Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Bilakah Wajib Qadha, Fidyah Dan Kaffârah Puasa Ramadhan?

الجواب

Islam tidak membebankan umatnya dalam membuat perkara ibadat. Islam memberikan kelonggaran-kelonggaran tertentu kepada umatnya yang tidak mampu dan berdaya melakukannya. Sebagai contoh sembahyang yang tidak berupaya dilakukan dengan berdiri, dibolehkan melakukannya dengan duduk. Sembahyang berbaring atau menelentang juga diharuskan jika tidak boleh dilakukan dengan cara berdiri atau duduk.

Begitu juga dengan kewajipan puasa Ramadhan, jika seseorang yang tidak mampu berpuasa dengan sebab-sebab uzur yang dibenarkan seperti sakit, dalam pelayaran, orang tua, perempuan hamil dan seumpamanya adalah di antara orang-orang yang diharuskan berbuka dengan masing-masing diwajibkan qadha sejumlah hari-hari yang tertinggal atau dengan membayar fidyah atau kedua-duanya. Perkara-perkara ini dijelaskan oleh Al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan pendapat ulama mengenainya.

Berdasarkan penjelasan-penjelasan tersebut, ulama dengan ijmâ‘ berpendapat bahawa orang yang meninggalkan puasa dengan uzur syar‘i diwajibkan qadha. Di samping itu ada juga orang yang meninggalkannya ditentukan ke atasnya membayar fidyah. Perkara ini termasuklah orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur.

Secara umumnya, qadha puasa diwajibkan ke atas mereka yang meninggalkan puasa Ramadhan, sama ada dengan keuzuran syar‘i atau sebaliknya. Ini berdasarkan ayat Al-Qur’an, di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam pelayaran, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah Al-Baqarah: 184-185)

Berdasarkan ayat di atas, keuzuran syar‘i yang mewajibkan qadha puasa itu ialah seperti sakit, musafir, haidh dan nifas. Bagaimanapun mereka yang sengaja tidak berpuasa pada bulan Ramadhan tanpa keuzuran syar‘i adalah melakukan dosa besar kerana melanggar perintah kewajipan berpuasa dan mereka tetap wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan itu.

Menurut hukum syara‘ orang yang meninggalkan puasa itu ada beberapa golongan:

1. Orang yang diwajibkan qadha sahaja. 2. Orang yang diwajibkan qadha dan fidyah. 3. Orang yang tidak wajib qadha tetapi wajib fidyah. 4. Orang Yang Diwajibkan kaffârah.

Orang Yang Diwajibkan Qadha Sahaja

Qadha puasa hanya diwajibkan kepada mereka yang berbuka puasa di bulan Ramadhan, sama ada dengan keuzuran syar‘i atau tidak. Di antara orang-orang yang diwajibkan qadha puasa itu ialah:

i) Orang yang sakit yang ada harapan sembuh. Jika puasa itu boleh mendatangkan mudarat ke atas dirinya, sama ada menambahkan sakitnya, melambatkan sembuh sakitnya atau puasa itu mengekalkan sakitnya, maka adalah harus bagi orang yang sakit itu berbuka puasa Ramadhan tetapi wajib ke atasnya mengqadha puasa sebanyak hari yang ditinggalkannya setelah sembuh.

ii) Orang yang musafir (dalam pelayaran) juga di antara orang yang diberi kelonggaran dalam menunaikan puasa. Keharusan berbuka puasa Ramadhan kerana musafir, hanya diberikan kepada mereka yang memenuhi syarat-syarat musafir sebagaimana yang ditentukan oleh syara‘ seperti:

a. Hendaklah jarak perjalanan pergi belayar itu, tidak kurang daripada dua marhalah iaitu 91 kilometer atau 56 batu.

b. Hendaklah pada permulaan perjalanan itu berniat (qashd) hendak membuat pelayaran menuju ke destinasi yang diketahui serta menetapkan azam tanpa ragu-ragu untuk berjalan dalam jarak jauh tidak kurang daripada dua marhalah.

c. Perjalanan itu hendaklah atas tujuan yang diharuskan oleh syara‘ dan bukan atas tujuan untuk mengerjakan perkara-perkara yang diharamkan atau maksiat.

d. Pelayaran itu hendaklah sebelum masuk waktu diwajibkan puasa seperti selepas Maghrib dan sebelum fajar.

Bagi musafir yang diharuskan berbuka itu adalah wajib mengqadha puasa sebanyak hari yang telah ditinggalkannya.

Orang yang sakit dan orang musafir yang diharuskan berbuka puasa di bulan Ramadhan telah dijelaskan oleh Al-Qur’an, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam pelayaran, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain”. (Surah Al-Baqarah: 184)

Hukum orang yang sakit dan musafir di atas adalah sama dengan orang yang sangat lapar dan sangat dahaga. Orang seperti ini juga diharuskan berbuka dan wajib qadha. Kelonggaran tersebut berdasarkan firman Allah subhanahu wa ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (Surah Al-Nisâ’: 29)

iii) Orang perempuan yang dalam keadaan haidh dan nifas tidak wajib dan tidak sah menunaikan puasa Ramadhan. Walau bagaimanapun adalah wajib ke atas mereka qadha puasa yang tertinggal itu apabila perempuan tersebut suci daripada haidh dan nifas. Hal ini berdasarkan riwayat Aisyah Radiallahu ‘anha, katanya:

Maksudnya: “Kami diperintahkan mengqadha puasa dan tidak diperintahkan mengqadha sembahyang.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa uzur syar‘i adalah wajib ke atasnya mengqadha puasa yang ditinggalkan itu dan dia dikira sebagai menderhaka kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana meninggalkannya dan pemerintah berhak menghukum (ta‘zîr) ke atas mereka. Perbuatan meninggalkan puasa Ramadhan itu sangat merugikan dirinya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada bulan Ramadhan dengan tiada keuzuran dan tidak sakit, dia tidak akan dapat menggantikannya dengan puasa sepanjang tahun”. (Hadis riwayat Bukhari)

Para ulama berselisih pendapat tentang fidyah terhadap orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa uzur. Menurut pendapat yang ashah di kalangan ulama-ulama Syafi‘e, orang sedemikian tidak wajib ke atasnya fidyah.

Wanita hamil atau wanita yang menyusukan anak juga diharuskan berbuka puasa. Jika dia takut akan mudarat ke atas dirinya maka wajib ke atasnya qadha puasa yang ditinggalkan itu. Jika dia takut akan mudarat kepada diri dan kandungannya maka hukumnya sama juga sebagaimana dikenakan ke atas orang yang sakit dan musafir.

Orang Yang Diwajibkan Qadha Dan Fidyah

Adalah menjadi kewajipan mengqadha puasa bagi orang-orang yang meninggalkannya dengan sengaja atau dengan sebab keuzuran syar‘i. Di samping itu ada juga orang-orang yang meninggalkannya ditentukan ke atasnya membayar fidyah.

Fidyah ialah memberi makan orang miskin sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa juga bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Satu mudd itu adalah sebagai gantian bagi satu hari puasa yang ditinggalkan dan satu mudd itu bersamaan 15 tahil (566.85 gram). Bagi wanita hamil atau yang menyusukan anak, jika dia takut akan mudarat kepada anaknya disebabkan dia berpuasa, maka dia diharuskan berbuka dan wajib mengqadha puasa tersebut. Selain itu dia juga wajib fidyah kerana dia berbuka untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berupaya menunaikan puasa.

Perkara ini berdasarkan satu riwayat yang menyebutkan bahawa Abdullah bin Umar Radiallahu ‘anhuma telah ditanya mengenai seorang perempuan hamil yang takut mudarat kepada anaknya, adakah ke atasnya berpuasa? Lalu beliau berkata:

Maksudnya: “Berbuka dan berilah satu cupak makanan (hinthah) kepada orang miskin setiap hari.” (Hadis riwayat Malik)

Manakala perempuan hamil dan yang menyusukan itu apabila berbuka kerana niat rukhshah sakit atau musafir, maka wajib ke atasnya qadha sahaja dan tidak wajib fidyah.

Hukum yang sama juga (fidyah) dikenakan ke atas orang-orang yang meninggalkan puasa dan melengah-lengah atau melambatkan qadha, sedangkan dia berdaya sehingga datang bulan Ramadhan yang baru. Dengan demikian dia berdosa kerana melambatkannya dan wajib qadha serta fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan itu. Kecuali bagi orang-orang yang uzurnya berterusan sehingga tidak berdaya melakukan qadha seperti sakit atau musafir yang berterusan, perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan sehingga datang Ramadhan yang lain, maka tidak wajib ke atasnya fidyah kerana melambatkan qadha itu memandangkan keuzuran sedemikian itu diharuskan.

Orang Yang Diwajibkan Fidyah Sahaja

Islam sebagai agama yang mudah tidak akan memberatkan umatnya dalam segala perkara yang disyariatkannya seperti puasa Ramadhan yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam.

Bagi orang-orang yang tidak berdaya menunaikan puasa Ramadhan, Islam memberikan jalan kelonggaran tertentu kepada mereka, sama ada dengan mengqadha puasa yang ditinggalkan itu atau dengan mengeluarkan fidyah, atau keduanya sekali.

Bagi orang yang sangat tua (yang tidak berdaya melakukannya) dan orang yang sangat sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, tidak wajib ke atasnya berpuasa, tetapi diwajibkan ke atasnya fidyah.

Dalam hal ini Allah Subhanu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah Al-Hajj: 78)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah Al-Baqarah: 184)

Ibnu Abbas Radiallahu ‘anhu telah meriwayatkan mengenai orang yang sangat tua yang diwajibkan fidyah, beliau berkata:

Maksudnya: “Orang yang sangat tua di kalangan lelaki atau perempuan yang keduanya tidak mampu berpuasa, hendaklah memberi makan orang miskin bagi setiap hari sebagai ganti.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hukum yang sama juga berlaku kepada orang yang sangat sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, dia boleh berbuka dan wajib fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan itu.

Mengenai qadha orang yang sangat tua dan orang yang sangat sakit tidak ada harapan untuk sembuh, jika dia merasa mampu dan berdaya untuk berpuasa, apakah dia wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan itu? Dalam hal ini, ulama menyatakan bahawa jika dia berdaya sebelum membayar fidyah, maka dibolehkan dia mengqadha sahaja; tetapi jika dia berdaya setelah membayar fidyah, dia tidak perlu mengqadhanya. Ulama juga bersepakat adalah harus bagi orang yang sangat tua itu membayar fidyah selepas masuk fajar setiap hari.

Manakala bagi orang yang luput menunaikan puasa Ramadhan dan meninggal dunia sebelum dia mengqadhanya sama ada disebabkan meninggal dunia pada bulan Ramadhan, meninggal sebelum fajar 2hb. Syawal, sakit yang berpanjangan atau kerana musafir yang diharuskan sehingga dia meninggal, maka dia tidak berdosa dan tidak wajib qadha dan tidak dikenakan fidyah.

Orang-Orang Yang Diwajibkan Kaffârah

Ulama sepakat mengenai kewajipan kaffârah bagi orang-orang yang berbuka puasa dengan melakukan persetubuhan (jimâ‘) sama ada dengan perempuan atau binatang dengan sengaja tanpa dipaksa atau dengan maksud melanggar kehormatan dalam bulan puasa, atau bukan kerana yang diharuskan berbuka puasa. Kaffârah kerana persetubuhan tersebut ialah memerdekakan seorang hamba. Jika dia tidak mendapatkannya, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.

Dalil kaffârah ini telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Ketika kami duduk bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, datang seorang lelaki kepada Baginda lalu berkata: “Binasalah aku!” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kenapa dengan engkau?” Lelaki itu menjawab: “Aku telah menyetubuhi isteriku sedang aku berpuasa (Ramadhan).” Lalu Nabi bersabda: “Adakah engkau berdaya memerdekakan seorang hamba?” Lelaki itu menjawab: “Tidak”. Lalu bersabda Nabi: “Adakah engkau berupaya menunaikan puasa dua bulan berturut?”. Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Bersabda Nabi: “Adakah engkau berdaya memberi makan enam puluh orang miskin?”. Lelaki itu menjawab: “Tidak.” (Abu Hurairah) berkata: “Ketika kami duduk telah dibawakan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan serumpun tamar. “Lalu Baginda bersabda: “Ambil (tamar) ini dan sedekahkan….” (Hadis riwayat Bukhari)

Membatalkan puasa dengan jimâ‘ atau persetubuhan yang berlaku pada siang hari bulan Ramadhan adalah haram. Akan tetapi tidak wajib kaffârah jika berlaku jimâ‘ pada bulan-bulan yang lain selain bulan Ramadhan seperti ketika melakukan puasa sunat, nazar, qadha atau puasa kaffârah. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri‘tikâf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 187)

Apabila seorang lelaki atau perempuan berbuka dengan melakukan jimâ‘ dengan sengaja, maka batal puasa dan berdosa. Begitu juga wajib dia qadha puasa dan kaffârah bersama ta‘zîr. Jika keadaan ini berlaku kepada suami dan isteri, siapakah yang dikenakan kaffârah? Ulama berbeza pendapat tentang siapakah yang dikenakan kaffârah sama ada suami atau isteri atau kedua-duanya sekali. Menurut pendapat yang ashah di kalangan ulama Syafi‘e, kaffârah hanya wajib ke atas suami sahaja.

Jika berlaku jimâ‘ itu dua hari atau lebih dalam bulan Ramadhan, ulama sepakat bagi setiap hari dikenakan kaffârah. Manakala bagi yang melakukan jimâ‘ beberapa kali dalam satu hari atau pada hari yang sama, dia hanya dikenakan satu kaffârah.

Jika berlaku jimâ‘ dalam keadaan musafir yang diharuskan, puasa terbatal dan tidak wajib kaffârah dengan jimâ‘ tersebut. Begitu juga jika dia menyangka (zhann) matahari telah masuk dan berlaku jimâ‘, sedangkan hari masih siang (belum masuk matahari), dihukumkan tiada kaffârah kerana dia tidak bermaksud untuk melakukan yang dilarang. Manakala jika dia syak di siang hari, sama ada berniat puasa di malam hari atau sebaliknya, kemudian berlaku jimâ‘ dalam keadaan syak itu, lalu dia teringat bahawa dia telah berniat, maka batal puasanya dan tidak wajib kaffârah. Begitu juga tidak wajib kaffârah jika jimâ‘ itu berlaku setelah terbatal puasa oleh perkara-perkara lain seperti makan, minum dan sebagainya.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, bahawa ibadat puasa itu wajib ditunaikan kecuali bagi orang-orang yang ditentukan oleh syara‘ mempunyai kelonggaran-kelonggaran tertentu. Kelonggran-kelonggaran tersebut bertujuan supaya tidak membebankan umat Islam melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan. Namun ibadat puasa yang ditinggalkan sama ada dengan sebab keuzuran syar‘i atau tanpa sebab munasabah, Islam telah mewajibkan ke atas mereka qadha atau fidyah ataupun kaffârah.

Oleh yang demikian mana-mana orang yang wajib ke atasnya kaffârah atau fidyah hendaklah mengambil perhatian tentang perkara ini. Sementara yang wajib qadha pula tidak akan melengah-lengahkan atau menunda-nunda qadhanya sehingga masuk Ramadhan yang akan datang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10493

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص