqâmah.

Sunat bagi imam untuk tidak bangkit berdiri bagi memulakan sembahyang berjemaah melainkan setelah selesai iqâmah dilaungkan kerana waktu iqâmah itu adalah waktu yang digunakan untuk menjawab seruan iqâmah. Manakala waktu untuk memulakan sembahyang adalah setelah selesai iqâmah. Perkara tidak bangkit berdiri sebelum selesai iqâmah ini juga disunatkan ke atas ma’mum.

3. Menyeru untuk meluruskan dan merapatkan shaf.

Sebelum mengangkat takbîratul-ihrâm imam disunatkan menyeru kepada ma’mum untuk meluruskan dan merapatkan shaf. Bermula dengan menoleh ke sebelah kanannya dengan berkata:

Ertinya: Luruskanlah shaf, semoga kamu dirahmati Allah.

Atau berkata:

Ertinya: Luruskanlah shaf-shaf kamu.

Kemudian menoleh ke kiri sambil menyeru seruan yang sama kepada ma’mum yang berada di sebelah kirinya. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Luruskanlah shaf-shaf kamu. Sesungguhnya meluruskan shaf-shaf itu daripada kesempurnaan sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maksud meluruskan shaf di atas adalah termasuk merapatkan shaf yang jarang dan memenuhi shaf yang kosong.

4. Berniat menjadi imam.

Disunatkan bagi imam berniat menjadi imam dalam sembahyang berjemaah supaya imam mendapat fadhilat berjemaah. Imam tidak mendapat fadhilat berjemaah jika dia tidak berniat menjadi imam. Niat menjadi imam tidak menjadi syarat dalam kesahan sembahyang berjemaah melainkan dalam sembahyang Jumaat.

5. Melafazkan takbîr dan tasmî‘ dengan jahr.

Disunatkan bagi imam melafazkan takbîr iaitu dengan jahr (suara nyaring) semasa mengangkat takbîratul-ihrâm dan takbîr intiqâlât (perpindahan dari satu rukun ke satu rukun yang lain) bagi membolehkan ma’mum mendengarnya.

Selain itu, disunatkan juga untuk melafazkan tasmî‘ iaitu dengan jahr supaya dapat didengar oleh ma’mum dan mereka dapat mengetahui waktu imam berpindah daripada perbuatan ruku‘ ke perbuatan i‘tidâl. Manakala ucapan tahmîd iaitu pula dilafazkan dengan isrâr (suara perlahan) kerana ia merupakan zikir semasa i‘tidâl, sebagaimana sunat membaca tasbîh ketika ruku‘ dan sujud dengan isrâr.

6. Saktah pada tempat-tempat tertentu.

Disunatkan bagi imam untuk saktah iaitu berhenti diam pada empat tempat dalam sembahyang jahriyyah )sembahyang yang disunatkan padanya membaca secara jahr( iaitu:

a) Selepas takbîratul-ihrâm. b) Di antara bacaan dan c) Di antara dan bacaan surah. d) Selepas bacaan surah dan sebelum takbîr untuk melakukan ruku‘.

Sungguhpun terdapat empat tempat yang disunatkan saktah dalam sembahyang sebagaimana yang disebut di atas, ini tidak bererti tempat yang disunatkan untuk saktah itu kesemuanya kosong daripada bacaan.

Saktah selepas takbîratul-ihrâm disebut sebagai saktah majâzi (kiasan atau bukan sebenarnya). Saktah pada tempat ini hakikatnya diisi dengan bacaan do‘a al-iftitâh secara isrâr (tidak didengar oleh orang lain) seolah-olah pembacanya itu diam atau tidak membaca sebarang bacaan.

Selain itu saktah di antara dan bacaan surah juga disebut sebagai saktah majâzi. Dalam tempoh saktah majâzi ini iaitu sekira-kira kadar tempoh ma’mum membaca surah al-Fâtihah, disunatkan ke atas imam berzikir, berdo‘a atau membaca surah yang hendak dibacanya dengan isrâr. Membaca surah adalah lebih utama daripada membaca zikir dan do‘a. Apabila selesai tempoh saktah tersebut, imam yang membaca surah secara isrâr itu menyambung bacaannya secara jahr dengan menjaga susunan ayat atau surah di dalam Mushhâf.

Menurut Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, berhenti diam dalam konteks saktah pada tempat ini adalah bermaksud tidak membaca bacaan secara jahr dan bukan bermaksud berhenti diam tanpa membaca sebarang bacaan sekalipun pada zahirnya ia disebut saktah atau berhenti diam. Bahkan ketika itu imam adalah dituntut untuk membaca zikir atau bacaan dalam tempoh saktah ini sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

Adapun saktah pada tempat di antara bacaan dengan dan saktah di antara bacaan surah dengan takbîr untuk ruku‘, kedua-duanya adalah bermaksud diam sebenar iaitu imam hanya dituntut untuk berhenti diam sebentar sahaja.

Selain disunatkan bagi imam, perkara saktah ini juga disunatkan ke atas semua orang yang sembahyang kecuali saktah selepas dan sebelum membaca surah kerana saktah tersebut khusus bagi imam ketika sembahyang jahriyyah.

7. Menyebut dengan jahr.

Disunatkan bagi imam menyebut dengan jahr selepas membaca surah al- Fâtihah dalam setiap sembahyang jahriyyah.

8. Meringankan bacaan sembahyang.

Disunatkan bagi imam meringankan bacaan-bacaan dalam sembahyang namun dia tetap dituntut untuk menyempurnakan perbuatan-perbuatan dalam sembahyang iaitu tidak meninggalkan perkara-perkara rukun, syarat, sunat ab‘adh dan sunat hai’ah dalam sembahyang kerana adakalanya terdapat dalam kalangan ma’mum itu orang yang lemah, kurang sihat atau mempunyai kepentingan lain yang perlu diuruskan dengan segera.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seorang daripada kamu mendirikan sembahyang )menjadi imam) kepada orang, maka hendaklah dia meringankan (bacaan-bacaannya). Sesungguhnya di kalangan orang itu (ada) orang yang lemah, orang yang sakit dan orang yang mempunyai hajat. (Hadits riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu menjadi imam kepada kelompok jemaah yang redha dengan bacaan-bacaan yang panjang seperti memanjangkan zikir ketika ruku‘ atau sujud dan tidak ada orang lain yang ikut berjemaah selain mereka, maka tidak makruh bahkan sunat ke atas imam memanjangkan bacaannya.

9. Menunggu orang yang masbûq.

Disunatkan bagi imam untuk menunggu orang yang masbûq apabila imam merasakan orang yang masbûq itu mahu menyertainya ketika dia sedang ruku‘. Dengan syarat orang yang masbûq itu hendaklah sudah berada dalam tempat sembahyang dan tempoh menunggu itu tidak terlalu lama. Tujuan menunggu pula hendaklah dengan tujuan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bukan kerana mengharap kasih daripada orang yang masbuq dan kerana membeza-bezakan di antara jemaah yang masuk.

Demikian juga disunatkan bagi imam untuk menunggu orang yang masbûq seperti di atas ketika imam sedang duduk tahiyyat akhir.

Perbuatan menunggu seperti di atas disunatkan kerana memberi peluang orang yang masbûq itu mendapat satu rakaat apabila dia sempat melakukan perbuatan ruku‘ bersama imam dan supaya orang yang masbûq itu mendapat pahala jemaah apabila dia sempat melakukan perbuatan tahiyyat akhir bersama imam. Adapun menunggu orang yang masbûq ketika perbuatan selain ruku‘ dan tahiyyat akhir pula adalah tidak disunatkan kerana tidak ada keperluan padanya.

10.Berniat memberi salam kepada ma’mum.

Selain disunatkan bagi imam berniat memberi salam kepada sesiapa yang berada di sebelah kanannya daripada kalangan malaikat, jin Islam dan orang Islam ketika melakukan salam pertama, imam juga disunatkan berniat memberi salam kepada ma’mum yang berada di sebelah kanannya. Manakala ketika melakukan salam yang kedua, disunatkan juga bagi imam berniat memberi salam kepada ma’mum yang berada di sebelah kirinya di samping berniat memberi salam kepada sesiapa yang berada di sebelah kirinya daripada kalangan malaikat, jin Islam dan orang Islam.

11.Melafazkan salam dengan jahr.

Disunatkan bagi imam melafazkan salam iaitu atau dengan jahr.

12.Berzikir dan berdo‘a selepas sembahyang.

Disunatkan bagi imam berzikir dan berdo‘a setelah selesai melakukan sembahyang dengan bacaan isrâr melainkan jika imam bertujuan untuk mengajarkan zikir dan do‘a kepada ma’mum, maka dia boleh membacanya dengan jahr. Dalam do‘a secara berjemaah, disunatkan bagi imam untuk membaca do‘a dengan menggunakan ganti nama “kami” dan makruh baginya membaca do‘a dengan ganti nama yang mengkhususkan bagi dirinya sahaja seperti lafaz “saya”.

13.Menghadap ma’mum ketika berzikir dan berdo‘a.

Disunatkan bagi imam menghadap ma’mum ketika berzikir dan berdo‘a sejurus selepas sembahyang berjemaah melainkan sembahyang fardhu Shubuh, ‘Ashar dan Maghrib disunatkan menghadap ma’mum selepas membaca:

Ertinya: Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa tiada sekutu bagiNya, yang memiliki semua kerajaan (di langit dan di bumi) dan bagiNya segala kepujian, Dialah Yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan (dengan (kekuasaanNya) dan Dialah Yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.

Zikir ini sunat dibaca ketika dalam keadaan masih duduk tahiyyat akhir dan sebelum bercakap-cakap. Cara yang afdhal menghadap ma’mum itu ialah dengan menjadikan bahu kanannya ke arah ma’mum sementara bahu kirinya ke arah mihrab.

14.Berpindah tempat sebelum mendirikan sembahyang lain.

Disunatkan bagi imam berpindah dari tempatnya mendirikan sembahyang berjemaah ke tempat lain apabila ingin mendirikan sembahyang sunat atau fardhu yang lain secara bersendirian selepas itu. Perbuatan ini bagi memperbanyakkan lagi tempat-tempat sujud yang akan menjadi saksi baginya pada Hari Kiamat.

Perkara sunat berpindah tempat sembahyang ini juga disunatkan bagi semua orang.

15.Meminta istikhlâf.

Disunatkan bagi imam meminta ma’mum yang mampu sembahyang berdiri menggantikannya sebagai imam (istikhlâf) apabila dia tidak mampu untuk melakukan sembahyang dalam keadaan berdiri disebabkan sakit atau lemah.

16.Mengakhirkan sujud tilâwah.

Dalam sembahyang sirriyyah iaitu sembahyang yang bacaannya secara isrâr seperti sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar disunatkan bagi imam mengakhirkan atau menunda sujud tilâwah sehingga selesai sembahyang berjemaah supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan ma’mum yang sedang mengikuti sembahyang jemaah itu.

Sujud tilâwah tersebut sunat dilakukan setelah selesai sembahyang berjemaah dengan syarat jarak di antara salam dan sujud tilâwah itu tidak lama. Sujud tilâwah akan luput jika berlalu jarak masa yang lama sekira-kira kadar sembahyang dua rakaat sekalipun terlambat melakukannya itu disebabkan keuzuran.

17.Membaca surah-surah tertentu.

Disunatkan bagi imam membaca keseluruhan surah al-Jumu‘ah pada rakaat pertama sembahyang Jumaat selepas membaca surah al-Fâtihah dan keseluruhan surah al-Munâfiqûn pada rakaat kedua atau membaca surah al-A‘lâ pada rakaat pertama dan surah al-Ghâsyiah pada rakaat kedua.

Demikian beberapa perkara yang disunatkan ke atas imam ketika melakukan sembahyang berjemaah. Perkara-perkara sunat di atas akan menambah kesempurnaan sembahyang berjemaah apabila dilaksanakan dengan baik.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10266

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص