Murtad Dan Risikonya
الجواب
Agama Islam adalah satu-satunya agama yang dapat menyelamatkan umat manusia daripada sebarang bencana di dunia dan akhirat. Tidak ada agama yang paling sempurna selain Islam, tidak ada ajaran dan pegangan yang paling baik dan indah selain yang ada di dalam Islam, Islam sahajalah agama yang diperakui oleh Allah Ta‘ala. FirmanNya:
Tafsirnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah hanyalah agama Islam.” (Surah Âli ‘Imran: 19)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada Hari Akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi.” (Surah Âli ‘Imran: 85)
Justeru itulah sejak dari awal-awal lagi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama para sahabat telah bersungguh-sungguh berkorban jiwa dan harta mengajak manusia memeluk Islam agar mereka selamat dan sejahtera. Kemudian membimbing mereka agar teguh dan tidak rela meninggalkan agama ini (Islam) walau dalam apa keadaan sekalipun yang dihadapi.
Di samping itu umat Islam tidak lupa diberi amaran dan ancaman keras supaya jangan meninggalkan agama ini kerana meninggalkan agama Islam kepada agama lain, atau kepada tidak beragama, bererti murtad. Inilah risiko yang amat berat. Murtad itu bukan hanya terjadi dengan sebab mengisytiharkan keluar daripada agama Islam itu, bahkan ada perbuatan atau perkataan yang dilakukan tanpa disedari boleh membawa kepada terjadinya murtad itu seperti menghina Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Peristiwa Riddah Pada Zaman Sahabat
Dalam sejarah Islam peristiwa riddah atau orang Islam keluar daripada agamanya telah berlaku di zaman pemerintahan Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu iaitu tidak lama selepas Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat.
Di dalam kitab-kitab sejarah Islam, antara lain menerangkan bahawa sebaik saja berita tentang kewafatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tersebar kepada orang-orang Islam di sekitar Madinah dan di kawasan semenanjung Arab, maka ada di kalangan mereka yang meninggalkan Islam (murtad). Sebahagian daripada mereka menunjukkan kemurtadannya dengan mengisytiharkan bahawa mereka tidak lagi mahu mengeluarkan zakat. Berdasarkan keterangan hadis, orang yang menafikan kewajipan rukun Islam atau salah satu daripadanya seperti zakat, dia sudah terkeluar daripada Islam.
Dalam hal ini Imam Al-Suyuti antara lain mencatatkan: “Al-Isma‘ili mentakhrîjkan daripada Umar Radhiallahu ‘anhu, katanya: “Manakala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat, ramailah yang murtad daripada kalangan bangsa Arab dan mereka itu berkata: “Kami sembahyang tetapi tidak akan mengeluarkan zakat lagi”. Lalu aku menemui Abu Bakar dan berkata kepadanya…. ”(Târîkh Al-Khulafâ’ h. 67)
Mendengar peristiwa yang menyayat hati ini, maka Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu yang baru saja dilantik sebagai Khalifah, terus segera bertindak dengan menyiapkan semula tentera pimpinan Usamah bin Zayd Radhiallahu ‘anhu untuk pergi menjalankan misinya ke kawasan Utara Jordan untuk menyampaikan dakwah yang sebelumnya telah dipersiapkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi tergendala dengan sebab kewafatan Baginda.
Ramai di kalangan sahabat yang tidak menyetujui tindakan segera Abu Bakar ini dengan alasan antara lain bahawa umat Islam masih dirundung kesedihan kerana kewafatan Baginda Nabi dan kepergian tentera pimpinan Usamah itu akan melemahkan pertahanan Kota Madinah sebaliknya akan memberi peluang kepada pihak musuh menyerang kota Madinah, terutama golongan yang diberitakan telah murtad.
Namun Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu berkeras dan berpandangan sebaliknya. Beliau bertindak demikian kerana berpendapat bahawa persoalan murtad adalah ancaman dan bahaya yang besar kepada umat Islam kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada orang-orang Islam lain yang masih lemah imannya. Jadi, dengan kemunculan tentera pimpinan Usamah dari kota Madinah akan menunjukkan kepada pihak musuh tentang kemantapan Kota Madinah dan akan menggerunkan pihak lawan, terutama orang-orang murtad.
Oleh sebab itu misi Usamah itu perlu diteruskan segera. Di samping menyambung rancangan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang tergendala, ia juga bermaksud untuk menunjukkan kepada orang-orang murtad bahawa orang-orang Islam masih kuat dan dengan itu diharapkan mereka akan kembali kepada Islam.
Dalam peristiwa yang sama, mengikut satu riwayat (Mahmud Syakir, Al- Târîkh Al-Islâmi 3/67) tanpa menunggu kepulangan tentera pimpinan Usamah, maka Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu sendiri sebagai khalifah dan ketua negara memaklumkan kepada para sahabat bahawa beliau sendiri akan memimpin tentera Islam untuk pergi menyerang orang-orang murtad di kawasan Utara Madinah yang telah mula berleluasa. Mendengar maklumat ini, para sahabat memberi saranan agar pimpinan tentera diserahkan kepada orang lain memandangkan ketua negara tidak patut meninggalkan Kota Madinah pada saat-saat umat Islam masih lagi bersedih dan ditakuti pula ada anggapan orang luar bahawa orang-orang Islam kini sudah lemah dan ketiadaan pimpinan. Namun Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu tidak mengendahkan saranan itu demi untuk menumpaskan orang-orang murtad itu.
Kejadian di atas menggambarkan bahawa betapa prihatinnya para pemimpin dan pihak berkuasa dalam menangani soal murtad ini. Mereka tidak teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang menentangnya atau menolak salah satu rukun Islam walaupun mereka telah diberi nasihat. Akibatnya mereka perlu diperangi dan dibunuh, kecuali yang mahu bertaubat dan kembali semula kepada Islam.
Penglibatan pihak pimpinan tertinggi negara dalam membanteras gejala murtad seperti di atas menunjukkan betapa seriusnya agama Islam menangani kes tersebut.
Itulah sekelumit catatan peristiwa riddah pada zaman sahabat yang diterangkan di dalam kitab-kitab sejarah Islam.
Risiko Riddah Mengikut Hukum Fiqh.
Persoalan riddah telah disentuh oleh para ulama, bahkan ia telah mengambil salah satu tempat yang terpenting di dalam senarai kes-kes hukum jenayah yang mereka bicarakan. Persoalan ini mereka letakkan di dalam bab atau bahagian khas yang sebahagiannya mereka namakan dengan Kitab Al- Riddah, Bab Al-Riddah dan Ahkâm Al-Riddah (hukum-hakam orang murtad).
Dengan merujuk kepada analisis hukum yang dikeluarkan oleh ulama tentang orang-orang murtad berdasarkan nash-nash syara‘, hukum pertama yang mereka sepakati ialah tentang wajib membunuh orang-orang yang benar-benar didapati murtad. Ilmuan fiqh abad ini, Dr. Wahbah Al-Zuhaili berkata: “Para ulama telah sepakat tentang wajib hukum bunuh ke atas orang murtad”. Katanya lagi: “Dan telah ijmâ‘ para ahli ilmu tentang wajib hukum bunuh ke atas lelaki yang murtad dan hukum bunuh ke atas wanita yang murtad mengikut pendapat jumhûr ulama”. (Al-Fiqh Al-Islâmi wa Adillatuh 6/186)
Mengikut analisis para ulama lagi, tindakan murtad merupakan salah satu jenis kekufuran yang amat keji dan sangat keterlaluan dan ianya menyebabkan terhapus dan hilangnya segala balasan pahala kebajikan yang pernah dilakukan sebelum murtad sekiranya mati di dalam kemurtadan (wal ‘iyazu billah). (Al-Sayyid Al-Bakri, I‘ânah Al-Thâlibîn 4/132-134)
Perlaksanaan hukum bunuh di atas hanya akan berlaku apabila orang murtad berkenaan enggan bertaubat dan enggan kembali kepada Islam setelah dinasihati dan diarahkan bertaubat. Hukum memberi nasihat dan menyuruh bertaubat ini adalah wajib ke atas pemerintah. Taubat di sini mestilah dilaksanakan dengan mengucap dua kalimah syahadat. (I‘ânah Al-Thâlibîn 4/139)
Selain daripada hukum di atas, banyak lagi hukum yang timbul kesan daripada tindakan keluar daripada Islam, antara lain ialah: Hilang hak penjagaan anak, baki hartanya diserahkan ke Baitulmal, tidak sah menjadi wali nikah, hilang taraf kehormatan diri, putus perkahwinan setelah habis ‘iddah, tidak dibenarkan berkahwin sama ada dengan orang Islam atau kafir, tidak berhak harta waris dan lain-lain lagi.
Dasar Hukum Wajib Membunuh Orang Murtad
Di antara dasar hukum wajib pihak berkuasa membunuh orang murtad ialah hadis-hadis berikut:
Maksudnya: “Sesiapa yang menukar keislamannya, hendaklah kamu bunuh dia.” (Hadis para perawi kecuali Muslim)
Maksudnya: “Tidak halal darah seseorang muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara; tsayyib (duda/janda) yang berzina, qishash nyawa dengan nyawa dan orang yang menukar agamanya yang terpisah daripada jemaah (kaum muslimin).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas‘ud)
Maksudnya: “Mana-mana lelaki yang murtad daripada Islam, hendaklah kamu menyerunya supaya kembali kepada Islam jika dia mahu. Jika tidak, pancunglah tengkuknya. Dan mana- mana perempuan yang murtad, hendaklah kamu menyerunya supaya kembali kepada Islam jika dia mahu. Jika tidak, pancunglah tengkuknya.” (Hadis riwayat Thabarani daripada Mu‘az bin Jabal)
Itulah di antara dalil-dalil yang menunjukkan betapa berat dan besarnya risiko murtad (keluar daripada agama Islam).
Berdasarkan hasil analisis para ulama yang mu‘tabar dan berkaliber daripada hadis-hadis ini dan dalil-dalil lain, adalah wajib dihukum bunuh orang murtad sebagai risiko terhadap kemurtadannya.
Orang yang tidak mengakui kedudukan dan fungsi dalil-dalil tersebut sebagai dalil wajib bunuh ke atas orang murtad setelah cukup persyaratan hukumnya, serta menafikan hukum berkenaan, mereka adalah golongan yang terpesong, tersilap dan terkeluar daripada konsep ahli Sunnah bahkan terkeluar daripada Islam (kafir).
Termasuk golongan murtad itu, mereka yang anti hadis yang hanya mengutamakan atau hanya berpegang kepada Al-Qur’an. Golongan ini menyampaikan diayah jahat mereka menerusi pelbagai media massa sama ada media cetak atau elektronik. Mereka cuba mempengaruhi orang-orang yang cetek pengetahuannya mengenai Islam dengan memaparkan berbagai teori yang mengelirukan tanpa bersumberkan kepada asas-asas hukum yang mu‘tabar. Mereka mengutamakan andaian akal mereka daripada nash-nash syara‘. Mereka ini adalah golongan yang sesat dan menyesatkan.
Termasuk juga yang terkeluar daripada agama Islam itu mereka yang menghina dan menolak hadis yang telah disepakati dan diijma‘kan oleh ahli hadis tentang keshahîhannya. Ini kerana mengikut para ulama yang mu‘tabar, di antara sebab yang boleh membawa seseorang terkeluar daripada Islam (murtad atau menjadi kafir) termasuklah menghina atau menolak hukum yang telah diijmâ‘kan umat Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10482
دليل الألوان
