Hutang: Kewajipan Melunaskannya
الجواب
Keselesaan hidup adalah menjadi idaman dan cita-cita semua orang. Keselesaan hidup yang memuaskan akan dirasai jika disertai dengan umur yang panjang, kesihatan tubuh badan yang baik dan rezeki yang luas. Namun kepuasan yang sejati tidak akan dirasai jika keselesaan tersebut tidak disertai dengan iman dan Islam, dalam keadaan taat menjunjung perintah Allah. Iman dan Islam ini merupakan dua faktor penting yang menjamin keselesaan hidup manusia. Iman dan Islam menjadi panduan hidup di dunia untuk mencapai kebahagiaan di akhirat kelak. Hidup di akhirat itu lebih baik, kekal dan abadi. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A‘lâ: 17)
Mengumpul kekayaan tidaklah dilarang selagi kekayaan itu tidak menghalang orang berkenaan daripada menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, keluarga, masyarakat dan negara. Apa yang penting dalam mengharungi nikmat kekayaan itu ialah kekuatan iman yang mempengaruhi jiwa dan komitmen terhadap Islam yang mampu mengawal keperibadian dan akhlak seseorang itu. Dengan demikian, dia tahu kekayaan itu datang daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan dia juga tahu kekayaan itu adalah amanah Allah yang memerlukan pengawasan dan pengurusan yang rapi dan sempurna.
Konsep kekayaan dalam Islam bukan semata-mata mengumpul harta, akan tetapi bagaimana harta yang dikumpul itu mesti dibelanjakan menurut tuntutan syara‘. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya Hari (Kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan (yang memberi manfaat) serta tidak ada pula pertolongan syafaat.” (Surah Al-Baqarah: 254)
Sikap kedekut sangat dikeji dalam Islam. Antara ayat Al-Qur’an yang menyebutkan tentang akibat sifat bakhil itu ialah:
Tafsirnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahanNya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik pada mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak.” (Surah آli ‘Imran: 180)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: ‘‘Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak yang tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): ‘‘Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu.’’ (Surah Al-Taubah: 34-35)
Dari ayat di atas jelas kepada kita bahawa kita dilarang mengumpul kekayaan yang menyebabkan kita bersifat kedekut. Dalam membelanjakan harta mestilah mengikut ukuran yang telah ditentukan oleh hukum syara‘. Di antaranya mestilah membelanjakan harta tersebut pada jalan kebaikan dan kebajikan yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan kita juga dilarang berbelanja dengan boros. Berbelanja dengan boros tanpa melihat kepada keperluan akan menyebabkan pembaziran dan kemungkinan akan menyebabkan kehabisan harta. Membazir itu sifat yang keji di sisi Allah kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menyifatkan bahawa orang yang boros atau membazir itu sebagai saudara kepada syaitan. Firman Allah:
Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isrâ’: 27)
Dengan demikian dapatlah difahami bahawa berbelanja itu hendaklah dengan cara yang sederhana. Sederhana dalam berbelanja itu termasuklah tidak berbelanja berlebihan daripada kadar kemampuan. Berbelanja di luar kemampuan ini banyak mendatangkan risiko buruk umpamanya memaksa dirinya berhutang demi memenuhi kehendak hatinya.
Untuk menikmati kemewahan hidup ini, tidak sedikit orang terdorong untuk berhutang. Tambahan pula bank-bank dan institusi-institusi kewangan dengan rancak mempromosikan berbagai produknya. Berbagai skim pembiayaan telah diperkenalkan untuk menarik orang ramai berhutang. Berhutang pada zaman kini semacam suatu budaya bagi orang-orang yang hendak menjaga imej dan status.
Dengan tersebarnya budaya berhutang ini, sebahagian orang menganggap berhutang itu adalah perkara biasa, ringan dan mudah sehingga mereka berani berhutang semaksimum mungkin tanpa memikirkan dengan bersungguh-sungguh sebab-sebab mengapa perlu berhutang dan kesan daripadanya jika tidak mampu untuk membayar pada masa yang ditetapkan.
Dalam hal hutang ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat tidak menyukai orang Islam yang berhutang kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Justeru itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selalu meminta perlindungan kepada Allah daripada berhutang. Doa Baginda itu berbunyi:
Maksudnya: ‘‘Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada dilanda hutang dan kekuasaan orang lain.’’ (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya mengapa Baginda banyak meminta perlindungan daripada berhutang, Baginda menjawab, maksudnya: ‘‘Kerana kalau seseorang itu berhutang, apabila dia bercakap dia berdusta dan apabila dia berjanji dia mungkir.’’
Kewajipan membayar hutang itu tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar pahalanya. Oleh sebab itu Islam mengenakan syarat-syarat tertentu terhadap hutang piutang sehingga orang yang berhutang tidak boleh lari daripada membayarnya.
Berdasarkan hakikat ini, Islam menasihatkan setiap Muslim agar menghindarkan diri daripada berhutang kecuali kerana sangat memerlukan. Kalaupun terpaksa berhutang, dia hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang berkenaan. Bukanlah dengan sewenang-wenangnya berhutang, apatah lagi jika berhutang dengan niat ingin menangguh-nangguhkannya. Akan lebih jahat lagi jika tidak membayar hutang berkenaan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menjelaskan dalam sebuah hadis:
Maksudnya: ‘‘Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar), maka Allah akan membinasakan dia.” (Hadis riwayat Bukhari)
Menurut ajaran Islam, hutang itu wajib dibayar dengan segera. Orang yang berniat tidak akan membayar hutangnya adalah melakukan dosa besar. Ibn Hajar Al-Haithami Rahimahullah dalam kitabnya Al-Zawâjir menyebutkan bahawa dosa besar yang kedua ratus lima dan dua ratus enam ialah: Orang yang berhutang dengan niat tidak akan membayarnya atau berhutang dengan tidak ada harapan untuk membayarnya sekira-kira dia tidak berhajat sangat untuk berhutang dan tidak ada baginya suatu jalan nyata yang membolehkan dia membayar hutangnya dan orang yang memberi hutang pula tidak mengetahui hal orang berhutang itu.
Menurut kenyataan dalam sebuah hadis, orang yang enggan membayar hutang itu dianggap sebagai pencuri. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: “Sesiapa juga yang berhutang dan dia bercita- cita tidak akan membayarnya, dia akan menemui Allah sebagai pencuri.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan Baihaqi)
Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Thabarani dalam Al-Saghîr dan Al-Awsath dengan sanat perawi-perawinya yang tsiqah menyatakan bahawa orang yang enggan membayar hutang telah menipu sehingga dia mengambil wang dan harta orang yang menghutanginya. Jika dia mati dalam keadaan dia tidak membayar hutangnya, dia akan menemui Allah sebagai seorang pencuri.
Imam Ahmad, Al-Nasa’i dan Al-Hakim yang menshahîhkan riwayat daripada Abu Sa‘id Al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: ‘‘Saya mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘‘Aku berlindung dengan Allah daripada kekufuran dan hutang. Lalu berkata seorang lelaki: ‘‘Wahai Rasulullah! Adakah setanding hutang itu dengan kufur?” Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ya!”
Dari itu, selaku orang-orang yang beriman, jika kita berhutang hendaklah dijelaskan kepada orang yang memberi hutang supaya kita terhindar daripada segala kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan balasan buruk kerana menanggung hutang sepertimana yang diterangkan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10466
دليل الألوان
