Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب٠ مشاهدة

Adab Menyambut Idulfitri

الجواب

Sebagai hadiah kemenangan kepada orang-orang Islam dalam perjuangan mengekang hawa nafsu di bulan Ramadhan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ia disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syara‘ dan tidak dicampur-baurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan-perayaan yang lain kerana ia merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala khusus kepada hamba-hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?

Banyak fadhilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh syara‘ untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbîr, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan perkara-perkara yang berkebajikan.

Al-Imam Al-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: “Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajâb pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahîh.

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih daripada itu, ia lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah memerintahkan kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbîr.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan ‘Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbîr dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbîratul ihrâm sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas dan Al-Fakih bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhum bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja‘far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya.” (Hadis riwayat Al-Syafi‘e dan Al-Baghawi)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah, disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan. Oleh sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:

Ertinya: “Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak.”

Daripada Jubair bin Nufair salah seorang tâbi‘în (orang-orang yang datang setelah sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) telah bersabda yang maksudnya: “Sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:

Ertinya: “Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimanya daripada awak.”

Menurut pandangan jumhûr ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyariatkan di dalam Islam.

Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari- hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al- Imam Al-Baijuri mengatakan: “Inilah yang yang dii‘timâdkan”.(Al- Mausû‘ah Al-Fiqhiyyah 14/100).

Manakala amalan saling ziarah menziarahi terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu‘ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: “Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam!” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: “Biarkan mereka berdua itu.” Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: “Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al- Bâri bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda. (Al-Fath Al-Bâri 3/116 & Al-Mausû‘ah Al-Fiqhiyyah 31/117)

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapklangsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat bahawa jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta‘ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula sampai berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Apa yang diharapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukanlah semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana menghidup, membesar dan mengagungkan Hari Raya Fitrah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10379

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص