Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Memelihara, Menulis Dan Menyentuh Al-Qur’an

الجواب

Al-Qur’an adalah semulia-mulia kitab dan tidak diragukan bahawa ia adalah Kalâmullah dan mengatasi segala kalâm. Mushhaf yang dituliskan padanya Kalâmullah wajib dihormati, dimuliakan dan tidak direndah-rendahkan dan didedahkan kepada penghinaan dan pencemaran.

Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan membawa kebenaran dan petunjuk kepada umat manusia, sekaligus mengesahkan kebenaran kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya. (Ibn Katsir: Kitab Fadhâ’il Al-Qur’an: 9-10)

Hal ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (Al- Qur’an) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya”. (Surah Al-Mâ’idah: 48)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan tentang kemuliaan dan kebesaran Al-Qur’an di dalam banyak hadis. Di antaranya ialah hadis yang disebut oleh Ali bin Abu Thalib yang diberitakan oleh Harits Al-A‘war, katanya: “Aku berlalu di masjid, lalu aku melihat ada orang ramai yang mengarung (yakni mabuk bercakap tentang perkara-perkara yang boleh membawa fitnah, pembunuhan dan permusuhan). Kemudian aku menemui Ali bin Abu Thalib dan berkata kepadanya: “Wahai Amirul mukminin, adakah tuan melihat bahawa orang ramai telah mengarung di dalam percakapan mereka?” Ali bertanya: “Adakah mereka telah melakukannya?” Aku menjawab: “Ya”. Maka Ali pun berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ingat, sesungguhnya itu akan menyebabkan fitnah”. Saya bertanya: “Bagaimana jalan keluar daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah bersabda: “(Berpegang) kepada Kitab Allah yang telah menceritakan orang-orang sebelummu dan berita orang-orang sesudahmu, dan sebagai penghukum apa yang terjadi antara sesamamu. Kitab Allah adalah firman yang memisahkan antara yang hak dan yang bathil dan ia adalah bukan sebagai senda gurau. Orang yang meninggalkan kitab Allah daripada orang yang sombong, Allah akan membinasakannya. Orang yang mencari petunjuk daripada selain kitab Allah, maka Allah akan menyesatkannya. Kitab Allah adalah (tali) Allah yang kuat, ia adalah juga Kitab yang penuh hikmah, jalan yang lurus, yang tidak condong kepada hawa nafsu, tidak berat kepada setiap lisan, para ulama tidak akan kenyang padanya, tidak usang oleh banyaknya diulang-ulang (bacaannya), tidak habis-habis keajaibannya, yang tidak henti-hentinya Jin tatkala mendengarnya, mereka berkata: “(Sesungguhnya kami telah mendengar Al- Qur’an yang menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya)”. Barangsiapa berkata dengan Al- Qur’an, maka benarlah ia, barangsiapa yang mengamalkannya, dia diberi pahala, orang yang menetapkan hukum dengannya maka dia adil dan barangsiapa mengajak-ajak kepada Al-Qur’an, dia mendapat petunjuk pada jalan yang lurus”. Ambillah (kata-kata yang baik) hai A‘war”. (Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Wajib Menjaga Kemuliaan Al-Qur’an

Menurut ulama membaca Al-Qur’an itu lebih utama (afdhal) daripada membaca tasbîh, tahlîl dan zikir-zikir yang lain selain Al-Qur’an. (Al- Tibyân: 17)

Perkara ini dapat difahami kerana ia adalah Kitâbullah, Kitab Suci umat Islam yang diwahyukan oleh Allah kepada NabiNya yang terakhir dalam tempoh masa lebih kurang 23 tahun.

Berdasarkan catatan sejarah, Al-Qur’an sejak dari awal turunnya, telah mula dihafal dan ditulis sehinggalah turun ayatnya yang terakhir.

Penghafalan dan penulisan ini berlaku adalah bagi memenuhi sebahagian tuntutan pemeliharaan, penyucian dan penghormatan kepada kitab suci ini.

Oleh itu, sesuai dengan fungsinya sebagai Kitab yang paling suci, maka semua umat Islam sepakat (ijmâ‘) tentang wajibnya ke atas orang Islam menjaga dan menghormati Al-Qur’an.

Di antara cara menghormatinya, ia tidak boleh dicampakkan dan ditindih dengan sesuatu di atasnya. Dalam hal ini Imam Nawawi menjelaskan bahawa apabila seseorang Islam itu melempar atau mencampakkan Mushhaf (Al-Qur’an) ke tempat-tempat yang kotor dan jijik, maka dia dihukumkan kafir. Begitu juga haram meletakkan sesuatu di atasnya sekalipun dengan kitab-kitab agama. (Al-Tibyân: 150, Al-Majmû‘ 2/85)

Menurut beliau lagi, sebagaimana yang telah diriwayatkan di dalam Musnad Al-Darimi bahawa Ikrimah bin Abu Jahal meletakkan Mushhaf di mukanya (separas muka) seraya berkata: “Kitab Tuhanku, kitab Tuhanku.” Berdasarkan riwayat ini adalah wajar meletak Al-Qur’an itu di tempat yang sesuai seperti di atas kepala dan tidak di tempat yang hina dan tercemar.

Termasuk dalam kategori menjaga kemuliaan Al-Qur’an itu ialah menjaganya daripada jatuh ke tangan orang-orang kafir. Larangan ini telah dijelaskan oleh Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang membawa Al-Qur’an ketika musafir (belayar) ke negeri musuh (kafir)”. (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan pengkajian dan pembahasan ulama tentang betapa perlunya menghormati kitab suci ini, mereka telah membuat beberapa disiplin dan adab terhadapnya.

Berikut ini disebutkan beberapa adab yang berkaitan dengan Al-Qur’an atau Mushhaf bagi tujuan memuliakan dan menghormatinya sebagaimana disebut dalam kitab Nawâdir Al-Ushûl fî Ma‘rifah Ahâdîts Al-Rasûl 2/391-396:

1. Menyentuh, memegang atau membawa (mengangkat) Mushhaf (Al- Qur’an) hendaklah dalam keadaan suci (berwudhu’), sama ada ayat-ayat Al-Qur’an itu ditulis pada kertas, papan, besi, kain dan sebagainya. Dalam kaitan ini termasuklah poster atau sepanduk yang sepenuhnya bertuliskan ayat Al-Qur’an.

2. Tidak meletakkan Mushhaf pada tempat yang mudah terdedah kepada pencemaran seperti di tempat yang sering jatuh padanya najis burung, cicak dan lain-lain dan tidak membiarkan bertaburan dan berselerak di tempat yang tidak sepatutnya.

3. Tidak meletakkan sesuatu di atas Mushhaf, sama ada buku atau yang lainnya. Mushhaf itu pula hendaklah diletakkan di atas segala buku dan di tempat yang lebih terhormat.

4. Ketika membaca Mushhaf eloklah dipangku atau diletakkan di atas sesuatu di hadapan seperti rehal dan tidak meletakkannya secara langsung di atas lantai.

5. Jika ia ditulis, jangan dihapus atau dipadam dengan air liur tetapi boleh memadamkan tulisannya dengan air yang bersih. Bekas larutan basuhannya hendaklah tidak jatuh ke tempat yang bernajis kerana larutan basuhan itu perlu dihormati.

6. Adalah elok dan wajar memandang Al-Qur’an, paling tidak sekali pada setiap hari. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id Al-Khudri Radiallahu ‘anhu katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Kamu berikanlah peruntukan ibadat untuk mata kamu. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apa dia peruntukan ibadat mata?” Baginda menjawab: “Peruntukan ibadat mata ialah memandang Mushhaf, memikirkan kandungannya dan mengambil iktibar daripada keajaibannya.”

7. Mencantikkan tulisan apabila menulisnya. Diriwayatkan daripada Abu Halimah bahawa semasa dia menulis Mushhaf di Kufah, Ali bin Abu Thalib berlalu dan melihat tulisannya seraya berkata kepada Abu Halimah: “Runcingkan penamu”. (Abu Halimah berkata): “Saya pun mengambil pena, lalu meruncingkan hujungnya, kemudian saya menuliskannya semula, dan Ali Radiallahu ‘anhu berdiri memerhatikan tulisanku, kemudian beliau (Ali) berkata: “Beginilah sepatutnya cara kamu menyinari Mushhaf sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyinarinya.”

8. Tidak menjadikan Mushhaf sebagai bantal dan alat bersandar dan jangan melemparkannya kepada kawan apabila kawan itu hendak mengambilnya.

9. Jangan memperkecilkan (saiz) Mushhaf sebagaimana telah diriwayatkan bahawa Ali Radiallahu ‘anhu pernah berkata: “Jangan engkau perkecil Mushhaf.”

10. Hendaklah Mushhaf itu diasingkan dan tidak mencampur adukkannya dengan benda lain yang bukan daripada Mushhaf, yakni tidak meletakkan apa-apa benda di dalamnya.

11. Tidak menghiasi Mushhaf dengan emas dan tidak ditulis dengan emas supaya tidak bercampur dengan perhiasan dunia.

12. Tidak menuliskannya di tanah kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang berbuat demikian. Daripada Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah telah berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melintasi (tempat) yang ada tulisan di tanah lalu Baginda bertanya kepada seorang muda daripada suku Huzail: “Apa ini?” Pemuda itu menjawab: “Sebahagian tulisan daripada Kitab Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang ditulis oleh seorang Yahudi.” Kemudian Baginda bersabda: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala melaknat orang yang melakukan (perkara) ini, janganlah kamu letakkan Kitab Allah Subhanahu wa Ta‘ala melainkan pada tempatnya.”

Bertolak daripada peristiwa ini segolongan besar ulama berpendapat makruh hukumnya menulis Al-Qur’an dan nama-nama Allah pada mata wang dirham, mihrâb dan dinding. (Ahsan Al-Kalâm 2/114)

13. Apabila tulisan Al-Qur’an dijadikan bahan mandian kerana berubat daripada penyakit yang dialami, maka janganlah ianya jatuh ke tempat yang kotor dan bernajis, atau ke tempat yang dipijak. Adalah elok jika ia jatuh ke tanah yang tidak menjadi pijakan orang ramai atau ke lubang yang digali di tempat yang bersih supaya airnya jatuh ke dalam lubang itu, kemudian barulah lubang itu ditutup. Selain daripada cara itu, air tersebut boleh juga dialirkan ke sungai supaya larutan itu akan mengalir bersama.

14. Ayat-ayat pelindung daripada Al-Qur’an tidak dibawa masuk ke dalam tandas kecuali ianya dimasukkan dalam sarung kulit atau perak atau sebagainya kerana berbuat yang demikian itu ianya seperti berada di dalam dada.

15. Apabila ianya ditulis dan airnya diminum hendaklah membaca basmalah setiap kali minum dan membetulkan niat, kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan memberi mengikut kadar niatnya. Daripada Mujahid katanya: “Tidak mengapa menulis ayat-ayat Al- Qur’an kemudian melarut atau melunturkan ayat-ayat yang ditulis itu lalu meminumkannya kepada pesakit”.

Menyentuh Dan Mengangkat Al-Qur’an

Mengenai hukum yang berbangkit di antara orang yang berhadas (yang tidak suci) dengan Mushhaf telah disebutkan oleh ulama.

Mereka menyebutkan bahawa menanggung Mushhaf ketika berhadas (tidak ada wudhu atau sebab haidh) adalah haram berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Tidak menyentuhnya (Al-Qur’an) melainkan orang-orang yang suci.” (Surah Al-Wâqi‘ah: 79)

Mengangkat Al-Qur’an Untuk Tujuan Belajar

Selain larangan menyentuh, haram juga mengangkat sesuatu yang ditulis padanya hanya ayat-ayat Al-Qur’an untuk tujuan belajar walaupun yang ditulis itu hanya setengah ayat, kecuali jika tujuannya bukan untuk belajar seperti untuk azimat (tamimah). Ini bermaksud jika diqashadkan sebagai pelajaran adalah haram dan tidak pula menjadi haram jika diqashadkan sebagai mengambil berkat. Jika tidak ada tujuan tertentu, maka yang perlu diperhatikan ialah qarînah atau alamat-alamat tertentu untuk apa tujuan menulisnya. (I‘ânah Al-Thâlibîn 1/81)

Kanak-Kanak Mumayyiz Menyentuh Al-Qur’an

Bagi guru dan penjaga, tidak mengapa membiarkan kanak-kanak mumayyiz sekalipun berhadas menanggung dan menyentuh Mushhaf kerana keperluan mempelajarinya, seperti membawanya ke sekolah dan membawanya ke tempat guru untuk mempelajarinya. Selain Mushhaf lengkap, termasuklah papan tulis (buku tulis) yang mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an. Perkara ini dibenarkan kerana membebani kanak-kanak itu supaya terus berwudhu adalah suatu perkara yang amat berat bagi mereka dan pada lazimnya masa mempelajari Al-Qur’an itu memakan masa yang lama.

Menurut fatwa Ibn Hajar, guru kanak-kanak itu juga dimaafkan terutama bagi mereka yang tidak berupaya terus menerus dalam keadaan suci (berwudhu) untuk menyentuh papan tulis yang ada padanya ayat Al-Qur’an, kerana berwudhu itu mungkin susah dilakukan. Akan tetapi seeloknya ia bertayammum kerana tayammum itu lebih mudah. Walau bagaimanapun bagi guru yang tidak mempunyai masyaqqah (susah) adalah wajib berwudhu ketika menyentuh dan menanggung Al-Qur’an. (I‘ânah Al-Thâlibîn 1/82-83)

Hukum Mengangkat Al-Qur’an Bersama Barang Lain

Mengangkat Mushhaf bersama barang lain tidak haram sekiranya tujuan sebenarnya bukan menanggung Mushhaf saja. Menurut kitab Al-Tuhfah, sekiranya maksudnya hanya: (1) menanggung Mushhaf, atau (2) menanggung Mushhaf bersama barang, atau (3) menanggungnya secara mutlak, ketiga-tiga cara ini adalah haram. Yang tidak haram itu hanyalah satu cara iaitu jika diqashadkan hanya menanggung barang. Ulama lain pula berpendapat yang dihukumkan itu hanya satu cara iaitu sekiranya diqashadkan menanggung Mushhaf sahaja, manakala qashad menanggung Mushhaf bersama barang itu atau menanggung barang itu saja atau menanggungnya secara mutlak, tidak menjadikan haram. (I‘ânah Al- Thâlibîn 1/81)

Menyentuh Kertas, Kulit Atau Sarung Al-Qur’an

Menyentuh lambaran mu Mushhaf shaf adalah haram sekalipun bahagian yang tiada tulisan dan haram menyentuh bungkusan atau sarung Mushhaf yang khusus disediakan untuk menyimpan Mushhaf dengan syarat pada ketika itu Mushhaf ada di dalam bungkusan atau sarung berkenaan.

Selain sarung Al-Qur’an, adalah haram menyentuh benda lain seperti kantung atau peti yang disediakan khusus untuk menyimpan Mushhaf semata-mata, dan ketika itu Mushhaf ada di dalamnya. Akan tetapi jika Mushhaf berkenaan sudah dikeluarkan dari sarung atau peti tersebut, maka bolehlah mengangkat dan menyentuhnya.

Adapun kulit Mushhaf haram disentuh sama ada kulit itu bersambung dengan Mushhaf ataupun tidak dengan syarat kulitnya itu masih tetap dinisbahkan kepada Mushhaf. Jika kulit Mushhaf itu diganti baru, maka kulit lama tetap haram disentuh.

Jika kertas Mushhaf itu hilang atau terbakar, yang tinggal hanya kulit, maka kulit itu tidak haram disentuh. Begitu juga tidak haram membalik kertas Mushhaf dengan kayu kerana cara itu tidak disebutkan sebagai menanggung.

Al-Qur’an Dan Tafsirnya

Menanggung dan menyentuh Mushhaf bersama tafsirnya tidak menjadi haram sekiranya tafsirnya itu lebih banyak. Jika tafsir itu sama banyak, atau tafsirnya sedikit atau diragukan mana yang lebih banyak, maka adalah haram menyentuhnya. Ulama juga menggariskan kedudukan antara Mushhaf dan tafsir dalam mengukur banyak sedikitnya. Ketika menanggungnya yang diambil kira ialah jumlah Al-Qur’an dan tafsirnya. Manakala dalam perkara menyentuh, yang perlu diperhatikan ialah tempat di mana dia meletakkan tangannya. Jika pada tempat itu tafsirnya lebih banyak, tidak haram menyentuhnya, tetapi jika Al-Qur’an lebih banyak, haram menyentuhnya. (I‘ânah Al-Thâlibîn 1/82)

Menulis Ayat-Ayat Al-Qur’an

Ulama sepakat dalam mengharuskan penulisan Al-Qur’an dengan jelas, indah dan cantik supaya tidak menyusahkan orang-orang yang membacanya. Hal ini berdasarkan kepada pengumpulan dan penulisan mushaf Al-Qur’an pada zaman Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman khulafa Al-Rasyidin.

Bagi menghormati dan menjaga kemuliaan Al-Qur’an, menulis ayat-ayat Al- Qur’an dengan benda-benda najis adalah haram. Begitu juga haram menuliskan huruf-huruf Al-Qur’an dengan huruf selain huruf Arab. Ibnu Hajar dalam fatwanya ketika ditanya, adakah haram menulis Al-Qur’an Al- Karim dengan huruf selain huruf Arab begitu juga membacanya, beliau menjawab: “Berdasarkan apa yang dijelaskan dalam kitab Al-Majmû‘ yang diriwayatkan oleh ulama Syafi‘e bahawa perkara sedemikian adalah haram.” (I‘ânah Al-Thâlibîn 1/83)

Apabila menulis Al-Qur’an pada papan atau selainnya sama ada banyak atau sedikit, maka berlakulah hukum Mushhaf iaitu haram bagi orang yang dewasa yang baligh menyentuh dan menanggung papan tersebut (berdasarkan pendapat mazhab yang shahîh). (Al-Majmû‘ 2/83)

Manakala mata wang yang diukir padanya Al-Qur’an, ulama membahagikannya kepada dua perkara iaitu mata wang yang tidak diperlakukan atau digunakan oleh kebanyakan orang dan di dalamnya tertulis ayat Al-Qur’an seperti surah Al-Ikhlâsh, tidak harus menanggungnya, sedangkan mata wang yang digunakan oleh orang ramai adalah diharuskan sebagaimana juga menyentuh dan menanggung cincin yang diukir padanya ayat Al-Qur’an. (Al-Majmû‘ 2/81)

Tulisan-tulisan ayat Al-Qur’an pada kitab-kitab hadis, fiqh, dirham (mata wang), baju, serban atau kayu adalah harus (tidak haram) menanggung dan mengangkatnya. (Al-Majmû‘ 2/81)

Menulis Ayat Al-Qur’an Pada Surat, Kad Jemputan Dan Lain-Lain

Berdasarkan kepada pandangan ulama mengenai penulisan Al-Qur’an pada dinding, kayu dan mata wang dirham, tidaklah menjadi kesalahan jika ditulis ayat-ayat Al-Qur’an atau kalimah-kalimah lain yang dihormati oleh Islam pada surat, kad jemputan atau bahan-bahan cetak yang lain. Walaupun demikian jika tulisan-tulisan itu dibuat daripada bahan-bahan najis serta terdedah kepada pencemaran dan penghinaan, maka ia adalah haram.

Dasar dan dalil hukum harus ini ialah berdasarkan pada surat-surat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang dikirimkan Baginda kepada raja dan pemimpin-pemimpin asing yang mengandungi Basmalah dan petikan ayat Al-Qur’an seperti ayat 64, surah آli-‘Imran:

Tafsirnya: “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu...”

Tetapi hukum harus ini hanyalah berlaku jika diyakini tulisan ayat berkenaan tidak terdedah kepada penghinaan dan pencemaran kesucian dan kehormatannya. Jika jelas dan pasti akan terhina dan tercemar, maka tidak harus menulisnya.

Implikasi Menghina Ayat Al-Qur’an

Para ulama telah menyebutkan tentang hukum orang Islam yang menghina dan merendah-rendahkan perkara yang dihormati dalam Islam. Al-Imam Al- Ramli menyebutkan bahawa seseorang itu akan menjadi murtad atau keluar daripada agama Islam apabila dia meletakkan Mushhaf Al-Qur’an atau benda-benda yang ditulis dengan nama-nama yang mulia dan dihormati dalam Islam atau benda-benda yang ditulis padanya daripada hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tempat-tempat kotor dan jijik. (Al- Nihâyah 7/416).

Al-Imam Al-Rauyani pula menyatakan bahawa antara perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam (murtad) ialah apabila benda-benda yang ditulis padanya ilmu-ilmu syariah atau ilmu Islam diletakkan di tempat yang kotor dan jijik, kerana perbuatan-perbuatan sedemikian dengan terang telah menghina dan merendah-rendahkan agama Islam. (Al-Nihâyah 7/416).

Seterusnya Al-Ramli telah menjelaskan bahawa perbuatan-perbuatan seperti meletak Al-Qur’an di tempat kotor dan jijik dan menyentuh Al-Qur’an ketika berhadas adalah menjadi tanda atau qarînah yang menunjukkan kepada menghina Al-Qur’an dan merendah-rendahkan agama.

Berdasarkan kepada keterangan-keterangan di atas, demi menjaga kesucian agama, kita wajib berwaspada dan bersungguh-sungguh dalam menghormati ayat-ayat Al-Qur’an yang ditulis pada surat-surat khabar, kad-kad jemputan atau seumpamanya. Begitu juga dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang diukir di papan-papan atau seumpamanya agar tidak dibuang atau dicampakkan ke merata tempat seperti longkang, jalan raya, tong sampah dan tandas. Helai-helai kertas, akhbar, surat- surat dan kad jemputan tersebut janganlah hendaknya dijadikan pembungkus barangan, alas kaki, alas duduk, barang mainan kepada kanak-kanak kecil atau apa-apa juga keperluan yang boleh dikategorikan sebagai menghina ayat Al-Qur’an.

Cara Memusnahkan Mushhaf Atau Kertas Yang Mengandungi Ayat- Ayat Al-Qur’an

Mushaf atau kertas yang mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an tidak boleh dikoyak atau dicarik-carik kerana cara itu bererti memutuskan huruf-huruf dan kalimahnya dan mempersia-siakan apa yang termaktub itu.

Jika Mushhaf atau tulisan-tulisan ayat Al-Qur’an itu tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dimusnahkan di antara caranya ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi, membakar atau menanamnya.

Sebahagian ulama berpendapat membakarnya adalah lebih utama kerana Sayyidina Uthman Al-‘Affan pernah membakar Mushhaf-mushhaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya. Sebahagian ulama pula menetapkan ia tidak boleh dibakar kerana cara itu tidak menghormati namanya sehingga menghukumkannya sebagai makruh.

Selain itu ada yang perpendapat bahawa membasuhnya lebih utama. Sebahagiannya pula mengatakan Mushhaf itu tidak dibakar, bahkan ia hendaklah ditanam dalam tanah dan dengan cara ini ia tidak akan terkena pijakan. (Al-Itqân 4/165)

Dalam pada itu, setengah ulama mutakhir berpendapat bahawa cara membakar itu adalah cara yang paling ringan dilakukan. Disertakan dengan niat yang baik, maka cara ini dilakukan hanya semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan Al-Qur’an, bukan merendahkan apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan. (Ahsan Al-Kalâm 2/210)

Disimpulkan bahawa Mushhaf Al-Qur’an yang menjadi kitab suci umat Islam adalah wajib dihormati, seperti tidak meletakkan sesuatu di atasnya, menyentuh atau mengangkatnya kecuali ketika dalam keadaan berwudhu dan tidak menuliskannya pada kertas, kad, poster atau bahan-bahan cetak yang lain yang terdedah kepada pencemaran kesucian dan kehormatannya itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10458

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص