Menghormati Kitab: Satu Tuntutan Agama
الجواب
Secara umumnya, kita percaya setiap rumah kediaman orang- orang Islam pasti menyimpan buku atau kitab-kitab agama, sama ada dalam bahasa Melayu, Arab atau dalam bahasa-bahasa lain. Dalam hubungan ini termasuklah Mushhaf Al-Qur’an Al-Karim, sama ada ditulis secara lengkap atau bersama tulisan lain.
Buku atau kitab dalam kaca mata Islam adalah khazanah mutiara yang bernilai yang perlu dihormati kerana ia mengandungi berbagai ilmu pengetahuan yang telah dituangkan oleh pengarangnya dalam bentuk tulisan, sebagai panduan dan bimbingan bagi sesiapa yang membacanya. Di samping itu apabila disebut buku agama (kitab), pada lazimnya ia mengandungi petikan ayat-ayat Al-Qur’an Al-Karim, hadis-hadis Nabawi atau paling tidaknya terjemahan maknanya atau qaul-qaul ulama.
Selain daripada yang disebut sebagai kitab, ada lagi sejenis kitab dalam ukuran kecil yang lazim disebut ulama sebagai risalah atau kurrasat. Buku kecil atau risalah ini banyak dimiliki oleh orang awam yang di antaranya mengandungi zikir, selawat dan doa-doa yang juga terdiri daripada ayat-ayat Al-Qur’an Al-Karim dan hadis-hadis Nabawi.
Pada masa ini ada di antara buku-buku atau kitab-kitab itu diperolehi secara percuma, sama ada yang diberikan oleh pihak kerajaan di majlis-majlis rasmi atau oleh orang perseorangan secara sukarela dalam bentuk waqaf. Keadaan ini menjadikan orang ramai dengan mudah dapat memiliki berbagai jenis buku atau kitab. Oleh kerana banyaknya buku-buku dan kitab-kitab itu, ada di antara mereka yang membuat perpustakaan mini peribadi di rumah.
Mengikut ulama-ulama yang muktabar, kesemua kitab agama, baik yang besar atau yang kecil, mestilah dihormati dan dimuliakan dengan harapan untuk dapat mengambil manfaatnya. Walau sebanyak manapun kitab yang dimiliki, jika tidak diperolehi manfaatnya, ia bagaikan barangan yang dibawa oleh keldai, tetapi sang keldai tidak dapat memanfaatkan barangan yang dibawanya.
Di antara etika menghormati dan memuliakan buku-buku atau kitab-kitab agama ialah tidak meletakkannya di sebarang tempat, terutamanya di tempat yang hina dan terdedah kepada penghinaan, seperti di lantai, di tempat yang kotor, di bawah tempat tidur atau sebagainya.
Sekiranya sesebuah kitab agama terpaksa diletakkan juga di lantai, maka hendaklah diletakkan sekatan atau pelapik di antara lantai dengan buku berkenaan. Demikian diterangkan oleh pengarang kitab Majmû‘ah Sab‘ah Kutub Mufîdah h. 24.
Sesungguhnya orang yang mengenali nilai dan kemuliaan buku-buku atau kitab-kitab agama Islam hanyalah orang Islam, terutamanya para ulama. Justeru itulah para ulama sangat mengambil berat tentang etika dan tata cara meletakkan kedudukan dan susunan buku-buku atau kitab-kitab agama Islam. Merekalah yang ahli dalam etika menghormati dan menangani penyusunan buku-buku atau kitab-kitab agama dengan mengambil kira tentang kedudukan isi kandungan sesebuah kitab itu, begitu juga tentang kedudukan pengarangnya. Mereka meletakkan yang paling mulia dan dihormati secara tersusun mulai dari atas ke bawah, bukan dari bawah ke atas.
Meletakkan Al-Qur’an Al-Karim Dan Kitab-Kitab Agama
Al-Qur’an Al-Karim adalah semulia-mulia kitab. Ia adalah Kalâmullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kitab suci Al-Qur’an Al-Karim menjadi panduan dan pembimbing utama bagi umat Islam.
Kemuliaan kitab suci Al-Qur’an telah diketahui umum, di antaranya tidak boleh diletakkan di sebarang tempat sebaliknya ia mesti diletakkan pada tempat yang sesuai dengan kemuliaan dan kesuciannya. Bagi menjaga kemuliaan Al-Qur’an itu, tidak boleh diletakkan benda lain di atasnya. Imam Al-Tirmidzi Rahimahullah berkata di dalam kitab Nawâdir Al-Ushûl dalam fasal yang ke 253: “Hendaklah jangan diletakkan di atas Mushhaf Al- Qur’an mana-mana buku supaya ianya tetap buat selamanya di atas semua buku”. Syed ‘Alawi, pengarang Sab‘ah Kutub Mufîdah, menerangkan bahawa Mushhaf Al-Qur’an hendaklah diletakkan di atas segala buku sekiranya ia diletakkan dan disusun bersama-sama buku lain. Yang paling sesuai ialah lebih elok jika ia diletakkan secara tergantung di tempat yang suci, misalnya pada dinding yang bersih di ruang-ruang utama rumah.
Tuntutan menghormati Al-Qur’an boleh ditinjau daripada berbagai sudut termasuk dari sudut keberkatannya, bahkan tuntutan ini adalah berbentuk wajib. Dari sudut aqidah, jika tuntutan ini diabaikan, ia boleh membawa kepada kerosakan aqidah. Oleh itu ulama Islam menerangkan bahawa sesiapa sahaja daripada kalangan orang-orang Islam yang menghina dan meremehkan kitab suci ini, dia boleh menjadi murtad. Imam Al-Ramli Rahimahullah berkata:
“Perbuatan yang boleh membawa kepada kufur termasuklah sengaja mempermainkan (meremehkan) agama dengan terang-terangan, menentang atau mengingkarinya, seperti mencampakkan Mushhaf atau sesuatu yang padanya terdapat kandungan Al-Qur’an, sekalipun ianya nama-nama mulia atau mana-mana hadis. Imam Al-Rayyani menambah: “Ataupun mana-mana ilmu syara‘, kepada kekotoran atau yang menjijikkan (walaupun ia suci).” (Nihâyah Al-Muhtâj 7/416)
Dalam kehidupan sehari-hari murid-murid sekolah atau penuntut-penuntut agama sangat terdedah kepada kitab-kitab agama termasuk Mushhaf Al- Qur’an. Oleh itu, para guru dan ibu bapa hendaklah memahamkan anak-anak atau murid-murid mereka cara menghormati dan memuliakan kitab-kitab agama dan sentiasa mengingatkan mereka akan hal ini. Pastikan bahawa buku-buku agama yang kadang-kadang bersamanya ada Mushhaf Al-Qur’an di dalam beg sekolah, tidak diletak di tempat-tempat yang tidak terhormat seperti di lantai, kusyen kereta yang kadang-kadang menjadi penyandaran, atau berhampiran dengan kaki sehingga terpijak atau dilangkahi. Semua cara ini bukan cara yang betul meletak kitab-kitab, lebih-lebih lagi Mushhaf Al- Qur’an.
Oleh kerana itu, dalam menyusun kitab-kitab atau buku-buku agama, pastikan Mushhaf Al-Qur’an sentiasa berada di atas sekali, baik susunan itu di atas meja, di rak-rak buku atau di perpustakaan.
Demikianlah seterusnya kitab-kitab agama sentiasa di atas sekali dalam susunan bersama buku-buku yang lain.
Pengkatelogan Buku-Buku
Pengkatelogan atau cara menyusun dan meletak buku-buku dan kitab-kitab merupakan salah satu ilmu perpustakaan. Tujuan ilmu ini adalah bagi mendisiplinkan letak susunan buku-buku dan kitab-kitab supaya lebih kemas dan mudah digunakan oleh penggunanya.
Dalam dunia perpustakaan, telah banyak panduan yang dikemukakan oleh pakar perpustakaan tentang cara penyusunan buku-buku. Di antara sistem yang paling terkenal ialah sistem Dewi dan Congress. Secara umumnya, kedua-dua sistem ini tidak membezakan antara kitab agama dengan buku-buku lainnya. Mengikut sistem ini kitab tafsir Al-Qur’an boleh diletakkan di bawah buku sejarah, kitab hadis boleh berada di bawah buku sastera dan sebagainya. Keadaan ini terjadi kerana mengikut sistem nama atau kategori ilmu yang terkandung di dalam buku berkenaan, atau berdasarkan unsur-unsur lain. Sistem ini jelas tidak berdasarkan kepada kemuliaan dan keagungan ilmu yang terkandung dalam sesebuah buku atau kitab itu dan tidak berdasarkan kepada kemuliaan yang empunya kitab atau pengarangnya.
Seperti yang sudah disebutkan di awal-awal lagi, mengikut pendapat ulama Islam, dasar utama etika dalam meletakkan susunan buku-buku dan kitab-kitab agama adalah mengikut kemuliaan kitab dan pengarangnya. Syed Alawi bin Ahmad Al-Saqqaf Rahimahullah mengatakan bahawa hendaklah diambil kira adab meletakkan susunan kitab-kitab berdasarkan kemuliaan kitab dan kemuliaan pengarangnya. Oleh sebab itu hendaklah yang paling mulia diletakkan di sebelah atas. (Majmû‘ah Sab‘ah Kutub Mufîdah h. 24).
Mengikut panduan yang diberikan di atas, Mushhaf Al-Qur’an Al-Karim hendaklah diletakkan di sebelah atas sekali, kemudian diiringi dengan kitab-kitab hadis shahîh di sebelah bawah dengan mendahulukan Shahîh Bukhari daripada Shahîh Muslim, kerana selain Shahîh Bukhari sebagai kitab hadis yang paling shahîh, ianya juga lebih banyak mengandungi ayat-ayat Al- Qur’an. Sekiranya ada beberapa kitab ilmu pengetahuan yang sama banyak mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an, termasuklah risalah tahlîl dan panduan zikir, maka didahulukan kitab-kitab tafsir Al-Qur’an, kemudian diiringi oleh kitab-kitab syarah hadis, usuluddin, usul fiqh, fiqh, nahu, sharaf, ilmu ma‘âni, ilmu bayân, ilmu badî‘ dan yang seumpamanya, seterusnya diiringi oleh buku-buku syair Arab dan ilmu ‘arudh.
Beliau juga menerangkan bahawa sekiranya ada beberapa kitab yang bersamaan yang mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an, maka didahulukan kitab yang paling banyak mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an, kemudian yang paling banyak mengandungi hadis. Selepas itu barulah diambil kira pula kemuliaan dan keagungan pengarangnya, dan yang paling banyak dipakai oleh para ulama dan orang-orang shâlihîn, serta kitab yang paling diperakui tentang keshahîhan kandungannya.
Untuk Mengambil Berkat
Penghormatan yang selayaknya kepada kitab-kitab termasuk menerusi cara penyusunannya seperti yang disebut di atas, selain daripada satu perkara yang dituntut oleh agama, ia bertujuan bagi memperolehi berkat dan manfaat ilmu berkenaan. Walau sebanyak mana ilmu yang dicari dan walau setinggi mana peringkat pembelajaran yang diterokai, tanpa keberkatan dan manfaat ilmu, ia dianggap sia-sia dari sudut pandangan agama. Khasnya kepada para penuntut, mereka tidak akan memperolehi ilmu yang sebenar yang bermanfaat melainkan dengan menghormati ilmu, ahli ilmu, guru dan kitab.
Syeikh Al-Zarnuji Rahimahullah di dalam kitab Ta‘lîm Al-Muta‘allim berkata: “Ingatlah, bahawa para penuntut ilmu tidak akan memperolehi ilmu dan manfaatnya melainkan dengan menghormati ilmu, ahli ilmu dan guru”. (H. 19)
Katanya lagi: “Cara menghormati ilmu itu termasuklah juga menghormati kitab-kitab”. (H. 18)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10453
دليل الألوان
