Hutang Dan Kewajipan Zakat
الجواب
Tuntutan mengeluarkan zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang terbina di atas lima asas utama. Sebagaimana ibadat sembahyang dikategorikan sebagai ibadat badan iaitu yang ditunaikan melalui perbuatan tubuh badan seseorang, zakat pula adalah jenis ibadat yang dikategorikan sebagai ibadat mâl iaitu ibadat yang ditunaikan melalui harta yang dimiliki oleh seseorang. Para ulama semenjak zaman para sahabat Ridhwanullahi ‘alaihim lagi menegaskan bahawa sudah menjadi sunnah di dalam Al- Qur’an bila mana kewajipan sembahyang ditegaskan, maka kewajipan mengeluarkan zakat juga turut ditegaskan secara beriringan. Sedikit sekali keduanya terpisah di antara satu sama lain.
Penegasan secara beriringan perintah wajib kedua-dua ibadat tersebut dapat ditemui di dalam beberapa ayat Al-Qur’an, umpamanya di dalam surah Al- Baqarah, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan ruku‘lah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang ruku‘.” (Surah Al-Baqarah: 43)
Melalui ayat lain di dalam surah yang sama disebutkan:
Tafsirnya: “Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah: 110)
Dalam surah Al-Hajj, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi Pertolongan.” (Surah Al-Hajj: 78)
Terdapat beberapa syarat yang diperuntukkan berkenaan harta yang wajib dikeluarkan zakat. Di antara syarat-syarat tersebut ialah harta berkenaan hendaklah dimiliki dengan pemilikan yang sempurna. Apakah yang dimaksudkan dengan pemilikan sempurna itu?
Mengikut pandangan mazhab Syafi‘e, apa yang dikatakan ‘pemilikan sempurna’ ialah harta yang dikenakan zakat itu adalah dimiliki oleh tuan punya serta dia berkuasa untuk bertindak terhadap hartanya itu. Akan tetapi tidaklah disyaratkan pula harta berkenaan berada di tangan pemiliknya.
Sehubungan dengan ini, mengikut pandangan mazhab Syafi‘e bahawa harta yang hilang adalah dikenakan zakat, akan tetapi tidak diwajibkan mengeluarkan zakatnya sehinggalah harta tersebut kembali semula kepada pemiliknya. Apabila ianya kembali semula, maka pemiliknya mestilah mengeluarkan zakatnya termasuk tahun-tahun kebelakangan bermula daripada cukup haulnya yang pertama. Umpamanya, jika harta yang cukup nishâb itu hilang selama lima tahun Hijriyyah, maka jangka masa tempoh lima tahun kebelakangan itu hendaklah dikeluarkan zakatnya. Sebab diwajibkan zakat, kerana sabitnya pemilikan terhadap harta berkenaan. Golongan ini juga berpendapat, jika harta tersebut lenyap binasa atau hilang dan tidak dijumpai lagi maka gugurlah kewajipan zakat padanya.
Zakat Hutang
Daripada syarat ‘pemilikan sempurna’ di atas timbul pula persoalan, bagaimana kedudukan harta yang terlibat dengan hutang?
Pertama sekali elok dijelaskan, sebagaimana menurut istilah para ulama ahli fiqh bahawa hutang itu merupakan sesuatu (harta) yang sabit pada tanggungan (dzimmah). Ini memberi maksud, harta hutang itu adalah bersangkut dengan tanggungan orang yang berhutang (penghutang) untuk dia membayar balik, bukannya bersangkut dengan harta yang dimilikinya. Oleh itu adalah menjadi tanggungan atau kewajipan penghutang membayar balik hutangnya kepada pemiutang dengan menggunakan apa saja harta yang dimilikinya, tidak tertentu kepada sesuatu yang khusus daripada hartanya. Dengan sebab itu, walaupun penghutang mempunyai tanggungan hutang yang belum dijelaskan kepada pemiutang tetapi dia (penghutang) tidak ditegah untuk membelanjakan hartanya, melainkan pada hal-hal tertentu sebagai pengecualian, kerana hutang itu bersangkut paut dengan tanggungan (dzimmah) penghutang bukan bersangkut-paut dengan hartanya.
Begitu juga perlu dijelaskan di sini bahawa hutang (al-dain) dari segi waktu pelunasannya dibahagikan kepada dua, iaitu al-dain al-hâl (هين ِا ْلالالد) dan al-dain al-mu’ajjal (هلهين ِاملؤجالد).
i) Al-dain al-hâl (hutang semasa): Yang dimaksudkan dengan al-dain al-hâl ialah hutang yang sudah tiba waktu pelunasannya atau hutang yang sudah matang yang mesti dilunaskan dengan segera.
ii) Al-dain al-mua’ajjal (hutang tangguh): Manakala yang dimaksudkan dengan al-dain al-mu’ajjal ialah hutang bertangguh yang belum matang dan tidak mesti dibayar dengan segera. Akan tetapi jika hutang bertangguh ini dibayar atau dilunaskan sebelum tiba tempoh matang, hukumnya adalah sah dan terlepaslah penghutang daripada tanggungannya.
Mengikut qaul jadîd (pendapat baru) Imam Syafi‘e bahawa hutang tidak menghalang daripada kewajipan mengeluarkan zakat.
Sebab, seorang yang merdeka (bukan hamba) dan beragama Islam apabila dia mempunyai harta yang cukup nishâb dan harta itu di dalam miliknya selama satu haul yakni satu tahun Hijriyyah maka wajib ke atasnya mengeluarkan zakat hartanya itu berdasarkan kepada dalil yang mewajibkan zakat secara mutlak bagi harta yang dimiliki.
Selain itu alasan yang dikemukakan ialah, hutang merupakan tanggungan yang mesti dilunaskan dan zakat juga merupakan kewajipan yang mesti dilaksanakan. Kewajipan zakat adalah berkaitan dengan harta yang dimiliki oleh seseorang, sedangkan hutang adalah berkaitan dengan tanggungan (dzimmah) seseorang (penghutang). Maka salah satu tanggungjawab tidak dapat menghalang untuk berdirinya satu tanggungjawab yang lain.
Zakat Orang Yang Berhutang (Penghutang)
Jika kita melihat kepada pandangan mazhab Syafi‘e, iaitu mengikut pendapat yang terkuat (al-azhhar) daripada mazhab ini bahawa hutang tidak menghalang daripada kewajipan zakat, sama ada hutang tersebut merupakan hutang semasa (al-dain al-hâl) ataupun hutang tangguh (al-dain al-mu’ajjal).
Alasan yang dikemukakan adalah berdasarkan dalil wajib zakat yang menegaskan secara umum tanpa membeza-bezakan di antara orang yang berhutang (penghutang) dengan orang yang bebas daripada hutang, selama mana setiap mereka memiliki harta yang cukup nishâb yang ditentukan. Hutang bukanlah penghalang bagi penghutang daripada kewajipan zakat, kerana hutang itu adalah berkaitan dengan tanggungannya (dzimmah) bukannya berkaitan dengan harta yang terdapat di dalam miliknya. Oleh sebab itu, walaupun penghutang mempunyai tanggungan hutang yang belum dijelaskan kepada pemiutang tetapi dia (penghutang) tidak ditegah untuk membelanjakan hartanya.
Sebagai contoh, seorang membuat pinjaman atau hutang kepada orang lain sebanyak 5,000 ringgit. Bersumber daripada wang pinjaman itu dibuatnya perbelanjaan sebanyak 3,000 ringgit sahaja dengan berbaki sebanyak 2,000 ringgit. Jumlah 2,000 ringgit itu pula mencukupi nishâb menurut ketetapan semasa. Maka, baki wang 2,000 ringgit itu jika kekal berada di tangannya sehingga cukup haulnya iaitu setahun Hijriyyah, wajiblah dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripadanya iaitu sebanyak 50 ringgit ($2,000 X 2.5% = $50).
Zakat Orang Yang Memberi Hutang (Pemiutang)
Seorang yang memberi hutang kepada orang lain sejumlah harta yang mencapai nishâb, dan harta yang dihutang itu berada di dalam tanggungan penghutang sehingga tempoh satu haul (setahun Hijriyyah) atau lebih satu haul, maka dalam menentukan kewajipan zakat terhadapnya perlulah diperhatikan terlebih dahulu bentuk hutang tersebut.
Terdapat dua jenis bentuk hutang dari segi pelunasannya (pembayaran balik) iaitu al-dain al-hâl (hutang semasa) dan al-dain al-mu’ajjal (hutang tangguh), sebagaimana dijelaskan terdahulu. Menurut jumhûr (majoriti) ulama Al-dain al-hâl (hutang semasa) dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
i) Hutang semasa yang diharapkan pelunasannya, iaitu hutang yang tertanggung ke atas penghutang yang tidak mengingkarinya dan dia berusaha atau berikhtiar untuk melunaskannya, ataupun hutang yang tertanggung ke atas penghutang yang tidak mengaku dirinya berhutang dan pemiutang pula mempunyai bukti untuk membuktikan haknya.
Mengikut pandangan mazhab Syafi‘e yang terkuat (al-azhhar) bahawa hutang seperti ini wajib ke atas pemiutang mengeluarkan zakatnya pada setiap kali cukup satu haul/setahun Hijriyyah. Harta hutang seperti ini sama keadaannya dengan harta yang ada di tangannya, kerana pemiutang mampu atau berkuasa untuk mengambilnya daripada penghutang dan mempunyai kuasa untuk bertindak dalam mengurusnya.
ii) Hutang semasa yang tidak diharapkan pelunasannya, iaitu hutang yang tertanggung ke atas penghutang yang tidak mampu melunaskannya, atau yang tertanggung ke atas penghutang yang tidak mengaku dirinya berhutang dan pemiutang tidak mempunyai bukti untuk membuktikan haknya, ataupun yang tertanggung ke atas penghutang yang senghaja melambat-lambatkan pelunasannya.
Dalam menetapkan kedudukan zakatnya terdapat beberapa pendapat di dalam mazhab Syafi‘e. Pendapat yang kuat (al-shahîh) ialah pendapat yang mengatakan wajib ke atas pemiutang mengeluarkan zakatnya. Namun begitu, tidaklah wajib ke atasnya selagi dia tidak menerima balik harta hutang berkenaan. Apabila dia menerima balik wajiblah dikeluarkan zakatnya termasuk tahun-tahun kebelakangan semenjak cukup haul pertama.
Sebagai pengecualian, tidaklah dikenakan zakat jika harta hutang itu berupa binatang ternakan (unta, lembu, kerbau dan kambing), kerana syarat zakat bagi binatang ternakan di sisi mazhab Syafi‘e dan juga mazhab Hanbali hendaklah binatang ternakan itu daripada jenis al-sâ’imah iaitu binatang ternakan yang dilepaskan di padang gembalaan untuk mencari makanan, bukan daripada jenis yang diberi makan di dalam kandang. Harta hutang berupa binatang ternakan yang berada di dalam tanggungan orang lain tidaklah disifatkan sebagai al-sâ’imah. Oleh itu tidaklah dikenakan zakat padanya.
Berkenaan dengan ketentuan zakat jika hutang itu berupa Al-dain al-mu’ajjal (hutang tangguh) maka keadaannya sama seperti ketentuan zakat jika hutang itu berada di dalam tanggungan orang yang tidak mampu untuk menjelaskannya. Oleh sebab pemiutang tidak dapat mengambil balik harta yang dihutangkannya dengan segera, maka apabila dia menerima balik wajiblah dikeluarkan zakatnya termasuk tahun-tahun kebelakangan semenjak cukup haul pertama.
Suatu kesimpulan yang dapat dirumuskan di sini, jika dilihat kepada pandangan mazhab Syafi‘e bahawa hutang bukanlah suatu perkara yang boleh menghalang daripada kewajipan mengeluarkan zakat.
Nisbah kepada penghutang, hutang dilihat sebagai satu tanggungjawab yang mesti dijelaskan atau dilunaskan dan zakat pula dilihat sebagai satu tanggungjawab lain yang juga wajib dilaksanakan.
Sementara bagi pemiutang pula, harta miliknya yang dihutangkan sungguhpun berada di tangan orang lain tidaklah menafikan atau menghalang untuk dikatakan ia sebagai ‘pemilikan sempurna’. Oleh itu diwajibkan zakat ke atasnya jika hartanya itu mencapai nishâb tertentu dan cukup haul.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10442
دليل الألوان
