Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة٠ مشاهدة

Perkara Yang Merosak Akidah Dan Mengakibatkan Kekufuran (Murtad)

الجواب

Akidah adalah perkara yang amat penting dan sensitif dalam agama Islam. Ia tidak boleh dipersenda atau dipermain-mainkan sama ada dengan hati, perkataan mahupun perbuatan. Tidak diragukan lagi bahawa mempersenda atau mempermain-mainkan perkara agama adalah satu dosa dan boleh membawa kepada terkeluar daripada agama Islam iaitu riddah, andainya tidak bertaubat.

Dalam Islam tidak ada dosa yang paling besar selain dosa mempersekutukan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah berfirman dalam surah Al-Nisâ’, ayat 48:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik (mempersekutukanNya dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”

Di dalam surah Luqman pula ayat 13, Allah berfirman:

Tafsirnya: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

Dalam sebuah hadis qudsi pula diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhuma berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Ta‘ala berfirman:

Maksudnya: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya selama engkau berdoa dan berharap kepadaKu, Aku akan mengampunimu di atas dosa yang ada padamu dan Aku tidak peduli wahai anak Adam! Walau telah sampai dosamu ke awan langit, kemudian engkau memohon keampunanKu, nescaya Aku ampuni bagimu. Dan Aku tidak peduli wahai anak Adam! Sesungguhnya jika engkau datang kepadaKu dengan kesalahan-kesalahan sepenuh bumi, kemudian itu engkau menemui Aku padahal engkau tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku berikan kepadamu keampunan dengan sepenuh bumi.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Hadis qudsi ini menerangkan bahawa sebanyak manapun dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh anak Adam, semuanya itu di akhirat kelak ada harapan untuk mendapat keampunan Allah selama mana dia tidak melakukan dosa mempersekutukan Allah. Ini menunjukkan rahmat dan belas kasihan Allah kepada orang-orang yang melakukan dosa, asalkan bukan dosa mempersekutukanNya.

Adapun balasan bagi orang yang kufur atau yang mempersekutukan Allah atau yang menyembah selain daripada Allah, firman Allah dalam surah آli ‘Imran, ayat 91:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima daripada seseorang di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolongpun.”

Adalah menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam lelaki dan perempuan menjaga dan memelihara keislamannya daripada sebarang perkara yang boleh menjadikannya rosak dan terbatal. Apabila seorang Islam membatalkan dan merosakkan keislamannya maka dia adalah melakukan riddah atau murtad.

Dari segi syara‘, riddah bermaksud memutuskan keislaman dengan niat kufur atau perkataan kufur, perbuatan kufur sama ada dengan penghinaan, pengingkaran atau beriktikad kufur.

Apabila seseorang telah murtad, maka hapuslah segala amal ibadat yang dilakukannya sebelum dia murtad sekiranya riddahnya itu berterusan hingga ke akhir hayatnya.

Adakah wajib membuat semula ibadat yang terhapus itu apabila dia kembali kepada Islam semula? Menurut imam mazhab kita Al-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu, tidaklah wajib, akan tetapi menurut Imam Abu Hanifah Radhiallahu ‘anhu, wajib dibuat semula ibadat yang telah dilakukannya sebelum berlakunya riddah itu.

Pendapat Al-Syafi‘e dan pendapat Imam Abu Hanifah hanya bersepakat mengatakan bahawa pahala amal ibadat orang yang murtad sebelum dia murtad akan hapus dan hilang apabila berlaku saja riddah. Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-Baqarah, ayat 217:

Tafsirnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang-orang yang sedemikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”

Riddah itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

1. Riddah dengan hati. 2. Riddah dengan perbuatan. 3. Riddah dengan perkataan.

Setiap kategori tersebut mempunyai cabang-cabangnya yang banyak.

- Riddah Dengan Hati

Di antara kategori riddah yang dilakukan dengan hati ialah:

1. Tidak mengakui bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, atau mengakui ada sekutu bagi Allah pada zatNya seperti beriktikad bahawa ada tuhan selain daripada Allah atau pada sifatNya seperti beriktikad bahawa ada kuasa yang sebanding dengan kuasa Allah, atau syak tentang kewujudan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Selain daripada itu juga, beri‘tiqâd bahawa Allah tiada bersifat dengan satu sifat yang wajib bagi Allah bersifat dengannya dengan ijmâ‘ umat Islam seperti ilmu Allah dan kudrat Allah, atau mensabitkan sesuatu sifat kepada Allah padahal Allah suci daripada sifat itu seperti berjisim, berwarna dan bertempat.

2. Tidak mengakui atau syak kewujudan malaikat-malaikat dan segala urusan yang diserahkan Allah kepada mereka.

3. Tidak mengakui atau syak tentang kebenaran kitab-kitab yang telah diturunkan Allah kepada rasul-rasulNya termasuk kitab Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, atau tidak mengakui atau syak bahawa Al-Qur’an itu Kalamullah, terpelihara daripada tambahan dan kekurangan sama ada satu ayat atau satu huruf yang telah ijmâ‘ umat Islam padanya.

4. Tidak mengakui atau syak tentang kerasulan rasul-rasul Allah ‘alaihimussalam yang disebut nama-nama mereka di dalam Al-Qur’an atau kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam atau beri‘tiqâd harus ada nabi lagi selepas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

5. Tidak mengakui atau syak berlakunya Hari Kiamat dan yang bersangkutan dengannya daripada soal hisâb, syurga, neraka, timbangan amal, pahala, dosa, seksa dan apa-apa yang diberitakan oleh Al-Qur’an dan Sunnah Nabawiyyah daripada kejadian-kejadian yang akan berlaku pada Hari Kiamat dan sebagainya.

6. Tidak mengakui atau syak tentang qadha dan qadar Allah, baik dan buruk semuanya datang daripada Allah, bahawa Allah Pencipta segala sesuatu dan bebas menghendaki apa yang dikehendakiNya, memberi hidayat dan menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, bahawa Allah tidak menzalimi hambaNya dan segala sesuatu yang berlaku itu adalah dengan qadha dan qadar Allah jua.

7. Tidak mengakui atau syak tentang hukum-hukum Allah yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

8. Tidak mengakui atau syak terhadap perkara-perkara yang telah ijmâ‘ umat Islam padanya daripada perkara agama yang telah sabit dengan tidak boleh ditolak atau disangkal seperti Isra’ Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, mukzijat para nabi, mengingkari sunnah-sunnah nabi yang shahîh, atau menafikan perkara wajib yang telah sabit dengan ijmâ‘ seperti kewajipan sembahyang fardhu lima waktu, sujud di dalam sembahyang, berwudhu’ sebelum sembahyang, zakat, puasa dan haji, atau mewajibkan perkara yang tidak wajib dengan ijmâ‘ seperti menambah satu rakaat atau satu sujud di dalam sembahyang fardhu lima waktu atau menafikan sesuatu perkara yang disyariatkan Allah dengan ijmâ‘ umat Islam padanya seperti menafikan hukum sunat sembahyang-sembahyang sunat rawâtib yang mengiringi sembahyang fardhu lima waktu.

9. Mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dengan menghalalkan perkara yang telah diharamkan dengan dalil qath‘i (Al-Qur’an, hadis dan ijmâ‘) seperti haram berzina, liwath, mencuri, meminum arak, membunuh, riba dan sebagainya, atau mengharamkan perkara yang telah dihalalkan dengan dalil qath‘i (Al-Qur’an, hadis dan ijmâ‘) seperti halal jual beli, nikah, sewa-menyewa dan sebagainya. Di dalam surah Al-Nahl, ayat 116, Allah berfirman:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.”

Firman Allah lagi di dalam surah Al-Baqarah, ayat 39:

Tafsirnya: “Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

10. Berazam hendak kufur pada masa akan datang. Adapun merasa waswas tidaklah menjadi kufur kerana ia hanya lintasan hati.

11. Membenci atau tidak menyukai ajaran-ajaran tauhid atau hukum-hukum syara‘ yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana ini adalah sifat-sifat orang yang kufur sebagaimana firman Allah dalam surah Muhammad, ayat 8-9:

Tafsirnya: “Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka, dan (Allah) mensia-siakan amal-amal mereka. Berlakunya yang demikian kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai ajaran tauhid dan hukum- hukum syara‘ yang diterangkan di dalam Al-Qur’an), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka.”

Pada umumnya seorang itu boleh menjadi murtad apabila saja dia beri‘tiqâd dengan i‘tiqâd yang bercanggah dengan rukun iman dan akidah Islam yang telah ijmâ‘ umat Islam padanya dan perkara yang memang mesti diketahui di dalam agama.

- Riddah Dengan Perbuatan

Di antara perkara-perkara riddah dengan perbuatan ialah:

1. Perbuatan senghaja yang menunjukkan kepada kekufuran seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan atau kepada makhluk sama ada binatang atau yang lain seperti sujud kepada salib (cross) atau api.

Adapun apa yang berlaku secara adatnya iaitu menundukkan kepala dan membongkokkan badan sedikit kepada had yang tidak sampai kepada batasan sekurang-kurang rukuk itu adalah makruh sahaja hukumnya. (lihat Fath Al-‘Allâm 4/537)

Adapun memakai cross atau salib juga adalah perbuatan kufur kerana kata ulama: “Perbuatan kufur itu ialah tiap-tiap perbuatan yang telah ijmâ‘ orang Islam bahawa perbuatan itu tidak dilakukan melainkan oleh orang-orang kafir pada hakikatnya. Oleh kerana itu, sekalipun orang Islam yang melakukan perbuatan orang kafir itu menyatakan bahawa dia orang Islam dengan berterang-terang atau tiada berterang-terang, dengan disaksikan oleh zahir keadaannya, jika perbuatan itu keluar daripadanya dengan sengaja memperolok-olokkan agama Islam dengan terang dan nyata, maka dia adalah kufur. (Lihat kitab Al-I‘lâm bi Qawâthi‘ Al-Islâm).

2. Perbuatan senghaja yang menunjukkan kepada penghinaan, memperolok, mengejek atau mempersendakan kitab Al-Qur’an atau kitab-kitab hadis seperti memijak atau melemparkannya ke tempat yang kotor.

- Riddah Dengan Perkataan

Adapun riddah dengan percakapan itu sangatlah banyak. Di antaranya ialah:

1. Senghaja mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan iktikad yang bercanggah dengan rukun iman dan akidah Islam yang telah ijmâ‘ umat Islam padanya dan perkara itu mesti diketahui di dalam agama seperti mengatakan bahawa Allah itu bukan satu tetapi dua, tiga atau lain-lainnya. Firman Allah di dalam surah Al-Mâ’idah, ayat 72-73:

Tafsirnya: “Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang- orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata: “Wahai Bani Israel! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolongpun bagi orang-orang yang berlaku zalim. Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan”. Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah yang Maha Esa.”

2. Senghaja mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kepada memperolok, mengejek atau mempersendakan nama, sifat, perintah dan larangan Allah, janji Allah dengan syurga, pahala, neraka dan balasan seksa, para malaikat, kitab-kitab Allah, Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, para rasul dan para nabi yang disepakati kenabian mereka, Hari Akhirat dan qadha dan qadar Allah. Firman Allah dalam surah Al- Taubah, ayat 65-66:

Tafsirnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu), tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejek?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) keimanan.”

3. Senghaja mengeluarkan kata-kata yang menolak perintah- perintah dan larangan-larangan Allah yang telah disyariatkanNya dengan ingkar atau membangkang dan menolak dengan takbur. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 34:

Tafsirnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepda malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”, lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir.”

4. Senghaja mengkafirkan atau menuduh orang yang beragama Islam dengan tuduhan kafir, atau memanggilnya dengan kata-kata kafir seperti berkata seorang Islam kepada seorang Islam yang lain: “Hai kafir, atau hai Yahudi atau hai Nashrani”, sedangkan orang itu masih tetap dengan keislamannya. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhu berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Mana-mana orang yang berkata kepada saudara Islamnya “wahai kafir”, maka telah kufur dengan perkataan itu salah seorang daripada keduanya (kufur yang dipanggil) jika benar sebagaimana yang dikatakannya dan jika tidak (benar apa yang dikatakannya) kembali kekufuran itu kepadanya (si pemanggil).” (Hadis riwayat Muslim)

Hukum Orang Yang Murtad

Orang Islam sama ada lelaatau perempuan yang telah murtad wajib dia kembali semula dengan segera kepada agama Islam dengan mengucap dua kalimah syahadat, meninggalkan perkara-perkara yang telah menjadikan dia murtad, menyesali tindakannya yang menjadikan dia murtad serta berazam tidak akan mengulangi tindakannya yang telah menjadikannya murtad.

Apabila dia telah kembali kepada Islam maka wajib dia menqadha sembahyang atau puasa atau lain-lain ibadat yang difardhukan yang telah luput ketika di dalam masa dia murtad.

Jika dia tidak mahu bertaubat maka wajib ke atas raja atau pemerintah memerintahkannya untuk bertaubat supaya kembali kepada agama Islam. Apabila dia enggan juga bertaubat untuk kembali kepada agama Islam, maka wajiblah dia itu dibunuh dengan perintah raja atau pemerintah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menukar agamanya maka kamu bunuhlah dia”. (Hadis riwayat Bukhari)

Manakala hadis yang lain pula yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma berkata: “Telah bersabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tidak halal darah seorang Islam yang bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan bahawasanya aku Rasulullah melainkan dengan salah satu daripada tiga perkara: Jiwa yang wajib dibayar dengan jiwa (qishas), janda yang berzina, orang yang meninggalkan agamanya (Islam) yang memisahkan diri daripada jemaah orang Islam (murtad).” (Hadis riwayat Muslim)

Mayat orang yang murtad tidak wajib dimandikan, disembahyangkan dan tidak dikebumikan di perkuburan orang Islam kerana dia terkeluar daripada golongan orang Islam dengan riddah. Harus dikebumikan mayatnya itu di perkuburan orang-orang kafir bahkan secara hukum asalnya tidaklah menjadi kewajipan mayatnya itu untuk dikebumikan seperti halnya mayat kafir harbi dan harus pula mayatnya itu dibiarkan untuk dimakan oleh anjing. Jika bau busuk mayat itu memberi gangguan kepada orang-orang yang berjalan maka wajiblah ditimbus mayat itu. (Lihat Fath Al-‘Allâm 4/542)

Oleh itu, setiap orang Islam mesti berhati-hati dalam membicarakan soal agama lebih-lebih lagi yang menyentuh tentang akidah Islam. Yang sering berlaku, setengah orang menjadikan perkara agama sebagai bahan jenaka. Jika perkara ini sampai ke tahap suatu tindakan memperolok-olokkan agama, tidak syak lagi perkara itu boleh membawa kepada riddah, wal‘iyadzubillah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10425

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص