Islam Dan Salahguna Hak
الجواب
Di dalam Islam hak (right) merupakan kurniaanِ Ilahi kepada manusia yang bersandarkan kepada dalil-dalil syara‘. Tidak ada yang dikatakan sebagai hak dalam Islam tanpa adanya sebarang dalil yang memperuntukkannya. Dalil yang dimaksudkan itu ialah dalil-dalil yang dijadikan sebagai sumber pengambilan hukum-hukum syara‘, bukannya bersandarkan kepada akal manusia dan bukan juga bersandarkan kepada hukum semula jadi. Sumber hak itu ialah Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana Dia adalah Pentadbir dan Penguasa kepada semua makhluk, dan tidak ada yang dikatakan sebagai perundangan (tasyrî‘) kecuali apa yang diperundangkan atau yang disyariatkanNya.
Sungguhpun setiap individu termasuk janin yang bakal lahir ke dunia mempunyai hak-hak tertentu yang ditetapkan di dalam Islam, terdahulu daripada itu Islam juga telah menetapkan beberapa sempadan atau batasan yang dikenakan kepada diri mereka agar tidak melewatinya, demi menjaga kepentingan orang lain dan demi mengelak daripada berlaku kemudaratan kepada kepentingan awam.
Hak dalam Islam itu mewajibkan dua perkara, iaitu:
i. Kewajipan umum yang menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk menghormati dan tidak mencerobohi hak individu atau perseorangan.
ii. Kewajipan khusus yang menjadi tanggungjawab kepada setiap individu untuk menggunakan haknya dalam batasan yang tidak mendatangkan bahaya atau mudarat kepada orang lain.
Setiap manusia mestilah menggunakan haknya berpaksikan kepada aturan-aturan syara‘. Tidak dibenarkan sesiapapun menggunakan haknya dengan sesuka hati sehingga menyebabkan berlaku kemudaratan kepada orang lain, sama ada cara penggunaannya itu memang bermaksud untuk memudaratkan ataupun tidak. Bukan itu saja, bahkan batasan- batasan yang ditetapkan itu juga sebenarnya adalah termasuk untuk menjaga kepentingan pemilik hak itu sendiri. Oleh itu, tidak boleh bagi seseorang itu membuang atau membazirkan harta miliknya, kerana yang demikian itu adalah dilarang oleh syara‘. Tidak lain di antara tujuannya ialah demi menjaga kepentingan atau kebajikan dirinya sendiri.
Perbuatan menggunakan hak yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri sendiri ataupun kepada orang lain bolehlah diistilahkan sebagai penyalahgunaan hak. Ini berbeza dengan perbuatan menggunakan hak orang lain, maka ia dikatakan sebagai mencerobohi hak orang lain.
Terdapat banyak dalil yang memperuntukkan ketetapan hukum pengharaman perbuatan penyalahgunaan hak. Di antaranya hak merujuk isteri, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir ‘iddahnya, maka rujû‘lah mereka dengan cara yang ma‘rûf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma‘rûf (pula). Janganlah kamu merujû‘ mereka untuk memberi kemudaratan, kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka. Barangsiapa berbuat demikian, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.” (Surah Al-Baqarah: 231)
Melalui ayat di atas hukum syara‘ telah memperuntukkan ketetapan larangan kepada para suami yang telah menceraikan atau mentalak isterinya supaya tidak mempergunakan hak rujû‘ bagi maksud untuk memudaratkan isteri sebagaimana yang berlaku pada zaman jahiliyyah, di mana seorang suami yang telah menceraikan isterinya akan merujû‘nya semula apabila tempoh ‘iddahnya hampir berakhir. Kemudian apabila dirujû‘nya, suami tersebut menceraikannya lagi demi maksud untuk menganiaya isteri itu dan membiarkan hidupnya tergantung-gantung, seolah-olah tidak bersuami. Penggunaan hak rujû‘ di sini merupakan satu tindakan penyalahgunaan hak dan dihukumkan sebagai tindakan yang diharamkan, kerana mendatangkan mudarat kepada isteri. Oleh itu Islam tidak membenarkannya berlaku.
Di dalam ayat yang lain Allah Ta‘ala berfirman mengenai hak-hak bahagian ahli waris:
Tafsirnya: “...... Sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar daripada Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.” (Surah Al-Nisâ’: 12)
Melalui ayat ini pula, Allah Ta‘ala melarang melakukan wasiat yang boleh memudaratkan ahli waris, seperti mewasiatkan lebih daripada sepertiga harta pusaka. Dengan kata lain, sungguhpun Islam memberi hak kepada seseorang untuk mewasiatkan hartanya kepada bukan ahli waris, akan tetapi jumlah harta yang diwasiatkan itu tidak boleh melebihi had sepertiga daripada harta pusaka. Jika berlaku tindakan yang boleh mendatangkan mudarat kepada ahli waris seperti ini, maka ia adalah tindakan menyalahgunakan hak dan Islam mengharamkannya.
Ditemui lagi di dalam ayat lain yang menegaskan mengenai larangan menyerahkan harta kepada orang yang tidak layak mentadbirnya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang- orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (daripada hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik.” (Surah Al-Nisâ’: 5)
Di antara tujuan larangan menyerahkan harta kepada orang yang belum sempurna akalnya itu ialah demi menjaga supaya tidak berlaku penyalahgunaan hak dalam membelanjakan harta, walaupun dia mempunyai hak pada harta tersebut. Ayat ini juga memberi petunjuk supaya tidak membuat tindakan-tindakan yang boleh menyebabkan terjadinya penyalahgunaan hak.
Sebab Dilarang Penyalahgunaan Hak
Terdapat dua sebab mengapa dilarang membuat tindakan menyalahgunakan hak, iaitu:
i. Setiap individu yang memiliki sesuatu hak tertentu Islam tidak memberikannya kebebasan untuk bertindak atau menggunakannya secara mutlak atau secara tidak terhad. Akan tetapi dia terikat kepada batasan supaya jangan sampai memudaratkan kepada pihak yang lain. Maka dengan sebab itu dia tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam menggunakan haknya tanpa menghirau akan bahaya atau mudarat yang mungkin menimpa orang lain. Memang banyak dalil-dalil syara‘ yang melarang daripada melakukan tindakan yang boleh mendatangkan mudarat kepada orang lain, baik kemudaratan pada jiwanya, hartanya, kehormatannya dan sebagainya.
ii. Kepentingan atau manfaat yang boleh diperolehi daripada penggunaan harta milik hak perseorangan bukan sahaja untuk dinikmati oleh individu atau pemiliknya iatu, akan tetapi lebih besar daripada itu untuk dinikmati oleh masyarakat umum, kerana kekayaannya itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada kekayaan umat.
Bagi masyarakat umum, mereka mempunyai hak bahagian wajib yang tertentu pada harta milik individu. Ini dapat digambarkan melalui kewajipan membayar zakat harta, zakat fitrah, kaffârah dan sebagainya, di mana ianya diwajibkan dan menjadi tuntutan kepada setiap harta hak individu yang memenuhi syarat tertentu.
Begitu juga masyarakat umum dapat memperolehi hak bahagian sunat daripada harta hak individu seperti melalui sedekah sunat, waqaf atau wasiat. Apabila harta-harta tersebut dapat dikutip melalui tuntutan-tuntutan wajib dan sunat tadi, maka ianya mestilah diagihkan-agihkan pula kepada masyarakat umum yang terdiri daripada golongan-golongan yang memerlukan. Inilah yang dikatakan sebagai perkongsian hak atau bersama.
Oleh sebab itu, apabila sabit hak masyarakat umum pada harta milik individu, maka wajib ke atas individu itu berlaku wajar dalam membuat tindakan pengurusan harta hak miliknya. Tidak boleh baginya menyalahgunakan hak hartanya itu sehingga boleh mendatangkan mudarat, kerana yang demikian itu dikira sebagai mencerobohi hak masyarakat.
Unsur-Unsur Dalam Penyalahgunaan Hak
Islam tidak melarang sesiapapun untuk mengurus atau membuat sesuatu berdasarkan hak yang diperuntukkan kepadanya. Akan tetapi jika penggunaan hak itu mempunyai unsur-unsur yang tidak berakhlak di mana kesan yang timbul daripadanya akan mendatangkan mudarat, kesusahan dan kesulitan kepada orang lain apa lagi kepada masyarakat umum, maka penggunaan hak itu bertukar menjadi sesuatu yang tidak dibenarkan. Antara unsur-unsur yang dimaksudkan itu ialah:
i. Mempunyai Maksud Untuk Memudaratkan:
Jika seseorang menggunakan haknya dengan maksud untuk mendatangkan kesulitan atau kemudaratan kepada orang lain, bukannya untuk mencapai kepentingan atau manfaat sebenarnya daripada penggunaan hak tersebut, maka itu merupakan tindakan salahguna hak dan hukumnya adalah haram dan wajib ditegah.
Contohnya seperti yang telah disebutkan terdahulu iaitu perihal suami yang menceraikan isterinya dan menggunakan hak rujû‘ di kala isterinya sudah hampir selesai menjalani tempoh ‘iddahnya. Kemudian apabila dirujû‘nya, suami tersebut menceraikannya lagi demi maksud untuk menganiaya dan membiarkannya hidup tergantung-gantung tanpa pemedulian yang diwajibkan oleh hukum syara‘.
Begitu juga perihal tindakan orang yang membuat wasiat dengan mewasiatkan melebihi daripada sepertiga daripada harta pusaka. Tindakan seperti ini boleh merugikan ahli waris yang berhak mendapatkan harta pusaka yang sepatutnya.
Dalam contoh yang lain lagi, para suami dibenarkan oleh Islam memukul isteri yang melakukan nusyûz (derhaka kepada suami) akan tetapi pukulan yang dimaksudkan itu ialah pukulan untuk tujuan mengajar atau mendidik dan tidak meninggalkan bekas (kesan pukulan), bukannya untuk tujuan memudaratkan, mencederakan atau penderaan. Itupun setelah mengambil langkah-langkah lain terlebih dahulu dengan menasihatinya kemudian memisahkannya daripada tempat tidur (tidak tidur bersama). Jika ini tidak berjaya barulah dibenarkan memukulnya dengan pukulan yang tidak meninggalkan bekas kepada tubuh badannya.
Oleh itu, jika seorang suami yang menggunakan hak memukul itu untuk tujuan penderaan atau menganiaya isteri, maka ini yang dikategorikan sebagai penyalahgunaan hak yang diharamkan. Perkara ini jelas sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyûznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka daripada mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah Al-Nisâ’: 34)
ii. Mempunyai Maksud Untuk Mencapai Tujuan Yang Tidak Dibenarkan Oleh Syara‘:
Tindakan seseorang yang berselindung di sebalik penggunaan haknya untuk mencapai atau memperolehi sesuatu tujuan yang tidak dibenarkan oleh syara‘, dikategorikan sebagai penyalahgunaan hak yang diharamkan oleh hukum Islam.
Sebagai contoh, Islam memberikan hak kepada setiap orang yang mampu untuk berkahwin. Tetapi ada pula orang menggunakan hak ini untuk tujuan tertentu yang tidak bertepatan dengan maksud pensyariatan perkahwinan itu. Umpamanya, orang yang menikahi bekas isteri orang yang telah diceraikan dengan talak tiga, bukan untuk perkahwinan yang kekal tetapi untuk tujuan membantu bekas suami yang telah menceraikan supaya mereka dapat berkahwin semula menjadi suami isteri. Pernikahan ini lebih dikenali sebagai pernikahan cina buta. Pernikahan seperti ini sungguhpun dianggap sah dari segi hukum syara‘ tetapi maksud di sebaliknya tidak suci, yang tersirat ialah suatu pernikahan cina buta yang membuatkan ianya dihukumkan haram dan dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi orang-orang yang melakukannya. Sebuah hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan:
Maksudnya: “Allah melaknat muhallil (cina buta) dan orang yang menyuruhnya bernikah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
iii. Menimbulkan Kesan Kemudaratan Yang Lebih Besar Daripada Manfaatnya:
Apabila seseorang menggunakan haknya untuk memperolehi suatu kepentingan atau manfaat peribadi yang dibenarkan oleh hukum syara‘, akan tetapi di sebalik tindakannya itu pula menimbulkan kesan suatu kemudaratan yang lebih besar kepada orang lain daripada manfaat yang dimaksudkan, ataupun paling tidak, kemudaratan itu seimbang dengan manfaat yang dimaksudkan, maka ini juga termasuk dalam erti kata penyalahgunaan hak. Tidak kira sama ada kemudaratan yang berlaku menimpa orang perseorangan secara khusus ataupun kepada masyarakat umum. Perkara ini selari dengan prinsip melalui sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “(Seseorang itu) tidak boleh memudaratkan (orang lain yang boleh mengurangkan haknya) dan (orang yang dimudaratkan itu) tidak boleh pula membalasnya dengan kemudaratan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Al-Daraqquthni)
Sebagai contoh, Islam tidak pernah menafikan hak pemiliknya secara peribadi, malahan ianya merupakan hak yang dilindungi. Kesan daripadanya setiap pemilik berhak melakukan apa saja yang difikirkannya perlu untuk mencapai kepentingan atau manfaat kepada dirinya melalui penggunaan hak yang dimilikinya. Sebidang tanah yang dimiliki oleh seseorang umpamanya, adalah menjadi hak pemiliknya untuk mengusahakannya. Akan tetapi, bagi tujuan untuk mengusahakannya, pemilik perlu juga mengambil kira akan kesan-kesan negatif, baik kepada dirinya mahupun orang lain termasuk masyarakat umum.
Pemilik misalnya, tidak wajar membuat pembakaran hutan secara terbuka untuk membuka kawasan-kawasan pertanian lebih-lebih lagi pada waktu jerebu sedang melanda negara. Sebab, tindakan seperti ini jika dibuat boleh menyebabkan mudarat dan bahaya yang lebih besar kepada masyarakat umum berbanding mashlahat atau manfaat yang ingin dicapai oleh pemilik hak tanah pada waktu itu, walaupun tindakan tersebut dibuat berdasarkan hak yang diperuntukkan.
Begitu juga dalam masalah kerja-kerja meruntuh dan menimbuk tanah, pemilik semestinya memastikan kerja-kerja tersebut berjalan dengan sempurna, jangan sampai terdapat ketulan-ketulan tanah bertempiaran dan mengotorkan jalan raya umum sehingga menyusah, membahaya dan memudaratkan para penggunanya yang terdiri daripada masyarakat umum. Syarat-syarat mengenainya juga telah diperuntukkan berdasarkan peraturan.
Oleh itu, jika pembakaran hutan dan juga kerja-kerja meruntuh dan menimbuk tanah dilakukan oleh tuan punya hak dengan mengenepikan risiko mudarat yang lebih besar yang akan ditanggung oleh masyarakat umum maka tindakan ini dikatakan sebagai penyalahgunaan hak yang dilarang oleh syara‘.
Di dalam kaedah fiqh menyebutkan:
Ertinya: “Menolak kerosakan adalah lebih diutamakan daripada mendatangkan kemashlahatan.”
Perkara lain yang boleh dijadikan sebagai contoh, Islam memberi hak kepada seseorang sama ada untuk menjual atau tidak menjual barang miliknya, akan tetapi Islam nelarang keras monopoli iaitu perbuatan mengumpul dan menahan barang dagangan untuk tujuan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi di saat masyarakat umum sangat memerlukannya. Perbuatan ini diistilahkan di dalam ilmu fiqh sebagai ihtikar dan ianya diharamkan oleh Islam berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barangsiapa melakukan ihtikar (monopoli) maka dia berbuat dosa.” (Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu, seorang yang senghaja menahan dan tidak mahu menjual barang dagangannya, umpamanya beras, gula, tepung dan lain-lain untuk tujuan menjualnya apabila harganya melambung tinggi di saat masyarakat memerlukannya, maka ini dikategorikan sebagai penyalahgunaan hak yang diharamkan oleh Islam, kerana mendatangkan mudarat dan kesulitan kepada masyarakat umum. Dalam hal ini juga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa ikut campur tentang harga-harga orang Islam supaya menaikkannya sehingga menjadi bebanan kepada mereka, maka sesungguhnya adalah menjadi ketentuan Allah Tabaraka wa Ta‘ala untuk mendudukkannya pada api neraka yang sangat besar di Hari Kiamat. (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Thabarani)
iv. Penggunaan Hak Bukan Pada Kebiasaan Sehingga Menimbulkan Kemudaratan Kepada Orang Lain:
Apabila seseorang menggunakan haknya tidak sesuai pada tempatnya atau di luar kebiasaan orang dan tindakan itu memberi mudarat kepada orang lain, maka tindakan ini mempunyai unsur penyalahgunaan hak yang ditegah. Sebagai contoh, membunyikan radio dan televisyen dengan bunyi yang nyaring sehingga mengganggu ketenteraman masa istirahat jiran tetangga khususnya pada waktu malam, memakai kereta yang disewa dengan muatan yang berlebihan, membiarkan rumah yang disewa dimasuki air disebabkan atapnya bocor dan seumpamanya.
Sebaliknya, jika penggunaan hak itu dalam bentuk yang biasa yakni bukan di luar kebiasaan, tetapi ianya mendatangkan kemudaratan, maka ini tidak dikatakan sebagai tindakan salahguna hak. Umpamanya, seorang menggunakan mesin yang mengeluarkan bunyi yang agak bising untuk melakukan kerja di waktu siang, di mana ianya kadang-kadang mengganggu ketenteraman orang lain. Ataupun seorang menyalakan dapur untuk memasak atau memanggang daging, di mana kadang-kadang mengeluarkan asap yang mengganggu jiran bersebelahan. Tindakan-tindakan seperti ini dan seumpamanya adalah penggunaan hak yang bukan di luar kebiasaan, kerana ianya merupakan perkara biasa dilakukan dan pula ianya dilakukan tepat pada masa dan keadaan, walaupun kadang-kadang sedikit sebanyak mengganggu keselesaan orang lain.
Apa yang boleh dijadikan ukuran untuk menentukan sama ada sesuatu tindakan yang dibuat berdasarkan hak itu berada pada batasan di luar kebiasaan atau bukan di luar kebiasaan ialah rujukan kepada adat kebiasaan sesebuah masyarakat. Kalau suatu tindakan itu dianggap adat kebiasaan oleh sesebuah masyarakat maka ianya tidak dianggap luar biasa dan sebaliknya kalau ia bukan adat kebiasaan bagi sesebuah masyarakat maka ianya dianggap luar kebiasaan.
v. Penggunaan Hak Dengan Tindakan Yang Lalai:
Dalam penggunaan hak, seseorang itu dituntut supaya membuat atau melakukannya secara berhati-hati dan tidak cuai. Atas dasar ini, jika tindakan seseorang dalam menggunakan haknya dengan tidak berhati-hati atau cuai di mana mengakibatkan kemudaratan kepada orang lain maka ia dianggap sebagai penyalahgunaan hak yang dilarang oleh syara‘.
Sebagai contoh, jalan raya adalah hak umum. Setiap orang yang mempunyai lesen memandu dan membayar cukai jalan adalah mempunyai hak untuk menggunakannya. Dalam penggunaan hak tersebut adalah menjadi kewajipan setiap orang menggunakannya dengan cara berhati-hati dan berwaspada. Jika berlaku sesuatu kemudaratan kepada orang lain disebabkan tidak berhati-hati dalam tindakan, umpamanya memandu kereta dengan laju, tidak menurut peraturan jalan raya dan seumpamanya sehingga menyebabkan kemalangan dan mencederakan orang lain, maka tindakan penggunaan hak dalam hal seperti ini dianggap cuai atau lalai dan termasuk dalam kategori penyalahgunaan hak yang ditegah oleh syara‘.
Namun demikian, terdapat dua tindakan seseorang yang tidak dikategorikan sebagai penyalahgunaan hak walaupun boleh memudaratkan orang lain, iaitu:
i. Jika seseorang menggunakan hak tertentu dan dia tidak dapat mengelakkan mudarat yang mungkin berlaku kepada pihak lain, umpamanya seorang doktor yang menjalankan rawatan pembedahan kepada seorang pesakit dan dia melakukannya sesuai dengan ketentuan ilmu perubatan, tetapi hasil rawatan tersebut membawa kepada kemudaratan seperti salah satu anggota menjadi tidak berfungsi dan seumpamanya, maka tindakan seperti ini dikecualikan daripada disifatkan sebagai penyalahgunaan hak.
ii. Dalam penggunaan hak jika telah dilakukan secara berhati-hati dan dengan beberapa langkah untuk menghindarkan sebarang kemudaratan, namun begitu tetap menimbulkan kemudaratan kepada orang lain, maka hal seperti ini tidaklah dikatakan sebagai tindakan salahguna hak. Sebagai contoh, seorang membuat projek pembangunan di kawasan tanah miliknya, lalu dibuatlah pagar di sekeliling kawasan tersebut, diletakkan juga papan-papan tanda peringatan supaya menjauhi kawasan berkenaan demi menjaga keselamatan dan mengelakkan daripada berlaku apa sahaja kemudaratan. Jika ada orang lain masuk ke dalam kawasan tersebut tanpa pengetahuan pemilik dan akibatnya sesuatu mudarat telah menimpa orang berkenaan, maka dalam hal ini pemilik tidak boleh dipertanggungjawabkan dan dia tidak dikatakan sebagai cuai dalam mengendalikan haknya.
Toleransi Dalam Menggunakan Dan Menuntut Hak
Perkara penting yang perlu diambil perhatian ketika seseorang itu menggunakan dan menuntut hak yang diperuntukkan baginya ialah dia hendaklah berlaku ihsan dan bertoleransi. Perkara ini dapat diambil iktibar daripada petunjuk-petunjuk yang tersebut di dalam Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya. Dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahala yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Surah Al-Baqarah: 280)
Intisari ayat di atas memberi pengajaran akan sifat toleransi yang elok ditunjukkan oleh pemiutang ketika menuntut haknya terhadap penghutang. Jika penghutang seorang yang susah dan tidak mampu untuk melunaskan hutangnya, maka elok bagi pemiutang memberi tangguh kepadanya sehingga dia berkemampuan. Lebih elok lagi jika sekiranya pemiutang menghalalkan atau memaafkan hutang tersebut.
Maknanya di sini, sungguhpun pemiutang berhak untuk menuntut sepenuh haknya terhadap pihak yang berhutang, namun Islam juga menganjurkan kepada pemilik hak untuk tidak menuntutnya sama sekali atau sebahagiannya atas dasar toleransi dan ihsan, lebih-lebih lagi terhadap orang yang berada di dalam kesempitan. Yang demikian itu merupakan suatu kebaikan yang diberikan ganjaran pahala.
Di dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan jika kamu ceraikan mereka (isteri-isteri kamu) sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan mas kahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah: 237)
Intisari yang terkandung di dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberi petunjuk kepada manusia khususnya kalangan suami isteri yang belum sempat bercampur bersama-sama agar keduanya bersikap toleransi mengenai dengan mahar atau mas kahwin. Bagi pihak isteri yang diceraikan, sungguhpun dia berhak mendapat separuh daripada mas khawin yang telah ditetapkan oleh pihak suami akan tetapi dia juga boleh menggugurkan haknya itu tanpa menuntut apa-apa daripada bekas suaminya. Sementara di pihak suami pula dalam hal ini elok juga bersikap toleransi iaitu menyerahkan mas kahwin yang telah ditetapkannya dengan sepenuhnya.
Di sini jelas Islam lebih menganjurkan sikap bertoleransi dalam soal menuntut dan memberikan hak antara satu sama lain, kerana sikap begini akan menjurus seseorang ke arah ketaqwaan yang lebih tinggi dan mantap.
Satu contoh yang menggambarkan betapa pentingnya berlaku ihsan dan bertoleransi ialah pertikaian yang sering terjadi di kalangan masyarakat awam khususnya di kalangan pemilik-pemilik tanah yang bersempadan di antara satu sama lain, di mana salah satu pihak enggan memberi jalan laluan kepada pihak pemilik tanah yang tersekat daripada jalan utama. Ini merupakan kesukaran yang amat besar yang boleh menghalang keperluan orang lain dan seterusnya mendatangkan kesukaran.
Dalam hal ini, apa yang sepatutnya dilakukan oleh kedua belah pihak ialah mengambil langkah yang positif iaitu saling bertolak ansur di antara satu sama lain. Pemilik memang mempunyai hak kepada miliknya. Tetapi sanggupkah dia membiarkan jirannya berada di dalam kesukaran? Kalau dia seorang yang betul-betul beriman memang dia tidak sanggup untuk membiarkan orang lain dalam kesukaran.
Oleh itu sikap toleransi amat dianjurkan dalam mencari jalan keluar dengan cara perundingan dan persefahaman. Berbagai jalan penyelesaian boleh dilakukan seperti saling beri-memberi atau bertukar-tukaran tanah atau menjual tanah yang dikehendaki sebagai laluan atau apa-apa cara yang disepakati sehingga terhurai masalah yang dihadapi. Inilah cara pengendalian hak yang sepatutnya.
Sebagai suatu rumusan, bahawa dalam penggunaan hak-hak yang diperuntukkan perlu ada etika tertentu sehingga tidak berlaku penyalahgunaan dan penyelewengan yang boleh menyebabkan kemudaratan, kesulitan dan kesusahan kepada pihak lain terutama masyarakat umum. Sebab, menurut ketetapan, Islam tidak ada yang dikatakan sebagai kebebasan yang mutlak termasuk dalam mengguna dan memanfaatkan sesuatu hak melainkan ianya dibatasi oleh batasan-batasan yang diperuntukkan oleh syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10446
دليل الألوان
