Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية٠ مشاهدة

Melengah-Lengahkan Membayar Hutang

الجواب

Memberi hutang adalah amalan yang mulia jika tujuannya untuk meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup, bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang.

Jika dilihat kepada konsep kemasyarakatan, memberi hutang sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan kepada orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi)

Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan kesusahan orang lain termasuk memberi hutang. Berbeza halnya dengan orang yang berhutang. Berhutang adalah amalan yang tidak digalakkan oleh Islam kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikan kepada waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan membayar hutang.

Dari itu, hutang perlu dijelaskan dengan segera. Jangan suka atau sengaja tidak menghiraukan hutang sehingga menyebabkan hutang tersebut tertangguh begitu lama sekali dengan berbagai-bagai alasan yang diberikan mengenainya sehingga kadang-kadang menyebabkan kesusahan kepada orang yang memberi hutang. Dalam keadaan-keadaan lain, hubungan kedua belah pihak menjadi tidak mesra, bahkan seperti bermusuhan. Kadang-kadang penangguhan itu bukan kerana tidak mampu membayar hutang, tetapi sengaja dilengah-lengahkan. Menurut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, orang yang sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan segera adalah melakukan kezaliman. Demikian ditegaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: “Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta (untuk membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan menghalalkan hukumannya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Daripada maksud hadis di atas, Ibnu Hajar Al-Haitsami berpendapat bahawa orang-orang yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang sedangkan dia berkeupayaan untuk melunaskannya menyebabkan kehormatannya boleh dicemari dengan menceritakan hal tersebut kepada orang lain. Walau bagaimanapun hal yang boleh diceritakan itu hanyalah mengenai buruk perangainya kerana melengah-lengahkan hutang itu sahaja. Adapun menceritakan keburukannya yang lain adalah haram hukumnya kerana orang yang dizalimi itu hanya dibenarkan menceritakan kezaliman dalam perkara menangguhkan hutang sahaja. Dalam perkara menghalalkan hukuman ke atasnya bererti dia boleh dihukum kerana perbuatan sengaja melengah-lengahkan hutang. Hukuman itu sama ada dipenjara, dirotan atau seumpamanya. (Al-Zawâjir: 414)

Menurut Ibnu Hajar lagi, sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan berkemampuan itu adalah melakukan dosa besar.

Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: ‘‘Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.’’ (Hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Di antara risikonya lagi, sebagai contoh, suatu peristiwa pernah terjadi di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam enggan menyembahyangkan jenazah apabila Baginda mengetahui orang yang meninggal itu masih mempunyai tanggungan hutang.

Tindakan Baginda itu jelas menunjukkan tentang ketidaksukaan Baginda terhadap orang-orang yang berhutang. Tindakan sedemikian memberi pengajaran kepada orang lain tentang akibat berhutang.

Jika si penghutang benar-benar tidak berkeupayaan untuk membayar hutangnya dalam jangka atau tempoh yang dijanjikan atau ditentukan, berterus-teranglah kepada pemiutang dan berundinglah bagaimana cara yang patut dan munasabah untuk membayar hutangnya.

Dari itu kikislah sifat dan tabiat suka berhutang kecuali dalam perkara-perkara yang benar-benar perlu dan mendesak. Bebaskanlah diri daripada sebarang hutang agar hidup dalam keadaan riang gembira dan selesa di dunia dan di akhirat kelak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10478

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص