Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Meningkatkan Ibadat Di Sepuluh Terakhir Ramadhan

الجواب

Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia dan bulan yang mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan RasulNya. Oleh kerana itu, ibadah yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan itu mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Daripada Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkhutbah:

Maksudnya: “Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu kerja kebajikan di dalamnya (bulan Ramadhan), samalah dia seperti orang yang menunaikan satu fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu fardhu di dalam bulan Ramadhan, samalah seperti orang yang mengerjakan tujuh puluh fardhu di bulan yang lain.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri di dalam bulan Ramadhan meningkatkan berbagai-bagai bentuk ibadah, lebih-lebih lagi di sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Bahkan diriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan, Baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadat yang mana perkara ini tidak dilakukan oleh Baginda di bulan-bulan yang lain. Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersungguh-sungguh (mengerjakan amal ibadat) di puluhan yang terakhir (bulan Ramadhan), apa yang baginda tidak kerjakan di puluhan terakhir (bulan-bulan) yang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun sebab penekanan dan peningkatan yang dilakukan oleh Rasulullah dalam melakukan ibadat di sepuluh terakhir bulan Ramadhan ini ialah ada hubungkaitnya dengan satu malam iaitu Lailatulqadar.

Lailatulqadar adalah suatu malam yang paling utama di antara malam-malam yang ada di bulan Ramadhan bahkan sepanjang tahun. Ia adalah malam yang penuh keberkatan dan mempunyai keistimewaan. Melakukan amal ibadat di malam tersebut adalah lebih baik ganjarannya daripada melakukan amal ibadat selama seribu bulan. Firman Allah di dalam surah Al-Qadr, ayat 3:

Tafsirnya: “Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Manakala diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa mengerjakan ibadat di malam Lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Menurut jumhûr ulama, Lailatulqadar itu berlaku di salah satu malam sepuluh yang terakhir bulan Ramadhan dan besar kemungkinan ianya berlaku pada malam berangka ganjil di antara malam-malam yang sepuluh itu. Ini adalah berdasarkan daripada riwayat Abu Sa‘id Al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Maka kamu carilah Lailatulqadar itu pada sepuluh terakhir (bulan Ramadhan) dan carilah ia pada tiap- tiap malam yang ganjil.” (Hadis riwayat Bukhari)

Oleh kerana itu, apabila masuk sahaja sepuluh terakhir bulan Ramadhan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meningkatkan dengan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan berbagai-bagai ibadat bagi menyambut kedatangan Lailatulqadar itu.

Di antara perkara-perkara yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di sepuluh terakhir bulan Ramadhan sebagai menyambut kedatangan Lailatulqadar ialah melakukan i‘tikâf. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata:

Maksudnya: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam beri‘tikâf di sepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

I‘tikâf adalah suatu sunnah yang sangat tinggi nilainya. Ia boleh mewujudkan suasana kejiwaan yang mengarah kepada pemusatan fikiran kepada beribadat untuk menambah dan menebalkan keimanan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana orang yang beri‘tikâf di dalam masjid itu adalah orang yang menahan dirinya daripada melakukan perkara dosa. Dengan itu dia adalah orang yang sedang berada dalam peribadatan selagi mana dia di dalam keadaan beri‘tikâf sekalipun dia tidak melakukan apa-apa jenis ibadah yang lain di dalam i‘tikâfnya itu. Bahkan orang yang beri‘tikâf itu diberi ganjaran seperti orang yang melakukan kebaikan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata perihal orang yang beri‘tikâf, dia adalah menahan perbuatan dosa, dan dilakukan kepadanya perbuatan baik seperti orang yang melakukan kebaikan semuanya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Di sepuluh terakhir bulan Ramadhan juga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghidupkan malam-malamnya dengan berjaga, melakukan berbagai-bagai amal ibadat melebihi yang biasa Baginda lakukan di malam-malam yang lain. Di samping itu juga Baginda membangunkan ahli keluarganya daripada tidur untuk melakukan ibadat. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Thalib Karramallahu wajhahu berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah Baginda itu membangunkan ahli keluarganya pada sepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Di dalam riwayat yang lain, daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: “Adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sahaja sepuluh (yang terakhir bulan Ramadhan), Baginda mengikat pinggangnya (bersungguh-sungguh untuk melakukan amal ibadat), menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Oleh yang demikian, sebagai mengambil contoh yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sepatutnya orang-orang Islam di setiap malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan hendaklah meningkatkan amal ibadat dan sentiasa mengerjakan amal salih bagi menyambut kedatangan Lailatulqadar, bukannya meningkatkan pengurusan hal-hal keduniaan sehingga bukan sahaja peningkatan amal ibadah tidak dapat di lakukan bahkan amal ibadat sunat yang biasa dilakukan seperti Tarâwih dan membaca Al-Qur’an di bulan Ramadhan berkurangan atau pun yang lebih menyedihkan lagi tidak dilakukan langsung.

Sungguhpun perkara-perkara tersebut adalah sunat sahaja hukumnya, tetapi pada hakikatnya kita memang berhajat kepada amal ibadat yang sunat bagi menampung kekurangan-kekurangan yang terdapat di dalam amal ibadat yang fardhu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang mula-mula sekali dihisab amal seseorang itu di Hari Kiamat ialah sembahyangnya. Jika sembahyangnya itu baik maka berbahagia dan berjayalah dia. Jika sembahyangnya itu rosak maka berdukacita dan rugilah dia. Jika terdapat sesuatu kekurangan daripada sembahyang fardhunya, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (kepada para malaikat): “Kamu lihatlah, adakah bagi hambaku itu (melakukan) daripada sembahyang sunat untuk disempurnakan dengannya apa yang kurang daripada sembahyang fardhu, kemudian demikian juga berlaku kepada semua amalan (fardhunya yang lain).” (Hadis riwayat Tirmidzi)ِ

Sesungguhnya Allah yang memfardhukan perkara-perkara yang fardhu memang mengetahui bahawa hamba-hambaNya akan melakukan kecacatan dan kekurangan di dalam menunaikan perkara yang fardhu itu. Oleh itu di samping perkara-perkara yang fardhu disyariatkanNya juga kepada mereka perkara-perkara yang sunat untuk menampal kekurangan dan kecacatan yang ada itu. Maka kerana itu apabila ada sembahyang fardhu maka ada disyariatkan di sana sembahyang sunat, apabila ada sedekah yang fardhu (zakat) maka ada disyariatkan di sana sedekah yang sunat, apabila ada puasa yang wajib maka ada disyariatkan di sana puasa yang sunat dan apabila ada haji dan umrah yang wajib maka ada disyariatkan di sana haji dan puasa yang sunat.

Oleh itu, di samping memelihara dengan baik perkara-perkara yang fardhu itu, maka janganlah dipandang ringan terhadap amalan-amalan yang sunat. Rebutlah peluang meningkatkan amal ibadat terutama sekali di sepuluh terakhir di bulan Ramadhan yang hanya datang sekali setahun. Semoga ia akan kembali lagi di tahun-tahun yang akan datang dengan izin Allah jua. Amin

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10375

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص