Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Ketika Yang Diharuskan Berbuka Puasa

الجواب

Puasa bulan Ramadhan adalah wajib fardhu ‘ain ke atas orang mukallaf jika dia mukim dan berkuasa untuk melakukannya. Bagi perempuan disyaratkan ketika berpuasa itu dia suci daripada haidh dan nifas.

Walaupun hukum puasa Ramadhan itu wajib, namun Islam tidak memberatkan umatnya melakukannya dalam keadaan tertentu, kerana Islam adalah satu agama yang mudah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah Al-Hajj: 78)

Dan firmanNya lagi:

Tafsirnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Kedua-dua ayat di atas jelas menggambarkan kepada kita bahawa apapun ibadat atau tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syariat Islam itu bukan untuk menyusahkan umat manusia. Ibadat atau tanggungjawab itu dilakukan mengikut kadar kemampuan seseorang. Bagi orang yang tidak berupaya menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan, Islam telah menyediakan kelonggaran-kelonggaran kepada mereka.

Sehubungan dengan itu, orang sakit dan orang musafir (dalam pelayaran) adalah di antara orang yang diberi kelonggaran dalam menunaikan puasa. Sakit dan musafir adalah dikira keuzuran yang membolehkan seorang itu berbuka puasa dengan syarat sakit atau pelayaran itu menyebabkan orang berkenaan tidak berdaya menunaikan ibadah puasa atau puasa itu akan mendatangkan mudarat kepada mereka. Dalam Al-Qur’an Allah berfirman:

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah: 184)

Berbuka Puasa Kerana Sakit

Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh adalah diharuskan berbuka puasa di siang hari bulan Ramadhan jika puasa itu akan membebankan dirinya dan tidak wajib atasnya menqadha puasa yang ditinggalkannya itu. Walau bagaimanapun sebagai ganti puasa yang ditinggalkan itu, dia dikehendaki membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin pada setiap hari dengan secupak beras atau apa juga makanan asasi bagi suatu tempat itu.

Manakala orang sakit yang ada harapan sembuh, jika puasa itu akan mendatangkan mudarat kepada dirinya, menambahkan sakitnya, melambatkan sembuh sakitnya atau puasa itu akan mengekalkan sakitnya, maka harus baginya berbuka puasa Ramadhan tetapi wajib atasnya qadha setelah sembuh. Begitulah juga hukumnya jika puasa itu menghalang dirinya daripada mendapat manfaat perubatan atau rawatan yang boleh menghilangkan sakitnya.

Keharusan berbuka puasa bagi orang sakit itu berakhir apabila dia sembuh daripada sakitnya. Jika orang sakit itu tiba-tiba sembuh ketika dia dalam keadaan berbuka puasa maka mustahabb (sangat disukai) atasnya menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah ketika berpuasa sehingga tiba waktu berbuka puasa pada hari berkenaan kerana menghormati bulan Ramadhan. Berbeza halnya dengan perempuan yang haidh dan nifas, jika dia bersih daripada haidh atau nifas di siang hari bulan Ramadhan, dia tidak dikehendaki menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah ketika berpuasa. Walaupun menahan diri itu bukan wajib ke atas orang sakit kerana dia berbuka atas sebab keuzuran, namun jika dia hendak makan atau minum, sunat atasnya menahan diri di khalayak ramai kerana mengelakkan tohmahan terhadap dirinya. (Al-Baghawi, Al-Tahdzîb 3/173 dan Mughni Al-Muhtâj 1/437)

Adapun orang sakit yang berkala iaitu pada suatu waktu sakitnya itu berkurangan seperti demam, jika ketika masuk waktu wajib puasa itu dia demam maka diharuskan baginya berbuka dari awal waktu tanpa berniat puasa. Tetapi jika di awal waktu itu (sebelum masuk fajar) demamnya hilang, maka wajib atasnya berniat puasa. Tetapi jika sakitnya itu datang semula dan dia berhajat kepada berbuka, maka harus baginya berbuka puasa. Bahkan wajib atasnya berbuka jika dikhuatiri puasa itu akan membinasakan dirinya.

Hukum orang yang sakit seperti di atas adalah sama dengan orang yang sangat lapar dan sangat dahaga iaitu diharuskan berbuka dan wajib qadha. Kelonggaran tersebut berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (Surah Al-Nisâ’: 29)

Dan firmanNya lagi:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil).” (Surah Al-Baqarah: 195)

Menurut Al-Baghawi dalam fatwanya, jika orang yang mukim berpuasa, tiba-tiba dia jatuh sakit maka harus baginya berbuka kerana adanya sebab (‘illah) yang membolehkan dia berbuka. Berbeza dengan musafir, jika orang yang mukim itu berpuasa, tiba-tiba dia musafir, maka tidak harus baginya berbuka kerana ia adalah ibadat yang berhimpun padanya hadhr (mukim) dan safar (pelayaran). Dalam hal ini yang dikira ialah hadhr (mukim) kerana ia adalah asal.

Adapun orang yang sangat tua atau lemah yang menyebabkan dia tidak berupaya untuk mengerjakan ibadat puasa adalah harus baginya berbuka puasa dan wajib atasnya membayar fidyah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah Al-Baqarah: 184)

Berbuka Puasa Kerana Musafir

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, bahawa Hamzah bin ‘Amr Al-Aslami bertanya kepada Baginda tentang berpuasa ketika dalam pelayaran. Baginda menjawab dengan sabdanya:

Maksudnya: “Jika engkau mahu, berpuasalah dan jika engkau mahu, berbukalah.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas jelas menggambarkan bahawa orang musafir dalam bulan Ramadhan diberi kelonggaran sama ada memilih puasa atau berbuka.

Walaupun demikian, keharusan berbuka puasa Ramadhan kerana musafir itu bukanlah diberikan kepada semua orang musafir. Ia hanya dikhususkan kepada mereka yang memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Pelayarannya itu mestilah pelayaran yang mengharuskan sembahyang qashar iaitu kadar dua marhalah (kira-kira 89 kilometer) atau lebih.

2. Pelayaran itu bukan kerana tujuan yang menyebabkan berlakunya maksiat.

3. Pelayaran itu mestilah sebelum masuk waktu yang diwajibkan puasa seperti pelayaran selepas Maghrib dan sebelum fajar. Jika waktu pelayaran itu setelah masuk waktu berpuasa seperti selepas terbit fajar maka wajib bagi musafir tersebut berpuasa dan haram dia berbuka. Maka dalam keadaan sedemikian jika dia berbuka dengan menyetubuhi isterinya pada hari itu wajib atasnya kaffârah kerana pada hari tersebut tidak diharuskan baginya berbuka puasa.

4. Orang musafir itu mengharap akan berhenti pada suatu tempat yang membolehkan dia mengqadha puasa yang ditinggalkannya ketika dalam pelayaran. Ini bermakna orang-orang yang sentiasa dalam pelayaran (tidak ada tempat tinggal yang tetap baginya) adalah tidak harus baginya berbuka puasa kerana pelayaran yang sedemikian akan menyebabkan kewajipan puasa itu ditinggalkan sama sekali. Walau bagaimanapun, jika dia berniat untuk mengqadhanya di hari-hari yang lain dalam pelayarannya, maka harus baginya berbuka puasa Ramadhan kerana pelayaran.

Keharusan berbuka bagi orang musafir itu tidak ada bezanya sama ada dia akan berbuka dengan makan, minum atau lainnya seperti jimâ‘ dan sebagainya.

Apabila orang musafir itu berbuka puasa, maka wajib atasnya mengqadha puasa yang ditinggalkannya tetapi tidak perlu membayar fidyah seperti orang sakit yang tidak ada harapan sembuh. Keharusan berbuka puasa bagi orang musafir itu akan berakhir jika dia mukim pada suatu tempat sepertimana yang dimaksudkan dalam sembahyang qashar. Jika dia tiba di tempat berkenaan dalam keadaan dia berbuka puasa maka adalah mustahabb atasnya menahan diri daripada perkara-perkara yang ditegah ketika berpuasa sehingga waktu berbuka puasa kerana menghormati bulan puasa.

Berbuka puasa bagi orang musafir adalah sebagai kelonggaran (rukhshah) baginya. Walau bagaimanapun jika puasa itu tidak mendatangkan kesusahan atau kemudaratan pada dirinya semasa dalam pelayaran, maka berpuasa adalah lebih afdhal baginya daripada berbuka. Keadaan sedemikian bersesuaian dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu, kalau kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 184)

Jika puasa itu akan memudaratkan dirinya dalam pelayaran tersebut maka afdhal baginya berbuka puasa. Hal ini dijelaskan dalam hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu perjalanan, beliau melihat orang ramai berkerumun dan seseorang telah dinaungi (daripada kepanasan matahari). Baginda bersabda: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Seseorang yang sedang puasa.” Maka Baginda bersabda: “Tidak termasuk kebajikan, puasa dalam berpergian.” (Hadis riwayat Bukhari)

Adapun bagi orang yang berpuasa qadha yang wajib disegerakan tidak ada baginya kelonggaran atau keharusan berbuka puasa dalam pelayaran. Begitulah juga hukum orang yang berpuasa nazar sebulan, kemudian dia belayar sebelum selesai puasa nazarnya.(Mughni Al-Muhtâj 1/437)

Dengan penjelasan di atas dapatlah difahami bahawa jika puasa itu tidak memudaratkan seseorang mukallaf, maka ibadat puasa itu tetap dituntut untuk ditunaikan. Tidak ada kelonggaran baginya meninggalkan kewajipan puasa itu sekalipun dia sakit atau musafir. Begitu juga sebaliknya jika puasa itu memudaratkan seseorang, maka harus baginya berbuka dan wajib atasnya qadha kecuali orang tua yang lemah dan orang sakit yang tidak ada harapan sembuh. Tetapi mereka dikehendaki membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10489

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص